Thursday 28 February 2008

Akauntabiliti dan Ketelusan di bumi Kuffar



Akauntabiliti dan Ketelusan di bumi Kuffar

Isu skandal Derrek Conway telah menjadi titik perubahan di dalam unsur akauntabiliti dan ketelusan politik di UK. Bukanlah kedua-dua unsur tersebut tiada di UK sebelum ini, tetapi tahap perlaksanaannya menjadi lebih serius. Jika hendak dibandingkan tahap akauntabiliti dan ketelusan di UK dengan di negara-negara Islam, sudah tentu ibarat langit dengan bumi. Isu tersebut juga menunjukkan betapa keluhuran undang-undang (rule of law) juga begitu jelas menjadi prinsip tadbir urus negara berkenaan. Tiada yang kebal dan tiada yang hebat apabila berhadapan dengan undang-undang. Malangnya di negara-negara Islam perkara seperti ini agak kurang berlaku. Inilah padahnya apabila negara-negara Islam ditadbir oleh para diktator dan autokrat.

Pada 28 Februari 2008, kes yang hampir sama berlaku di negara rejim Zionis Israel. Negara penjajah tersebut telah menyaksikan bagaimana mahkamah di Tel Aviv telah menjatuhkan hukuman 7 bulan penjara ke atas Omri Sharon, anak mantan PM rejim berkenaan, Ariel Sharon. Beliau dijatuhkan hukuman tersebut di atas kesalahan menyalah gunakan wang kerajaan untuk tujuan kempen pilihanraya bagi pihak parti Likud pimpinan bapanya pada tahun 1999. Omri (43 tahun), dihadapkan ke mahkamah pada tahun 2005 di atas tuduhan tersebut dan dibuktikan bersalah setelah pihak pendakwaraya berjaya membuktikan kesemua salah guna wang yang telah beliau lakukan (al-jazeera.net, 28/2/2008).


Omri Sharon

Amat menarik, beliau dijatuhkan hukuman walaupun bapanya mantan PM. Beliau dihadapkan ke muka pengadilan walaupun parti Likud merupakan parti yang memerintah pada waktu tersebut. Beliau dijatuhkan hukuman walaupun wang yang beliau jana melalui jalan yang salah itu telah berjaya memenangkan parti pemerintah. Kes ini membuktikan bahawa tahap akauntabiliti, ketelusan dan juga rule of law begitu diamalkan di negara haram tersebut. Agak ironik, di kala mereka bersikap kejam dan zalim menjajah bumi hak milik rakyat Palestin, membunuh rakyat Palestin dan Lubnan, tetapi di dalam hal tadbir urus, mereka begitu mempunyai integriti.



Omri dan Sharon


Lain pula halnya dengan negara-negara Islam. Sudahlah tahap keluwesan berhubung pihak pemerintah tidak diamalkan. Ketelusan pula seakan tiada. Rule of Law pula memilih kasta dan memilih bulu. Pihak pemerintah menjadikan kedudukan yang ada untuk menjana kekayaan yang sepatutnya menjadi hak milik rakyat. Pihak pemerintah menjadi begitu kebal di hadapan undang-undang. Malang lagi, undang-undang dicipta untuk melindungi para diktator dan aparat mereka. Chapra (2008) telah menegaskan bahawa pengamalan tadbir urus yang buruk inilah yang telah membawa kepada kemunduran dan kelemahan umat Islam. Beliau telah membawa indeks-indeks berkaitan tadbir urus antarabangsa, ternyata negara-negara Islam menduduki tangga yang paling teruk berhubung isu tadbir urus. Mereka hanya menduduki tempat teratas di dalam indeks-indeks berkaitan dengan rasuah dan penyalah gunaan kuasa sahaja.

Hal ini mengundang kita untuk memikirkan isu Putera Bandar dari Arab Saudi berhubung skandal pembelian jet pejuang Tornado dan Hawk dari UK. Beliau yang bertanggungjawab membeli jet-jet pejuang tersebut dari syarikat persenjataan BAE di UK telah menerima rasuah untuk kontrak tersebut. Beliau juga telah mendapat habuan £1 billion yang telah dimasukkan ke dalam akaun peribadinya. Rasuah seumpama ini merupakan satu kesalahan di dalam undang-undang di bumi UK. Maka pada Julai 2004, “Serious Fraud Office” (SFO) yang merupakan tribunal penyiasatan berhubung skandal-skandal besar di UK telah memulakan penyiasatannya. Malangnya, ketika SFO hampir berjaya mendapatkan bukti dari akaun putera tersebut dari Swiss Bank pada tahun 2006, PM Britain pada waktu tersebut, Tony Blair telah mendesak supaya siasatan tersebut dihentikan (The Guardian UK, 15/2/2008).

Dari tarikh 19 November 2006 sehingga 1 Disember 2006, kerajaan Saudi telah mengugut kerajaan UK agar menghentikan siasatan SOF. Ancaman untuk memutuskan hubungan diplomatik telah dijadikan senjata utama mereka. Akhirnya pada 14 Disember 2006, penyiasatan CFO telah menemui penghujung anti klimaksnya. Blair memberikan alasan keselamatan rakyat Britain adalah lebih utama dan menjadi pendorong utama siasatan tersebut dihentikan. Tindakan tersebut telah mengundang perasaan tidak puas hati ramai pihak yang melihat ianya sebagai mencabuli prinsip undang-undang dan juga prinsip akauntabiliti yang menjadi teras tadbir urus kerajaan di UK (The Guardian, 14/12/2006).


Putera Bandar

Keadaan menjadi lebih memalukan apabila Blair mendedahkan sebab utama penyiasatan dihentikan. Putera Bandar yang merupakan menteri keselamatan di dalam negeri Arab Saudi telah menggugut untuk tidak bekerjasama di dalam isu keganasan. Beliau menggugut untuk tidak memberikan maklumat berkaitan kegiatan pengganas di UK yang diperolehi oleh kementeriannya. Beliau telah menggugut Blair bahawa kejadian pengeboman 7 Julai akan berulang lagi, dan para pengganas akan berleluasa di jalan-jalan seluruh Britian jika pihak Arab Saudi tidak membekalkan maklumat-maklumat berkenaan. Berhadapan dengan keadaan sebegini, Blair memilih untuk tidak memperjudikan nasib rakyatnya. Maka beliau telah berjaya mendesak SOF untuk menghentikan siasatan mereka. Pada Februari 2008, kumpulan anti-rasuah telah mencabar keputusan tersebut dan mendesak agar SOF meneruskan kembali siasatan mereka.

Bukan sahaja beliau telah memberikan imej yang buruk tentang sikap pemerintah di negara Islam, lebih malang lagi beliau mengiyakan bahawa sememangnya Arab Saudi adalah negara yang dipenuhi pengganas. Beliau juga telah berjaya menimbulkan paranoia di kalangan rakyat UK bahawa warga Arab Saudi di UK merupakan golongan yang berpotensi untuk menjadi pengganas. Lebih mengecewakan lagi, kes ini ditimbulkan semula ketika UK dihangatkan dengan isu cadangan perlaksanaan undang-undang Syariah berkaitan nikah kahwin oleh ketua biskop gereja England, Dr Rowan Williams. Bagi masyarakat non-Muslim di UK yang naif pastinya mereka akan berfikir inilah Syariah yang ingin diamalkan di UK! Syariah ala-Saudi, ataupun Syariah ala-korupsi!

Ternyata sekali isu tadbir urus merupakan ruang subur yang perlu diterokai oleh gerakan Islam demi memperhebatkan usaha Islah di muka bumi Allah ini.

No comments:

Post a Comment