Lawan Macam Anak Jantan!
Bahang pemilihan calon presiden untuk parti demokrat di AS semakin dirasakan oleh penduduk dunia. Mungkin isu “Global Warming” (kepanasan global) pun tidak sepanas persaingan di antara Senator Barrack Obama dan Senator Hillary Clinton. Bagi warga UK, liputan mengenai isu pemilihan calon presiden ini kadangkala berjaya menenggelamkan isu politik tempatan. Rakyat golongan pertengahan lebih ghairah berbincang mengenai Obama dan Clinton berbanding Gordon Brown (PM Great Britain sekarang) dan David Cameron (pemimpin parti konservatif sekaligus ketua pembangkang di House of Common UK).
Hal ini telah berjaya menarik perhatian pemimpin muda parti konservatif tersebut. David Cameron, yang sering dilihat sebagai bakal PM Britain telah membuat cabaran ke atas Brown untuk mengadakan debat terbuka di televisyen (The Independent, 28/2/2008). Beliau mengambil contoh apa yang berlaku di AS sebagai kayu ukurnya. Beliau telah mencabar Brown agar mengadakan siaran langsung perdebatan di antara ketua-ketua parti politik di UK pada pilihanraya umum akan datang. Walau bagaimanapun cabaran beliau telah ditolak oleh Brown. Bukan kerana Brown takut ataupun tidak telus, tetapi siaran langsung soal jawab PM di parlimen secara mingguan telah cukup untuk rakyat menilai kemampuan ahli-ahli parlimen dan juga PM mereka. Sememangnya apa yang menarik di UK ialah siaran langsung perdebatan ahli-ahli parlimen di House of Common boleh disaksikan oleh rakyat jelata. Kesimpulannya, samada gaya AS ataupun gaya UK, kedua-dua negara mempunyai tahap ketelusan yang tinggi di dalam berpolitik.
Hal inilah yang tidak dapat dinikmati oleh rakyat yang menghuni negara-negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam. Rakyat Malaysia yang bernaung di bawah pemerintahan Islam Hadhari pun tidak ketinggalan tidak dapat menikmati nikmat ketelusan ini. Rakyat jelata tidak dapat melihat sejauhmana hebatnya ahli parlimen yang mereka pilih pada setiap kali pilihanraya. Jika adapun, sekadar sedutan-sedutan perbahasan parlimen yang telah dipotong mengikut kesesuaian pihak-pihak tertentu untuk ditayangkan kepada umum. Ibarat adengan lucah yang dipotong oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF), begitu juga dengan rakaman perbahasan parlimen di Malaysia. Hanya ucapan belanjawan negara sahaja yang boleh dinikmati secara langsung dari parlimen.
Bagaimana pula dengan perdebatan secara terbuka di antara ketua parti-parti politik menjelang PRU seperti yang berlaku di AS?, jauh panggang dari api!
Cuba gambarkan, jika semua ketua parti-parti politik pemerintah dan pembangkang di Malaysia dihimpunkan di dalam satu siaran langsung untuk membahaskan manifesto parti masing-masing. Kemudiannya berlaku soal jawab di antara mereka sesama sendiri dan juga para penonton. Bukankah itu lebih telus, lebih profesional dan lebih bertamadun?
Cara yang sedemikian akan memberikan ruang yang lebih kepada rakyat untuk membuat pertimbangan yang adil dan lebih bijak. Barulah intelektual rakyat jelata tidak diperlekehkan. Malangnya, mungkin kerana rakyat Malaysia masih tidak boleh berfikir dengan rasional menurut perkiraan sesetengah pihak, maka perbahasan dan perdebatan sedemikian tidak boleh dilakukan di Malaysia. Malang lagi jika ada Pak Menteri yang cerdik pandai memberikan alasan bahawa rancangan sedemikian akan mengancam keselamatan negara. Lebih haru lagi jika ada alim ulama yang akan mengatakan rancangan sedemikian tidak Islamik dan tidak pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW, maka ianya dilarang.
Bagi golongan Muslim yang non-Syiah, rancangan sedemikian bukanlah sesuatu yang pelik. Saat kewafatan Rasulullah SAW, umat Islam pernah berkumpul di Saqifah Bani Saidah. Di sana Saad bin Ubadah selaku wakil golongan Ansar dan juga Abu Bakar selaku wakil golongan Muhajirin telah mengemukakan pendapat masing-masing mengenai siapakah yang paling layak untuk menjadi pemimpin umat Islam sesudah Rasulullah SAW. Dialog di antara kedua-dua sahabat Nabi ini telah dirakamkan secara terperinci di dalam magnum opus al-Tabari yang dinamakan sebagai Tarikh al-Tabari. Malah bukan hanya mereka berdua yang terlibat di dalam dialog terbuka tersebut, Umar, Abu Udaidah ibn al-Jarrah dan Basyir bin Saad dari golongan Ansar juga turut terlibat. Perhimpunan dan perdebatan tersebut berakhir dengan pemilihan Abu Bakar sebagai khalifah kaum Muslimin menggantikan Rasulullah SAW (al-Tabari, j. 3, hal. 42).
Saqifah Bani Saidah di Madinah sekarang
Tidak kisahlah samada ianya pernah dilakukan oleh para sahabat ataupun tidak, yang pentingnya rancangan sedemikian mempunyai keuntungan (maslahah) kepada kaum Muslimin. Rancangan seumpama itu juga bertepatan dengan konsep shura yang amat-amat ditekankan oleh Islam. Shura yang paling berkesan ialah shura terbuka di mana setiap anggota masyarakat boleh terlibat di dalam memberikan pilihan mereka. Program seumpama ini akan memberikan peluang kepada rakyat untuk berfikir, membuat penilaian dan akhirnya memberikan pilihan yang rasional dan tepat. Malangnya apabila ketelusan dan keterbukaan seperti ini tiada, umat Islam akan berterusan dipimpin oleh golongan yang tidak benar-benar mewakili mereka. Akhirnya mereka berterusan ditipu, dizalimi dan juga diperdayakan oleh golongan yang mempunyai kepentingan peribdai di dalam memimpin negara. Hal ini telah disinggung oleh Pierre (2000) di dalam Governance, Politics and the State. Beliau telah memberikan fenomena negara-negara yang mundur dan lemah adalah disebabkan oleh para pemimpin diktator yang hanya menjadikan peluang berada di tampuk kekuasaan untuk menjana keuntungan peribadi dan parti yang dipimpinnya sahaja.
Mengharapkan suasana demokrasi yang subur model AS ataupun model UK berlaku di negara-negara Arab, mungkin adalah sesuatu yang mustahil di dalam tempoh yang terdekat ini. Rekod pencabulan hak asasi manusia, pencabulan kebebasan dan juga prinsip-prinsip demokrasi teramat tinggi di negara-negara di rantau berkenaan (http://info.worldbank.org/governance/wgi2007/). Di Malaysia, walaupun ianya tidak mungkin berlaku di dalam tempoh terdekat tetapi tidak mustahil ianya boleh dilaksanakan di masa akan datang. Tahap pemikiran rakyat perlulah dipertingkatkan agar mereka boleh berfikir menjangkaui batasan geografi yang membelenggu otak mereka. Peranan gerakan masyarakat sivil juga perlulah diperhebatkan untuk memberikan nuansa baru kepada rakyat agar pendapat umum (public opinion) mendorong ke arah ketelusan yang lebih di dalam tadbir urus kerajaan. Konsep penyertaan rakyat (people’s participation) di dalam tadbir urus negara perlulah ditingkatkan. Mungkin beberapa contoh dari UNDP dan House of Freedom boleh dijadikan kayu ukur.
Mungkin telah sampai masanya gerakan Islam juga turut bersama menggembeleng usaha membentuk pendapat umum ini. Anjakan paradigma dari membincangkan persoalan negara utopia yang ingin dibina kepada wacana tadbir urus yang lebih baik dan adil perlu dilakukan. Mungkin peranan masyarakat sivil ala-Gramci perlu dirombak dan diwarnai dengan warna baru oleh gerakan Islam di Malaysia. Selain berusaha membentuk elemen spiritual di dalam masyarakat,gerakan-gerakan Islam juga perlu mendidik rakyat berkaitan hak dan tanggung jawab mereka. Bukankah misi Islam itu adalah untuk menjadi rahmat kepada sekelian alam (al-Quran, 21:107)?
Two thumbs up bro!
ReplyDeleteMaszlee
(Itu sudah jadi ala-USA)