Undang-Undang Syariah di UK?
Ketua Biskup (Archbichop of Canterbury) gereja England, Dr Rowan Williams kini telah menjadi papan sasar para pengkritik. Tidak keterlaluan jika dikatakan semenjak beliau membuat kenyataan penuh kontreversinya mengenai undang-undang Syariah, beliau kini menjadi bahan perbualan dan kutukan kebanyakan rakyat UK. Kenyataan tokoh Kristian lulusan Oxbridge di hadapan 1000 orang peguam pada Isnin, 4 Februari 2008 yang lalu itu telah membuka ruang kepada umum untuk membelasahnya. Bukan setakat Williams, malah agama Islam juga telah menjadi mangsa kecaman, kritikan dan cacian secara berleluasa di dalam media-media arus perdana UK. Bukan sekadar akhbar-akhbar yang mempunyai kredebiliti sahaja turut membuka ruang kritikan, malah akhbar-akhabr picisan juga tidak ketinggalan di dalam membantai biskup tersebut dan juga agama Islam yang sering disifatkan sebagai agama pengganas dan menindas kaum wanita.
Seperkara perlu difahami, beliau bukanlah mencadangkan perlaksanaan undang-undang Syariah secara menyeluruh di UK untuk menggantikan undang-undang yang sedia ada. Beliau juga jauh sekali merasakan undang-undang Syariah itu hebat dan baik untuk dilaksanakan seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. Beliau hanya mengatakan bahawa undang-undang Syariah berkaitan kekeluargaan dan urusan kewangan tidak dapat dielakkan untuk diamalkan oleh warga UK yang beragama Islam. Beliau juga menafikan sokongannya terhadap sesetengah undang-undang Islam yang disifatkan oleh beliau sebagai melanggar hak asasi manusia. Beliau hanya memberikan contoh mahkamah kekeluargaan Yahudi, Beth Din yang diiktiraf oleh undang-undang UK untuk dijadikan sebagai landasan kepada kaum Muslimin untuk mendapatkan hak yang sama. Jika hak istimewa telah diberikan kepada warga UK beragama Yahudi, mengapa hak yang sama tidak boleh diberikan kepada warga Muslim yang jauh lebih ramai di UK?
Para Rabbi Yahudi di Beth Din Beliau menegaskan pendiriannya dan juga haknya untuk memberikan pendapat yang dianggap sensitif itu di dalam mesyuarat Synod (mesyuarat tertinggi gereja England) pada 11 Februari 2008. Beliau juga menegaskan bahawa pendapat beliau itu adalah berdasarkan keperluan masyarakat UK untuk bersikap toleransi dan meraikan kepelbagaian yang wujud di dalam negara tersebut. Seperti yang pernah ditegaskan sebelum itu, di dalam mesyuarat tersebut, beliau sekali lagi menekankan bahawa yang dikatakan sebagai undang-undang Syariah hanyalah undang-undang kekeluargaan Islam yang digunakan untuk menyelesaikan masalah kekeluargaan di antara kaum Muslimin yang berjumlah lebih 1.8 juta di UK. Beliau berpendapat bahawa pendapatnya itu tidak sekali-kali bermaksud untuk menjadikan undang-undang Syariah setaraf dengan undang-undang yang sedia ada.
Di sebalik pelbagai kecaman dan kritikan, beliau juga menerima sokongan. Tatkala akhbar Sun melancarkan kempen untuk meminta beliau dipecat dari jawatannya, kaum Muslimin dari pelbagai pertubuhan tampil menyokong sikap terbuka Williams. Tatkala mantan ketua biskup gereja England, Lord Carey mengecam Williams, Cardinal Cormac Murphy O’Connor, pemimpin gereja Roman Katolik tampil membela hak Williams untuk menyuarakan pendapatnya. O’Connor membidas sikap sesetengah golongan terutamanya media yang tidak mahu memahami dahulu maksud ketua biskup berkenaan dan terus menghukumnya. Seorang paderi, Reverand Giles Fraser yang menjawat jawatan Vicar of Putney, ketika ditemuramah oleh radio 4 BBC, menyifatkan tindakan media dan pelbagai pihak yang mengecam Williams itu sebagai anjing-anjing yang menyalak. Beliau melahirkan kekecewaannya terhadap sikap masyarakat UK yang menghukum dahulu dan kemudian baru cuba untuk menyelidiki.
Di kalangan para politikus dan para ahli parlimen pula, reaksi yang pelbagai dapat dilihat. PM Gordon Brown cuba bersikap neutral dengan memuji kredebiliti Williams, tetapi di dalam waktu yang sama menegaskan sebarang undang-undang di UK hendaklah berteraskan nilai British, dan kerajaan tidak pernah merancang untuk melaksanakan undang-undang Islam di mana-mana peringkat sekalipun. Bagi sesetengah pihak yang lain pula, kenyataan Williams telah dijadikan peluang untuk mereka menghina Islam secara terbuka. Lebih mengaibkan, ramai di kalangan para pengkritik yang tidak dapat membezakan di antara adat dan juga undang-undang Syariah. Adat-adat yang tiada kena mengena dengan Islam seperti kahwin paksa yang diamalkan di Pakistan dan juga adat Sati yang diamalkan oleh kaum Hindu di India telah dijadikan contoh kepada undang-undang Syariah.
Malah jika dibenarkan perlaksanaan undang-undang kekeluargaan Syariah di UK sekalipun, apakah umat Islam di UK bersedia. Kegagalan dan tidak efisiennya mahkamah Syariah di beberapa negara Islam wajar dijadikan pengajaran. Janganlah nanti kesilapan dan kelemahan para pegawai dan penjawat mahkamah Syariah akan menjadikan fitnah lebih besar lagi kepada agama Islam. Setakat ini, Islam yang berteraskan budaya Indo-Pakistan merupakan Islam yang cuba ditonjolkan oleh masyarakat Muslim UK. Apakah nanti budaya dan juga ijtihad-ijtihad dari benua India itu juga yang akan dijadikan dasar kepada mahkamah Syariah di UK?
Muslim di UK mengadakan demo Walau apapun reaksi yang diberikan, ternyata dua perkara akan jelas tertonjol lewat isu ini. Pertamanya, sikap Islamiphobia di kalangan rakyat UK merupakan sesuatu yang pasti. Ketakutan mereka kepada istilah Syariah bukan lagi sesuatu yang hipotesis, malah ianya telah menjadi hukum yang muktamad. Kenyataan ketua biskup itu seolah-olah menyorongkan bantal kepada orang yang mengantuk dan juga memberikan bola tanggung kepada mereka yang mempromosikan Islamiphobia di UK. Media-media diwarnai oleh kenyataan, pandangan dan juga kritikan-kritikan golongan ini, samada dari kalangan non-Muslim dan Muslim yang mendakwa diri mereka sebagai liberal. Selama berhari-hari, Islam dan undang-undang Islam menjadi bahan kecaman. Malah malaikat Jibril dan Nabi Muhammad SAW pun turut menjadi mangsa kritikan golongan ini.
Perkara yang kedua tertonjol ialah lobi kaum Muslimin di UK masih belum di tahap yang memuaskan. Reaksi negatif yang ditonjolkan oleh masyarakat, terutamanya oleh media menunjukkan bahawa masyarakat dan media lebih dicorakkan oleh kem yang anti-Islam. Kemunculan kritikan dan kecaman terhadap Islam, undang-undang Islam dan kaum Muslimin di dalam media-media membuktikan kegagalan kaum Muslimin Uk di dalam membina jambatan persefahaman dengan pihak bukan Islam. Kehebatan lobi Yahudi dan Zionis patut dipelajari. Mengapakah Beth Din (mahkamah kaum Yahudi) dibenarkan di UK, dan tidak pula mendapat tentangan dari warga UK?
Islamphobia Walau bagaimanapun, antisipasi sang biskup telah mededahkan tumit Archiles masyarakat Britain yang beriman dengan prinsip liberal demokrasi seperti yang diungkapkan oleh salah seorang kolumnis akhbar The Independent, Johhan Hari. Jikalau di negara-negara Islam, pihak barat sering menempelak sikap sesetengah kerajaan yang tidak menghormati hak golongan minoriti, di dalam kes UK ini, bukan sekadar hak minoriti tidak dihormati, malah mereka bersikap prejudis dan mendiskriminasi. Mengapakah objektif cadangan Williams tidak diteliti, iaitu untuk menjamin perpaduan dan menghormati hak golongan minoriti?
Mungkin inilah yang dikatakan oleh mendiang pemikir Edward Said, golongan barat hanya inginkan nilai mereka sahaja yang difahami oleh orang timur, tanpa mereka mahu memahami dan mengiktiraf nilai-nilai orang timur...
Salam,
ReplyDeleteGolongan Muslim yang beriman dengan Allah sebagaimana digariskan dalam al-Quran dan sunnah sekarang adalah minoriti yang juga ada hak untuk mempraktikkan Islam secara total dalam kebulatan mereka. Golongan Muslim fasiq dan skeptik akan tetap meliuk lentuk dengan hembusan angin syaitan2 mereka. Sungguh hati2 mereka berpenyakit dan Allah akan terus menambahkan penyakit mereka. Golongan kafir terus tertutup hati2 mereka. Sungguh org2 mukmin adalah bersaudara, tetapi tidak semua Muslim bersaudara.
WA.