Pasca Revolusi: Turki sebagai kuasa baru di Asia Barat
Di awal pertabalan Presiden Barack Obama sebagai presiden Amerika Syarikat (AS), beliu telah menegaskan prinsip baru yang akan diperkenalkan oleh beliau berhubung dasar luar negaranya. Jika presiden Bush sebelumnya telah menggadaikan prinsip demokrasi dan kebebasan (liberty) dan menggantikannya dengan prinsip keselamatan (security) dalam Negara, Obama pula telah mengambil pendekatan yang agak berbeza. Penegasan beliau tentang berakhirnya hegemoni sebuah kuasa di dalam dunia dan diganti dengan kepelbagaian sistem antarabangsa (multilateral international system) telah memberikan bayangan terhadap sikap AS di dalam isu-isu antarabangsa di zaman pentadbirannya.
Kini, sewaktu berlangsungnya revolusi (dan ada yang menamakan sebagai kebangkitan) di negara-negara Arab, dasar luar Obama terserlah. Dasar luar presiden dari parti demokrat ini hampir menyerupai dasar yang pernah diambil oleh Jimmy Carter yang telah membawa kepada kebangkitan Islam di seluruh dunia Islam di tahun-tahun 70’an dan kemuncaknya dengan revolusi Islam Iran pada tahun 1979. Persamaan dasar luar kedua-dua presiden AS dari parti Demokrat ini telah membawa kepada lanskap baru politik di Timur Tengah, malah kepada dunia. Menariknya, kedua-dua presiden tersebut konsisten dengan pendirian dan juga ideologi mereka, berbanding dengan pentadbiran presiden-presiden dari parti Republican. Jikalaulah Bush atau mana-mana presiden AS dari parti Republican berkuasa pada hari ini, belum tentu Mubarak dan Ben Ali akan berada di mana beliau berada hari ini. Dasar Obama ini sekaligus memudahkan lagi teori domino berkaitan kebangkitan umat Arab dan kejatuhan rejim-rejim diktator di Asia Barat dan Utara Afrika untuk berlaku. Keadaan di Libya yang terang-terangan mencabuli hak asasi manusia dan nilai kemanusiaan pun tidak dapat mengundang AS untuk campurtangan sepertimana yang pernah dilakukan oleh presiden Bush ke atas Saddam di Iraq dan Taleban di Afghanistan.
Dasar luar Obama yang agak pasif berbanding pentadbiran Bush ini telah mengundang kemunculan kuasa diplomatik dan kuasa geo-politik baru di rantau berkenaan untuk muncul, iaitu Turki. Sebagai negara di tangga ke-16 di dalam pencapaian ekonomi di peringkat dunia, dan juga negara ke-6 sebagai kausa ekonomi di peringkat Eropah, Turki mempunyai banyak lagi kelebihan lain untuk menjadi pengganti AS sebagai broker perdamaian dan juga kuasa pengimbang di rantau Asia Barat dan Utara Afrika. Kelebihan Turki sebagai anggota NATO, anggot aktif OIC, ahli G20, dan juga anggota negara-negara D8 menjadikan negara tersebut lebih daripada layak untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh AS. Para penganalisis politik antarabangsa kebanyakannya melihat dasar luar Turki pada hari inilah yang menjadi antara faktor lain kepada kemunculan Turki sebagai kuasa baru. Lebih unik hubungan Turki-Amerika di dalam isu-isu di Asia Barat dan Utara Afrika boleh diungkapkan sebagai hubungan frenemy (friend-enemy) seperti yang diungkapkan di dalam buku Charles Kuplan, ‘How Enemies Become Friends’. Sungguhpun Obama menyifatkan keunikan hubungan AS-Turki di dalam fasa baru in sebagai ‘model partnership’, hakikatnya peranan yang dimainkan Turki dewasa ini telah menjadikan mereka rakan yang lebih dipercayai oleh negara-negara jirannya berbanding AS yang lebih dilihat sebagai ‘Big Brother’.
Kemampuan Turki untuk menjadi sebuah kuasa geo-politik di rantau tersebut boleh dilihat kepada kejayaannya di dalam bidang ekonomi serantau. Penstrukturan semula sistem politik dan ekonomi Turki semenjak parti AK berkuasa menurut formula IMF telah berjaya meningkatkan KNK mereka (dari -9.5% pada tahun 2001, kepada 9.9% pada tahun 2004, dan konsisten pada tahap 7.8% untuk tahun 2010) dan telah berjaya mengundang FDI ke dalam negara Turki. Turki juga telah dikategorikan oleh Bank Dunia sebagai negara maju, dan dikategorikan oleh majalah the Economist sebagai ‘kuasa ekonomi yang sedang muncul’. Komitment Turki terhadap ekonomi pasaran juga dapat dilihat dari dasar luar mereka yang telah berjaya meningkatkan hubungan dagang dengan negara-negara jiran, keterlibatan aktif mereka di dalam FTA yang melibatkan EU-Mediteranean, peranan utama mereka di dalam D8 dan juga aktiviti dagang serta pelaburan mereka dengan negara-negara di Asia Barat dan Utara Afrika.
Di dalam waktu yang sama, melalui dasar luar Turki yang baru, negara tersebut telah diterima oleh pihak-pihak bertelagah di rantau Asia Barat dan Mediteranean sebagai orang tengah (mediator). Mereka juga telah berjaya menguruskan isu dalaman yang sensitif dengan melibatkan pihak ketiga secara damai, seperti isu Armenia, isu Cyprus dan juga isu puak pemisah Kurdi. Turki di fasa baru ini juga telah berjaya mengikat jiran-jirannya dengan peningkatan hubungan dagang, seperti membuka sempadannya untuk Syria dan negara-negara strategik yang lain demi mengurangkan konflik yang telah lama membelenggu. Turki juga bersikap pro-aktif dengan mengadakan pertukaran dagang nuklear (uranium)-petrol dengan Iran (melalui Tehran Research Reactor) bersama dengan Brazil di waktu negara-negara lain di rantau tersebut melihat Iran sebagai ancaman utama. Turki juga berani untuk mengiktiraf aktor bukan negara di dalam suasana konflik seperti HAMAS dan Hezbollah, tetapi di dalam waktu yang sama tetap menjada hubungan diplomasi dan dagang dengan rejim Zionis Israel. Sungguhpun demikian, Turki tetap konsisten dengan isu-isu berhubung hak asasi dan demokrasi. Ini dapat dilihat jelas di dalam isu Gaza 2008, isu flotilla, dan juga yang terkini isu berhubung dengan kebangkitan rakyat Arab menentang rejim diktator. Turki telah menyatakan sokongan mereka kepada rakyat yang bangkit dan mengecam pihak diktator yang menindas rakyat mereka, lebih cepat sebelum AS mengeluarkan kenyataan rasmi mereka. Walaupun Turki mempunyai kepentingan dagang, contohnya seperti di Libya (dengan pelaburan Turki di sana yang mencapai USD 15 bilion), namun mereka tetap konsisten mengecam rejim Gadaffi yang telah membunuh rakyat Libya yang tidak berdosa.
Dasar yang telah membentuk hubungan luar Turki pada hari ini semenjak tahun 2003 lagi telah diilhamkan oleh menteri luarnya kini, Dr Ahmet Davotoglu, yang juga mantan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau telah menjadi penasihat kepada PM Turki, Erdogan semenjak tahun 2003, dan akhirnya telah dilantik menjadi Menteri luar Turki pada tahun 2009. Pengalaman beliau sebagai ahli akademik, pemikir dan juga pakar di dalam bidang politik ekonomi dan hubungan luar telah menjadikan dasar yang dihasilkannya itu mempunyai nilai falsafah yang tersendiri berbanding dengan dasar-dasar luar Turki sebelum ini. Hubungan luar Turki yang diformulakan oleh Dr Ahmet Davutoglu itu menjangkaui pengamalan dan pemahaman sistem antarabangsa yang konvensional.
Menurut Davotoglu di dalam artikel beliau di majalah Foreign Policy (10 Mei 2010), pendekatan dasar luar Turki itu beroperasi berteraskan lima prinsip utama yang konsisten: Keseimbangan di antara persoalan keselamatan (security) dan demokrasi yang melibatkan isu kebebasan individu, hak asasi manusia dan juga kedaulatan undang-undang; keduanya, dasar luar Turki adalah berpaksikan ‘Zero conflicts’ (konflik sifar) di dalam hubungan mereka dengan negara-negara jiran dan negara-negara lain di rantau Asia Barat, Mediteranean, Eropah dan Afrika Utara; paksi ketiga yang menjadi tunjang dasar luar Turki juga ialah ‘Usaha diplomatic yang pro-aktif dan pre-emptif’ dengan menekankan kepada soft power dan pedagangan untuk mendamaikan dua pihak yang bertelagah; di samping ‘Pendekatan pelbagai dimensi di dalam polisi luar’ (multi-dimensional foreign policy) sebagai senjata utama meningkatkan hubungan diplomatik dengan negara-negara lain; dan yang lebih penting lagi ialah dasar ‘Rythmic diplomacy’ (diplomasi berirama) yang bermaksud keterlibatan aktif Turki di dalam segala pertubuhan dan kerjasama serantau dan antarabangsa, baik di dalam ruang kedamaian, persenjataan, perdagangan dan juga isu-isu kemanusiaan, kebudayaan dan pendidikan. Kelima-lima prinsip ini telah dijadikan formula hubungan luar Turki untuk dilihat sebagai rakan, mediator dan juga pihak yang dipercayai oleh semua pihak. Menurut Davutoglu juga, kelima-lima formula tersebut dilahirkan berteraskan tiga falsafah utama yang menjadi metod perlaksanaan dasar luar Turki, iaitu: Visionary (berwawasan), yang bermaksud dasar dan tindakan yang dilakukan oleh Turki bukanlah untuk jangka masa pendek, tetapi untuk mencapai wawasan yang jauh yang lebih mampan; keduanya, Consistent and Systematic (Sikap konsisten dan sistematik) di dalam hal-hal berhubung demokrasi, hak asasi manusia dan juga kebebasan (liberty); dan yang lebih utama ialah ‘Wacana dan pendekatan diplomatik yang baru (new discourse and diplomatic style) menerusi perluasan soft power demi memunculkan Turki sebagai kuasa ekonomi dan sivil yang baru di dunia.
Jika dilakukan penelitian dekonstruktif kepada dasar luar Turki yang diformulakan oleh Davutoglu di fasa baru ini, kita akan dapati konsistensi Turki kepada ide ‘liberal klasik’, di mana sistem ekonomi pasaran dan juga kepentingan ekonmi semua pihak dijadikan alat utama untuk menjamin kesejahteraan di dalam hbungan luar. Pihak-pihak yang berseteru dan mencurigai satu sama lain dijadikan rakan melalui kepentingan ekonomi bersama. Ide Multiple-modernities juga agak ketara di dalam pendekatan hubungan luar Turki, di mana kepelbagaian pihak peripheral telah cuba dijadikan kekuatan untuk membentuk centre yang baru di dalam sistem antarabangsa kini. Di sinilah dasar luar AS di bawah pentadbiran Obama telah memberikan manfaat secara tidak langsung kepada keberkesanan pendekatan menongkah arus Davutoglu. Kesimpulannya, tindakan kerajaan mengadakan hubungan dagang menerusi FTA dengan Negara Turki adalah tindakan yang amat tepat pada waktunya untuk jangkamasa yang panjang. Di dalam waktu yang sama, Malaysia juga mungkin perlu mempelajari pengalaman dan juga strategi Turki berhubung dasar luar yang ternyata setakat ini amat membuahkan hasil. Apakah mungkin juga, sepertimana Turki, Malaysia juga memerlukan seorang professor dari latar belakang akademik untuk menjadi arkitek hubungan luar Malaysia demi menghadapi lanskap politik dan ekonomi Asia Barat dan Utara Afrika yang baru?
No comments:
Post a Comment