Friday 29 February 2008

Jamie's School Dinner



Jamie’s School Dinner

Bagi mereka yang bermastautin di UK, nama Jamie Oliver bukanlah asing. Maaf, bagi para peminat masakan dan makanan yang bermastautin di UK. Bukan semua orang mengenali Jamie Oliver “the naked chef”. Mungkin di kalangan warga under grad dan juga kebanyakan orang-orang lelaki post grad, nama Bekham lebih melekat di kotak pemikiran masing-masing. Jamie Oliver (33 tahun) adalah chef selebriti di UK, lagak Chef Wan suatu waktu dahulu di Malaysia. Selain daripada rancangan memasak beliau “the naked chef” yang popular pada tahun1998-1999, buku-buku memasak dan juga kehidupan serba glamor, terdapat nilai tambahan pada beliau yang perlu dikongsikan bersama rakyat Malaysia.

Beliau bukanlah seorang yang sangat istimewa. Malah pengidap sakit dyslexia ini tidak menghabiskan sessi persekolahannya kerana tidak dapat mengikuti pembelajaran secara normal. Beliau membesar di dapur pub milik kedua ibu bapanya di Essex, UK. Beliau juga pada asalnya hanyalah tukang masak di dapur “The Neal Street Restaurant” di London, sehinggalah produser Patricia Llewellyn menemuinya di restoran berkenaan. Akhirnya beliau dipilih oleh Patricia untuk menjadi tukang masak rancangan memasak beliau yang baru. Rancangan tersebut yang dinamakan sebagai “the naked chef” telah menaikkan nama Oliver. Ianya bukanlah rancangan lucah, malah tiada sesiapa pun yang telanjang di dalam rancangan tersebut. Bak kata Oliver, yang “naked” itu adalah makanan dan bukan tukang masak. Mungkin anda boleh terbayangkan kartun animasi Walt Disney, Rattatouille, untuk menggambarkan kehidupan awal Oliver.

Apa yang menarik mengenai Oliver ialah sumbangan beliau terhadap masyarakat. Beliau bukanlah seorang aktivis hak asasi manusia ataupun enviromentalis, tetapi idea yang beliau bawa telah berjaya membawa perubahan besar di dalam kehidupan masyarakat UK. Antara projek kemasyarakatan yang beliau mulakan ialah melatih anak-anak muda yang ketinggalan pelajaran dan tidak berkemampuan untuk belajar memasak. Beliau juga telah berjaya menubuhkan restoran kebajikan yang dinamakan sebagai “Fifteen restaurant”untuk melatih mereka di samping memberikan ruang keuntungan dari restoran untuk tujuan kebajikan. Pada permulaannya beliau telah melatih seramai 15 anak-anak muda tersebut.Kini kesemua 15 anak muda itu telah berjaya menjadi chef di dalam industri kebajikan. Rangkaian restoran “Fifteen” kini mempunyai cawangan di serata dunia. Sebagai habuannya, beliau telah menerima anugerah berprestij di UK, iaitu “Beacon Fellowship” pada tahun 2005.

Sumbangan beliau yang terbesar sekali kepada rakyat UK adalah kempen “Jamie’s School Dinner” pada tahun 2006. Beliau menjadi jelek melihat kualiti makanan yang disajikan kepada kanak-kanak di sekolah. Makanan yang diberikan sewaktu dinner (waktu rehat untuk makan tengah hari) tidak berkualiti dan tidak membantu pembesaran minda kanak-kanak sekolah. Sebagai tindakan pro-aktif, beliau telah melancarkan kempen agar kanak-kanak di sekolah-sekolah UK hanya diberikan makanan yang berkhasiat dari sayur-sayuran segar, buah-buahan berkhasiat dan lain-lain makanan yang berkualiti. Bersama seorang dinner lady dari Breenwich, Nora Sander, beliau telah berjaya mendapatkan tandatangan lebih 300,000 ibu bapa untuk kempen tersebut. Beliau juga telah berjaya menemui Tony Blair selaku PM di Britain pada waktu itu untuk menjayakan kempennya.

Hasil daripada kempen yang mendapat liputan meluas media di UK, akhirnya Tony Blair meluluskan peruntukan sebanyak £280 juta sebagai bantuan kepada sekolah-sekolah di seluruh UK agar membekalkan makanan yang berkhasiat kepada kanak-kanak sekolah. Kerajaan UK juga telah menyediakan panduan bagi sekolah-sekolah berhubung kualiti makanan yang dibenarkan untuk sajian kanak-kanak sekolah. Sehingga kini kempen beliau masih lagi berjalan untuk memastikan perlaksanaan polisi tersebut benar-benar dilaksanakan. Maklumat lanjut mengenai kempen tersebut boleh didapati di : (http://www.channel4.com/life/microsites/J/jamies_school_dinners/).

Mungkin banyak yang boleh kita pelajari dari usaha kemasyarakatan Jamie. Di Malaysia kita mempunyai ramai selebriti. Samada selebriti hiburan, politik, sukan, masakan, agama dan lain-lain lagi. Malangnya sejauhmana mereka menyumbangkan ide ke arah perubahan?, atau kedudukan yang ada hanyalah diusahakan untuk menjana kepentingan peribadi semata-mata. Kadangkala persoalan pembacaan, tahap intelektual dan keterbukaan fikiran juga memainkan peranan. Sejauhmana mereka ingin meluangkan waktu untuk memikirkan persoalan masyarakat. Sejauhmana mereka peduli terhadap rakyat . Sejauhmana juga mereka mempunyai kesedaran untuk memikirkan bahawa perkembangan intelektual kanak-kanak amat berkaitan dengan makanan, bahan bacaaan, enviromen di sekolah dan juga persekitaran di rumah?

Di Malaysia, malang sekali,usaha-usaha kesedaran berkaitan masyarakat sering dibebankan pada bahu kerajaan semata-mata. Pihak birokrasi pula seringkali tidak kreatif dan ketandusan ide-ide berbentuk RnD. Jika ada pun badan-badan masyarakat sivil yang berperanan, maka ianya hanyalah CAP dan Persatuan Pengguna semata-mata. Jika ada pun badan-badan Islam yang peka, mereka hanya risaukan persoalan halal dan haram pada ubat gigi, makanan dan kosmetik semata-mata. Mengharapkan para ulama jauh sekali, mungkin fatwa-fatwa mereka adalah untuk kehidupan ruang spiritual semata-mata. Para artis dan selebriti?, maaf, mungkin persoalan baju dan mekap lebih utama untuk mereka fikirkan. Jika ada yang berminat untuk masuk ke sekolah pun, itu hanya untuk memberikan ceramah motivasi yang akan memberikan imbuhan yang lumayan.

Di dalam membincangkan persoalan pemakanan dan kebajikan kanak-kanak sekolah, saya teringatkan pengalaman bersekolah di sekolah agama rakyat pada awal tahun 1990. Bukan sekadar makanan tidak berkhasiat, malah kualiti kehidupan dan persekitaran juga amat menyedihkan. Apatah lagi nasib sekolah-sekolah Tamil di estet-estet, dan juga sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina di kampung-kampung. Nampaknya para ilmuwan kita di UK harus memikirkan sesuatu untuk membalas jasa rakyat. Jikalaulah rakyat telah rela memberikan ratusan ribu duit untuk para ilmuwan dihantar belajar ke luar negara, mungkin telah sampai masanya mereka memikirkan sesuatu yang terbaik untuk masyarakat juga. Mengapa tidak mencontohi Jamie Oliver?

Thursday 28 February 2008

Lawan Macam Anak Jantan


Lawan Macam Anak Jantan!

Bahang pemilihan calon presiden untuk parti demokrat di AS semakin dirasakan oleh penduduk dunia. Mungkin isu “Global Warming” (kepanasan global) pun tidak sepanas persaingan di antara Senator Barrack Obama dan Senator Hillary Clinton. Bagi warga UK, liputan mengenai isu pemilihan calon presiden ini kadangkala berjaya menenggelamkan isu politik tempatan. Rakyat golongan pertengahan lebih ghairah berbincang mengenai Obama dan Clinton berbanding Gordon Brown (PM Great Britain sekarang) dan David Cameron (pemimpin parti konservatif sekaligus ketua pembangkang di House of Common UK).

Hal ini telah berjaya menarik perhatian pemimpin muda parti konservatif tersebut. David Cameron, yang sering dilihat sebagai bakal PM Britain telah membuat cabaran ke atas Brown untuk mengadakan debat terbuka di televisyen (The Independent, 28/2/2008). Beliau mengambil contoh apa yang berlaku di AS sebagai kayu ukurnya. Beliau telah mencabar Brown agar mengadakan siaran langsung perdebatan di antara ketua-ketua parti politik di UK pada pilihanraya umum akan datang. Walau bagaimanapun cabaran beliau telah ditolak oleh Brown. Bukan kerana Brown takut ataupun tidak telus, tetapi siaran langsung soal jawab PM di parlimen secara mingguan telah cukup untuk rakyat menilai kemampuan ahli-ahli parlimen dan juga PM mereka. Sememangnya apa yang menarik di UK ialah siaran langsung perdebatan ahli-ahli parlimen di House of Common boleh disaksikan oleh rakyat jelata. Kesimpulannya, samada gaya AS ataupun gaya UK, kedua-dua negara mempunyai tahap ketelusan yang tinggi di dalam berpolitik.

Hal inilah yang tidak dapat dinikmati oleh rakyat yang menghuni negara-negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam. Rakyat Malaysia yang bernaung di bawah pemerintahan Islam Hadhari pun tidak ketinggalan tidak dapat menikmati nikmat ketelusan ini. Rakyat jelata tidak dapat melihat sejauhmana hebatnya ahli parlimen yang mereka pilih pada setiap kali pilihanraya. Jika adapun, sekadar sedutan-sedutan perbahasan parlimen yang telah dipotong mengikut kesesuaian pihak-pihak tertentu untuk ditayangkan kepada umum. Ibarat adengan lucah yang dipotong oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF), begitu juga dengan rakaman perbahasan parlimen di Malaysia. Hanya ucapan belanjawan negara sahaja yang boleh dinikmati secara langsung dari parlimen.

Bagaimana pula dengan perdebatan secara terbuka di antara ketua parti-parti politik menjelang PRU seperti yang berlaku di AS?, jauh panggang dari api!

Cuba gambarkan, jika semua ketua parti-parti politik pemerintah dan pembangkang di Malaysia dihimpunkan di dalam satu siaran langsung untuk membahaskan manifesto parti masing-masing. Kemudiannya berlaku soal jawab di antara mereka sesama sendiri dan juga para penonton. Bukankah itu lebih telus, lebih profesional dan lebih bertamadun?

Cara yang sedemikian akan memberikan ruang yang lebih kepada rakyat untuk membuat pertimbangan yang adil dan lebih bijak. Barulah intelektual rakyat jelata tidak diperlekehkan. Malangnya, mungkin kerana rakyat Malaysia masih tidak boleh berfikir dengan rasional menurut perkiraan sesetengah pihak, maka perbahasan dan perdebatan sedemikian tidak boleh dilakukan di Malaysia. Malang lagi jika ada Pak Menteri yang cerdik pandai memberikan alasan bahawa rancangan sedemikian akan mengancam keselamatan negara. Lebih haru lagi jika ada alim ulama yang akan mengatakan rancangan sedemikian tidak Islamik dan tidak pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW, maka ianya dilarang.

Bagi golongan Muslim yang non-Syiah, rancangan sedemikian bukanlah sesuatu yang pelik. Saat kewafatan Rasulullah SAW, umat Islam pernah berkumpul di Saqifah Bani Saidah. Di sana Saad bin Ubadah selaku wakil golongan Ansar dan juga Abu Bakar selaku wakil golongan Muhajirin telah mengemukakan pendapat masing-masing mengenai siapakah yang paling layak untuk menjadi pemimpin umat Islam sesudah Rasulullah SAW. Dialog di antara kedua-dua sahabat Nabi ini telah dirakamkan secara terperinci di dalam magnum opus al-Tabari yang dinamakan sebagai Tarikh al-Tabari. Malah bukan hanya mereka berdua yang terlibat di dalam dialog terbuka tersebut, Umar, Abu Udaidah ibn al-Jarrah dan Basyir bin Saad dari golongan Ansar juga turut terlibat. Perhimpunan dan perdebatan tersebut berakhir dengan pemilihan Abu Bakar sebagai khalifah kaum Muslimin menggantikan Rasulullah SAW (al-Tabari, j. 3, hal. 42).


Saqifah Bani Saidah di Madinah sekarang

Tidak kisahlah samada ianya pernah dilakukan oleh para sahabat ataupun tidak, yang pentingnya rancangan sedemikian mempunyai keuntungan (maslahah) kepada kaum Muslimin. Rancangan seumpama itu juga bertepatan dengan konsep shura yang amat-amat ditekankan oleh Islam. Shura yang paling berkesan ialah shura terbuka di mana setiap anggota masyarakat boleh terlibat di dalam memberikan pilihan mereka. Program seumpama ini akan memberikan peluang kepada rakyat untuk berfikir, membuat penilaian dan akhirnya memberikan pilihan yang rasional dan tepat. Malangnya apabila ketelusan dan keterbukaan seperti ini tiada, umat Islam akan berterusan dipimpin oleh golongan yang tidak benar-benar mewakili mereka. Akhirnya mereka berterusan ditipu, dizalimi dan juga diperdayakan oleh golongan yang mempunyai kepentingan peribdai di dalam memimpin negara. Hal ini telah disinggung oleh Pierre (2000) di dalam Governance, Politics and the State. Beliau telah memberikan fenomena negara-negara yang mundur dan lemah adalah disebabkan oleh para pemimpin diktator yang hanya menjadikan peluang berada di tampuk kekuasaan untuk menjana keuntungan peribadi dan parti yang dipimpinnya sahaja.

Mengharapkan suasana demokrasi yang subur model AS ataupun model UK berlaku di negara-negara Arab, mungkin adalah sesuatu yang mustahil di dalam tempoh yang terdekat ini. Rekod pencabulan hak asasi manusia, pencabulan kebebasan dan juga prinsip-prinsip demokrasi teramat tinggi di negara-negara di rantau berkenaan (http://info.worldbank.org/governance/wgi2007/). Di Malaysia, walaupun ianya tidak mungkin berlaku di dalam tempoh terdekat tetapi tidak mustahil ianya boleh dilaksanakan di masa akan datang. Tahap pemikiran rakyat perlulah dipertingkatkan agar mereka boleh berfikir menjangkaui batasan geografi yang membelenggu otak mereka. Peranan gerakan masyarakat sivil juga perlulah diperhebatkan untuk memberikan nuansa baru kepada rakyat agar pendapat umum (public opinion) mendorong ke arah ketelusan yang lebih di dalam tadbir urus kerajaan. Konsep penyertaan rakyat (people’s participation) di dalam tadbir urus negara perlulah ditingkatkan. Mungkin beberapa contoh dari UNDP dan House of Freedom boleh dijadikan kayu ukur.

Mungkin telah sampai masanya gerakan Islam juga turut bersama menggembeleng usaha membentuk pendapat umum ini. Anjakan paradigma dari membincangkan persoalan negara utopia yang ingin dibina kepada wacana tadbir urus yang lebih baik dan adil perlu dilakukan. Mungkin peranan masyarakat sivil ala-Gramci perlu dirombak dan diwarnai dengan warna baru oleh gerakan Islam di Malaysia. Selain berusaha membentuk elemen spiritual di dalam masyarakat,gerakan-gerakan Islam juga perlu mendidik rakyat berkaitan hak dan tanggung jawab mereka. Bukankah misi Islam itu adalah untuk menjadi rahmat kepada sekelian alam (al-Quran, 21:107)?

Akauntabiliti dan Ketelusan di bumi Kuffar



Akauntabiliti dan Ketelusan di bumi Kuffar

Isu skandal Derrek Conway telah menjadi titik perubahan di dalam unsur akauntabiliti dan ketelusan politik di UK. Bukanlah kedua-dua unsur tersebut tiada di UK sebelum ini, tetapi tahap perlaksanaannya menjadi lebih serius. Jika hendak dibandingkan tahap akauntabiliti dan ketelusan di UK dengan di negara-negara Islam, sudah tentu ibarat langit dengan bumi. Isu tersebut juga menunjukkan betapa keluhuran undang-undang (rule of law) juga begitu jelas menjadi prinsip tadbir urus negara berkenaan. Tiada yang kebal dan tiada yang hebat apabila berhadapan dengan undang-undang. Malangnya di negara-negara Islam perkara seperti ini agak kurang berlaku. Inilah padahnya apabila negara-negara Islam ditadbir oleh para diktator dan autokrat.

Pada 28 Februari 2008, kes yang hampir sama berlaku di negara rejim Zionis Israel. Negara penjajah tersebut telah menyaksikan bagaimana mahkamah di Tel Aviv telah menjatuhkan hukuman 7 bulan penjara ke atas Omri Sharon, anak mantan PM rejim berkenaan, Ariel Sharon. Beliau dijatuhkan hukuman tersebut di atas kesalahan menyalah gunakan wang kerajaan untuk tujuan kempen pilihanraya bagi pihak parti Likud pimpinan bapanya pada tahun 1999. Omri (43 tahun), dihadapkan ke mahkamah pada tahun 2005 di atas tuduhan tersebut dan dibuktikan bersalah setelah pihak pendakwaraya berjaya membuktikan kesemua salah guna wang yang telah beliau lakukan (al-jazeera.net, 28/2/2008).


Omri Sharon

Amat menarik, beliau dijatuhkan hukuman walaupun bapanya mantan PM. Beliau dihadapkan ke muka pengadilan walaupun parti Likud merupakan parti yang memerintah pada waktu tersebut. Beliau dijatuhkan hukuman walaupun wang yang beliau jana melalui jalan yang salah itu telah berjaya memenangkan parti pemerintah. Kes ini membuktikan bahawa tahap akauntabiliti, ketelusan dan juga rule of law begitu diamalkan di negara haram tersebut. Agak ironik, di kala mereka bersikap kejam dan zalim menjajah bumi hak milik rakyat Palestin, membunuh rakyat Palestin dan Lubnan, tetapi di dalam hal tadbir urus, mereka begitu mempunyai integriti.



Omri dan Sharon


Lain pula halnya dengan negara-negara Islam. Sudahlah tahap keluwesan berhubung pihak pemerintah tidak diamalkan. Ketelusan pula seakan tiada. Rule of Law pula memilih kasta dan memilih bulu. Pihak pemerintah menjadikan kedudukan yang ada untuk menjana kekayaan yang sepatutnya menjadi hak milik rakyat. Pihak pemerintah menjadi begitu kebal di hadapan undang-undang. Malang lagi, undang-undang dicipta untuk melindungi para diktator dan aparat mereka. Chapra (2008) telah menegaskan bahawa pengamalan tadbir urus yang buruk inilah yang telah membawa kepada kemunduran dan kelemahan umat Islam. Beliau telah membawa indeks-indeks berkaitan tadbir urus antarabangsa, ternyata negara-negara Islam menduduki tangga yang paling teruk berhubung isu tadbir urus. Mereka hanya menduduki tempat teratas di dalam indeks-indeks berkaitan dengan rasuah dan penyalah gunaan kuasa sahaja.

Hal ini mengundang kita untuk memikirkan isu Putera Bandar dari Arab Saudi berhubung skandal pembelian jet pejuang Tornado dan Hawk dari UK. Beliau yang bertanggungjawab membeli jet-jet pejuang tersebut dari syarikat persenjataan BAE di UK telah menerima rasuah untuk kontrak tersebut. Beliau juga telah mendapat habuan £1 billion yang telah dimasukkan ke dalam akaun peribadinya. Rasuah seumpama ini merupakan satu kesalahan di dalam undang-undang di bumi UK. Maka pada Julai 2004, “Serious Fraud Office” (SFO) yang merupakan tribunal penyiasatan berhubung skandal-skandal besar di UK telah memulakan penyiasatannya. Malangnya, ketika SFO hampir berjaya mendapatkan bukti dari akaun putera tersebut dari Swiss Bank pada tahun 2006, PM Britain pada waktu tersebut, Tony Blair telah mendesak supaya siasatan tersebut dihentikan (The Guardian UK, 15/2/2008).

Dari tarikh 19 November 2006 sehingga 1 Disember 2006, kerajaan Saudi telah mengugut kerajaan UK agar menghentikan siasatan SOF. Ancaman untuk memutuskan hubungan diplomatik telah dijadikan senjata utama mereka. Akhirnya pada 14 Disember 2006, penyiasatan CFO telah menemui penghujung anti klimaksnya. Blair memberikan alasan keselamatan rakyat Britain adalah lebih utama dan menjadi pendorong utama siasatan tersebut dihentikan. Tindakan tersebut telah mengundang perasaan tidak puas hati ramai pihak yang melihat ianya sebagai mencabuli prinsip undang-undang dan juga prinsip akauntabiliti yang menjadi teras tadbir urus kerajaan di UK (The Guardian, 14/12/2006).


Putera Bandar

Keadaan menjadi lebih memalukan apabila Blair mendedahkan sebab utama penyiasatan dihentikan. Putera Bandar yang merupakan menteri keselamatan di dalam negeri Arab Saudi telah menggugut untuk tidak bekerjasama di dalam isu keganasan. Beliau menggugut untuk tidak memberikan maklumat berkaitan kegiatan pengganas di UK yang diperolehi oleh kementeriannya. Beliau telah menggugut Blair bahawa kejadian pengeboman 7 Julai akan berulang lagi, dan para pengganas akan berleluasa di jalan-jalan seluruh Britian jika pihak Arab Saudi tidak membekalkan maklumat-maklumat berkenaan. Berhadapan dengan keadaan sebegini, Blair memilih untuk tidak memperjudikan nasib rakyatnya. Maka beliau telah berjaya mendesak SOF untuk menghentikan siasatan mereka. Pada Februari 2008, kumpulan anti-rasuah telah mencabar keputusan tersebut dan mendesak agar SOF meneruskan kembali siasatan mereka.

Bukan sahaja beliau telah memberikan imej yang buruk tentang sikap pemerintah di negara Islam, lebih malang lagi beliau mengiyakan bahawa sememangnya Arab Saudi adalah negara yang dipenuhi pengganas. Beliau juga telah berjaya menimbulkan paranoia di kalangan rakyat UK bahawa warga Arab Saudi di UK merupakan golongan yang berpotensi untuk menjadi pengganas. Lebih mengecewakan lagi, kes ini ditimbulkan semula ketika UK dihangatkan dengan isu cadangan perlaksanaan undang-undang Syariah berkaitan nikah kahwin oleh ketua biskop gereja England, Dr Rowan Williams. Bagi masyarakat non-Muslim di UK yang naif pastinya mereka akan berfikir inilah Syariah yang ingin diamalkan di UK! Syariah ala-Saudi, ataupun Syariah ala-korupsi!

Ternyata sekali isu tadbir urus merupakan ruang subur yang perlu diterokai oleh gerakan Islam demi memperhebatkan usaha Islah di muka bumi Allah ini.

Wednesday 27 February 2008

Negara Islam Tidak Sesuai di Malaysia?


Negara Islam tidak sesuai di Malaysia?

Sekali air bah, sekali pantai berubah. Begitulah ibaratnya tarian orang-orang politik. Isu dan mood rakyat menjadi penentunya. Mendapatkan sokongan dan juga undian adalah tujuan utama mana-mana parti politik yang bertanding di dalam pilihanraya. Samada perjuangan parti didasarkan di atas ideologi, aqidah, kepercayaan, sentimen, mahupun kepentingan keduniaan, kesemuanya mempunyai matlamat yang sama setiap kali menjelang pilihanraya. Menang undi!!!

Penglibatan parti-parti politik berteraskan Islam merupakan fenomena biasa di dunia pasca kolonialisasi pada abad ke 20 yang lalu. Slogan “negara Islam”, “penegakan Syariah”, “hukum hudud”, “”wakil Allah”, “Islam Adalah Penyelesaian” dan lain-lain lagi menjadi perencah golongan yang terlibat untuk mendapatkan sokongan. Komitmen parti-parti Islam memperjuangkan kepercayaan mereka melalui lapangan demokrasi menjadi satu fenomena pada waktu tersebut.

Dua peristiwa besar telah menghasilkan sintesis kepada penglibatan parti-parti Islam di dalam lapangan demokrasi. Kejayaan FIS di Algeria yang dinafikan, dan juga coup de ta di Turki oleh golongan tentera selepas kemenangan Refah membentuk kerajaan campuran telah merubah lanskap perjuangan parti-parti Islam di lapangan demokrasi. Di satu sudut, suara yang bersikap sinis dan anti-demokrasi telah mula mendapat tempat. Jika dulunya, ia begitu tidak popular, namun selepas kedua-dua peristiwa tersebut, suara ini menjadi diminati semula. Tamimi (2001), menyenaraikan dua kumpulan utama yang begitu mempromosikan pendirian tersebut, Hizbut Tahrir dan juga golongan Salafi Jihadi ala al-Zawahiri. Beliau mungkin mempunyai alasan tersendiri untuk tidak menyenaraikan golongan Salafi tradisional dari Arab Saudi juga mempunyai kecenderungan seperti ini, namun penolakan mereka terhadap demokrasi dan prosesnya bukanlah sesuatu yang asing. Di atas aqidah “haramnya menentang pemerintah”, maka mereka berpendirian haramnya terlibat di dalam pilihanraya.

Di sudut yang lain pula, wujud golongan yang merasakan bahawa penglibatan di dalam pilihanraya bukanlah sesuatu yang syar’i, tetapi ianya adalah di atas dasar darurat. Mereka hanya mengambil peluang yang ada paa demokrasi untuk mencapai tujuan yang mereka sasarkan. Proses demokrasi hanya diibaratkan sebagai batu loncatan sahaja. Abu Faris (1989) telah mengemukan pendapat ini. Beliau mengemukakan pendapatnya itu sewaktu gerakan Ikhwan al-Muslimun di Jordan sedang rancak menceburi alam politik dan menyertai kerajaan Jordan di zaman al-Marhum Raja Hussin. Al-Asyqar (1990) walau bagaimanapun telah mengemukakan dalil-dalil syarak berkaitan keharusan penglibatan gerakan Islam di dalam proses demokrasi. Hatta sewaktu penglibatan beberapa individu Ikwan di Mesir di dalam parti al-Wasat, timbul desas desus di kalangan aktivis Ikhwan yang cenderung untuk memandang sinis penglibatan tersebut. Al-Qaradawi pada waktu itu telah tampil untuk membuat penjelasan dan sokongan beliau di atas keterlibatan para aktivis gerakan Islam di dalam kehidupan demokrasi.

Golongan ketiga pula bersikap lebih realistik. Keadaan persekitaran dan juga perubahan dunia menjadi subjek observasi mereka. Mereka mengambil kira realiti semasa dan juga ruang-ruang ijtihad yang wujud. Akhirnya mereka muncul dengan ijtihad dan pendekatan yang baru. Khan (2002) menamakan generasi ini sebagai generasi kedua gerakan Islam. Mungkin penamaan tersebut agak kurang tepat memandangkan kewujudan generasi kedua gerakan Islam lain yang lebih radikal dan ekstrim. Mungkin istilah yang lebih sesuai dipakai ialah, generasi pro-demokrasi gerakan Islam. Mereka melihat bahawa proses demokrasi, jika tidak kesemuanya, kebanyakannya bertepatan dengan ruh Islam. Mereka juga melihat bahawa penumpuan kepada isi (substance) kepada kehendak Islam itu lebih penting dari slogan retorik dan kulit (form) semata-mata. Tokoh-tokoh seperti Rashid Ghannouchi, Abdul Wahab Effendi, Abdul Wahab el-Messiri, Tariq al-Bishri, Azzam Tamimi, Salim al-Ewwa dan lain-lain merupakan di antara mereka yang tergolong di dalam golongan ini (Lihat: Tamimi, 1997).


Rashid Ghannouchi

Para pelopor AKP di Turki telah menyedari hal ini. Kesedaran hasil pengalaman golongan Islamis Turki terdahulu yang telah mengalami kemenangan dan kejatuhan di dalam arena politik demokrasi telah membentuk nuansa pemikiran baru bagi mantan para aktivis Refah satu waktu dahulu. Sensitiviti dan juga kecerdikan di dalam mengambil peluang yang ada menjadikan mereka lebih licik di dalam berpencak di milenium baru. Maka, di atas dasar demokrasi liberal yang tulin, mereka telah muncul di dalam politik bentuk baru. Mungkin AKP lebih berani, bukan hanya sekadar mereka menjauhi slogan-slogan retorik dan juga pendekatan yang terlalu berwarna “Islam”, mereka terus memunculkan wajah baru.

PKS di Indonesia juga termasuk di dalam golongan ini. Setelah percubaan yang kurang menghasilkan kejayaan pada PRU 1999, mereka mengorak langkah baru di tahun 2004. Tiada lagi slogan Syariat ataupun negara Islam sebagai modal politik. Malah HAMAS di Gaza dan Tebing Barat turut memainkan rentak yang sama. Di Maghribi, Parti Adalah wa Tanmiyah (keadlian dan pembangunan) juga tidak ketinggalan di dalam mempromosikan politik bentuk baru gerakan Islam. Isu negara Islam bukan lagi modal utama, malah ianya menjadi liabiliti kepada kebanyakan parti Islam yang terlibat di dalam proses demokrasi. Kini, isu tadbir urus (governance), pemerintahan yang adil, bersih rasuah dan juga isu-isu ekonomi dan pendidikan menjadi modal parti-parti Islam.

Gelombang perubahan ini turut melanda Malaysia. Kemunculan negara “berkebajikan” sebagai manifesto satu-satunya parti Islam di Malaysia, iaitu PAS adalah buktinya. Jika pada tahun 1990 PAS telah berjaya menjana kemenangan dengan bermodalkan hudud, namun PRU 2004 telah menyaksikan bagaimana isu “negara Islam” yang dipromosikan oleh PAS menjelang pilihanraya telah menjadi satu liabiliti. Kesan Islamphobia yang melanda dunia jelas dapat dirasakan di serata dunia, termasuk di Malaysia. Mungkin di atas kesedaran inilah, PAS di dalam PRU ke-12 ini menampilkan strategi baru untuk mendapatkan sokongan. Jika diamati, tidak langsung disebutkan pun isu negara Islam ataupun hukum hudud di dalam manifesto PAS pada PRU kali ini. Apakah formula yang telah membuahkan hasil di Turki, Indonesia dan juga Palestin akan memberikan impak yang sama juga di Malaysia?

Persoalan yang timbul ialah, apakah pendekatan baru PAS ini bersikap “genuine” berdasarkan keputusan “bottom-top” ataupun sekadar modal pilihanraya semata-mata?

Apakah golongan pro-Negara Islam dan golongan ulama di dalam PAS benar-benar telah bersedia untuk mengambil pendekatan baru ini? Atau ianya hanya sekadar sesuatu yang sementara sahaja?

Sebuah buku yang amat menarik berhubung isu negara Islam ini telah diterbitkan oleh Malaysia Think tank London. Buku tulisan Dr Abd Wahab Effendi mantan aktivis gerakan Islam di Sudan ini amat bermanfaat untuk para pembaca. Beliau yang juga aktivis gerakan Islam pro-Demokrasi yang kini berada di Westminster University, UK. Komen dari pengerusi Malaysian Think tank London, saudara Wan Saiful Wan Jan juga amat bermanfaat.

Sila dapatkannya melalui: www.my-islamic-state.com.

Saturday 16 February 2008

Selamatkan Gaza!!!


Berikut Adalah Surat daripada Setiausaha Gerakan al-Ikhwan al-Muslimun di Mesir untuk umat Islam di seluruh dunia. Surat ini telah dikirimkan kepada pertubuhan-pertubuhan Islam dan kemanusiaan di seluruh dunia. Saya telah diminta untuk menterjemahkannya kepada seluruh rakyat Malaysia yang peduli terhadap isu Palestin. Beberapa perubahan kecil dari teks asalnya sewaktu proses penterjemahan demi menyesuaikannya dengan budaya, mentaliti dan realiti rakyat Malaysia.Diharapkan agar para pembaca dapat menyebarkan surat ini kepada para pembaca bahasa Melayu yang alin demi menyemarakkan usaha menyelamatkan rakyat Gaza yang sedang menderita akibat kepungan Rejim ZIonis yang zalim dengan bantuan Amerika Syarikat...


Selamatkan Rakyat Gaza (Palestin)….. Tanggungjawab setiap Muslim

“Dan Janganlah kamu (merasa) lemah, dan jangan (pula) bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang beriman” (Ali-Imran 139)

Seruan daripada Allah s.w.t kepada sekelian orang yang beriman…. Kamu sekali-kali tidak akan ditimpa ketakutan, tidak akan diselubungi kesedihan dan hati kamu sekali-kali tidak akan dirundungi kekecewaan. Kekecewaan tidak sekali-kali akan dapat diharmonikan dengan keimanan. Kamu berada pada darjat yang paling tinggi selagi mana kamu beriman dan sentiasa mempunyai talian yang kuat dengan Allah yang Maha Mulia lagi Berkuasa.

Keadaan di Gaza memerlukan sikap pro-aktif umat Islam sedunia. Adalah menjadi satu kezaliman bagi kaum Muslimin membiarkan saudara mereka di Palestin berterusan dizalimi oleh rejim Zionis Israel dan sekutunya. Kita boleh melakukan banyak perkara demi untuk saudara-saudara kita di Gaza….


Dengan ini, saya menyeru setiap pihak agar:

1- Qunut Nazilah – Membaca qunut nazilah pada setiap kali solat dan ajarkan makna qunut dan cara melakukannya kepada orang-orang yang masih belum mengetahui hakikat qunut.

2- Tinggalkan makanan, minuman dan kerehatan yang berlebihan dan salurkannya kepada saudara-saudara kita di Palestin. Salurkan wang anda kepada pertubuhan-pertubuhan kebajikan tempatan yang terlibat menguruskan sumbangan untuk membantu rakyat Palestin.

3- Mendermalah untuk pembelian ubat-ubatan yang diperlukan. Menyumbang secara terus sama ada sumbangan yang berbentuk material ataupun kewangan. Hospital-hospital dan klinik-klinik di Gaza sedang kehabisan ubat-ubatan untuk merawat para pesakit.

4- Bagi sesiapa yang mempunyai kemampuan dan kesempatan, sertailah misi-misi kemanusiaan untuk membantu rakyat Gaza (untuk menyalurkan kelengkapan pakaian, makanan dan bahan api)

5- Mobilisasi rakyat untuk bangkit melahirkan solidariti bersama rakyat Gaza yang dizalimi dan sedang menghadapi krisis kemanusiaan yang semakin meruncing. Demo, bantahan, memorandum dan juga segala wasilah yang sesuai mestilah digunakan untuk tujuan tersebut.

6- Sebarkan maklumat kesengsaraan rakyat Gaza kepada seluruh rakyat dan penduduk dunia melalui teknologi yang ada seperti poster, banner, penulisan artikel di akhbar-akhbar, majalah-majalah, e-mail, laman web, sms, Ym dan lain-lain lagi.

7- Wujudkan Tabung Palestin di setiap rumah (Didiklah anak-anak agar mula menabung dari duit perbelanjaan mereka untuk rakyat Palestin). Sikap ini akan mewujudkan perasaan kebersamaan mereka dengan rakyat Palestin yang ditindas.

8- Bagi para pemudi dan wanita yang beriman, mereka hendaklah berderma dengan barang-barang perhiasan berharga yang mereka miliki.

9- Kepada seluruh warga yang bekerja, gunakanlah kedudukan kamu untuk menyelamatkan Palestin. Sebagai contoh :-

a. Para Pendakwah : Bangunkan Ummah untuk membantu Palestin dan serulah pihak-pihak berkuasa dengan kebenaran.

b. Ahli-ahli Parlimen : Gunakan segala jentera pemantauan supaya Kerajaan melaksanakan tanggungjawabnya secepat mungkin.

c. Para aktivis Politik dan Parti : Himpunkan rakyat untuk isu ini, berlumba-lumbalah sekarang untuk menyelamatkan ummah.

d. Para Pengamal Undang-undang : Berusahalah di peringkat nasional dan antarabangsa untuk mengutuk perang dan penyembelihan secara beramai-ramai ini.

e. Para Wartawan : Gunakan kedudukan anda untuk membentuk pendapat umum rakyat samada melalui media bercetak mahupun media audio visual. Sebarkan kesedaran mengenai usaha ummah untuk menyelamatkan Palestin. Dedahkan pekung musuh, berilah peringatan kepada mereka yang masih bersikap alpa dan leka, serulah ummah dan bangunkan orang-orang yang lalai.


Gerakerja secara kolektif

Ikhwan Muslimin, seluruh parti politik dan pertubuhan-pertubuhan NGO, sekarang ini sedang berhimpun untuk menyusun usaha secara kolektif menuntut supaya pintu masuk di setiap sempadan di Palestin untuk dibuka. Dengan izin Allah, semua pertubuhan ini dengan kerjasama daripada bangsa Arab, umat Islam dan seluruh rakyat di dunia akan melakukan apa yang tidak dilakukan oleh negara-negara dan institusi-institusi antarabangsa.

“Dan katakanlah, “ Bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat pekerjaanmu, begitu juga RasulNya dan orang-orang Mukmin..” (At-Taubah : 105)

Dr. Mahmoud Ezzat,

Setiausaha Agung,

Jamaah Ikhwan Muslimin.



Mahmoud Ezzat.


*** Untuk maklumat lanjut, sila lawati laman web: www.ikhwanonline.com

Friday 15 February 2008

Lubnan: Iraq ke-2


Lubnan: Iraq kedua?

Pada 14 Februari 2008, Lubnan menyaksikan dua perarakan besar. Perarakan pertama di dataran Syuhada di mana mantan PM Lubnan Rafiq al-Hariri terbunuh, dan juga perarakan di untuk mengkebumikan Imad Fayez Mughniyeh, pejuang veteran Hizbullah. Perarakan yang pertama disambut oleh kumpulan Mac 14 pro-Hariri, manakala perarakan kedua pula disertai oleh para pejuang Hizbullah. Mantan PM tersebut telah terbunuh hasil letupan bom seberat 1000 KG di hadapan hotel St George, di Beirut pada 14 Februari 2005. Mughniyeh pula terbunuh di dalam satu letupan bom ke atas keretanya di ibu kota Syria,Damsyik pada 12 Februari 2008.

Kumpulan 14 Mac merupakan gabungan gerakan ‘Mustaqbal’ (masa depan) yang diketuai oleh anak Saad al-Hariri (anak mantan PM), puak Druz yang diketuai oleh Walid Jumblat (pemimpin parti Soasialis Progresif) dan juga kumpulan Lebanese Force dari puak Kristian Maroni yang diketuai oleh Samer Geagea (mantan komandan kumpulan Kristian Phalangist yang merupakan sekutu Israel). Kumpulan ini merupakan suara majoriti di dalam parlimen Lubnan dan merupakan kerajaan yang berkuasa pada hari ini dengan menguasai 68 kerusi daripada keseluruhan 128 kerusi parlimen. Mereka lebih dikenali sebagai sekutu Amerika Syarikat dan Peranchis di bumi Lubnan. Kumpulan ini muncul sebagai reaksi kepada pembunuhan Hariri dan sebagai manifestasi anti-Syria yang pernah menempatkan tentera mereka dan menguasai suasana politik di Lubnan dari tahun 1976 sehingga tahun 2005.


Saad Hariri dan Bush


Saad - Gaegae - Jumblat

Kumpulan Hizbullah pula merupakan kumpulan politik bersenjata yang paling menonjol di Lubnan, dan merupakan anggota koalisi pembangkang yang menamakan diri mereka sebagai ‘Koalisi 8 Mac’. Walaupun parti pembangkang yang paling banyak menduduki kerusi di parlimen adalah parti Amal (Syiah) dan kumpulan nasionalis bebas (Tayyar al-Watani al-Hurr) mewakili juga Kristian Maroni, namun hizbullah lebih menonjol berbanding kedua-dua rakan koalisi mereka. Selain daripada struktur organisasi mereka yang tersusun, ekonomi kendiri yang mantap, mereka juga merupakan satu-satunya gerakan politik yang mempunyai ketenteraan dan persenjataan yang paling lengkap di Lubnan. Di kalangan kaum Syiah di Lubnan. Hizbullah merupakan parti yang dominan dan yang paling tersusun struktur kerja-kerja sosial dan rekrutmennya. Mereka sering dikaitkan dengan negara Syria dan negara Iran yang dituduh oleh Amerika Syarikat dan Israel sebagai penaja utama kumpulan tersebut.


Demo kumpulan 8 Mac

Nasrullah, Pemimpin Hizbullah

Semenjak pembunuhan Rafiq Hariri yang dikaitkan dengan kumpulan ekstrimis dan sesat al-Ahbash (juga dikenali sebagai Jam’iyyah al-Mashari’ al-Khayriyah), siri-siri pembunuhan ahli parlimen dan menteri kumpulan 14 Mac bertali arus. Dari asal 72 kerusi parlimen yang mereka kuasai, kini hanya tinggal 68 sahaja. Antara yang paling ketara ialah pembunuhan menteri muda dari Parti Kataeb kaum Kristian Maroni, Piere Amine Gemayel pada 21 November 2006. Pelbagai siri cubaan membunuh anggota parlimen dari kumpulan ini juga turut berlaku. Siri pembunuhan dan percubaan membunuh ini dikaitkan langsung dengan Syria, memandangkan kebanyakan yang terbunuh dan yang cuba dibunuh merupakan ahli politik yang anti-Syria. Bukan sekadar mereka anti-Syria,malah mereka juga dikenali sebagai yang paling vokal di dalam parlimen dan media di dalam melahirkan pendirian mereka.

Bagi pihak pembangkang (8 Mac) yang pro-Syria,mereka menafikan penglibatan Syria dan menundingkan jari mereka ke arah rejim Zionis Israel dan juga Amerika Syarikat. Mereka menuduh agen-agen Mossad dan CIA merupakan dalang di sebalik onar tersebut, dan mengaitkannya dengan usaha untuk menekan Syria untuk kemaslahatan rejim Zionis. Michel Aoun, pemimpin pembangkang dari kaum Kristian Maroni pula menuduh kwujudan unsur asing yang cuba memecah belahkan kaum Kristian di Lubnan. Pengalaman pahit peperangan saudara Lubnan selama 15 tahun (1975-1990) telah mengajar mereka agar lebih berhati-hati dan tidak mengulangi peristiwa hitam tersebut. Agak menarik, jika di zaman Rafiq Hariri, beliau kelihatan agak tegas di dalam isu rejim Zionis, dan tidak bersikap ekstrim berhubung isu Syria. Kematian beliau melihatkan pendirian yang agak berbeza oleh anaknya, Saad dan juga kumpulan 14 Mac. Bukan hanya mereka dilihat sebagai anti-Syria, malah sikap mereka begitu lunak terhadap AS dan agak berkecuali di dalam isu rejim Zionis. Malah ramai yang tertanya-tanya mengenai sikap tidak berpihak mereka berhubung perang Zionis-Hibullah pada tahun 2006.

Hizbullah pula lebih tertonjol debagai kumpulan yang komited dengan perjuangan menentang penjajahan Zionis. Malah mereka menjustifikasikan hubungan mereka dengan Syria adalah untuk menentang penjajahan Zionis. Situasi terkini di Lubnan bagi mereka, merupakan permainan Zionis dan AS untuk memecah belahkan rakyat Lubnan dan mengheret mereka ke kancah peperangan saudara sekali lagi. Jika berlaku peperangan saudara di Lubnan, maka pihak yang paling beruntung adalah pihak rejim Zionis tanpa syak lagi. Peperangan 34 hari dengan rejim Zionis yang berakhir dengan kekalahan di pihak Zionis menurut laporan Komisi Winograd di Tel Aviv. Hal tersebut telah memaksa para perancang strategi rejim Zionis untuk melakarkan lanskap baru di dalam peperangan mereka dengan Hizbullah. Kekecohan pada awal tahun 2008 di antara puak Syiah dengan pihak tentera, siri pembunuhan dan percubaan membunuh pihak anti-Syria dan juga pembunuhan Imad Mughniyeh di Syria, kesemuanya merupakan formula baru mereka, menurut Hizbullah.


Perang saudara Lubnan 1975-1990

Kesan Perang Saudara Lubnan 1975-1990

Berkaitan pembunuhan Mughniyeh, banyak pihak bersetuju dengan Hizbullah. Bruce Riedel, mantan penasihat presiden AS dan pegawai CIA berkaitan urusan timur tengah selama 30 tahun menegaskan pihak Mossad merupakan perancang utama pembunuhan Mughniyeh. Beliau yang juga merupakan pengarah Saban Centre for Middle Eastern Policy di Brooklyn Institute mengesahkan bahawa Mossad sememangnya memburu Mughniyeh selama hampir 20 tahun. Mereka juga pernah cuba membunuhnya pada tahun 1994 di Beirut yang telah membawa kepada terbunuhnya saudara Mughniyeh, Fuad. Kolumnis akhbar bahasa Yahudi Haarezt, Yossi Melman di dalam analisis beliau menegsahkan juga bahawa Mossad dan CIA telah lama memburu Mughniyeh yang disifatkannya sebagai licik dan begitu cekap. Beliau menyimpulkan, pihak yang telah berjaya membunuh Mughniyeh merupakan pihak yang cekap, bijak dan begitu sofistikated. Di dalam upacara pengkebumian Mughniyeh, Hizbullah menegaskan bahawa mereka akan melancarkan serangan balas ke atas pihak rejim Zionis dengan apa harga sekali pun.


Persoalan yang menjadi perbincangan di media-media di timur tengah sekarang ialah, apakah masa depan Lubnan?, Apakah pergolakan di antara golongan Syiah dengan pihak tentera mutakhir ini akan segera berlalu, ataupun akan mengundang episod baru perang di antara kaum Syiah dengan pihak pemerintah?, Apakah pula tindak balas Hizbullah di atas pembunuhan pakar strategi mereka, Imad Mughniyeh?, Apakah pula muslihat Bush yang mengumumkan sekatan ekonomi ke atas Syria pada 13 Februari 2008 sejurus pembunuhan Mughniyeh? Apakah permainan AS dan rejim Zionis di bumi Lubnan ini akan berjaya, maka Lubnan akan sekali lagi diheret ke kancah peperangan saudara?

Apa pun ramalan dan analisis yang dibuat, satu perkara yang pasti, pergolakan di timur tengah akan terus berlaku selagimana negara bernama ‘Israel’ wujud. Apakah jika penjajahan yang dihalalkan oleh PBB pada tahun 1949 ini ditamatkan, kawasan tersebut akan aman damai? Apa yang pasti, jika tidak aman damai pun, ianya tidak akan seteruk apa yang berlaku sekarang ini!


Bandar Beirut dari udara

Thursday 14 February 2008

Perang Israel-Hizbullah: Siri Ke-3?


Perang Israel-Hizbullah: Siri ketiga?

Kompleks ‘Sayyid al-Syuhada’ di bahagian selatan Lubnan telah dibanjiri para penyokong Hizbullah pada 14 Februari 2008. Sewaktu koalisi 14 Mac sedang mengadakan perhimpunan memperingati tiga tahun kematian mantan PM Lubnan, Rafiq al-Hariri, para penyokong Hizbullah pula sedang meratapi pengkebumian pakar pemimpin kanan Hizbullah, Imad al-Mughniyyah yang telah mati terbunuh di dalam satu letupan bom di Syria. Pelbagai pihak menunding jari ke arah Mossad, agen perisikan rejim Zionis Israel sebagai dalang utama letupan tersebut. Mossad yang terkenal dengan operasi pembunuhan para pejuang Palestin dan Lubnan di luar negara, walau bagaimanapun menafikan penglibatan mereka.


Tentera Hizbullah

Di majlis pengkebumian yang dihadiri oleh puluhan ribu penyokong Hizbullah itu, setiausaha agung kumpulan berkenaan, Syed Hassan Nasrullah telah mengiystiharkan peperangan terbuka terhadap rejim Zionis Israel. Majlis yang turut dihadiri oleh menteri luar Iran itu telah menyaksikan bagaimana Syed Hassan Nasrullah telah mengutuk tindakan rejim Zionis, dan mengatakan bahawa darah Mughniyyah akan mengalir ke bumi Israel dan menghapuskan rejim berkenaan. Beliau juga mengisytiharkan bahawa peperangan baru telah bermula. Nasrullah telah menaikkan semangat para penyokongnya untuk bangkit berjihad dengan mengingatkan mereka terhadap kemenangan mereka mengalahkan tentera rejim pada peperangan musim panas (summer war) tahun 2006 yang lalu. Seruan beliau telah disambut dengan sorakan dan pekikan melanungkan namanya sebagai sahutan untuk berjihad.

Imad Mughniyyah, ataupun yang dipanggil oleh Nasrullah dengan nama sebenarnya, Haji Ridhwan merupakan pakar strategik dan komandan senior di dalam Hizbullah. Beliau disifatkan sebagai ‘otak’ kepada Hizbullah semenjak pre-penubuhan gerakan tersebut lagi. Beliau dikatakan sebagai perancang kepada pengeboman kedutaan AS, kompleks tentera AS dan juga kompleks tentera Peranchis di Lubnan pada tahun 1992. Pengeboman yang telah meragut nyawa lebih 350 tentera AS dan Peranchis itu telah menyebabkan AS tidak lagi berani menempatkan tentera mereka di bumi Lubnan. Beliau juga dikaitkan dengan pengeboman kedutaan rejim Zionis Israel di Buenos Aries, Argentina. Beliau juga dikenal pasti sebagai perancang kepada semua serangan yang dilancarkan oleh Hizbullah ke atas kepentingan AS dan tentera asing di bumi Lubnan.


Imad Mughniyah

Nama beliau menjadi lebih terkenal selepas dikaitkan dengan peristiwa rampasan kapal terbang TWA milik AS pada 14 Jun 1985. Seperti yang telah diungkapkan oleh kolumnis akhbar ‘The Independent’, Robert Fisk, beliau juga bertanggung jawab di atas penculikan warga barat di Lubnan sekitar tahun 80’an, di bawah organisasi pre-Hizbullah yang dikenali sebagai Jihad Islamiyy. Antara mangsa penculikan mereka yang terkenal ialah Terry Anderson, wakil badan berita AFP di Beirut. Anderson telah dibebaskan pada tahun 1991, di mana Fisk telah berpeluang untuk mewawancara kedua-dua Mughniyeh dan Anderson mengenai penculikan tersebut. Mughniyah memberitahu Fisk bahawa tindakan mereka adalah sebagai reaksi kepada tindakan rejim Zionis memenjarakan lebih 5,000 rakyat Lubnan di kem Ansar, selatan Lubnan sewaktu rejim tersebut menawan Lubnan pada tahun 1982.

Tidak hairanlah Mughniyah menjadi buruan kedua-dua agen CIA dan Mossad. Beliau juga tersenarai di dalam senarai pengganas yang paling dikehendaki oleh kesatuan Eropah (EU). Malah habuan sebanyak lima juta dollar AS ditawarkan kepada sesiapa yang dapat menangkap Mughniyyah samada hidup ataupun mati. Beberapa percubaan membunuh dan menangkap beliau telah dilakukan oleh Mossad dan CIA pada tahun 90’an. Kesemuanya menemui kegagalan kerana kelicikan beliau. Di dalam setiap percubaan yang gagal tersebut, nyawa ahli keluarga Mughniyah sering menjadi mangsa. Walau bagaimanapun, pengeboman yang meragut nyawa beliau ini merupakan kejayaan besar bagi mana-mana pihak yang ingin menghapuskan beliau. Pembunuhan terancang di luar Israel bukanlah sesuatu yang asing bagi Mossad. Para pimpinan PLO, Fedaeyen, Jihad Islamiyy (Palestin), PFLP, dan lain-lain pertubuhan yang memperjuangkan kemerdekaan bumi Palestin telah banyak telah dibunuh oleh Mossad di luar Palestin semenjak tahun 70’an lagi. Seperti kata Bruce Riedel dari Brookings Institute, kebanyakan bukti lebih berat menunjukkan bahawa rejim Zionis merupakan pihak yang bertanggung jawab di dalam pembunuhan pada 12 Februari 2008 di kota Damsyiq Syria tersebut.

Kotak Pandora telah pun dibuka. Kini Hizbullah telah mengiystiharkan peperangan terbuka kepada rejim Zionis Israel. Kenyataan Nasrullah, seperti yang telah dirakamkan oleh stesyen Televisyen al-Jazeera dan al-Manar milik Hizbullah, meminta dunia menjadi saksi bahawa Hizbullah telah memalukan gendang perang mereka sebagai serangan balas di atas kematian Mughniyeh. Apakah ini bermakna bermulanya siri peperangan ketiga di antara rejim Zionis Israel dengan Hizbullah. Jika yang sedemikian, apakah peperangan kali ini juga akan menyaksikan kekalahan di pihak rejim sepertimana siri peperangan yang pertama dan kedua?


Kabinet rejim Zionis bersidang

Jika peperangan siri pertama telah menyaksikan pihak Hizbullah telah berjaya memerdekakan selatan Lubnan dari penjajahan Zionis, peperangan siri kedua pula menyaksikan tentera rejim telah dikalahkan dengan teruk di dalam peperangan 34 hari pada Julai 2006. Kekalahan tentera rejim diakui sendiri oleh mereka melalui laporan suruhanjaya Winograd pada 30 Januari 2008 di Baitul Maqdis. Laporan tersebut juga telah memaksa PM rejim, Ehud Olmert agar meletakkan jawatannya kerana kelemahan beliau mengendalikan peperangan berkenaan. Apakah kesan peperangan siri ketiga ini pula?, Apakah Hizbullah akan melaksanakan peperangan di luar bumi Lubnan pula? Peperangan terbuka yang dimaksudkan oleh Nasrullah lebih cenderung membawa makna tersebut. Apakah mungkin peristiwa pengeboman kedutaan Israel di Buenos Aries pada 17 Mac 1992 oleh Hizbullah akan berulang lagi? Apakah pada kali ini lebih banyak lagi kedutaan Israel di seluruh dunia akan menjadi sasaran?

Seperkara yang pasti, keadaan warga Israel tidak akan lagi sama di dalam dan di luar Israel selepas ini. Setiap individu Israel pastinya akan merasakan bumi bukan lagi tempat yang selamat untuk mereka diami. Mahu ataupun tidak mahu, itulah harga sebuah penjajahan yang terpaksa dibayar oleh mereka. Selagimana perkataan kemerdekaan dan kebebasan itu wujud di dalam kamus kehidupan manusia bertamadun, selagi itulah penjajah Zionis akan sentiasa menemui harga yang terpaksa mereka bayar.


Tentera Zionis pulang dari Lubnan dengan kekalahan

Wednesday 13 February 2008

Undang-Undang Syariah di UK?


Undang-Undang Syariah di UK?

Ketua Biskup (Archbichop of Canterbury) gereja England, Dr Rowan Williams kini telah menjadi papan sasar para pengkritik. Tidak keterlaluan jika dikatakan semenjak beliau membuat kenyataan penuh kontreversinya mengenai undang-undang Syariah, beliau kini menjadi bahan perbualan dan kutukan kebanyakan rakyat UK. Kenyataan tokoh Kristian lulusan Oxbridge di hadapan 1000 orang peguam pada Isnin, 4 Februari 2008 yang lalu itu telah membuka ruang kepada umum untuk membelasahnya. Bukan setakat Williams, malah agama Islam juga telah menjadi mangsa kecaman, kritikan dan cacian secara berleluasa di dalam media-media arus perdana UK. Bukan sekadar akhbar-akhbar yang mempunyai kredebiliti sahaja turut membuka ruang kritikan, malah akhbar-akhabr picisan juga tidak ketinggalan di dalam membantai biskup tersebut dan juga agama Islam yang sering disifatkan sebagai agama pengganas dan menindas kaum wanita.

Seperkara perlu difahami, beliau bukanlah mencadangkan perlaksanaan undang-undang Syariah secara menyeluruh di UK untuk menggantikan undang-undang yang sedia ada. Beliau juga jauh sekali merasakan undang-undang Syariah itu hebat dan baik untuk dilaksanakan seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. Beliau hanya mengatakan bahawa undang-undang Syariah berkaitan kekeluargaan dan urusan kewangan tidak dapat dielakkan untuk diamalkan oleh warga UK yang beragama Islam. Beliau juga menafikan sokongannya terhadap sesetengah undang-undang Islam yang disifatkan oleh beliau sebagai melanggar hak asasi manusia. Beliau hanya memberikan contoh mahkamah kekeluargaan Yahudi, Beth Din yang diiktiraf oleh undang-undang UK untuk dijadikan sebagai landasan kepada kaum Muslimin untuk mendapatkan hak yang sama. Jika hak istimewa telah diberikan kepada warga UK beragama Yahudi, mengapa hak yang sama tidak boleh diberikan kepada warga Muslim yang jauh lebih ramai di UK?


Para Rabbi Yahudi di Beth Din

Beliau menegaskan pendiriannya dan juga haknya untuk memberikan pendapat yang dianggap sensitif itu di dalam mesyuarat Synod (mesyuarat tertinggi gereja England) pada 11 Februari 2008. Beliau juga menegaskan bahawa pendapat beliau itu adalah berdasarkan keperluan masyarakat UK untuk bersikap toleransi dan meraikan kepelbagaian yang wujud di dalam negara tersebut. Seperti yang pernah ditegaskan sebelum itu, di dalam mesyuarat tersebut, beliau sekali lagi menekankan bahawa yang dikatakan sebagai undang-undang Syariah hanyalah undang-undang kekeluargaan Islam yang digunakan untuk menyelesaikan masalah kekeluargaan di antara kaum Muslimin yang berjumlah lebih 1.8 juta di UK. Beliau berpendapat bahawa pendapatnya itu tidak sekali-kali bermaksud untuk menjadikan undang-undang Syariah setaraf dengan undang-undang yang sedia ada.

Di sebalik pelbagai kecaman dan kritikan, beliau juga menerima sokongan. Tatkala akhbar Sun melancarkan kempen untuk meminta beliau dipecat dari jawatannya, kaum Muslimin dari pelbagai pertubuhan tampil menyokong sikap terbuka Williams. Tatkala mantan ketua biskup gereja England, Lord Carey mengecam Williams, Cardinal Cormac Murphy O’Connor, pemimpin gereja Roman Katolik tampil membela hak Williams untuk menyuarakan pendapatnya. O’Connor membidas sikap sesetengah golongan terutamanya media yang tidak mahu memahami dahulu maksud ketua biskup berkenaan dan terus menghukumnya. Seorang paderi, Reverand Giles Fraser yang menjawat jawatan Vicar of Putney, ketika ditemuramah oleh radio 4 BBC, menyifatkan tindakan media dan pelbagai pihak yang mengecam Williams itu sebagai anjing-anjing yang menyalak. Beliau melahirkan kekecewaannya terhadap sikap masyarakat UK yang menghukum dahulu dan kemudian baru cuba untuk menyelidiki.


Di kalangan para politikus dan para ahli parlimen pula, reaksi yang pelbagai dapat dilihat. PM Gordon Brown cuba bersikap neutral dengan memuji kredebiliti Williams, tetapi di dalam waktu yang sama menegaskan sebarang undang-undang di UK hendaklah berteraskan nilai British, dan kerajaan tidak pernah merancang untuk melaksanakan undang-undang Islam di mana-mana peringkat sekalipun. Bagi sesetengah pihak yang lain pula, kenyataan Williams telah dijadikan peluang untuk mereka menghina Islam secara terbuka. Lebih mengaibkan, ramai di kalangan para pengkritik yang tidak dapat membezakan di antara adat dan juga undang-undang Syariah. Adat-adat yang tiada kena mengena dengan Islam seperti kahwin paksa yang diamalkan di Pakistan dan juga adat Sati yang diamalkan oleh kaum Hindu di India telah dijadikan contoh kepada undang-undang Syariah.

Malah jika dibenarkan perlaksanaan undang-undang kekeluargaan Syariah di UK sekalipun, apakah umat Islam di UK bersedia. Kegagalan dan tidak efisiennya mahkamah Syariah di beberapa negara Islam wajar dijadikan pengajaran. Janganlah nanti kesilapan dan kelemahan para pegawai dan penjawat mahkamah Syariah akan menjadikan fitnah lebih besar lagi kepada agama Islam. Setakat ini, Islam yang berteraskan budaya Indo-Pakistan merupakan Islam yang cuba ditonjolkan oleh masyarakat Muslim UK. Apakah nanti budaya dan juga ijtihad-ijtihad dari benua India itu juga yang akan dijadikan dasar kepada mahkamah Syariah di UK?


Muslim di UK mengadakan demo

Walau apapun reaksi yang diberikan, ternyata dua perkara akan jelas tertonjol lewat isu ini. Pertamanya, sikap Islamiphobia di kalangan rakyat UK merupakan sesuatu yang pasti. Ketakutan mereka kepada istilah Syariah bukan lagi sesuatu yang hipotesis, malah ianya telah menjadi hukum yang muktamad. Kenyataan ketua biskup itu seolah-olah menyorongkan bantal kepada orang yang mengantuk dan juga memberikan bola tanggung kepada mereka yang mempromosikan Islamiphobia di UK. Media-media diwarnai oleh kenyataan, pandangan dan juga kritikan-kritikan golongan ini, samada dari kalangan non-Muslim dan Muslim yang mendakwa diri mereka sebagai liberal. Selama berhari-hari, Islam dan undang-undang Islam menjadi bahan kecaman. Malah malaikat Jibril dan Nabi Muhammad SAW pun turut menjadi mangsa kritikan golongan ini.

Perkara yang kedua tertonjol ialah lobi kaum Muslimin di UK masih belum di tahap yang memuaskan. Reaksi negatif yang ditonjolkan oleh masyarakat, terutamanya oleh media menunjukkan bahawa masyarakat dan media lebih dicorakkan oleh kem yang anti-Islam. Kemunculan kritikan dan kecaman terhadap Islam, undang-undang Islam dan kaum Muslimin di dalam media-media membuktikan kegagalan kaum Muslimin Uk di dalam membina jambatan persefahaman dengan pihak bukan Islam. Kehebatan lobi Yahudi dan Zionis patut dipelajari. Mengapakah Beth Din (mahkamah kaum Yahudi) dibenarkan di UK, dan tidak pula mendapat tentangan dari warga UK?


Islamphobia

Walau bagaimanapun, antisipasi sang biskup telah mededahkan tumit Archiles masyarakat Britain yang beriman dengan prinsip liberal demokrasi seperti yang diungkapkan oleh salah seorang kolumnis akhbar The Independent, Johhan Hari. Jikalau di negara-negara Islam, pihak barat sering menempelak sikap sesetengah kerajaan yang tidak menghormati hak golongan minoriti, di dalam kes UK ini, bukan sekadar hak minoriti tidak dihormati, malah mereka bersikap prejudis dan mendiskriminasi. Mengapakah objektif cadangan Williams tidak diteliti, iaitu untuk menjamin perpaduan dan menghormati hak golongan minoriti?

Mungkin inilah yang dikatakan oleh mendiang pemikir Edward Said, golongan barat hanya inginkan nilai mereka sahaja yang difahami oleh orang timur, tanpa mereka mahu memahami dan mengiktiraf nilai-nilai orang timur...

Tuesday 12 February 2008

Nyawa Pervez Lebih Berharga Dari Gaza



Nyawa Pervez lebih berharga dari Gaza


Semenjak awal bulan Februari 2008, akhbar The Independent di Uk telah menjadikan isu Sayed Pervez Kambash sebagai isu utamanya. Jika tidak kerana kehangatan isu Dr Rowan Williams, ketua biskup yang telah menggoncangkan seluruh UK, sudah pasti gambar Pervez akan sentiasa menghiasi kulit depan akhbar tersebut. Apakah istimewanya Pervez?

Tiada yang istimewa. Beliau hanyalah seorang siswa jurusan kewartawanan di Afghanistan yang berusia 23 tahun. Beliau menjadi perhatian akhbar tersebut setelah hukuman mati diputuskan ke atasnya. Beliau dijatuhkan hukuman mati di atas tuduhan menghina Rasulullah SAW dan menghina Islam lewat artikel yang beliau kirimkan kepada rakan-rakannya. Artikel yang ditonjolkan sebagai artikel berkaitan “Hak Wanita Yang Ditindas” oleh media barat itu telah menjadikan pemuda tersebut sedang menantikan mahkamah rayuan untuk memutuskan nasibnya.Keadaan menjadi tidak jelas, apakah artikel tersebut benar-benar mengenai hak wanita yang ditindas, ataupun ianya menghina Nabi Muhammad dan Islam. Apa yang pasti media barat memainkan isu sentimen Islamihobia lewat isu tersebut.

Liputan akhbar tersebut telah berjaya mengundang reaksi para pemimpin dunia berkaitan hukuman mati yang telah diputuskan. Setiausaha Negara AS, Condoleeza Rice dan juga setiausaha luar UK, David Miliband telah turut campur tangan demi memaksa kerajaan Afghanistan menghentikan hukuman tersebut. Di atas nama kebebasan bersuara dan juga demokrasi, kedua-dua pemimpin tersebut telah bertolak ke Kabul untuk bertemu dengan pemimpin tertinggi Afghanistan, Hamid Karzai memaksa beliau menghentikan hukuman mati tersebut. Amat ironik sikap kedua-dua tokoh tersebut...sanggup bertolak ke Afghanistan walaupun sedang sibuk dengan urusan negara yang lebih besar semata-mata untuk menyelamatkan nyawa seorang pemuda yang telah menghina agamanya sendiri.

Di dalam waktu yang sama, malangnya kedua-dua pemimpin ini tidak mengendahkan nyawa 1.5 juta rakyat Gaza. Rakyat Gaza yang telah dikepung dan dinafikan hak asasi mereka untuk hidup bagaikan tiada erti bagi kedua-dua buah negara AS dan juga UK. Demi nyawa seorang pemuda yang menghina Islam, mereka sanggup menghabiskan wang rakyat dan pembayar cukai di kedua-dua buah negara di atas nama hak asasi manusia untuk bersuara. Malangnya hak kanak-kanak, hak wanita dan juga hak orang-orang tua di Palestin untuk hidup, untuk mendapatkan perubatan, untuk mendapatkan pendidikan, malah untuk memilih pemimpin yang mereka inginkan tiada nilai di sisi Rice dan juga Miliband. Sehingga hari ni, kedua-dua buah negara tidak melakukan apa-apa demi menyelamatkan rakyat Gaza yang dikatakan oleh Office of Coordination for Human Affair (OCHA) UN, sebagai akan menghadapi krisis kemanusiaan.

Di dalam laporan bertarikh Disember 2007 dan Januari 2008, rakyat Palestin tidak mendapat bekalan makanan kecuali makanan asasi, dan juga tidak mendapatkan bekalan ubat-ubatan. Bekalan yang ada tidak mencukupi untuk menampung 1.5 juta rakyat Palestin yang kini telah kenakan sekatan ekonomi dan politik oleh rejim Zionis dan AS. Semenjak tarikh Jun 2007 juga rakyat Gaza telah mengalami keputusan bekalan sayur-sayuran, makanan berkhasiat, susu, gandum dan hasil tenusu. Sehingga kini, lebih 66.7% rakyat Gaza hidup di bawah paras kemiskinan yang melampau. Menurut World Food Program (WFP) pula, sebanyak 98% keluarga tidak dapat membeli daging, manakala 93.5% pula telah mengurangkan perbelanjaan untuk membeli makanan akibat tidak mempunyai pendapatan yang cukup dan kekurangan bekalan di pasaran.

Jika keadaan ini berterusan, dijangkakan kadar penggangguran akan meningkat sebanyak 50%. Ini bermakna sejumlah 37.6% dari kalangan rakyat Gaza akan kehilangan pekerjaan menjelang tiga suku terakhir tahun 2008. Selain daripada itu bekalan minyak dan bekalan air ke Gaza juga semakin berkurangan. Kekurangan bekalan air bersih telah menyebabkan ramai kanak-kanak di Gaza kini dilanda penyakit yang kronik. Kementerian Kesihatan kerajaan Palestin di Gaza melaporkan bahawa hospital-hospital pula mengalami kekurangan ubat-ubatan untuk merawat para pesakit. Ubat-ubatan utama juga dijangka akan kehabisan jika sekatan ekonomi yang zalim ini berterusan. Peralatan di hospital juga semakin banyak yang tidak dapat digunakan kerana tidak dapat dibaiki dan terlalu kerap digunakan.

Sekatan ekonomi yang zalim itu juga telah melumpuhkan seluruh kawasan Gaza. Bekalan petrol, eletrik dan juga keperluan asasi kesemuanya mengalami kemerosotan. Hasil cukai yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat Palestin sebanyak USD 50 juta sebulan masih lagi di tangan rejim Zionis Israel semenjak tahun 2006 lagi. Para menteri dan juga ketua parlimen kerajaan pilihan rakyat juga masih di dalam penjara bersama 12,000 rakyat Palestin yang lain, termasuk wanita dan kanak-kanak. Serangan ke atas Gaza juga semakin meragut banyak lagi nyawa rakyat yang tidak berdosa. Pada 11 Februari 2008, kerajaan Zionis Israel memutuskan untuk memperhebatkan serangan ketenteraan ke atas Gaza.

Mengapakah isu kemanusiaan ini tidak cukup manusia buat Rice dan Miliband?

Di manakah pula OIC selaku badan yang bertanggung jawab untuk melihat kesatuan umat Islam sedunia?

Liga Arab mungkin tidak boleh diharapkan.

Masih lagi ironik, hanya kerana nyawa si pemuda yang telah menghina Islam, AS dan UK sanggup bertindak pro-aktif. Malangnya untuk nyawa 1.5 juta penduduk Gaza, mereka bersikap zalim sezalim-zalimnya...inilah wajah buruk liberal demokrasi ala barat!!!

Saturday 9 February 2008

Tiada Lagi Yang Rahsia di UK


Tiada Lagi Yang Rahsia di UK!

Akhbar tempatan UK, Daily Mail telah menjadikan isu ahli Parlimen dari parti buruh yang telah diintip perbualannya sebagai berita utama. Sadiq Khan, ahli parlimen parti buruh bagi kawasan Tooting, selatan London telah menjadi mangsa polisi anti-keganasan di UK. Perbualan beliau dengan salah seorang tahanan di penjara UK, Babar Ahmad sekitar tahun 2005 dan 2006 telah dirakam oleh piahk Scotland Yard. Tindakan ini bertentangan dengan undang-undang yang dinamakan sebagai Doktrin Wilson (Wilson Doctrine) yang telah diluluskan pada tahun 1966.

Isu ini telah diambil serius oleh setiausaha undang-undang (menteri undang-undang) kerajaan parti buruh, Jack Straw. Beliau telah mengarahkan pengarah suruhanjaya siasatan awam (Chief Surveilance Comissioner) untuk melakukan siasatan lanjut. Jaqui Smith, setiausaha keselamatan dalam negeri UK telah menegaskan bahawa beliau tidak tahu menahu mengenai perkara tersebut. Setiausaha kerajaan bayangan (shadow home secretary), David Davis menempelak kenyataan Jaqui yang sepatutnya bertanggung jawab di atas perkara tersebut.


Jack Straw

Khan, mantan peguam hak asasi manusia telah menjadi mangsa intipan tersebut ketika beliau melawat rakan sepersekolahannya, dan juga warga di dalam kawasan parlimennya di penjara Woodhill di Milton Keynes. Babar Ahmad telah ditahan di atas tuduhan menjadi pengendali web yang mempunyai kaitan dengan al-Qaida pada tahun 2003 di bawah akta menanggani keganasan (Terrorist Act). Pihak yang terlibat walau bagaimanapun mengatakan bahawa intipan tersebut tidak menjadikan Khan sebagai subjek intipan mereka, tetapi Babarlah subjek mereka.

Banyak pihak yang membantah alasan pihak keselamatan. Ramai yang mengaitkan tindakan tersebut dengan sikap prejudis mereka terhadap Khan yang sering muncul sebagai peguam hak asasi kepada golongan yang dianiaya oleh pihak keselamatan, terutamanya di kalangan golongan minoriti. Khan, walaupun dari parti pemerintah, namun merupakan seorang yang vokal menentang beberapa dasar luar kerajaan berkait isu perang di Afghanistan, perang di Iraq dan juga beberapa isu dalaman yang dilihat sebagai diskriminasi.

MP Sadiq Khan

Isu yang menjadi perhatian ialah, apakah intipan tersebut kerana Khan seorang Muslim?, apakah sikap prejudis terhadap warga Muslim tidak mengenal batasan?, hatta kepada seorang ahli parlimen?

Lebih dahsyat lagi, Khan juga merupakan anggota whip parti pemerintah (buruh). Maknanya, kedudukan beliau sebagai anggota parti pemerintah tidak memberikan apa-apa makna hanya kerana beliau seorang Muslim. Agak ironis, kerana bukan sekali Khan menegaskan, “I am the MP for Tootings and not the MP for Muslims!!!” (Saya merupakan Ahli Parlimen kawasan Tooting dan bukannya Ahli Parlimen mewakili kaum Muslim (semata-mata)”. Fenomena yang mutakhir ini, Khan takuti akan menguatkan hujah golongan Muslim ekstrimis yang sedari awal menantang penyertaan Khan ke dalam parti pemerintah. Khan menegaskan juga bahawa tindakan pihak keselamatan hanya akan memberikan kemenangan kepada golongan ekstrimis yang sentiasa prejudis dengan pemerintah dan juga bersikap skeptik dengan segala usaha demokrasi.

Seorang ahli House of Lord beragama Islam, Lord Nazir Ahmad telah membuat bantahan yang sama. Beliau mendakwa, bahawa dirinya juga pernah menjadi mangsa intipan yang tidak beretika oleh pihak keselamatan semenjak tahun 2001 lagi. Beliau yang dikenali sebagai penentnag polisi luar UK berkaitan perang di Afghanistan mendakwa beberapa perbualannya dengan wartawan Daily Jang telah diintip oleh pihak keselamatan. Dakwanya lagi, beberapa perbualan beliau di dalam usahanya untuk mempertemukan pemerintah Pakistan, Jen Pervez Musharraf dengan kerajaan UK juga pernah diintip oleh pihak keselamatan.

Keindahan lanskap politik UK nampaknya telah dicemari oleh sikap perkauman dan juga Islamiphobia. Prinsip “Equality for All” yang sering dilaung-laungkan, nampaknya hanya palsu dan rapuh. Mungkin dasar good governance mereka perlu lebih menonjolkan prinsip “kemajmukan” dan “kesatuan”, dan benar-benar menjulang prinsip “Rule of Law”...


Lord Nazir Ahmad