Thursday 14 February 2008

Perang Israel-Hizbullah: Siri Ke-3?


Perang Israel-Hizbullah: Siri ketiga?

Kompleks ‘Sayyid al-Syuhada’ di bahagian selatan Lubnan telah dibanjiri para penyokong Hizbullah pada 14 Februari 2008. Sewaktu koalisi 14 Mac sedang mengadakan perhimpunan memperingati tiga tahun kematian mantan PM Lubnan, Rafiq al-Hariri, para penyokong Hizbullah pula sedang meratapi pengkebumian pakar pemimpin kanan Hizbullah, Imad al-Mughniyyah yang telah mati terbunuh di dalam satu letupan bom di Syria. Pelbagai pihak menunding jari ke arah Mossad, agen perisikan rejim Zionis Israel sebagai dalang utama letupan tersebut. Mossad yang terkenal dengan operasi pembunuhan para pejuang Palestin dan Lubnan di luar negara, walau bagaimanapun menafikan penglibatan mereka.


Tentera Hizbullah

Di majlis pengkebumian yang dihadiri oleh puluhan ribu penyokong Hizbullah itu, setiausaha agung kumpulan berkenaan, Syed Hassan Nasrullah telah mengiystiharkan peperangan terbuka terhadap rejim Zionis Israel. Majlis yang turut dihadiri oleh menteri luar Iran itu telah menyaksikan bagaimana Syed Hassan Nasrullah telah mengutuk tindakan rejim Zionis, dan mengatakan bahawa darah Mughniyyah akan mengalir ke bumi Israel dan menghapuskan rejim berkenaan. Beliau juga mengisytiharkan bahawa peperangan baru telah bermula. Nasrullah telah menaikkan semangat para penyokongnya untuk bangkit berjihad dengan mengingatkan mereka terhadap kemenangan mereka mengalahkan tentera rejim pada peperangan musim panas (summer war) tahun 2006 yang lalu. Seruan beliau telah disambut dengan sorakan dan pekikan melanungkan namanya sebagai sahutan untuk berjihad.

Imad Mughniyyah, ataupun yang dipanggil oleh Nasrullah dengan nama sebenarnya, Haji Ridhwan merupakan pakar strategik dan komandan senior di dalam Hizbullah. Beliau disifatkan sebagai ‘otak’ kepada Hizbullah semenjak pre-penubuhan gerakan tersebut lagi. Beliau dikatakan sebagai perancang kepada pengeboman kedutaan AS, kompleks tentera AS dan juga kompleks tentera Peranchis di Lubnan pada tahun 1992. Pengeboman yang telah meragut nyawa lebih 350 tentera AS dan Peranchis itu telah menyebabkan AS tidak lagi berani menempatkan tentera mereka di bumi Lubnan. Beliau juga dikaitkan dengan pengeboman kedutaan rejim Zionis Israel di Buenos Aries, Argentina. Beliau juga dikenal pasti sebagai perancang kepada semua serangan yang dilancarkan oleh Hizbullah ke atas kepentingan AS dan tentera asing di bumi Lubnan.


Imad Mughniyah

Nama beliau menjadi lebih terkenal selepas dikaitkan dengan peristiwa rampasan kapal terbang TWA milik AS pada 14 Jun 1985. Seperti yang telah diungkapkan oleh kolumnis akhbar ‘The Independent’, Robert Fisk, beliau juga bertanggung jawab di atas penculikan warga barat di Lubnan sekitar tahun 80’an, di bawah organisasi pre-Hizbullah yang dikenali sebagai Jihad Islamiyy. Antara mangsa penculikan mereka yang terkenal ialah Terry Anderson, wakil badan berita AFP di Beirut. Anderson telah dibebaskan pada tahun 1991, di mana Fisk telah berpeluang untuk mewawancara kedua-dua Mughniyeh dan Anderson mengenai penculikan tersebut. Mughniyah memberitahu Fisk bahawa tindakan mereka adalah sebagai reaksi kepada tindakan rejim Zionis memenjarakan lebih 5,000 rakyat Lubnan di kem Ansar, selatan Lubnan sewaktu rejim tersebut menawan Lubnan pada tahun 1982.

Tidak hairanlah Mughniyah menjadi buruan kedua-dua agen CIA dan Mossad. Beliau juga tersenarai di dalam senarai pengganas yang paling dikehendaki oleh kesatuan Eropah (EU). Malah habuan sebanyak lima juta dollar AS ditawarkan kepada sesiapa yang dapat menangkap Mughniyyah samada hidup ataupun mati. Beberapa percubaan membunuh dan menangkap beliau telah dilakukan oleh Mossad dan CIA pada tahun 90’an. Kesemuanya menemui kegagalan kerana kelicikan beliau. Di dalam setiap percubaan yang gagal tersebut, nyawa ahli keluarga Mughniyah sering menjadi mangsa. Walau bagaimanapun, pengeboman yang meragut nyawa beliau ini merupakan kejayaan besar bagi mana-mana pihak yang ingin menghapuskan beliau. Pembunuhan terancang di luar Israel bukanlah sesuatu yang asing bagi Mossad. Para pimpinan PLO, Fedaeyen, Jihad Islamiyy (Palestin), PFLP, dan lain-lain pertubuhan yang memperjuangkan kemerdekaan bumi Palestin telah banyak telah dibunuh oleh Mossad di luar Palestin semenjak tahun 70’an lagi. Seperti kata Bruce Riedel dari Brookings Institute, kebanyakan bukti lebih berat menunjukkan bahawa rejim Zionis merupakan pihak yang bertanggung jawab di dalam pembunuhan pada 12 Februari 2008 di kota Damsyiq Syria tersebut.

Kotak Pandora telah pun dibuka. Kini Hizbullah telah mengiystiharkan peperangan terbuka kepada rejim Zionis Israel. Kenyataan Nasrullah, seperti yang telah dirakamkan oleh stesyen Televisyen al-Jazeera dan al-Manar milik Hizbullah, meminta dunia menjadi saksi bahawa Hizbullah telah memalukan gendang perang mereka sebagai serangan balas di atas kematian Mughniyeh. Apakah ini bermakna bermulanya siri peperangan ketiga di antara rejim Zionis Israel dengan Hizbullah. Jika yang sedemikian, apakah peperangan kali ini juga akan menyaksikan kekalahan di pihak rejim sepertimana siri peperangan yang pertama dan kedua?


Kabinet rejim Zionis bersidang

Jika peperangan siri pertama telah menyaksikan pihak Hizbullah telah berjaya memerdekakan selatan Lubnan dari penjajahan Zionis, peperangan siri kedua pula menyaksikan tentera rejim telah dikalahkan dengan teruk di dalam peperangan 34 hari pada Julai 2006. Kekalahan tentera rejim diakui sendiri oleh mereka melalui laporan suruhanjaya Winograd pada 30 Januari 2008 di Baitul Maqdis. Laporan tersebut juga telah memaksa PM rejim, Ehud Olmert agar meletakkan jawatannya kerana kelemahan beliau mengendalikan peperangan berkenaan. Apakah kesan peperangan siri ketiga ini pula?, Apakah Hizbullah akan melaksanakan peperangan di luar bumi Lubnan pula? Peperangan terbuka yang dimaksudkan oleh Nasrullah lebih cenderung membawa makna tersebut. Apakah mungkin peristiwa pengeboman kedutaan Israel di Buenos Aries pada 17 Mac 1992 oleh Hizbullah akan berulang lagi? Apakah pada kali ini lebih banyak lagi kedutaan Israel di seluruh dunia akan menjadi sasaran?

Seperkara yang pasti, keadaan warga Israel tidak akan lagi sama di dalam dan di luar Israel selepas ini. Setiap individu Israel pastinya akan merasakan bumi bukan lagi tempat yang selamat untuk mereka diami. Mahu ataupun tidak mahu, itulah harga sebuah penjajahan yang terpaksa dibayar oleh mereka. Selagimana perkataan kemerdekaan dan kebebasan itu wujud di dalam kamus kehidupan manusia bertamadun, selagi itulah penjajah Zionis akan sentiasa menemui harga yang terpaksa mereka bayar.


Tentera Zionis pulang dari Lubnan dengan kekalahan

No comments:

Post a Comment