Sunday, 21 August 2011

Adakah masjid-masjid kita mesra OKU?




Adakah masjid-masjid kita mesra OKU?

Hari ini saya dipertemukan oleh Allah SWT dengan Anthony Siva Balan, ahli Majlis MBPJ yang boleh dikategorikan sebagai OKU. Beliau yang berkerusi roda telah berkongsi dengan para hadirin sebuah forum yang kami bersama menjadi ahli panel di salah sebuah hotel di ibu kota. Apa yang menyentuh hati saya dari perkongsian Anthony ialah mengenai sikap tidak mesra tempat-tempat ibadat agama terhadap golongan OKU yang merupakan 15% daripada populasi rakyat Malaysia.

Hal ini menyebabkan saya membuat refleksi terhadap masjid-masjid yang menjadi tempat ibadat dan (sepatutnya menjadi) pusat komuniti masyarakat Islam. Setakat ini, di kebanyakan masjid-masjid yang pernah saya kunjungi, saya tidak pernah melihat kemudahan untuk OKU, terutamanya bagi mereka yang berkerusi roda dan cacat penglihatan. Lebih parah lagi, ada di antara masjid yang menjadi 'no-go area' bagi para OKU kerana bentuk fizikalnya yang bertangga tinggi dan tidak mempunyai lif. OKU juga tidak mempunyai tandas khas bagi mereka di masjid-masjid yang sepatutnya menjadi hak asasi mereka sebagai manusia. Bahkan, saya terbayangkan apakah jamaah masjid akan boleh bertolak ansur untuk kerusi roda memasuki ruang solat masjid?

Hal ini mengimbau kenangan saya sewaktu menjadi Presiden Durham University Islamic Society yang menjadi wadah utama masyarakat Islam di bumi Durham, di utara England. Kami mempunyai beberapa orang jamaah yang OKU, dan dua orang jamaah yang berkerusi roda. Keadaan fizikal bangunan masjid yang merupakan sebuah bangunan mantan kilang gula-gula di belakang sebuah pub terkenal di bandar Durham tidak membenarkan kami untuk membuat apa-apa pengubah-suaian seperti yang sepatutnya. Walaupun kami sebagai Islamic Society berkali-kali meminta agar pihak universiti menyediakan tandas khas untuk OKU dan juga laluan masuk, namun sehingga kini, pihak bertanggungjawab tidak dapat menunaikannya. Ya, keadaan fizikal bangunan menjadi masalahnya, tetapi mereka menyediakan kemudahan alternatif, iaitu laluan mudah alih untuk digunakan. Manakala tanda pula, pihak pub dengan sukarela membenarkan penggunaan tandas milik mereka.

Kini, persoalan masih lagi berlegar di dalam fikiran saya. Apakah masjid menjadi tempat 'terlarang' bagi para OKU? Apakah pihak berkuasa agama gagal memahami keperluan OKU? ataupun OKU tiada tempat di dalam masyarakat Islam? Bukankah mereka perlu mengahdiri solat berjemaah? bukankah mereka perlu menghadiri solat jumaat dan solat-solat sunat 'eid?

Apakah jika bangunan-bangunan gereja lebih mesra OKU, kita akan marahkan OKU yang pergi ke sana, sedangkan masjid-masjid tidak bersikap sedemikian?

1 comment:

  1. asalamualaikum.
    mohon keizinan untuk dikongsi ke facebook ya.

    ReplyDelete