Friday, 15 February 2008

Lubnan: Iraq ke-2


Lubnan: Iraq kedua?

Pada 14 Februari 2008, Lubnan menyaksikan dua perarakan besar. Perarakan pertama di dataran Syuhada di mana mantan PM Lubnan Rafiq al-Hariri terbunuh, dan juga perarakan di untuk mengkebumikan Imad Fayez Mughniyeh, pejuang veteran Hizbullah. Perarakan yang pertama disambut oleh kumpulan Mac 14 pro-Hariri, manakala perarakan kedua pula disertai oleh para pejuang Hizbullah. Mantan PM tersebut telah terbunuh hasil letupan bom seberat 1000 KG di hadapan hotel St George, di Beirut pada 14 Februari 2005. Mughniyeh pula terbunuh di dalam satu letupan bom ke atas keretanya di ibu kota Syria,Damsyik pada 12 Februari 2008.

Kumpulan 14 Mac merupakan gabungan gerakan ‘Mustaqbal’ (masa depan) yang diketuai oleh anak Saad al-Hariri (anak mantan PM), puak Druz yang diketuai oleh Walid Jumblat (pemimpin parti Soasialis Progresif) dan juga kumpulan Lebanese Force dari puak Kristian Maroni yang diketuai oleh Samer Geagea (mantan komandan kumpulan Kristian Phalangist yang merupakan sekutu Israel). Kumpulan ini merupakan suara majoriti di dalam parlimen Lubnan dan merupakan kerajaan yang berkuasa pada hari ini dengan menguasai 68 kerusi daripada keseluruhan 128 kerusi parlimen. Mereka lebih dikenali sebagai sekutu Amerika Syarikat dan Peranchis di bumi Lubnan. Kumpulan ini muncul sebagai reaksi kepada pembunuhan Hariri dan sebagai manifestasi anti-Syria yang pernah menempatkan tentera mereka dan menguasai suasana politik di Lubnan dari tahun 1976 sehingga tahun 2005.


Saad Hariri dan Bush


Saad - Gaegae - Jumblat

Kumpulan Hizbullah pula merupakan kumpulan politik bersenjata yang paling menonjol di Lubnan, dan merupakan anggota koalisi pembangkang yang menamakan diri mereka sebagai ‘Koalisi 8 Mac’. Walaupun parti pembangkang yang paling banyak menduduki kerusi di parlimen adalah parti Amal (Syiah) dan kumpulan nasionalis bebas (Tayyar al-Watani al-Hurr) mewakili juga Kristian Maroni, namun hizbullah lebih menonjol berbanding kedua-dua rakan koalisi mereka. Selain daripada struktur organisasi mereka yang tersusun, ekonomi kendiri yang mantap, mereka juga merupakan satu-satunya gerakan politik yang mempunyai ketenteraan dan persenjataan yang paling lengkap di Lubnan. Di kalangan kaum Syiah di Lubnan. Hizbullah merupakan parti yang dominan dan yang paling tersusun struktur kerja-kerja sosial dan rekrutmennya. Mereka sering dikaitkan dengan negara Syria dan negara Iran yang dituduh oleh Amerika Syarikat dan Israel sebagai penaja utama kumpulan tersebut.


Demo kumpulan 8 Mac

Nasrullah, Pemimpin Hizbullah

Semenjak pembunuhan Rafiq Hariri yang dikaitkan dengan kumpulan ekstrimis dan sesat al-Ahbash (juga dikenali sebagai Jam’iyyah al-Mashari’ al-Khayriyah), siri-siri pembunuhan ahli parlimen dan menteri kumpulan 14 Mac bertali arus. Dari asal 72 kerusi parlimen yang mereka kuasai, kini hanya tinggal 68 sahaja. Antara yang paling ketara ialah pembunuhan menteri muda dari Parti Kataeb kaum Kristian Maroni, Piere Amine Gemayel pada 21 November 2006. Pelbagai siri cubaan membunuh anggota parlimen dari kumpulan ini juga turut berlaku. Siri pembunuhan dan percubaan membunuh ini dikaitkan langsung dengan Syria, memandangkan kebanyakan yang terbunuh dan yang cuba dibunuh merupakan ahli politik yang anti-Syria. Bukan sekadar mereka anti-Syria,malah mereka juga dikenali sebagai yang paling vokal di dalam parlimen dan media di dalam melahirkan pendirian mereka.

Bagi pihak pembangkang (8 Mac) yang pro-Syria,mereka menafikan penglibatan Syria dan menundingkan jari mereka ke arah rejim Zionis Israel dan juga Amerika Syarikat. Mereka menuduh agen-agen Mossad dan CIA merupakan dalang di sebalik onar tersebut, dan mengaitkannya dengan usaha untuk menekan Syria untuk kemaslahatan rejim Zionis. Michel Aoun, pemimpin pembangkang dari kaum Kristian Maroni pula menuduh kwujudan unsur asing yang cuba memecah belahkan kaum Kristian di Lubnan. Pengalaman pahit peperangan saudara Lubnan selama 15 tahun (1975-1990) telah mengajar mereka agar lebih berhati-hati dan tidak mengulangi peristiwa hitam tersebut. Agak menarik, jika di zaman Rafiq Hariri, beliau kelihatan agak tegas di dalam isu rejim Zionis, dan tidak bersikap ekstrim berhubung isu Syria. Kematian beliau melihatkan pendirian yang agak berbeza oleh anaknya, Saad dan juga kumpulan 14 Mac. Bukan hanya mereka dilihat sebagai anti-Syria, malah sikap mereka begitu lunak terhadap AS dan agak berkecuali di dalam isu rejim Zionis. Malah ramai yang tertanya-tanya mengenai sikap tidak berpihak mereka berhubung perang Zionis-Hibullah pada tahun 2006.

Hizbullah pula lebih tertonjol debagai kumpulan yang komited dengan perjuangan menentang penjajahan Zionis. Malah mereka menjustifikasikan hubungan mereka dengan Syria adalah untuk menentang penjajahan Zionis. Situasi terkini di Lubnan bagi mereka, merupakan permainan Zionis dan AS untuk memecah belahkan rakyat Lubnan dan mengheret mereka ke kancah peperangan saudara sekali lagi. Jika berlaku peperangan saudara di Lubnan, maka pihak yang paling beruntung adalah pihak rejim Zionis tanpa syak lagi. Peperangan 34 hari dengan rejim Zionis yang berakhir dengan kekalahan di pihak Zionis menurut laporan Komisi Winograd di Tel Aviv. Hal tersebut telah memaksa para perancang strategi rejim Zionis untuk melakarkan lanskap baru di dalam peperangan mereka dengan Hizbullah. Kekecohan pada awal tahun 2008 di antara puak Syiah dengan pihak tentera, siri pembunuhan dan percubaan membunuh pihak anti-Syria dan juga pembunuhan Imad Mughniyeh di Syria, kesemuanya merupakan formula baru mereka, menurut Hizbullah.


Perang saudara Lubnan 1975-1990

Kesan Perang Saudara Lubnan 1975-1990

Berkaitan pembunuhan Mughniyeh, banyak pihak bersetuju dengan Hizbullah. Bruce Riedel, mantan penasihat presiden AS dan pegawai CIA berkaitan urusan timur tengah selama 30 tahun menegaskan pihak Mossad merupakan perancang utama pembunuhan Mughniyeh. Beliau yang juga merupakan pengarah Saban Centre for Middle Eastern Policy di Brooklyn Institute mengesahkan bahawa Mossad sememangnya memburu Mughniyeh selama hampir 20 tahun. Mereka juga pernah cuba membunuhnya pada tahun 1994 di Beirut yang telah membawa kepada terbunuhnya saudara Mughniyeh, Fuad. Kolumnis akhbar bahasa Yahudi Haarezt, Yossi Melman di dalam analisis beliau menegsahkan juga bahawa Mossad dan CIA telah lama memburu Mughniyeh yang disifatkannya sebagai licik dan begitu cekap. Beliau menyimpulkan, pihak yang telah berjaya membunuh Mughniyeh merupakan pihak yang cekap, bijak dan begitu sofistikated. Di dalam upacara pengkebumian Mughniyeh, Hizbullah menegaskan bahawa mereka akan melancarkan serangan balas ke atas pihak rejim Zionis dengan apa harga sekali pun.


Persoalan yang menjadi perbincangan di media-media di timur tengah sekarang ialah, apakah masa depan Lubnan?, Apakah pergolakan di antara golongan Syiah dengan pihak tentera mutakhir ini akan segera berlalu, ataupun akan mengundang episod baru perang di antara kaum Syiah dengan pihak pemerintah?, Apakah pula tindak balas Hizbullah di atas pembunuhan pakar strategi mereka, Imad Mughniyeh?, Apakah pula muslihat Bush yang mengumumkan sekatan ekonomi ke atas Syria pada 13 Februari 2008 sejurus pembunuhan Mughniyeh? Apakah permainan AS dan rejim Zionis di bumi Lubnan ini akan berjaya, maka Lubnan akan sekali lagi diheret ke kancah peperangan saudara?

Apa pun ramalan dan analisis yang dibuat, satu perkara yang pasti, pergolakan di timur tengah akan terus berlaku selagimana negara bernama ‘Israel’ wujud. Apakah jika penjajahan yang dihalalkan oleh PBB pada tahun 1949 ini ditamatkan, kawasan tersebut akan aman damai? Apa yang pasti, jika tidak aman damai pun, ianya tidak akan seteruk apa yang berlaku sekarang ini!


Bandar Beirut dari udara

No comments:

Post a Comment