Tuesday, 28 August 2012


Hudud Sebagai ‘Red Herring’ Menjelang PRU-13

Maszlee Malik*

1. Semua parti politik di Malaysia perlu menghentikan polemik mengenai hudud. Samada PAS, UMNO, MCA mahupun DAP perlu berhenti menjadikan isu hudud sebagai ‘punching bag’ mereka menjelang PRU 13.

2. Ditakuti, perbincangan yang tiada kesudahan oleh pihak-pihak yang masih tidak jelas tentang hakikat sebenar hudud ini hanya akan membawa kepada ‘Islamophobia’ di kalangan masyarakat non-Muslim seperti yang disuarakan oleh phak Angakatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

3. Hakikatnya, isu perlaksanaan hudud memerlukan perbincangan yang lebih panjang dan bukannya sekadar isu politik semata-mata. Peranan Majlis Raja-Raja yang menjadi ketua agama di negeri masing-masing perlu diambil kira. Begitu juga dengan mekanisme yang berpotensi menjadi pelaksana undang-undang hudud seperti Mahkamah Syariah, Majlis agama di negeri-negeri, peguam-peguam Syariah dan pihak keselamatan juga perlu diambil kira. Apakah mereka sendiri telah bersedia? Atau apakah mereka juga sudah mempunyai kemampuan untuk menjadi pelaksana kepada undang-undang hudud jika ia dilaksanakan nanti?

4. Hakikatnya juga samada BN atau PR yang menang PRU13, tiada siapa yang akan mampu melaksanakan hudud serta merta, apatah lagi ahli politik veteran yang tidak lagi mempunyai kuasa seperti Tun M.

5. Apa yang pasti ialah PAS bersendirian sahaja tidak akan dapat memaksakan perlaksanaan hudud tanpa sokongan dua pertiga ahli parlimen untuk pindaan perlembagaan. Begitu juga pihak UMNO, yang hanya segelintir sahaja ahlinya bersetuju dengan hudud juga tidak akan mampu membuat pindaan perlembagaan. Hatta jika digabungkan suara PAS dan segelintir ahli UMNO yang pro-hudud sekalipun, mereka tidak akan dapat membentuk majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk meminda perlembagaan untuk perlaksanaan hudud.

6. Realiti yang tidak boleh dinafikan ialah PAS telah sinonim dengan hudud dan telah berusaha sedaya upaya untuk mengotakan janji mereka. Kedua-dua enakmen hudud di Kelantan dan Terengganu adalah bukti komitmen mereka. Halangan mereka ialah pihak kerajaan persekutuan yang enggan meluluskan di bawah pemerintahan Tun M, dan juga halangan perlembagaan. Di dalam isu ini, PAS tidak pernah mengkhianati janji mereka dan tidak sekali-kali menggadaikan prinsip mereka berhubung isu hudud. Hal ini patut diterima akur oleh semua pihak, termasuk PAS sendiri.

7. Maka, jika PAS mengambil sikap berulang-ulang melaungkan isu hudud secara defensif tanpa bergerak menawarkan sesuatu yang lebih luas melalui konsep kefahaman ‘Politik Islam’ yang lebih syumul atau komprehensif, ianya bukanlah satu langkah politik yang produktif. Lebih molek jika PAS berusaha menerangkan konsep ‘Negara Berkebajikan’ mereka kepada rakyat Malaysia yang lebih diterima semua pihak. Malah konsep tersebut merupakan ijtihad politik Islam kontemporari yang amat bernilai hatta di peringkat antarabangsa sekalipun.

8. Menjelang PRU13 eloknya parti-parti politik dari kedua-dua BN dan PR menumpukan pada isu tatakelola kerajaan, isu polisi, isu dasar, isu rasuah, isu ketirisan, isu dana awam, isu hala tuju negara, isu dasar luar negara yang tidak bermaya, isu ekonomi negara, isu harga barang, isu pendidikan, isu PTPTN, isu alam sekitar, isu royalti minyak di Kelantan, Sabah dan Sarawak, dan juga isu-isu yang lebih melibatkan kehidupan seharian dan yang melibatkan semua rakyat Malaysia tanpa kira bangsa, agama dan latar belakang. Semua parti-parti politik perlu mengelakkan isu bersifat ‘red herring’ yang hanya akan melarikan rakyat dari isu sebenar yang melibatkan kepentingan bersama semua pihak. 

9. Media juga diharapkan agar dapat menjadi medium untuk mendidik rakyat agar bersikap matang, berpolitik secara bertamadun, serta menjadi wahana politik baru yang berdasarkan hujah, fakta dan rasional. Memanjang isu yang lebih bersikap polemik tanpa membuahkan hasil yang konkrit tidak akan membawa rakyat ke mana-mana.

* Dr Maszlee Malik adalah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Wednesday, 6 June 2012

Mengapa Saya Cabar Anwar-Najib? (siri 1)


Mengapa Saya Cabar Najib-Anwar?

Maszlee Malik

Selesai debat KJ-Rafizi, pelbagai respon dan reaksi ditunjukkan oleh rakyat Malaysia. Debat politik menggunakan bahasa kebangsaan yang pertama kali diadakan di media terbuka di antara pemimpin muda BN dan PR menjelang PRU-13 itu telah memberikan nafas segar kepada ‘politik baru’ impian rakyat Malaysia. Debat yang telah berlangsung dengan harmoni itu dengan jelas telah menafikan tanggapan sesetengah pihak bahawa masyarakat kita belum lagi matang ataupun debat bukan budaya rakyat Malaysia. Jelas sekali persepsi seumpama itu amat dangkal dan meleset.

Jika ditanyakan kepada saya sebagai moderator, siapakah pemenang debat tersebut. Tanpa berfikir dua kali, saya akan menjawab bahawa ‘rakyat Malaysia’ adalah pemenang yang mutlak, dan bukannya KJ ataupun Rafizi. Saya tidak dapat menafikan bahawa debat tersebut telah memberikan peluang kepada KJ untuk meletakkan ‘standard’ baru kepada pemuda UMNO yang sukar dicapai oleh para pencabarnya di dalam UMNO. Begitu juga bagi pihak Rafizi, ramai boleh bersetuju jika dikatakan debat pada malam tersebut telah melonjakkan populariti beliau yang selama ini kurang dikenali oleh ramai rakyat Malaysia walaupun namanya pernah disebut oleh ketua Wanita UMNO di dalam perhimpunan wanita UMNO pada tahun 2011. Walau siapapun yang mendapat kredit, saya tetap tuntas mengatakan bahawa rakyat Malaysia yang bertamadun adalah pemenang debat berkenaan.

Perlu diingatkan, debat politik, sepertimana di negara-negara maju di zaman moden ini mempunyai objektif yang berbeza dengan pertandingan debat sekolah mahupun di IPT-IPT. Jika debat kebiasaannya disinonimkan dengan pihak yang menang kerana kepetahan pendebat berhujah, debat politik pula bukanlah bertujuan untuk mencapai matlamat tersebut. Debat politik adalah ruang untuk para aktor politik membawakan hujah mereka agar dinilai, dicabar dan dipertimbangkan, samada oleh pihak lawan, moderator, dan yang lebih utama oleh rakyat sekelian. Di sinilah, bukan sekadar pendebat perlu mempersiapkan diri untuk berdebat, yang lebih utama ialah persiapan rakyat untuk bersikap terbuka fikiran dan berlapang dada untuk mendengar hujah dan lontaran ide dari semua pihak. Pendekata, debat politik merupakan salah satu ruang pendidikan, perbincangan umum dan juga proses mematangkan fikiran rakyat.

Mungkin ada yang mengatakan bahawa bukan semua rakyat mampu berfikir. Ada juga yang menjadikan masyarakat luar bandar sebagai alasan untuk debat politik tidak dibudayakan. Saya bersikap kritis terhadap penjelekan ke atas daya fikir rakyat Malaysia ini. Adalah sesuatu yang menjengkelkan apabila ada pihak yang memandang lekeh kepada pihak yang lain hanya kerana mungkin kedudukan geografi mereka, ataupun status sosial dan ekonomi. Sikap ini merupakan sikap bongkak dan sombong. Dalam kunjungan saya ke kawasan-kawasan kampung di utara tanah air, saya agak dikejutkan dengan sikap yang ditunjukkan oleh warga petani, pesawah dan penoreh yang saya temui. Rata-rata mereka mengikuti siaran langsung debat tersebut pada malam ia berlangsung. Samada mereka mengikutinya di rumah, ataupun di markaz-markaz parti politik, ataupun di warung-warung dan restoran-restoran yang memasang layar skrin kepada para pengunjung. Saya rasa terharu…Rakyat Malaysia sudah bersedia untuk politik matang dan politik baru…

Tanggapan saya, sepertimana juga ramai pihak, ialah pihak yang menonton pastinya dari kalangan orang muda yang terlibat dengan PTPTN. Mungkin juga kita terfikirkan hanya warga kota sahaja yang prihatin terhdap isu PTPTN dan debat ini. Saya tersilap sangka rupanya. Saya terlupakan bahawa warga kampug juga mempunyai anak-anak di IPTA dan IPTS. Saya terlupa juga bahwa mereka nilah yang paling bergantung kepada PTPTN untuk pembelajaran anak-anak mereka. Keadaan ekonomi mereka menjadikan mereka terpaksa bergantung harap kepada campurtangan pihak ketiga demi membiayai pengajian anak-anak mereka, terutamanya di dalam bidang-bidang yang melibatkan kos yang begitu tinggi. Maka di atas sikap pedulinya mereka, rancangan debat tersebut mereka ikuti. Menurut golongan luar bandar yang telah saya temui, mereka ingin tahu siapakah yang boleh memberikan tawaran yang terbaik untuk rakyat yang kurang kemampuan seperti golongan petani, golongan luar bandar dna juga golongan miskin seperti mereka. Sekali lagi saya terharu dan tersedar bahawa rakyat kita sudah celik politik…


Seperti yang saya tegaskan di awal artikel ini, debat politik bukanlah galanggang untuk mencari juara ataupun pemenang. Debat politik terbuka adalah ruang untuk rakyat mendapatkan maklumat yang saksama. Di negara Malaysia di mana media yang dibiayai oleh pembayar cukai dikuasai sepenuhnya oleh parti yang memerintah, maklumat yang disajikan adalah tidak seimbang. Maka di dalam keadaan seperti ini, debat politik terbuka merupakan ruang yang paling efisien untuk warga Malaysia mendapatkan maklumat yang seimbang. Rakyat mahu mendapatkan maklumat yang lengkap dan adil sebelum mereka boleh membuat pilihan menjelang pilihanraya. Maka ruang debat politik adalah pengisi kepada vakum tersebut. Ini hanyalah secebis dari rasionalnya debat politk terbuka amat wajar dan wajib diadakan di bumi Malaysia yang menjalani proses transformasi. Bak kata YAB Perdana Menteri, DS Najib lewat ucapan beliau pada malam 15 September 2011 menjelang sambutan ‘Hari Malaysia’, Malaysia perlu berdiri seiring dengan negara demokratik yang maju…

Di atas rasional ini jugalah saya melihat sudah sampai waktunya kita berdiri seiring kemajuan demokrasi di perongkat global dengan mengadakan debat terbuka di antara calon-calon PM dari pihak BN dan PR menjelang PRU-13 nanti. Seperti yang ditekankan di awal artikel ini juga, debat politik terbuka ini penting untuk rakyat Malaysia mendengar sendiri dari mulut kedua-dua pemimpin itu tentang polisi dan dasar yang akan mereka tawarkan jika koalisi yang mereka wakili memenangi PRU-13 nanti. Hal seumpama ini penting di dalam suasana politkk baru dan politik matang. Setakat ini, calon dari BN adalah Perdana Menteri sekarang ini, iaitu DS Najib Tun Razak dan calon dari PR adalah ketua pembangkang di parlimen, iaitu DS Anwar Ibrahim.

Apakah kita masih meragui keupayaan rakyat Malaysia untuk mendengar dari semua pihak, berfikir dan membuat keputusan yang matang sesudah 55 tahun merdeka?

Saya tidak pernah meraguinya!

Monday, 23 April 2012


Dilemma Islamis menjelang Pilihanraya Presiden Mesir

Dr Maszlee Malik

Bagi rakyat Mesir pilihanraya (PR) presiden Mesir pada 23 Mei yang akan datang merupakan detik bersejarah negara berkenaan. Ia bakal menentukan masa depan dan juga bentuk Mesir moden pasca-revolusi 25 Januari. Jawatan presiden mempunyai kuasa yang mutlak yang tidak dimilki oleh parlimen. Pihak berkuasa tentera (SCAF) juga telah berjanji untuk menyerahkan kuasa kepada rakyat selepas PR presiden tersebut. Makanya, pemilihan presiden merupakan kemuncak kepada perjuangan kebebasan rakyat Mesir. Ia akan menjadi kayu ukur untuk melihat samada revolusi 25 Januari benar-benar mencapai matlamat ataupun sebaliknya.

Selepas pintu penamaan calon ditutup untuk bertanding di pusingan pertama PR presiden pada 23 Mei nanti, seramai 13 calon terkahir dikenal pasti akan bertanding. Agak menarik, dari 23 orang pada asalnya yang akan bertanding, 10 orang telah ditolak pencalonannya kerana isu-isu berkaitan undang-undang dan kelayakan mereka. Di antara 10 orang tersebut, nama-nama heavyweight seperti calon Ikhwan Muslimun (IM), Khayrat Shater; mantan ketua perisikan tentera Mesir, Jen. Omar Sulaiman; dan juga calon Salafi paling popular, Hazem Abu Ismail merupakan di antara mereka yang ditolak pencalonannya. Selapas tamat tempoh rayuan, ternyata kesemua mereka terpaksa menerima keputusan muktamad pihak suruhanjaya pilihanraya yang menolak kesemua rayuan tersebut.

Kini, di antara 13 calon yang berbaki, kebanyakan mata tertumpu kepada beberapa nama heavyweight mewakili dua kelompok di dalam politik Mesir. Kelompok pertama diwakili oleh tiga nama utama, iaitu mantan pemimpin IM yang dipecat, Dr Abdel Mon’em Abul futouh; tokoh akademik dan intelektual, Dr Muhammad Salem al-Ewa dan calon dari IM dan juga presiden parti FJP, Dr Muhammad Morsi. Kelompok ini dilabel oleh para penganalisis politik sebagai kelompok Islamis. Kelompok yang bertentangan pula adalah mantan setiauasaha Liga Arab, Amr Mousa; ketua parti al-Karamah dan lambang golongan sosialis, Dr Hamden Sabahi dan juga mantan Perdana Menteri Mesir di zaman Mubarak, Ahmad Syafiq. Nama-nama tersebut pula dilihat mewakili kelompok sekular. Dari kelompok sekular tersebut, Amr Mousa dilihat lebih berpeluang berbanding Sabahin yang agak kurang popular di kalangan rakyat luar bandar dan Ahmad Syafiq yang dilihat sebagai saki baki (fuloul) rejim Mubarak. Bagi kelompok Islamis pula, pilihan mereka terbahagi kepada tiga nama yang telah disebutkan.

Dr Mohammad Morsi calon presiden Ikhwan Muslimun
Menyedari keperluan suara kelompok Islamis perlu disatukan agar undi mereka tidak pecah lantas memberikan kemenangan mudah kepada Amr Mousa, satu pertemuan di antara kumpulan-kumpulan Islamis telah diadakan di Kaherah pada 22 April yang lalu. Perbincangan yang gagal mencapai kata sepakat itu telah menyaksikan bagaimana dua kelompok terbesar kelompok Islamis, iaitu IM dan kumpulan-kumpulan Salafi telah bertegang urat leher untuk mencapai kata sepakat. Selepas pihak suruhanjaya PR Presiden menolak pencalonan Hazem Abu Ismael, majoriti kumpulan Salafi dan juga kepimpinan atau ulama mereka menyatakan sokongan kepada Abul Futouh. Walaupun ideolog kumpulan Dakwah Salafiyah (iaitu jamaah induk kepada parti Nour yang mewakili kumpulan berkenaan), Syeikh Yasir Borhami bahawa golongan Salafi masih lagi mempertimbangkan di antara Abul Futouh dan Dr Salem al-Ewa, namun kebanyakan golongan muda dan aktivis politik mereka lebih memilih Abul futouh. Pertamanya, al-Ewa tidak mempunyai sokongan yang kuat dari akar umbi Salafi yang melihat beliau dengan penuh prejudis kerana hubungan rapat beliau dengan Iran dan juga sikap lunaknya kepada penganut mazhab Syiah; keduanya, kerana tipisnya peluang beliau untuk memenangi PR Presiden berdasarkan kurangnya pengaruh beliau di kalangan rakyat Mesir. Melihat kepada nisbah demografi kewujudan golongan Salafi di Mesir, sokongan yang bakal mereka berikan kepada mana-mana calon presiden akan memberikan kesan terhadap peluang calon tersebut untuk memenangi PR tersebut.

Apa yang pasti, golongan Salafi bersatu untuk tidak menyokong calon presiden IM yang baru, Dr. Mohamad Morsi, walaupun sewaktu pencalonan Shater, terdapat ramai di antara mereka yang lebih memilih untuk menyokong Shater berbanding Hazem Abu Ismail yang merupakan seorang Salafi. Keputusan mereka agak memeranjatkan ramai pemerhati memandangkan Morsi telah meletakkan slogan lama pihak IM, ‘al-Islam huwal Hal’ (Islam adalah penyelesaian) yang telah sepi semenjak revolusi 25 Januari dan digantikan dengan ‘Nahmilul khayr li Masr’ (Kami membawa kebaikan kepada Mesir) yang dijulang oleh parti FJP milik IM sekarang. Morsi juga telah menegaskan pada pelancaran kempennya di Kaherah bahawa beliau adalah ‘satu-satunya calon mewakili golongan Islamis’ berbanding Abul futouh dan al-Ewa. Dr Morsi juga menolak penamaan Mesir sebagai ‘negara Sivil’, dan menggantikannya keapda ‘negara demokratik beridentitikan Islam’ selari dengan aspirasi kebanyakan golongan Salafi. Malangnya, walaupun beliau menggunakan sentimen Islam yang lebih dekat dengan aspirasi kumpulan Salafi, namun majoriti kumpulan Salafi menolak pencalonan beliau.

Antara isu utama yang menyebabkan mereka menolak Morsi ialah keperibadian Morsi yang pada pandangan ramai, tidak sesuai dan tidak mempunyai kelayakan untuk menjadi presiden negara Mesir. Bagi kelompok Salafi dan para pemerhati politik, Morsi terdesak untuk menggunakan slogan-slogan tersebut untuk meraih sokongan kumpulan Salafi kerana beliau tidak mampu untuk meletakkan dirinya sebagai calon yang paling sesuai untuk jawatan presiden kerana ketiadaan karismatik dan keperibadian yang boleh menarik sokongan majoriti. Pendirian ini bukan hanya terhad kepada golongan Salafi sahaja. Malah ramai di kalangan golongan pemuda dan rakyat kebanyakan yang telah memberikan undi kepada IM sewaktu PRU yang lalu melahirkan pandangan yang sama. Melalui survey yang dilakukan oleh pihak media dan juga badan-badan kajian politik di Mesir, kebanyakan rakyat pro-Islamis merasakan bahawa kehadiran Morsi di peringkat ini (selepas Shater ditolak pencalonannya) disifatkan hanya sebagai pemecah undi golongan Islamis, sekaligus menjejaskan peluang untuk calon berlatar belakangkan Islamis untuk memenangi kerusi Presiden. Natijahnya, ia akan membuka peluang lebih kepada Amr Mousa untuk memenangi jawatan tersebut.

Rasional tersebut juga dikongsi oleh ramai anggota di peringkat bawahan IM, terutamanya dari kalangan para pemuda IM. Pihak kepimpinan IM turut mengakui bahawa mereka menerima tekanan yang kuat dari kalangan para pemuda IM yang menggesa agar pihak kepimpinan menggugurkan Morsi dari pencalonan tersebut lantas membuka jalan agar Abul futouh mendapat peluang yang lebih untuk menjadi presiden. Bagi kebanyakan para pemuda IM yang dahulunya memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada Shater, kini menyedari bahawa peluang Morsi amat tipis untuk memenangi pilihanraya tersebut. Faktor kemampuan Morsi juga dipertikaikan. Sebagai seorang yang sering muncul di kaca televisyen dengan emosional dan kurang kemampuan untuk menjawab soalan-soalan yang diutarakan kepadanya sebagai seorang ahli politik, Morsi kini hanya meletakkan peluangnya pada undi anggota IM semata-mata. Bagi majoriti anggota IM yang telah dididik untuk mentaati keputusan kepimpinan tanpa berbelah bagi, mereka pastinya akan menyokong Morsi. Persoalan yang timbul, apakah jawatan nombor satu negara Mesir itu hanya memerlukan sokongan anggota IM semata-mata? Di sinilah ramai pengkritik politik menempelak IM.

Menurut ramai penganalisis politik di mesir, dan juga pendapat mantan kepimpinan dan anggota IM yang telah meninggalkan kumpulan tersebut, pencalonan Morsi menggantikan Shater dan juga keengganan IM untuk menyokong Abul Futouh sebenarnya datang dari kumpulan konservatif di dalam IM. Kumpulan konservatif tersebutlah yang menguasai Maktab Irshad (kepimpinan tertinggi) IM dan keputusannya. Golongan konservatif ini juga dikenali oleh para pengkaji dan pengamat gereakan Islam di Mesir sebagai golongan ‘Qutbiyun’ (kerana kecenderungan mereka terhadap ide radikal Syed Qutb berbanding ide moderat al-Banna) ataupun ‘Tarbawiyun’ (kerana sering mendakwa kepentingan tarbiyah berbanding aktiviti dakwah dan politik). Mereka disifatkan oleh ramai pihak sebagai batu pengahalang kepada usaha pencapaian kata sepakat antara kumpulan-kumpulan Islam untuk menyokong Abul Futouh. Bagi mereka, dosa besar Abul Futouh kepada jamaah IM tidak boleh dimaafkan. Maka apa-apa sokongan kepada Abul Futouh, menurut dakwaan mereka hanya akan menghalalkan tindakan Abul Futouh yang tidak mengikuti arahan kepimpinan tertinggi yang telah menyebabakan ramai di antara kepimpinan lapisan pertengahan dan juga dari kalangan pemuda dan pemudi IM berbondong-bondong meninggalkan IM sebagai protes kepada pendominasian golongan Qutbiyun ke atas hala tuju IM. Hubungan dingin di antara kumpulan Qutbiyun dengan Abul Futouh yang pernah mengepalai kumpulan reformis (digelar sebagai Islahiyun) di dalam kepimpinan IM sememangnya telah diketahui umum. Malah kemenangan golongan Qutbiyun menguasai kepimpinan IM dapat dilihat pada pemilihan anggota Maktab Irshad pada tahun 2009 yang telah menyaksikan Abul Futouh dan rakan-rakan beliau dari kumpulan Islahiyun terkeluar dari kepimpinan IM.

Bagi golongan IM pula, mereka mempunyai alasan tersendiri untuk mencalonkan Morsi yang pada asalnya merupakan pengganti jika Shater ditolak pencalonannya. Bagi mereka, kerajaan Mesir yang akan ditubuhkan dan bakal dikuasai oleh FJP tidak akan dapat menjalankan tugasnya dengan efektif jika presiden bukan dari parti yang sama. Hal seumpama ini dapat dilihat kepada pengalaman Palestin yang mempunyai parlimen dikuasai HAMAS dan presiden dari FATAH. Kesefahaman di antara kedua-dua kuasa eksekutif dan presiden amat diperlukan untuk membina Mesir yang baru. IM juga meletakkan harapan bahawa pihak yang telah menyokong FJP untuk memenangi 49% dari kerusi parlimen juga pastinya akan memilih presiden FJP untuk menjadi presiden mereka. IM juga meletakkan harapan kepada aktivis dan anggota mereka yang ramai untuk dimobilisasikan sepanjang tempoh berkempen nanti. Kehadiran lebih 50,000 anggota IM sewaktu pelancaran kempen Morsi juga telah memberikan harapan kepada IM untuk bertegas meyakini bahawa keputusan mereka mencalonkan Morsi adalah keputusan yang bijak, tepat dan selari dengan inspirasi serta disiplin perjuangan mereka.

Abul Futouh bersama golongan Salafi Mesir
Walau bagaimanapun, adalah terlalu awal untuk meletakkan apa-apa ramalan ataupun jangkaan terhadap PR presiden Mesir ini. Keadaan politk Mesir pasca revolusi 25 Januari terlalu dinamik dan jauh dari pesimisme. Setiap hari pastinya ada perubahan yang berlaku. Apa yang pasti, perbincangan golongan Islamis Mesir ini bukanlah yang terakhir, menurut kenyataan para ahli politik dari kumpulan-kumpulan yang terlibat, pertemuan-pertemuan akan diteruskan di masa-masa akan datang, dan akan melibatkan lebih ramai wakil sehinggalah detik terakhir pencalonan muktamad pada penghujung bulan April. Persoalannya, sejauhmana pihak Wisma Putra dan juga Kementrian Luar Malaysia mengikuti perkembangan PR presiden Mesir dan bersikap pro-aktif? Sewaktu keberadaan saya di bumi Mesir, pihak kedutaan dan kerajaan-kerajaan dari barat dan timur jauh tidak jemu menziarahi parti-parti utama di Mesir, terutamanya FJP dan parti Nour. Mereka juga aktif bertemu dengan calon-calon presiden untuk mengikuti perkembangan dengan lebih dekat. Di samping itu, media-media barat dan juga Jepun tidak ketinggalan mengikuti perkembangan politik Mesir dengan dekat. Mana tidaknya, masa depan politik Mesir mempunyai kesan langsung terhadap isu Palestin di masa hadapan. Tidak boleh dilupakan juga, usaha pembangunan semula negara Mesir dengan pendapatan negara yang lebih baik berbanding zaman Mubarak juga menjanjikan peluang pelaburan dan perniagaan yang luas bagi negara-negara luar, terutamanya negara-negara Islam…

Friday, 20 April 2012

Parti Politik Salafi: Aktor Politik Baru di Mesir


Parti politik Salafi: Aktor Politik Baru di Mesir

Maszlee Malik

Dr Emad Abdel Ghafour, Presiden Parti Nour
Pada Pilihanraya umum (PRU) Mesir untuk memilih anggota parlimennya yang lepas, Hizb al-Nour (Parti Nour) telah berjaya mendapat hampir 25% daripada kerusi parlimen dan juga lebih satu pertiga dari undi popular. Parti Nour telah menjadi front untuk gabungan tiga parti lain beraliran Salafiyah, iaitu parti Asalah, parti Fadilah dan Parti Tanmiyah wa Salamah. Hasil dari kemenangan mereka, kini parlimen Mesir dipenuhi oleh anggota parlimen yang berjanggut panjang, berseluar senteng dan juga melaungkan azan di dalam parlimen.

Fenomena kemenangan golongan beraliran Salafi melalui Parti Nour telah mengejutkan ramai pihak. Samada penganalisis politik di dalam Mesir mahupun di peringkat antarabangsa, hampir semuanya tidak menjangkakan kemunculan aktor baru itu dalam arena politik Mesir. Lebih mereka tidak jangkakan, ialah golongan Salafiyah yang selama ini mengharamkan sistem demokrasi, mengharamkan sistem pilihanraya dan juga memandang sinis kepada politik itu telah menjadi parti kedua meraih undi terbanyak lewat PRU lalu selepas parti Hurriyah wal ‘Adalah (FJP) milik kumpulan Ikhwanul Muslimun (IM). Kumunculan golongan Salafiyyah yang sering dilabel sebagai ultra-konservatif oleh media-media barat telah menyebabkan parti FJP milik IM dinobatkan sebagai golongan Islamis moderat, walaupun dulunya IMlah yang dulunya sering mendapat pelbagai gelaran berbau radikal dan ekstremisme.

Siapakah golongan Salafi ini? Apakah susur galur mereka? Apakah perbezaan mereka dengan Ikhwanul Muslimun? Apakah motivasi yang mendorong mereka untuk menceburkan diri ke dalam lapangan politik?

Salafiyyah di Mesir

Gelaran Salafiyah sebagai sebuah manhaj dan fikrah boleh ditelusuri akarnya sehingga di zaman Rashid Redha yang merupakan anak murid kepada Muhammad Abduh dan Jamaludin al-Afghani. Jika kedua-dua guru beliau telah melancarkan gerakan islah (reformasi) dan tajdid melalui fikrah Pan-Islamisme yang menyeru agar umat Islam bangkit dari kelemahan dan kejumudan mereka, Redha pula telah menguatkan lagi seruan tersebut dengan gerakan Salafiyyahnya. Walau bagaimanapun, Salafiyyah yang dimaksudkan oleh Redha agak berbeza dengan arus Salafiyah yang ada di Mesir hari ini. Meskipun Redha menyeru agar umat Islam kembali kepada akidah dan manhaj Salafussoleh di dalam cara mereka beragama, namun beliau juga menyeru kepada penggunaan rasional dan ilmu sains moden. Gerakan Redha kemudian diteruskan oleh anak muridnya Hasan al-Banna yang telah menubuhkan gerakan Ikhwanul Muslimin yang berorientasikan politik dan bertujuan untuk merubah keadaan umat Islam kepada kebangkitan Islam di dalam segenap kehidupan kaum Muslimin. Di satu sudut lain pula, anak murinya Abdul Hamid al-Fiqqi pula meneruskan perjuangan Redha dengan cara tradisionalis dan telah menubuhkan gerakan Ansarus Sunnah yang lebih bersikap tidak menyikapi politik dan hanya menumpukan kepada misi melawan bid’ah dan syirik di kalangan masyarakat Mesir.

Walau bagaimanapun, gerakan Salafiyyah ala-Redha ini tiada hubungan secara langsung dengan kemunculan parti Nour secara langsung. Parti al-Nour merupakan parti yang telah ditubuhkan oleh golongan yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Madarasah Salafiyyah’ dan kemudiannya ditukar nama kepada al-Dakwah al-Salafiyyah’ yang berpusat di Iskandariah, Mesir. Golongan al-Dakwah al-Salafiyyah ini merupakan pecahan dari sebuah gerakan islam di universiti-universiti Mesir yang popular di tahun-tahun 70’an bernama ‘al-Gamaah al-Islamiyyah’. Gerakan Islam yang diasaskan oleh Dr Abdel Monem Abul Futouh seawal 1971 itu telah menjadi sebuah gerakan Islam pelajar yang mendominasi seluruh universiti-universiti di Mesir, terutamanya di fakulti-fakulti perubatan dan juga Universiti Iskandariah. ‘al-Gamaah al-Islamiyyah’ muncul mengisikan vakum yang telah ditinggalkan oleh gerakan Ikhwanul Muslimun yang pada waktu itu mengalami kelumpuhan akibat para pemimpin dan pengikut mereka dipenjarakan, disiksa dan dibunuh oleh Rejim Jamal Abdel Naser. Walaupun gerakan ‘al-Gamaah al-Islamiyyah’ berpusat di unversiti-unversiti, namun pengaruh mereka begitu kuat terutamanya sewaktu zaman peperangan di antara Mesir dan Israel pada tahun 70’an. Kemuncak kegemilangan ‘al-Gamaah al-Islamiyyah’ seperti yang diperkatakan oleh para ahli sejarah gerakan Islam moden di Mesir ialah apabila pemimpin mereka, Abdel Monem Abul Futouh telah dipanggil untuk bertemu dengan presiden Anwar Sadat dan telah berdebat dengan presiden tersebut secara langsung di kaca televisyen.

Malangnya, hayat ‘al-Gamaah al-Islamiyyah’ sebagai sebuah pertubuhan gerakan Islam pelajar moderat tidak panjang. Pada penghujung 70’an apabila para pimpinan mereka telah mula berhubung dengan pihak IM, terdapat segelintir di antara kader-kader mereka yang merasa tidak selesa dengan fikrah dan cara IM bergerak. Bagi anggota ‘al-Gamaah al-Islamiyyah’ yang telah berjaya menerima doktrin dari Arab Saudi yang telah menaja mereka untuk menziarahi negara tersebut akhirnya lebih cenderung kepada pendekatan Salafiyah versi Wahabiyah Arab Saudi. Akhirnya golongan yang berorientasikan Salafiyyah ini telah menentang keputusan para pimpinan ‘al-Gamaah al-Islamiyyah’ yang mengambil sikap untuk bergabung dengan IM. Natijahnya, gerakan ‘al-Gamaah al-Islamiyyah’ telah terpecah kepada tiga kumpulan utama: majoriti kepimpinan dan anggota mereka memilih untuk menggangotai IM; sebahagian mereka yang cenderung dengan pendekatan Salafiyah pula memilih untuk menubuhkan gerakan ‘al-Dakwah al-Salafiyyah’ yang berpusat di Iskandariyah; manakala segelintir kecil dari kalangan mereka pula telah mengekalkan nama ‘al-Gamaah al-Islamiyyah’ dan mengambil pendekatan ekstrimise dan keganasan. Kumpulan ketiga ini kemudiannya telah muncul sebagai pertubuhan pengganas ‘Tanzem al-Jihad al-Islami’ (Jihad Islami) yang akhirnya telah menyebabkan kemunculan pertubuhan al-Qaedah melalui salah seorang ideolog mereka, Dr Abu Aiman al-Dhawahiri.

Kumpulan radikal Tanzem al-Jihad al-Islami inilah yang telah menyebabkan pembunuhan presiden Anwar Sadat dan menyebabkan penangkapan sebilangan besar anggota ‘al-Gamaah al-Islamiyyah’, termasuk mereka yang memasuki IM dan juga golongan ‘al-Dakwah al-Salafiyyah’. Walau bagaimanapun selepas Husni Mubarak menjadi presiden, beliau telah membebaskan sebilangan besar mereka secara beransur-ansur. Bagi golongan radikal Tanzem al-Jihad al-Islami, sebahagian mereka telah memilih untuk ke Afghanistan dan berjihad di sana, manakala sebahagian dari mereka yang kekal di Mesir, terutamanya di daerah Al-Suyut dan Aswan telah mula mengembangkan gerakan mereka secara rahsia dan akhirnya telah melancarkan serangan-serangan ganas ke atas pihak kerajaan, para pelancong dan juga kepentingan awam demi menegakkan ‘Dawlah Islamiyah’ (negara Islam) yang mereka impikan. Manakala yang terlibat dengan IM, mereka akhirnya telah menjadi para pimpinan generasi baru IM, seperti Abdel Monem Abul Futouh, Essam Eryan, Ibrahim al-Za’farani, Hilmi Jazzar dan lain-lain lagi. Manakala kumpulan ‘al-Dakwah al-Salafiyyah’ pula telah kembali ke Iskandariyah untuk meneruskan usaha dakwah mereka melalui gerakerja organisasi yang lebih tersusun.


al-Dakwah al-Salafiyyah

Di zaman presiden Husni Mubarak, gerakan ‘al-Dakwah al-Salafiyyah’ telah berkembang dengan pesat di seluruh Mesir hasil dari usaha tidak jemu para ulama dan pendakwah mereka. Gerakan ‘al-Dakwah al-Salafiyyah’ yang pada mulanya berpusat di Iskandariyah telah mula berkembang ke kawasan-kawasan lain di negara tersebut hasil kepulangan beberapa pendakwah dan ulama mereka dari Arab Saudi dan Jordan. Dakwah golongan Salafiyah secara umum juga menjadi semakin rancak dengan kemunculan stesyen televisyen satelit. Pihak Salafiyyah telah memiliki lebih kurang 12 stesyen televisyen satelit yang menjadi pilihan golongan awam dan juga golongan beragama di Mesir. Hasilnya para pendakwah Salafiyah menjadi begitu popular, terutamanya para pendakwah mereka yang berada di Kaherah yang sering menghiasi rancangan ceramah dan talk-show di stesyen-stesyen berkenaan. Fikrah Salafiyah yang dahulunya begitu ditakuti dan dimomokkan dengan gelaran ‘Wahabi’ dan sesat oleh para ulama al-Azhar akhirnya menjadi popular di kalangan warga awam Mesir. Persepsi rakyat terhadap para ulama Azhar yang dilihat umum menjadi alat dan ejen rejim Mubarak juga telah menyebabkan rakyat awam cuba mencari rujukan para ulama bukan kerajaan yang lebih berani dan tegas. Persepsi ini akhirnya telah menjadikan para ulama Salafiyah semakin popular.

Pemilik laman anasalafy.com,
media alternatif golongan Salafi
Perlu diingat, bukan kesemua golongan pendakwah dari aliran Salafiyah di Mesir merupakan anggota gerakan ‘al-Dakwah al-Salafiyyah’. Mereka terbahagi kepada beberapa kumpulan berdasarkan fikrah ulama dan pendakwah yang mereka ikuti. Namun, ‘al-Dakwah al-Salafiyyah’ tetap menjadi kumpulan yang paling popular dan kumpulan yang paling dominan. Kumpulan inilah yang kemudiannya telah mengambil keputusan untuk menubuhkan parti Nour. Ada pihak yang cuba mengaitkan populariti golongan Salafiyah dengan rejim Mubarak. Teori konspirasi itu mengatakan bahawa mereka sengaja dibiarkan berkembang oleh rejim Mubarak untuk menyaingi pengaruh kumpulan IM. Tuduhan tersebut ternyata meleset kerana kebanyakan ulama dan pendakwah ‘al-Dakwah al-Salafiyyah’ terutamanya telah menjadi mangsa tahanan tanpa bicara rejim Mubarak hatta di saat-saat akhir pemerintahan rejim berkenaan.

Apa yang pasti, walaupun kumpulan tersebut tidak bersetuju dengan rejim dan mengambil sikap anti-rejim Mubarak, namun mereka tidak pula terlibat dengan politik. Berbanding dengan kumpulan Salafi al-Madkhaliyun pro-Saudi yang mengatakan wajib bagi umat Islam mentaati pemimpin walaupun pemimpin diktator yang zalim dan membunuh rakyat sendiri, golongan ‘al-Dakwah al-Salafiyyah’ lebih terkenal dengan kritikan tajam mereka terhadap kerajaan dan juga sikap anti-kerajaan mereka semenjak awal penubuhannya lagi. Sungguh yang demikian, sepertimana gerakan Salafi lain di seluruh dunia, kumpulan ‘al-Dakwah al-Salafiyyah’ tidak pula menyertai politik dan berpendapat bahawa demokrasi adalah haram, manakala pilihanraya dan sistem parlimen yang menurut mereka adalah perbuatan tidak berhukum dengan hukum Allah. Mereka juga mengharamkan demonstrasi sebelum revolusi dan semasa revolusi yang mereka sifatkan sebagai perbuatan yang membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan.


Revolusi 25 Januari dan Salafiyah

Walau bagaimanapun kejayaan revolusi 25 Januari di Mesir telah banyak mengubah hala tuju kumpulan tersebut. Memang pada awal revolusi para ulama ‘al-Dakwah al-Salafiyyah’ mengambil sikap mengharamkan penyertaan anggota mereka menyertainya. Namun setelah salah seorang ulama mereka ditangkap oleh pihak rejim dan dibunuh di dalam tahanan, sesetengah pendakwah mereka telah mengambil sikap menyeru para pemuda ‘al-Dakwah al-Salafiyyah’ untuk terlibat di dalam tunjuk perasaan di Medan Tahrir yang telah membawa kepada kejatuhan Presiden Mubarak pada 11 Februari 2011. Malah, segelintir golongan Salafiyyah telah bersikap pro-aktif dengan terlibat bersama para doctor perubatan lain untuk menyediakan klinik bergerak di Medan Tahrir untuk merawat para penunjuk perasaan yang tercedera akibat serangan pihak keselamatan rejim Mubarak. Para pendakwah dan ulama mereka juga telah mula membanjiri medan Tahrir sehingga ke detik-detik terakhir walaupun agak lewat.

Selepas revolusi, ketika rakyat melihat peluang mereka untuk memerintah Mesir secara demokrasi dan bebas buat pertama kalinya, para pendakwah dan ulama ‘al-Dakwah al-Salafiyyah’ telah terdorong untuk mengambil sikap pro-aktif. Melalui wawancara saya bersama ideolog ‘al-Dakwah al-Salafiyyah’, Dr Yaser Borhami dan juga presiden Parti Nour, Dr Emad Abdel Ghafour, mereka memberitahu bahawa golongan muda dari gerakan tersebutlah yang telah mendesak agar para ulama mereka menimbangkan ide penubuhan sebuah parti politik Salafi. Logiknya, perlembagaan Mesir dengan jelas menyatakan pada artikel dua mereka bahawa Syariah merupakan satu-satunya rujukan utama perlembagaan, dan ini menunjukkan bahawa sistem parlimen dan perlembagaan mereka adalah Islam dan tidak menyalahi Syarak. Tambah mereka lagi, jika mereka biarkan ruang politik hanya kepada IM dan juga golongan sekular dan liberal, ditakuti artikel dua tersebut tidak akan terjamin. Mereka juga melihat bahawa pengaruh dakwah Salafi yang semakin hebat dan berkembang di seluruh Mesir menuntut golongan Salafi untuk mengisikan kekosongan di dalam bidang politik dan pemerintahan.

Akhirnya, pada bulan Mac 2011, selepas para ulama ‘al-Dakwah al-Salafiyyah’ dan juga gerakan Salafiyah lain berbincang, mereka memutuskan untuk menceburkan diri ke dalam bidang politik. Para ulama Salafi berpendapat bahawa hukum penyertaan mereka ke dalam bidang politik adalah wajib demi melaksanakan Islam dan menjalankan amar makruf nahi munkar. Mereka juga melihat penyertaan tersebut sebagai langkah awal untuk menegakkan negara Islam impian mereka yang berhukum dengan hukum Syariat di dalam pemerintahan. Bagi golongan tersebut, mereka skeptik dengan sikap IM yang semakin longgar terhadap perjuangan Islam dan semakin memperjuangkan ‘negara sivil’ berbanding ‘negara Islam’. Bagi kumpulan Salafi, perlaksanaan hudud merupakan satu kemestian dan akan mereka laksanakan setelah isu-isu utama dan mendesak rakyat diselesaikan dulu seperti isu pendidikan, ekonomi, kebajikan dan juga prasarana kehidupan rakyat secara umum.

Di dalam waktu yang sama, tiga buah parti berorientasikan Salafi juga telah ditubuhkan oleh gerakan Salafiyah dari pelbagai aliran selain dari kumpulan ‘al-Dakwah al-Salafiyyah’. Walau bagaimanapun parti Nour tetap menjadi parti paling dominan dan juga paling popular. Selain dari tiga parti tersebut, sebuah lagi parti Salafi iaitu parti Salamah wa Tanmiyah (parti keamanan dan pembangunan) yang telah diasaskan oleh mantan anggota Tanzem al-Jihad al-Islami yang telah meninggalkan ideologi radikal jihad dan keganasan mereka juga telah menyertai parti Nour. Mantan pengasas Tanzem al-Jihad al-Islami, Tariq Zumor dan lain-lain lagi mengatakan bahawa di zaman pasca revolusi mereka sudah tidak mempunyai alasan untuk mengangkat senjata lagi dan akan menumpukan usaha dakwah dan perubahan melalui kotak undi serta bukan lagi dengan muncung senapang. Seperkara yang menarik mengenai kesemua parti-parti Salafi tersebut, mereka bersepakat bahawa ‘para ulama dan pendakwah Salafi tidak akan terlibat dengan aktiviti politik kepartian’. Bagi mereka, golongan ulama mereka mestilah bersikap neutral dan bersikap sebagai pembimbing dan bukannya ahli politik yang akan bergelumang dengan 1001 aktiviti yang akan menganggu tugas mereka untuk berdakwah dan menyampaikan ilmu. Di atas dasar inilah kebanyakan ulama dan ideolog ‘al-Dakwah al-Salafiyyah’ dan juga gerakan Salafiyah yang lain seperti Dr Yaser Borhami, Ahmad Farid, Muhammad Hasan, Muhamamd Husein Ya’qubi, Ishak Huwayni dan lain-lain lagi tidak menjadi pemimpin parti Nour dan parti-parti berlairan Salafiyah yang lain.

di HQ jentera kempen calon presiden, Hazem Abu Ismail
Sehingga kini, parti Nour terus menjadi aktor utama di dalam lebaran poiltik Mesir. Walaupun parti Nour tidak meletakkan calon mereka untuk pertandingan pilihanraya presiden, namun kebanyakan mereka menyokong calon berlatar belakangkan Salafiyah, iaitu Hazem Solah Abu Ismael. Walaupun Hazem seorang berorientasikan Salafiyah dan berketrampilan seperti mereka, namun beliau bukanlah dari gerakan ‘al-Dakwah al-Salafiyyah’ ataupun dari mana-mana parti Salafi yang ada. Parti Nour menyatakan sokongan terhadap beliau berdasarkan sikapnya yang konsisten untuk menegakkan Islam, menegakkan hukum Islam dan juga latar belakang beliau sebagai selebriti agama yang terkenal di media. Pada waktu artikel ini ditulis, pencalonan Hazem telah ditolah oleh suruhanjaya pilihanraya presiden Mesir kerana kerakyatan ibunya yang memegang passport Amerika. Hal sedemikian bertentangan dengan undang-undang pilihanraya presiden yang mensyaratkan mana-mana calon hendaklah berwarganegara Mesir dan juga dari kedua ibubapa yang berwarga negara Mesir.

Renungan

Di sudut yang lain pula, setelah pihak pemerintah tentera semakin menunjukkan taring dan kuasa mereka, parti Nour dan golongan Salafiyah telah mengambil sikap untuk bersama dengan IM dan bersatu demi menjamin dominasi suara Islam di dalam parlimen. Hal ini dapat dilihat apabila kedua-dua golongan tersebut telah mengadakan demonstrasi yang melibatkan ratusan ribu peserta di dataran Tahrir pada 13 April demi membantah pencalonan mantan ketua perisikan rejim Mubarak, Omar Sulaiman di dalam pilihanraya presiden. Persoalannya, apakah peranan yang akan dimainkan oleh golongan Salafiyah selepas Pilihanraya presiden nanti. Apakah mereka akan bersama dengan IM untuk membentuk kerajaan majoriti? Ataupun mereka akan menjadi pembangkang di parlimen Mesir untuk mengimbangkan suara Islamis di parlimen. Jika IM menjadi kerajaan dengan koalisi parti-parti lain, dan juga golongan Salafiyah menjadi pembangkang utama, maka parlimen Mesir sepenuhnya dikuasai oleh para Islamis, samada di pihak kerajaan mahupun di pihak pembangkang. Persoalan yang patut difikirkan juga ialah kea rah mana wacana politik parti-parti beraliran Salafiyyah ini nanti? Apakah mereka akan mencampur-adukkan wacana agama mereka yang begitu menitik beratkan isu-isu furuk ke dalam wacana politik yang sepatutnya lebih bersifat dinamik dan terbuka? Apakah mereka juga pastinya akan menjadi semakin moderat dan ‘cair’ sepertimana halnya IM yang telah melalui pengalaman berpolitik jauh lebih lama dari golongan Salafi?

Lambang Parti Nour
Walau apapun natijahnya di masa hadapan, ternyata kehebatan aura demokrasi dan kebebasan telah Berjaya mengheret golongan yang satu waktu dahulunya skeptik dengan politik untuk akhirnya menjadi salah satu aktor utama dan penting di dalam menempuhi dinamisme politik Mesir pasca-Revolusi 25 Januari!

Saturday, 7 April 2012

Pencalonan Presiden Dari Ikhwan, Apakah Muslihatnya?


Pencalonan Presiden Dari Ikhwan, Apakah Muslihatnya?

Maszlee Malik


Saya baru pulang dari Mesir selesai melakukan kajian tentang parti politik Ikhwan, ‘Hizb al-Hurriyah wa al-Adalah’ (FJP), parti Salafi dan juga pilihanraya presiden yang bakal menjelang. Selain mengadakan wawancara dengan para pemimpin Ikhwanul Muslimin (IM), Salafi, para pegawai kempen calon-calon presiden, anggota bawahan IM dan juga orang ramai, saya juga berkesempatan melihat lebih dekat suasana politik Mesir bersama dengan rakan-rakan jurnalis di sana.

Apa yang menarik, perkembangan politik Mesir pasca-Revolusi 25 Januari bukanlah seperti yang ditanggapi oleh kebanyakan pemerhati luar yang tidak berada di Mesir. Suasana politik di sana amat unik dan begitu dinamik. Demi untuk memhami dinamisme tersebut, pendapat segenap lapisan warga Mesir perlu ditelusuri agar kesimpulan yang dibuat tidak akan dipengaruhi oleh pihak-pihak tertentu sahaja. Apa yang lebih menarik perkembangan dan perubahan berlaku begitu pantas dan sukar dijangkakan.

Walaupun suasana ekonomi Mesir tidaklah semakin baik selepas revolusi 25 Januari, namun iklim politik di Mesir tidak dipengaruhi oleh keadaan tersebut. Walaupun suasana keselamatan, kebersihan dan juga infrastruktur di seluruh Mesir masih tidak tersusun kerana tidak terdapat sebuah kerajaan yang benar-benar dapat memulihkan keadaan Mesir, namun nikmat kebebasan yang dikecapi oleh rakyat Mesir telah sedikit sebanyak dapat melupakan mereka kepada keadaan semasa untuk melihat masa depan yang lebih cerah dan lebih menjanjikan kebaikan.

Sewaktu saya berada di sana, isu yang paling mewarnai liputan media massa dan perbualan di kafe-kafe ialah pembentukan jawatankuasa penggubalan perlembagaan. Sebagai sebuah negara yang baru bangkit dari keruntuhan rejim diktator yang lama, penggubalan perlembagaan merupakan satu yang penting dan utama. Perlembagaan yang baru amat signifikan untuk membentuk negara Mesir yang baru dan lebih menjanjikan kemerdekaan individu. Namun, hal ini juga menjanjikan persaingan di antara golongan Islamis yang mendominasi rakyat Mesir dan juga golongan liberal sekular serta Koptik yang mewakili suara minoriti. Bagi golongan Islamis yang mendomiasi parlimen (Majlis al-Sya’ab), mereka melihat perlembagaan yang mesra Islam dan menjamin kedudukan Islam adalah amat penting untuk membentuk identiti Mesir di masa mendatang. Manakala bagi golongan minoriti, identiti ‘Islam’ Mesir yang diinginkan oleh para Islamis pula merupakan mimpi ngeri bagi mereka yang inginkan Mesir baru yang lebih sekular wajahnya.

Maka, di penghujung pertembungan tersebut, ahli-ahli perwakilan yang dipilih untuk menganggotai jawatankuasa perlembagaan tersebut didominasi oleh golongan Islamis dari kelompok IM dan juga Salafi (48 wakil dari kesemua 100 perwakilan). Walaupun IM telah bermurah hati memberikan 10 wakil yang telah diperuntukkan kepada mereka kepada wakil liberal), namun golongan liberal dan sekular mengambil keputusan untuk memboikot jawatankuasa tersebut dan membawanya ke muka pengadilan. Tindakan tersebut diikuti pula oleh wakil dari universiti al-Azhar dan gereja Koptik yang telah dipilih khas untuk menggangotai jawatankuasa tersebut sebagai tanda protes dominasi sesetengah pihak ke atas jawatankuasa berkenaan. Melihat kepada suasana tidak stabil dan kekecohan tersebut, pihak berkuasa tentera  (SCAF) mengambil keputusan menggugut IM yang merupakan suara dominan di parlimen untuk membubarkan parlimen dan meletakkan kekuasaan sepenuhnya di bawah SCAF.

Bagi para pemerhati politik di Mesir, apa yang disuarakan oleh SCAF bukanlah sesuatu yang pelik. Sememangnya semenjak awal lagi tentera tidak dipercayai oleh rakyat kebanyakan dan juga golongan revolusioner di kalangangan pemuda dan professional. Malangnya, pihak IM yang inginkan agar revolusi tidak terlepas kepada golongan bukan Islamis telah mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan pihak SCAF dan meletakkan kesemua harapan mereka mereka kepada SCAF. Bagi pihak revolusioner pada waktu itu, selagimanaSCAF masih berkuasa dan mengambil alih tugas presiden serta tidak melepaskan kuasa mereka kepada rakyat, maka tujuan utama revolusi tidak tercapai. Malangnya pada waktu itu dan juga sewaktu pilihanraya umum Mesir sibuk berjalan, pihak IM tidak memperdulikan kerisauan dan juga kebimbangan pihak revolusioner. IM bertambah yakin dengan temtera apabila mereka berjaya memenangi hampir separuh dari kerusi parlimen tanpa ada campur tangan dari SCAF, malah disambut baik oleh SCAF.

Walau bagaimanapun IM agak tersentak apabila parlimen yang mereka kuasai tidak berperanan sepenuhnya. Parlimen tidak berhak membuat keputusan besar, malah tidak berupaya membentuk kerajaan melalui kuasa eksekutif. Ini kerana perlembagaan Mesir memberikan kausa pembentukan kerajaan hanya kepada presiden, yang kini tugasnya diambil alih oleh SCAF. Maka pentadbiran kerajaan dan juga perjalanan negara ditentukan oleh kabinet kerajaan yang telah dilantik oleh pihak SCAF, di mana kebanyakan menteri-menteri tersebut merupakan wajah-wajah dari rejim yang lama. Hal ini bertambah parah apabila kerajaan yang berkuasa tidak menunjukkan pentadbiran yang cekap, mungkin kerana mereka sedar mereka hanyalah kerajaan peralihan sahaj dan tidak dibebankan oelh tanggungjawab. Apabila kerajaan yang dipilih tidak efisien, yang menanggungnya bukanlah kerajaan tersebut, tetapi pihak IM yang dilihat menguasai parlimen. Sebilangan besar rakyat tidak menyalahkan kerajaan, tetapi menyalahkan IM yang dilihat sebagai pilihan mereka yang majoriti di parlimen. Inilah rupanya yang dimahukan oleh pihak SCAF.

Apabila IM tersedar, ianya sudah terlambat. Kini satu persatu krisis timbul di Mesir untuk IM dan juga revolusi dipersalahkan. Krisis kekurangan bahan bakar, krisis kekurangan minyak diesel di pasaran, krisis pekerjaan, krisis industri pelancongan yang semakin parah akibat imej Mesir yang bertambah buruk di mata antarabangsa kerana masih di bawah pemerintahan tentera, krisis pelaburan, krisis keselamatan dan keamanan, malah siri pegaduhan di antara peminat bola sepak juga pun telah menjadi isu nasional serta dipolitikkan. Akhirnya mereka tersedar bahawa pihak SCAF bukanlah rakan yang jujur, dan akhirnya mereka mengambil keputusan untuk memaksa SCAF agar memberikan sepenuhnya kuasa kepada rakyat dan kepada parlimen. Namun, pihak SCAF tetap enggan dan melenggahkannya sehinggalah kepada pilihanraya presiden, selaras dengan persetujuan IM di awalnya yang begitu percayakan bahawa SCAF akan melepaskan kuasa mereka selepas presiden dipilih.

 Di sebalik kegawatan ini, pihak parlimen, berdasarkan kuasa penggubalan undang-undang yang mereka ada, meneruskan agenda penggubalan perlembagaan yang baru selaras dengan mandat yang telah rakyat berikan kepada mereka. Maka, di sinilah pihak IM dan golongan Salafi mula ingin menunjukkan kekuatan mereka kepada rakyat dan pihak SCAF. Di dalam penubuhan jawatankuasa penggubalan perlembagaan, kedua-dua pihak ini telah mendominasi kerusi-kerusi yang telah diperuntukkan serta mengundang kritikan pihak minoriti. Pihak SCAF yang sememangnya menunggu kesempatan seumpama itu telah menangguk di air yang keruh dengan mengancam untuk membubarkan parlimen dan meletakkan negara sepenuhnya di bawah kekuasaan tentera.
 
Sewaktu saya masih berada di Mesir, pencalonan Ir. Khayrat Shater masih lagi belum muktamad dan masih lagi sekadar cadangan dan khabar angin. Pada waktu itu, kelihatan majlis tertinggi IM, iaitu Maktab Irshad dan juga Majlis Shura IM yang diwakili oleh perwakilan IM dari seluruh Mesir bersidang dengan begitu kerap sekali. Ini dapat dilihat ketika kunjungan saya sebanyak tiga kali ke ibu pejabat bari pertubuhan tersebut di Moqatam, Kaherah. Di peringkat parti juga, parti milik mereka, FJP juga tidak kurang sibuknya. Hal ini timbul setelah pihak SCAF yang sebelum ini mempunyai hubungan yang baik dengan IM sewaktu dan selepas pilihanraya parlimen berlangsung telah menukar sikap mereka untuk berkonfrantasi dengan IM. Hal ini timbul setelah IM menyedari bahawa pihak tentera tidak mahu melepaskan kuasa mereka dengan membenarkan parlimen membentuk kabinet baru unutk meneraju kerajaan Mesir seperti yang telah disebutkan sebelum ini.

Walaupun pada asalnya, IM berjanji kepada rakyat Mesir untuk tidak meletakkan calon mereka di dalam pilihanraya presiden yang bakal menjelang, namun mereka terpaksa melanggar janji tersebut. Demi menyelamatkan negara Mesir dari terus dikuasai oleh tentera, mereka telah mencalonkan Ir. Khayrat Shatir pada penghujung bulan Mac. Pengumuman telah dilakukan oleh Murshidul Am Ikhwan sendiri, iaitu Dr Mohammad Bade’. Hal ini telah memeranjatkan banyak pihak, termasuk dari kalangan ahli IM sendiri. Walaupun majoriti ahli IM akan mengambil sikap taat dan patuh kepada kepimpinan mereka, namun sebilangan besar mereka terpkasa melakukannya dengan hati yang berat. Melalui wawancara yang telah saya lakukan bersama anggota-anggota IM samada dari kalangan pemuda, kepimpinan di peringkat pertengahan, mahupun dari kalangan professional, kebanyakan mereka secara peribadi lebih memilih Dr Abul Futouh untuk menjadi presiden Mesir. Kabanyakan dari golongan muda IM sememangnya meminati dan juga mengkagumi Abul Futouh yang merupakan seorang pemimpin politik berkarismatik semenjak zaman beliau menjadi pelajar universiti di tahun 70’an lagi samada di peringkat nasional mahupun di peringkat antarabangsa.

Bagi ramai para pengkaji politik Mesir, tindakan IM ini hanya akan mengundang reaksi dari pihak non-Islamis untuk bersatu dan mendokong Amru Mousa atauun wakil dari pihak SCAF, iaitu Omar Suleyman. Ramalan ini Nampak ada asasnya memandangkan undi rakyat kepada calon Islamis akan terbagai kepada tiga calon besar, iaitu Hazem Abu Ismail yang begitu popular di kalangan golongan Salafi dan juga orang ramai dengan jentera kempen dan juga imej bapanya sebagai mantan ahli politik Ikhwan dan ahli parlimen Mesir yang terkenal; Dr Abul Futouh yang mendapat sokongan kebanyakan pemuda; dan juga Shater yang bakal mendapat sokongan padu dari anggota Ikhwan. Manakala Mousa atau Omar pula akan didokongi penuh oleh pihak sekular, pihak koptik dan juga pihak liberal dan SCAF. Berdasarkan senario ini, ramai pemerhati politik Mesir merasakan tindakan IM ini tidak tepat pada masanya.

Ada juga tuduhan liar mengatakan bahawa apa yang berlaku adalah merupakan pakatan di antara IM dengan pihak SCAF. Teori konspirasi ini ditimbulkan oleh sesetengah golongan jurnalis di MEesir dan juga segelintir golongan revolusioner yang tidak berpuas hati dengan sikap IM yang begitu lunak dengan tentera serta tidak mengambil kira pengalaman mereka diperdayakan oleh pihak tentera di bawah pimpinan Gamal Abdul Naser pada tahun 1954 dahulu. Namun tuduhan ini terlalu sukar untuk diterima memandangkan hubungan IM dengan SCAF begitu keruh dan diketahui umum ianya ibarat retak menanti belah. Walaupun IM seakan lunak dengan tentera sewaktu pilihanraya berlangusng dan juga selepas pilihanraya, namun mutakhir ini hubungan itu telah berubah. Desakan IM agar kabinet kerajaan pimpinan Ganzawi yang dibentuk oleh SCAF dimansuhkan dilihat oleh tentera sebagai usaha mencabar kuasa tentera. Begitu juga ugutan SCAF untuk membubarkan parlimen juga sebagai bukti bahwa teori konspirasi ini tidak berasas.

Apakah dengan u-turn ini, IM yakin Ir. Shater, seorang jutawan dan mantan naib murshidul ‘am boleh memenangi pilihanraya presiden? Walaupun Shater seorang yang karistmatik dan berdedikasi, namun kebolehannya tidak pernah terbukti di luar organisasi yang dianggotainya sahaja, dan lebih berkisar di dalam organisasinya di dalam Mesir sahaja. Pelbagai pihak juga mempertikaikan kondisi kesihatan Shater yang mengihdap sakit jantung dan diabetik. Tahap kondisi kesihatan beliau pernah mendapat perhatian Amnesty International sewaktu beliau dipenjarakan oleh rejim Mubarak pada sekita 2007-2009. Namun, bagi IM, calon yang mereka sifatkan sebagai ‘Nabi Yusuf bagi Mesir’ (berdasarkan kemampuannya untuk memulihkan ekonomi Mesir sepertimana yang pernah dilakukan oleh Nabi Yusuf di zamannya seperti yang telah disebutkan di dalam al-Quran) mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Sebagai seorang korporat yang Berjaya, memiliki 7 ijazah di dalam pelbagai bidang, dipenjarakan lebih 15 tahun, dan juga pemimpin kanan pertubuhan tersebut, Ir. Shater dilihat lebih dari berkemampuan untuk menjadi presiden Mesir bagi pihak IM.

Persoalannya, apakah dengan reputasi IM di kalangan rakyat, golongan revolusioner, golongan muda dan juga para jurnalis dan pemerhati politik yang agak terjejas kerana u-turn mereka boleh meyakinkan rakyat untuk memilih Ir. Shater?

Tidakkan IM ingin peduli kepada nasihat Dr Yusuf al-Qaradawi bahawa IM perlu menerima semula Dr Abdel Mon’em Abul Futouh serta mengadakan perbincangan kesemua calon Islamis untuk jawatan presiden agar mereka bersepakat mengemukakan satu nama, dan meletakkan yang lainnya sebagai naib-naib presiden demi kebaikan Islam, rakyat dan negara Mesir?

Apa yang pasti, inilah kali pertamanya IM berada di dalam dilemma untuk berhadapan dengan pilihanraya pemilihan presiden Mesir yang demokratik dan lebih baik berbanding pilihanraya rekaan dan penipuan pada zaman rejim-rejim yang berkuasa di bumi Mesir sepanjang 84 tahun umur mereka di persada perjuangan.


Pilihanraya Presiden Mesir: Siapakah Juaranya?


Pilihanraya Presiden Mesir: Siapakah Juaranya?

Maszlee Malik

Sewaktu saya menjalankan kajian di Mesir pada pertengahan bulan sehingga hujung bulan Mac yang lalu, masyarakat Mesir terlalu sibuk dengan banyak perkara. Antara perkara yang utamanya ialah kekurangan bekalan bakar di pasaran. Selain daripada itu, kehadiran pelancong asing yang telah jauh berkurangan telah menjejaskan mata pencarian sebilangan besar penduduk Mesir, yang mana industri pelancongan merupakan di antara industri utama di negara Firaun tersebut. Keadaan ekonomi yang tidak stabil selepas revolusi juga telah menyebabkan rakyat bawahan ramai yang mula sangsi mengenai keberkesanan revolusi dan untungnya kepada kehidupan mereka.

Jika itu halnya bagi masyarakat bawahan, bagi golongan pertengahan ke atas, mereka lebih sibuk dengan keadaan politik Mesir yang begitu gawat. Biarpun kebebasan daapt dirasakan di seluruh Mesir berbanding tahun-tahun ataupun dekad-dekad sebelumnya, namun ianya tidak menjamin kestabilan politik negara berkenaan. Dua isu utama yang menjadi tajuk perbincangan di seluruh negara Mesir, iaitu isu jawatankuasa penggubalan perlembagaan baru Mesir dan juga pilihanraya presiden Mesir. Buat pertama kalinya semenjak zaman Firaun barangkali, rakyat  Mesir merasakan mereka dihak upayakan untuk menentukan masa depan mereka sendiri di dalam kedua-dua isu tersebut. Hal ini dapat dirasakan melalui wawancara rambang bersama masyarakat Mesir dari pelbagai lapisan dan latar belakang.

“Inilah kali pertama kami tidak tahu siapakah yang paling layak untuk menjadi presiden Mesir, tetapi yang menariknya, kamilah yang akan membuat pilihan tersebut!”, ini merupakan jawapan yang seragam diberikan oleh rakyat Mesir jika ditanyakan tentang perasaan mereka mengenai pilihanraya presiden yang bakal menjelang. Pihak berkuasa tentera yang menguasai negara berkenaan menjanjikan bulan Jun sebagai tarikh pilihanraya yang bakal menentukan masa depan Mesir. Mana tidaknya, presiden mempunyai kuasa mutlak untuk membentuk kerajaan menurut perlembagaan Mesir, dan bukannya parlimen. Sebab itulah, walaupun parti al-Huriyyah wal ‘Adalah (FJP), sayap politik kumpulan Ikhwanul Muslimun (IM) memenangi majority kerusi parlimen, namun mereka tidak mempunyai kuasa untuk membentuk kabinet.

Berbalik kepada pilihanraya presiden, rakyat Mesir kini menyaksikan buat kali pertamanya pertandingan sebenar jawatan yang paling penting di dalam negara pengeluar kapas terbesar di Afrika itu. Sehingga tarikh kini, terdapat lebih seratus nama yang menawarkan diri untuk bertanding di dalam pilihanraya tersebut. Walau bagaimanapun tumpuan rakyat adalah lebih kepada calon-calon ‘heavyweight’ yang telah menyerikan suasana pilihanraya yang bakal menjelang tersebut. Malah di kalangan ‘heavyweight’ tersebut, terdapat saki baki fuloul (tali barut) rejim Mubarak seperti mantan menteri luar dan juga pengerusi liga Arab, Amru Musa; mantan menteri pelancongan kabinet Mubarak, Ahmad Syafiq, anggota parti Mubarak yang lama, Hamdin Sabahi, Omar Suleyman, calom tentera dan juga beberapa wakil liberal. Walau bagaimanapun kebanyakan mereka dilihat sebagai ‘underdog’ berbanding calon-calon Islamis yang dijangkakan bakal mendapatkan undi majoriti dari rakyat berdasarkan pencapaian cemerlang golongan Islamis yang telah berjaya menguasai dua pertiga daripada kerusi parlimen pada pilihanraya umum yang lalu.

Tumpuan yang diberikan samada oleh media tempatan ataupun di rantau Arab pula ialah kepada calon-calon ‘besar’ dari arus Islam, seperti mantan pimpinan kanan kumpulan Ikhwanul Muslimun yang telah dipecat dari kumpulan tersebut kerana mencalonkan dirinya untuk bertanding jawatan presiden, iaitu Dr Abdel Monem Abul Futouh; serta calon yang paling glamer, Hazem Salah Abu Ismail, iaitu calon dari arus Salafi yang berlatarbelakangkan Ikhwan, di mana bapanya merupakan di antara anggota aprlimen Ikhwan yang terkenal; calon kelompok intelek Mesir, iaitu Dr Muhammad Salem al-Ewwa, yang juga merupakan mantan setiausaha persatuan Ulama sedunia di bawah pimpinan Dr Yusuf al-Qaradawi; dan yang terkini calon dari IM, iaitu Ir. Khayrat Shater. Di kalangan mereka semua, ternyata gerakerja kempen dan juga populariti yang paling tinggi sehingga hari ini adalah di pihak Hazem Abu Ismail. Malah jika kumpulan Salafi memberikan sokongan kepada beliau, beliau dilihat mempunyai potensi yang amat besar untuk memenangi pilihanraya tersebut. Malangnya sehingga hari ini, kumpulan Salafi masih tidak bersatu suara di dalam memberikan sokongan kepadanya.

Sewaktu saya masih berada di Mesir, pencalonan Ir. Khayrat Shater masih lagi belum muktamad dan masih lagi sekadar cadangan dan khabar angin. Pada waktu itu, kelihatan majlis tertinggi IM, iaitu Maktab Irshad dan juga Majlis Shura IM yang diwakili oleh perwakilan IM dari seluruh Mesir bersidang dengan begitu kerap sekali. Ini dapat dilihat ketika kunjungan saya sebanyak tiga kali ke ibu pejabat bari pertubuhan tersebut di Moqatam, Kaherah. Di peringkat parti juga, parti milik mereka, FJP juga tidak kurang sibuknya. Hal ini timbul setelah pihak tentera yang sebelum ini mempunyai hubungan yang baik dengan IM sewaktu dan selepas pilihanraya parlimen berlangsung telah menukar sikap mereka unutk berkonfrantasi dengan IM. Hal ini timbul setelah IM menyedari bahawa pihak tentera tidak mahu melepaskan kuasa mereka dengan membenarkan parlimen membentuk kabinet baru unutk meneraju kerajaan Mesir.

Malah lebih parah lagi, pihak berkuasa tentera (SCAF) yang memegang tampuk kuasa menggantikan presiden telah menunjukkan taring mereka dengan mengugut untuk membubarkan parlimen lewat pertelingkahan yang timbul di antara pihak Ikhwan dengan mereka berkaitan jawatankuasa penggubalan perlembagaan yang baru. Isu tersebut timbul apabila pihak Islamis di parlimen, iaitu IM dan juga golongan Salafi dari Hizb al-Nour telah mendominasi jawatankuasa perlembagaan baru Mesir (dengan 48 peratus wakil dari 100 orang yang teah dipilih). Hal ini telah menyebabkan sesetengah pihak tidak berpuas hati lantas meninggalkan jawatankuasa berkenaan dan memboikotnya termasuk wakil dari al-Azhar dan gereja Koptik. Lebih parah lagi, mereka telah membawanya ke muka pengadilan untuk dibubarkan dan ditubuhkan jawatankuasa baru yang dianggotai oleh semua pihak dan bukan didominasi oleh puak Islamis semata-mata. IM menyedari bahawa pihak SCAF hanya menangguk di air yang keruh. Melihat kepada kuasa tentera yang tidak terbatas, dan juga keengganan tentera menyerahkan kuasa kepada rakyat, pihak IM telah membuat keputusan yang drastik berkaitan pilihanraya presiden.

Walaupun pada asalnya, IM berjanji kepada rakyat Mesir untuk tidak meletakkan calon mereka di dalam pilihanraya presiden yang bakal menjelang, namun mereka terpaksa melanggar janji tersebut. Demi menyelamatkan negara Mesir dari terus dikuasai oleh tentera, mereka telah mencalonkan Ir. Khayrat Shatir pada penghujung bulan Mac. Pengumuman telah dilakukan oleh Murshidul Am IM sendiri, iaitu Dr Mohammad Bade’. Hal ini telah memeranjatkan banyak pihak, termasuk dari kalangan ahli IM sendiri. Walaupun majoriti ahli IM akan mengambil sikap taat dan patuh kepada kepimpinan mereka, namun sebilangan besar mereka terpkasa melakukannya dengan hati yang berat. Melalui wawancara yang telah saya lakukan bersama anggota-anggota IM samada dari kalangan pemuda, kepimpinan di peringkat pertengahan, mahupun dari kalangan professional, kebanyakan mereka secara peribadi lebih memilih Dr Abul Futouh untuk menjadi presiden Mesir. Kebanyakan dari golongan muda IM sememangnya meminati dan juga mengkagumi Abul Futouh berdasarkan kepimpinannya yang karismatik serta pengalaman beliau yang lama di dalam bidang politik semenjak zaman pelajar di tahun 70’an lagi sehinggalah hari ini samada di peringkat nasional mahupun di peringkat antarabangsa.

Agak ramai dari kalangan IM dan juga Islamis yang bukan IM (samada dari parti Wast ataupun mereka yang tidak berparti) agak tidak berpuas hati dengan tindakan IM melanggar janji mereka. Jikalaulah Abul Futouh telah dipecat dari IM kerana pendirian mereka sendiri pada mulanya tidak mahu meletakkan calon dari kalangan ahlinya, mengapakah kini mereka melakukan u-turn? Bukankah cukup untuk mereka sekadar menyatakan sokongan kepada Abul Futouh? Hal ini telah disinggung oleh ahli veteran IM dan juga mantan jurucakap Ikhwan di UK, Dr Kamal Helbawy. Malah beliau mengambil langkah drastik dengan melucutkan keahlian Ikhwannya sebagai tanda protes. Di dalam nada yang sama, Dr Yusuf al-Qaradawi, yang dilihat sebagai lambang keilmuan Islam dan juga rujukan agama bagi pertubuhan IM juga telah menyatakan perkara yang serupa. Beliau lebih selesa jika IM tidak meletakkan calon mereka dan memberikan pilihan kepada anggotanya untuk membuat pilihan, di mana pastinya mereka akan menyokong Abul futouh. Al-Qaradawi juga mencadangkan agar kesemua calon-calon dari pihak Islamis untuk duduk semeja, berunding untuk mencapai kata sepakat dan mewujudkan jawatan timbalan presiden dengan lebih banyak sepertimana halnya IM yang mempunyai tiga orang naib murshidul ‘Am.

Persoalannya, selepas IM membuat keputusan yang drastik ini, wajah pertandingan pilihanraya presiden sudah berubah berbanding minggu-minggu dan yang lalu. Itulah dinamiknya politik di Mesir yang agak sukar dijangka. Apakah perjalanan seterusnya pilihanraya presiden Mesir yang pertama pasca revolusi 25 Januari ini nanti? Apakah pihak tentera akan masuk campur, atau sekadar membiarkan golongan Islamis mengambil alih tampuk pemerintahan negara Mesir dengan mudah? Apakah ada kuasa luar, terutamanya AS yang akan mencorakkan perjalanan pilihanraya tersebut nanti? Atau apakah calon-calon Islamis akan berupaya untuk duduk semeja membuat pakatan agar undi golongan Islamis tidak terpecah dan akhirnya akan menguntungkan pihak liberal dan sekular?

Agak sukar untuk meramalkannya kerana segalanya mungkin berlaku, dan ibarat kata kebanyakan rakyat Mesir yang saya temui: “Inilah kali pertama kami tidak tahu siapakah yang paling layak untuk menjadi presiden Mesir, tetapi yang menariknya, kamilah yang akan membuat pilihan tersebut!”,