Monday, 5 September 2011

Seruan ke arah perubahan untuk mahasiswa Jordan


Seruan ke arah perubahan untuk mahasiswa Jordan

* Artikel ini merupakan sebahagian dari kertas kerja Dr Maszlee Malik yang dibentangkan bersempena dengan PERTAMA tahun 2010 di Universiti Mutah, Jordan.

Peluang yang saya tempuhi untuk hidup sebagai siswa universiti di timur tengah, menjadi tenaga pengajar di universiti tempatan, menjadi penuntut pasca siswazah di bumi UK dan juga peluang bersama para siswa Malaysia di Jepun memberikan satu pandangan holistik mengenai perbezaan orientasi para graduan yang mempunyai latar belakang pendidikan berbeza ini. Bukan sekadar itu sahaja, malah hatta orientasi para siswa di timur tengah yang dididik di negara-negara yang berbeza juga memperlihatkan kualiti (yang agak subjektif) graduan yang berbeza. Graduan Jordan berbeza dengan Mesir, Mesir berbeza dengan Saudi, Saudi berbeza dengan Syria, Syria berbeza dengan Yaman, Yaman berbeza dengan Maghribi dan begitulah seterusnya.

Jika dulu para siswa lebih mudah dibentuk kesatuan pemikiran melalui proses indoktrinisasi kumpulan-kumpulan tertentu, kini tidak lagi. Revolusi IT telah merubah segala-galanya. Umpama penduduk Arab di timur tengah pasca al-Jazeera yang kini telah mula nampak dunia dan mula berbicara tentang demokrasi dan hak asasi rakyat dan warga, begitu jugalah para siswa. Jika dilihat kepada blog-blog yang dihasilkan oleh para penuntut Malaysia di serata dunia, bagaikan ada semacam pendemokrasian bersuara di alam virtual yang agak sukar dilihat di alam nyata. Realiti ini menjadikan gerakan mahasiswa di luar negara terutamanya semakin rancak dan semakin berwarna-warni. Di dalam keterbatasan ruang kertas kerja ini, saya ingin melontarkan beberapa pandangan dan cadangan demi melonjakkan perubahan pada siswa Jordan demi menyertai alam kehidupan yang sebenar di Malaysia nanti. Pandangan ini tidak semestinya semuanya tepat, benar dan bernas untuk diikuti. Terserah kepada para siswa untuk menilai dan juga menyikapinya dengan penuh kritis, analatikal dan konstruktif. Jika ada yang baik ambillah, dan jika ada yang tidak baik, maka tinggalkanlah.


Hidup di atas semangat ‘Islah

Di antara tema utama al-Quran untuk dihayati oleh umat Islam adalah prinsip ‘Islah’ ataupun ‘perubahan ke arah kebaikan’. Konsep ini bertepatan dengan konsep ‘ubudiyyah’ yang difahami melalui kerangka pandangan dunia Tauhid. Konsep ini juga merupakan tuntutan kepada Muslim untuk sentiasa berusaha memastikan kesinambungan pemahaman Tauhid di kalangan pendokong agama kebenaran akan terus kekal. Ia juga berperanan di dalam menjamin kesejahteraan hidup manusia sekeliannya. Menurut etimologinya, Islah merupakan lawan kepada ‘Ifsad’ (perubahan ke arah kerosakan, kehancuran dan kemusnahan). Islah disebut di dalam al-Quran sebanyak 44 kali, di dalam 38 ayat dan 16 surah. Kebanyakan ayat yang menyebutkan Islah, samada memadankan ianya dengan taqwa, iman, taubat mahupun amal soleh. Islah juga disebutkan sebagai lawan kepada ifsad. Muslihun adalah gelaran bagi mereka yang berterusan membawa mesej Islah, manakal Mufsidun adalah akronimnya.

Proses Islah yang disebutkan di dalam al-Quran mempunyai 3 peringkat. Samada Islah kepada diri[1], Islah di dalam hal-hal kekeluargaan[2] dan juga Islah sebagai tema dan ciri sesebuah masyarakat[3]. Islah juga merupakan tema asasi perutusan para Nabi dan Rasul. Pendekata, Islam sepertimana yang telah diturunkan oleh Allah SWT ke atas manusia sekeliannya melalaui para Nabi dan Rasul mempromosikan Islah secara hebat. Islah adalah tugas utama para Khalifah di muka bumi sebagai manifestasi kepada pandangan dunia Tauhid mereka. Tanpa Islah, proses ubudiyyah tidak akan berlaku secara berterusan dan diwarisi turun temurun. Tema Islah ini juga sepatutnya menjadi prinsip utama para siswa di dalam kehidupan mereka. Islah menjadi prinsip hidup samada di dalam pelajaran, pencarian ilmu, aktivisme, dakwah dan juga kehidupan seharian. Logiknya seorang siswa Muslim itu sentiasa berusaha untuk memperbaiki hatinya, akalnya, ketrampilan diri, cara hidupnya dan juga cara mereka berinteraksi dengan alam dan manusia yang lain. Tanpa Islah, kehidupan seorang Muslim akan menjadi tidak ubah seumpama kehidupan manusia yang lain tanpa erti yang mendalam dan kesan terhadap dunia.

Demi memugarkan makna Islah di dalam kehidupan individu, para siswa hendaklah mempunyai beberapa agenda perubahan. Saya yakin, setiap individu yang ideal mempunyai agenda perubahan dan juga perancangan masa depan untuk diri sendiri. Lebih menarik lagi ialah kebiasaannya agenda tersebut sering berpaksikan sikap ukhuwwah dan di dalam kerangka ummah dan Islam. Perubahan yang paling penting sebenarnya bermula dari perubahan diri sendiri. Perubahan yang paling asasi ialah perubahan hati dan minda (ta’aqul dan tafakkur). Proses ta’aqul dengan hati (seperti di dalam surah al-Haaj, ayat 46) dan juga tafakkur dengan minda perlu berjalan seiring dan diterjemahkan kepada perbuatan, sikap dan juga rangka gerakerja. Islah juga perlu berlaku di dalam kelompok masyarakat, bermula dari kelompok homogenus dan seterusnya kepada kelompok merentasi budaya, agama dan juga sempadan geografi politik dan bahasa. Lontaran 10 Muwasafaat Muslim oleh al-Banna mungkin merupakan satu agenda dan program Islah menarik untuk direalisasikan oleh individual dan juga bersama jamaah serta masyarakat.

Berikutnya adalah lontaran ide saya kepada para mahasiswa Jordan sebagai bekalan untuk mereka melakukan islah, samada di bumi Jordan mahupun ketika pulang ke Malaysia nanti:


Membebaskan diri dari khurafat dan tahyul

Ketika Muhammad Abduh melancarkan ide ‘Tajdid’ dan ‘Islah’ beliau ke persada Mesir, beliau antara lain telah mengisytiharkan peperangan terhadap kemunduran minda umat Islam yang disebabkan oleh kepercayaan khurafat dan tahyul. Perjuangan beliau juga telah diteruskan oleh protegenya, Muhammad Rashid Redha, dan kemudian diwarisi oleh murid Rashid Redha, Hassan al-Banna yang juga telah menyentuh persoalan ini di dalam ‘Usul 20’ beliau, dan sentiasa dikumandangkan oleh Dr Yusuf al-Qaradawi di dalam tulisan-tulisannya di dalam mengkritik kemunduran umat[4]. Bukan hanya pemikiran-pemikiran seumpama itu telah menyekat perkembangan ilmu dan teknologi di Negara-negara Islam pada waktu itu, malah ia juga telah menjerumuskan umat Islam yang jahil majoritinya ke alam keshirikan tanpa mereka sedari. Akhirnya, penjajahan semakin mencengkam, umat semakin mundur, dan agama pula menjadi semakin bercelaru dek tokok tambah para perosak agama dengan khurafat dan tahyul mereka (Ridha, 1986).

Walaupun zaman Abduh, Redha dan juga al-Banna telah lama berlalu, namun khurafat dan juga tahyul agak ironiknya masih berleluasa di dalam minda dan jiwa umat Islam masa kini. Kepercayaan kepada bomoh, tilikan, petanda-petanda sial, tenung nasib, malah juga kepada pencarian ‘harta karun’ dan minta nombor ekor dan judi masih lagi berlaku, terutamanya di kalangan mereka yang tinggal di luar Bandar. Begitu juga agama sering dikaitkan dengan perkara-perkara aneh dan ajaib. Terkadang bagi mereka yang berfikiran waras akan pening melihat, apakah beza di antara agama dengan tahyul dan cerita dongeng. Seringkali isu keajaiban dan perbomohan dikaitkan dengan agama. Epistemologi Hindu barangkali masih kuat bertapak di dalam minda separa sedar masyarakat kita. Maka, di antara perjuangan para siswa Jordan, adalah untuk membebaskan masyarakat dari khurafat dan pemikiran yang memundurkan minda.

Jika yang sedemikian itu merupakan khurafat yang boleh menjerumuskan kepada kesyirikan, tetapi wujud juga kepercayaan khurafat yang berjubahkan pengamalan agama. Kemunculan para Syaikh-Syaikh yang dianggap wali dan keramat tidak kurang hebatnya. Saya tidak bercadang untuk memanjangkan perbahasan mengenai tawasul, karamah, tarekat dan juga seumpamanya di sini. Biarlah medan berbincangan teologi dan aqidah menjadi medannya[5]. Apa yang saya gusarkan ialah kewujudan individu-individu yang mengambil kesempatan di atas kejahilan umat. Berbekalkan karismatik yang mereka miliki, terutamanya di dalam ilmu agama, akhirnya mereka membina kekayaan diri dan juga pengaruh di atas kelemahan dan kejahilan individu-individu yang ikhlas ingn mengenal agama dan membawa diri menuju Ilahi. Saksikan di serata dunia, bagaiaman para Syaikh-Syaikh ini menaiki kereta mewah, hidup bermewah-mewahan di atas pengorbanan anak-anak murid, di atas alasan ingin berjasa kepada guru yang murshid. Akhirnya para pengikut menjadi seumpama Sancho Panza yang mengikuti kegilaan Don Quixote di dalam novel terkenal Miguel De Cervantes

Lebih malang lagi apabila doktrin seumpama ini menjadi tajuk utama perbincangan agama. Maka agama dan kebenaran dipadankan hanya dengan nama-nama dan kumpulan-kumpulan tertentu sahaja. Gelaran wali yang diserikan dengan pelbagai cerita menarik dan hikayat indah perihal karamah sang guru telah menjadi umpan untuk merekrut jiwa-jiwa yang dahagakan suapan kerohanian dan juga tegukan ruhiyyah. Akhirnya hilang sepi perihal amalan-amalan Rasulullah, para sahabat dan salafusoleh. Hilang sudah riwayat kepahlawanan dan kezuhudan para sahabat, tabi’in dan juga para ulama abrar. Apa yang tinggal hanya riwayat-riwayat hikmat mengenai guru yang dijadikan wasilah cepat para pengikut untuk mendekati Allah, lagak pengamalan Katolik di zaman kegelapan. Hal ini jugalah yang telah dikritik oleh Dr al-Qaradawi sewaktu kecil beliau di kampungnya sehingga mengundang kemarahan masyarkat setempat yang jahil. Hal yang sama juga telah dialami oleh Imam al-Shafii sewaktu permukiman beliau di Mesir ketika menongkah arus ketaksuban mazhab Maliki di sana.


Membebaskan diri dari sikap ketaksuban

Keberadaan kita di Jordan memberikan satu peluang yang amat besar di dalam meluaskan minda dan juga sikap keterbukaan. Manhaj pembelajaran di Jordan tidak mengecilkan ruang pemahaman seseorang terhadap keluasan dan juga keindahan Islam. Tiada pemaksaan ke atas mazhab dan fahaman tertentu di dalam sistem pembelajaran di Jordan. Malah sikap keterbukaan rakyat Jordan di dalam menghormati hak individu untuk memilih mazhab dan pegangan yang mereka yakin juga merupakan satu sikap positif yang boleh kita pelajari.

Dari pengamatan saya, sikap keterbukaan ini bersangkut kuat dengan  latar belakang pendidikan dan juga sikap celik huruf yang agak tinggi di kalangan rakyat Jordan. Janganlah kita lihat kepada golongan yang taksub dan ekstrim yang hanya mencorakkan kelompok kecil rakyat Jordan. Arus sederhana, arus wasatiyyah (jalan tengah) yang merupakan pilihan majoriti umat Islam patut dipopularkan kembali. Kita agak kesal pada mutakhir ini, arus wasatiyyah semakin dilupakan dan hilang dari arus perdana. Inilah cabaran utama kita, inilah merupakan tugas utama yang patut digalas oleh setiap graduan Jordan yang pulang ke tanah air.

Demi untuk memastikan arus wasatiyyah ini kemabli dan terus menjadi arus perdana, ia perlu bermula dengan diri setiap siswa di Jordan. Sikap taksub mazhab, taksub fahaman, taksub jamaah, taksub kumpulan dan juga tarekat dan syeikh atau guru. Keluasan rahmat Allah melalui unsur murunah (dinamik) dan jamak-kebenaran (ta’addud subul ila al-Haq) di dalam mengamalkan Islam perlu sentiasa disuburkan. Sikap para sahabat, salafussoleh dan para imam-imam mujtahid di dalam menghadapi perbezaan pendapat perlulah dijadikan panduan dan diamalkan, serta bukan sekadar menjadi perhiasan ceramah-ceramah. Monopoli ke atas kebenaran dengan satu-satu pandangan hanya akan memisahkan umat Islam dan mendalamkan luka pertelingkahan yang pernah berlaku di dalam sejarah kaum Muslimin. Umat Islam di kurun ke-21 perlu melangkaui luka lama dan titik hitam di dalam sejarah generasi terdahulu.

Sikap taksub ini menjadi semakin parah apabila mereka bersikap defensif dan menutup ruang perbincangan. Kebiasaannya sikap malas untuk mengkaji dan juga sikap paranoia (takut) terpengaruh ataupun takut kepada sesuatu yang ganjil sering membawa kepada sikap seperti ini. Maka tidak hairanlah jika ada yang bersikap keras dengan mazhab yang telah diamalkan setelah sekian lama dan tidak mahu membuka mata melihat dalil-dalil pihak lain yang kemungkinannya lebih kuat dan lebih rajih (tepat). Sikap lebih parah lagi ialah sikap ikut-ikutan tanpa mahu melakukan pembacaan dan kajian. Di satu sudut pula terdapat mereka yang bongkak dan sombong dengan merasakan kebenaran mutlak hanya diketahui oleh mereka dan guru serta kelompok mereka sahaja. Sikap seumpama ini bertentangan dengan sikap penuntut ilmu yang sepatutnya tawaduk, rendah diri dan menghormati setiap ahli ilmu walau siapa pun mereka.

Di samping itu, terdapat juga di kalangan umat Islam mereka yang telalu mengambil kira persoalan sunnah ataupun tidak sesuatu amalan, tetapi melupakan persoalan khilaf mazhab di dalam memahami sunnah. Kebiasaannya, sikap sebegini akan membawa kepada kecenderungan untuk taksub dengan sesuatu pandangan dan akhirnya melabelkan pendapat yang bertentangan sebagai ‘bid’ah’ dan ‘tidak sunnah’. Sikap sebegini tidak meraikan kesarjanaan ulama mujtahid terdahulu dan tidak teliti, dan lebih dirisaukan akan membawa kepada pertelingkahan yang tidak menjanjikan kesudahan. Kupasan Ibn Taimiyyah lewat karyanya ‘Raf’ al-Malam ‘an Aimmati alA’laam’ boleh mengubati sedemikian. Kata pengantar buku-buku berkaitan fiqh perbandingan juga sering mengutarakan persoalan punca khilaf dan sikap di dalam menyikapi khilaf. Karya al-Qaradwi, Taha Jabir al-Ulwani dan Omar Sulayman al-Ashqar berkaitan ‘Fiqh al-Ikhtilaaf’ boleh menjadi penawar juga.

Di satu sudut lain pula terdapat mereka yang taksub dengan mazhab dan pegangan yang diterimanya dari rumah. Sikap taksub ini menjadi semakin parah apabila mereka bersikap defensif dan menutup ruang perbincangan. Kebiasaannya sikap malas untuk mengkaji dan juga sikap paranoia (takut) terpengaruh ataupun takut kepada sesuatu yang ganjil sering membawa kepada sikap seperti ini. Maka tidak hairanlah jika ada yang bersikap keras dengan mazhab yang telah diamalkan setelah sekian lama dan tidak mahu membuka mata melihat dalil-dalil pihak lain yang kemungkinannya lebih kuat dan lebih rajih (tepat). Sikap lebih parah lagi ialah sikap ikut-ikutan tanpa mahu melakukan pembacaan dan kajian. Akhirnya permukiman mereka di Jordan tidak akan banyak memberi kesan terhadap perkembangan ilmu dan pencorakan pemikiran. Maka apakah perlunya ke Jordan?


Membiasakan budaya kritikal dan analitikal

Sikap keterbukaan tidak boleh bersatu dengan sikap taksub. Sikap taksub hanya akan menyuburkan budaya taklid buta dan tidak kritikal. Di dalam menghadapi cabaran untuk mendepani tamadun moden, individu Muslim yang berilmu perlu berinjak melepasi suasana selesa taklid dan sikap menurut kata tanpa bersikap kritis dan analitikal. Tanpa sikap sedemikian, teks-teks Islam hanya akan menjadi sesuatu yang ideal dan menjanjikan romantisme tanpa berjejak ke alam realiti. Sikap seperti ini kebanyakannya disebabkan oleh kehilangan sikap kritis dan analitikal di dalam menyikapi ilmu agama dan juga kehidupan. Sesuatu yang agak lazim di kalangan masyarakat kita untuk menerima sesuatu arahan dan apa yang disuapkan tanpa banyak berfikir, bertanya dan juga menilai. Sikap begini ada baiknya di dalam hal-hal berkaitan dengan akhlak dan budi, tetapi tidak di dalam bidang ilmu dan di kalangan intelektual. Ia hanya akan mematikan kreativiti dan juga potensi untuk memperkembangkan ilmu di dalam kerangka Tauhid.

Penulisan dan penghasilan karya-karya silam banyak yang dicorakkan oleh suasana zaman dan juga keadaan setempat. Jika diteliti secara kritikal, hatta penulisan para ulama di zaman Umayyah berbeza dengan Abassiyyah, penulisan di zaman Abassiyyah juga berbeza dengan zaman Uthmaniyyah, Andalusia dan juga zaman moden. Faktor setempat juga agak nampak ketara di dalam mencorakkan perbincangan dan penghasilam ijtihad mazhab. Literasi-literasi klasik di Andalusia tidak membincangkan perkara-perkara di dalam Fataawaa Hindiyyah, Majalah Ahkam al-‘Adliyyah tidak serupa dengan perbincangan kitab-kitab Jawi di Nusantara, begitulah seterusnya. Perbezaan di antara fiqh dan Syari’ah perlu menjadi kayu aras di dalam meneliti hukum-hakam yang terkandung di dalam khazanah fiqh silam.

Jika yang sedemikian di dalam bidang fiqh, hal yang sama juga berlaku di dalam ilmu tafsir dan hadith. Faktor sosio-sejarah memainkan peranan penting di dalam mencorakkan perbahasan dan juga pengkaplikasian apa yang terkandung di dalam teks (Fazlur Rahman, 1985). Pemikiran kritis dan analitikal inilah yang telah dipelopori oleh para ilmuwan Islam di zaman ijtihad. Bukanlah tujuan saya untuk menyamakan para siswa dengan para imam mujtahid. Siapalah kita ini, tetapi kita perlu mempelajari sikap kritikal dan analitikal mereka di dalam menyikapi setiap ilmu dan pengetahuan mengenai Islam. Sikap ini meemrlukan kepada kemahiran yang dibina dan diasah. Para siswa perlu dilatih dengan forum-forum intelektual yang dapat membina kemahiran kritikal mereka. Mereka perlu didedahkan dengan wacana-wacana kritis dan bersedia mendengar pendapat pelbagai pihak. Sikap kritis dan sentiasa mencari kebenaran perlu menjadi bekalan sepanjang jalan agar umat yang ingin dibina nanti adalah umat yang tajam fikirannya dan mampu untuk berbicara dengan semua pihak.

Para siswa juga perlu mengeluarkan diri mereka dari kepompong indoktrinisasi yang jumud. Setiap ide perlu dibahaskan, setiap pendapat perlu dikritik, setiap pandangan perlu diperdebatkan demi mencari kebenaran dan hujah yang kuat. Peringatan dari Allah SWT mengenai sikap taklid dan mengikut secara membuta tuli perlu dijadikan tema di dalam pencarian ilmu:
“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.” (al-Israa (17): 36) 



Budaya Kecemerlangan Bersepadu

Adalah menjadi tanggungjawab setiap pelajar siswa timur tengah untuk mencapai kecemerlangan bersepadu (comprehensive excellent) di dalam kehidupan mereka. Cemerlang di dalam apa sahaja yang mereka ceburi, samada akademik, ko-kurikulum, ibadat, displin diri, dakwah, aktivisme, tarbiyyah, perniagaan, keusahawanan, politik, kerja-kerja social, kekeluargaan dan segalanya. Kecemerlangan akan dapat dicapai dengan memberikan tumpuan maksimum di dalam menjayakan apa yang dikerjakan dan juga mencapai apa yang telah direncanakan.Sikap ‘cukup makan’, ‘sekadar buat seperti orang lain buat’, ‘asal buat jangan tak buat’ perlulah dijauhi dari kamus kehidupan pelajar-pelajar Muslim yang produktif.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT mencintai jika seseorang melakukan sesuatu pekerjaan atau perbuatan dengan itqan (profesional dan terbaik).” (Hadis riwayat Baihaqi)

Sikap cemerlang juga memberi erti tidak bersikap cincai di dalam melakukan kerja. Samada ‘task oriented’ ataupun ‘time oriented’, Kerja-kerja dan urusan-urusan mempunyai matlamat dan berperancanaan, serta dilaksanakan mengikut perencanaan dan rancangan. Hal ini juga terungkap di dalam persoalan keperibadian dan bukan hanya di dalam organisasi dan pelajaran. Seseorang yang tersusun kerja-kerjanya akan lebih dihormati dan lebih berjaya di dalam segala bidang yang diceburinya. Demi memastikan kerja-kerja dan urusan tersusun, seseorang memerlukan tahap disiplin yang tinggi terhadap diri sendiri. Sikap pro-aktif dan tidak menangguhkan kerja-kerja merupakan kunci utamanya. Hal ini bertepatan dengan pesan Rasulullah SAW:
“Apabila engkau berada di waktu petang, janganlah tunggu datangnya waktu pagi, dan apabila engkau berada di waktu pagi, janganlah tunggu datangnya waktu petang.” (riwayat al-Bukhari)
Hemah diri perlu dijaga. Pastikan pakaian sentiasa tersusun, bersih dan kemas. Begitu juga halnya dengan rumah, bilik dan juga pejabat, pastikan tersusun. Rumah yang berterabur, kotor dan tidak terurus mencerminkan keperibadian dan juga pemikiran si pemiliknya. Kadangkala ada tanggapan bahawa menghias rumah, mengemas rumah dan hemah diri merupakan hal-hal keduniaan yang akan mengganggu urusan akhirat. Maka kesibukan menuntut ilmu, berdakwah, berprogram, dan beraktivisme menjadi alasan untuk sestengah pelajar untuk tidak menyusun rumah mereka. Rumah ibarat tongkang pecah, dan lebih parah lagi seumpama sarang tikus yang kotor dan tidak kemas.

Para siswa akan pulang menjadi qudwah atau contoh kepada masyarakat, samada sebagais eorang ustaz ataupun seorang doktor. Jika mereka sendiri tidak memberikan contoh yang baik samada dari segi keperibadian, rumah dan juga ketrampilan diri, maka ditakuti bukan sekadar nama mereka sahaja yang menjadi buruk, malah nama Islam juga bakal menerima padahnya.

Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mencintai jika seseorang melakukan sesuatu pekerjaan atau perbuatan dengan itqan (profesional dan terbaik).” (Hadis riwayat Baihaqi)

Di dalam ruang akademik juga perkara yang sama perlu diberikan perhatian. Bernaungkan hadis ‘itqan’, maka para aktivis pelajar perlulah mensasarkan kecemerlangan di dalam bidang yang mereka ceburi. Bukanlah alas an bahawa kita ini ajanib untuk tidak cemerlang dan mendapat keputusan yang terbaik di dalam akademik. Jika hendak dibandingkan di antara kita dengan para pelajar tempatan, kita mempunyai terlalu banyak kelebihan berbanding mereka. Samada dari segi bahasa, pendedahan kehidupan, pengalaman dan juga kematangan.

Jika ada yang mengatakan perkara kecemerlangan bersepadau di dalam bidang akademik dan kehidupan tidak akan ditanyakan di akhirat nanti (dan hanya persoalan ibadat dan dakwah semata-mata yang akan dihisab), maka mereka itu tersilap. Akhirat manakah yang mereka imani itu? Bukankah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud ada mengatakan:

“Dua kaki anak Adam tetap (tidak akan bergerak) pada Hari Kiamat di sisi Tuhannya sehinggalah dia ditanya tentang empat perkara; tentang umurnya ke mana dia pergunakan, tentang masa mudanya bagaimana dia menghadapinya, tentang harta dari mana ia memperolehi dan ke mana serta bagaimana dia membelanjakannya, tentang ilmu apakah ia beramal dengannya.” (H.R. Ahmad)

Yakinlah, waktu kita belajar dan waktu kita di perantauan ini juga akan dihisab dan dipersoalkan, apatah lagi jika biasiswa yang diterima itu merupakan amanah rakyat untuk kita tunaikan.

Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.” (surah al-Maidah (5): 1)

Kecemerlangan di dalam akademik dan kerjaya juga merupakan dakwah dan tanggung jawab pemegang panji Tauhid. Jika mereka tidak cemerlang, apakah ruang kecemerlangan itu hendak ditinggalkan kepada orang lain, ataupun pengibar panji kebatilan?

Apakah mereka juga rela melihat kegagalan ataupun kemunduran mereka dijadikan contoh buruk oleh para pemegang panji kebatilan untuk menghentam Islam. Cukuplah kemunduran dunia Islam pada hari ini disebabkan oleh para diktator dan pemerintah yang zalim menjadi satu wajah buruk kepada umat Islam dan Islam itu sendiri, janganlah ditambahkan lagi...

Begitu juga halnya dengan kerja-kerja dakwah dan organisasi. Walaupun teori-teori organisasi dan pengurusan merupakan hasil kajian bukan Islam, namun itu merupakan ‘hikmah’ yang perlu diambil oleh umat Islam. Buku ‘Pengurusan Dakwah’ karya Rozhan Othman terbitan Ummah Media Centre suatu waktu dahulu merupakan khazanah yang perlu dipersembahkan semula kepada generasi baru. Mungkin juga buku ‘Manual for Islamic Workers’ karya Hisham Talib terbitan IIIT juga mampu membantu para pengiat dakwah di kampus untuk bersikap lebih tersusun dan berdisplin. Rasulullah SAW ada menyebutkan:

Kalimat hikmah adalah barang berharga kaum mukmin yang hilang. Dimana saja ia menemukannya, ia lebih berhak terhadapnya. (HR at-Tirmidhi dan Ibn Majah).

Hadis ini dari pelbagai sanad dan lafaznya walaupun lemah dan dikritik, namun ianya disokong oleh banyak pengiktirafan Rasul SAW dan para pkhulafa mengenai makna hadis tersebut. Sebagai contohnya hadis Abu Hurairah yang mengambil pengajaran dari Ifrit untuk beramal dengan ayat al-Kursi dan diiktiraf oleh Rasulullah SAW sepertimana yang diceritakan di dalam sahih al-Bukhari. Begitu juga dengan pelbagai teknologi peperangan yang diakui oelh Rasulullah SAW juga diambil dari pengalaman kaum Parsi dan Rom seperti isu Khandak dan pembuatan manjanik (alat pelontar batu yang bertindak seperti meriam). Omar juga telah mengajarkan kepada umat Islam bagaimana kemajuan kaum Parsi perlu diambil di dalam menguruskan hal ehwal kaum Muslimin sewaktu pemerintahan beliau. Sistem kharaj, diwan, calendar dan lain-lain lagi merupakan di antara ‘hikmah’ yang telah Omar ambil dari tamadun kaum Parsi. Konsep ‘epistemic humility’ (rendah diri untuk belajar) merupakan kunci untuk menjadikan diri seseorang itu cemerlang dengan mempelajarinya dari orang lain yang telah pun berjaya.

Kebanyakan teori-teori pengurusan semasa yang dapat membantu untuk melicinkan kerja-kerja organisasi adalah menepati tuntutan Islam. Sebagai contoh, teori Corporate Governance yang mendominasi persada dunia korporat begitu Islamik dan efektif untuk organisasi. Perjalanan organisasi yang bersistem dan tersusun sudah pastinya lebih baik dari organisasi yang menyalah ertikan persoalan tawakkal. Berhubung hal ini juga Ibn Qayyim al-Jauziyyah di dalam karya agungnya ‘I’laam al-Muwaaqi’in’ (1996, 3:3) ada mengatakan:

“Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah atas segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah Islam itu segalanya keadilan, kebaikan dan hikmat. Maka setiap perkara yang terkeluar dari keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada yang berlawanan dengannya, dari kebaikan kepada kerosakan, dari hikmat kepada sia- sia maka ianya bukan syariah Islam sekalipun diberikan takwilan untuknya”.



Meneroka ruang-ruang baru di dalam lanskap global terkini

Zaman telah berubah. Kehidupan manusia juga berubah, begitu juga dengan cara berfikir dan gaya hidup. Di dalam suasana perubahan yang sering didorong oleh perkembangan dan suasana ekonomi, hanya prinsip asas agama sahaja yang tidak berubah, begitu juga halnya dengan agama Islam. Prinsip asas Islam akan kekal dan tidak boleh diubah-ubah demi menjamin ketulenan dan keaslian ajaran Islam itu sendiri. Perkara-perkara pokok seperti Aqidah, Ibadah khusus dan juga prinsip-prinsip asa hukum dan akhlaq akan tetap kekal sehingga hari kiamat nanti.

Walau bagaimanapun, persoalan-persoalan fikah dan juga perincian perlaksanaan hukum-hakam juga berubah menurut konteks dan zaman. Perubhana yang paling ketara ialah di dalam bidang muamalat dan politik. Tiak hairanlah jika kita menelusuri sejarah umat, terdapat perbezaan dan perkembangan di dalam bidang muamalat dan politik di setiap waktu. Zaman Abu Bakar berbeza dengan zaman Rasulullah SAW, zaman Umar berbeza dengan zaman Uthman, zaman Uthman berbeza dengan zaman Ali, begitu juga dengan dinasti-dinasti khilafah yang lain juga telah menyaksikan dinamisme Islam yang sering dapat menampung segala perubahan tersebut. Maka tidak hairanlah para ulama bersepakat di dalam kaedah “Hukum berubah menurut perubahan zaman dan suasana”.

Gaya hidup di zaman pasca-revolusi informasi begitu cepat dan ketara. Kini sudah tiada lagi stereotaip di dalam menentukan gaya hidup berbanding 20-30 atau puluhan tahun sebelum itu. Kini, dengan ledakan informasi maklumat, manusia tidak lagi bersikap uni-pengkhususan. Dunia material telah memberikan peluang demokrasi terhadap pengkhususan dan juga pekerjaan. Keadaan seperti ini lebih ketara di dunia barat. Apa yang diraih sewaktu zaman pra-siswazah bukanlah penentu kerjaya seseorang individu lagi. Tumpuan lebih diberikan kepada apa yang mampu dilakukan dan apa yang boleh dihasilkan di dalam dunia kerjaya yang amat mencabar.

Sedemikian juga halnya dengan para graduan timur tengah, terutamanya mereka yang mengkhususkan dirinya untuk pengajian Islam ataupun Bahasa Arab. Jika dulu, para graduan timur tengah lebih dikaitkan dengan kerjaya sebagai ustaz, pegawai jabatan agama, imam, guru takmir masjid, pensyarah, kadhi, mufti dan juga pegawai penguat kuasa agama, kini stereotaip tersebut semakin hilang. Banyak peluang baru yang terbuka luas untuk diterokai oleh para graduan pengajian Islam untuk berbakti kepada masyarakat, Negara dan agama. Ilmu yang mereka timba di dalam dada bukan lagi hanya untuk dimonopoli oleh pengunjung masjid atau surau sahaja. Kini ruang terbuka di hadapan mereka menjanjikan pelbagai sektor untuk diwarnakan dengan orientasi keagamaan dan juga pandangan dunia ‘Tauhid’ yang telah berakar kukuh di dalam minda dan gaya hidup mereka.

Sebagai contohnya, para graduan Bahasa Arab yang dahulunya lebih melihat masa depan sebagai guru bahasa Arab di sekolah-sekolaj mahupun di IPT–IPT, kini sepatutnya melihat ruang baru untuk diterokai di dalam bidang media komunikasi. Agak malang bagi petutur Bahasa Arab yang jumlahnya ratusan ribu di Malaysia, tetapi kita belum Berjaya menghasilkan akhbar ataupun majalah khusus berbahsa Arab terbitan orang Malaysia, di Malaysia dan perihal isu-isu Malaysia. Malang juga apabila tiada radio khusus berbahasa Arab, ataupun siaran televisyen berbahasa Arab untuk menampung kehendak golongan tersebut. Lihatlah BBC Arabic, Deutsche Arabic channel, Rusiyah al-Yawm dan lain-lain stesyen televisyen berbahasa Arab milik Negara-negara Eropah. Lebih malu lagi apabila stringer al-Jazeera (Arab) merupakan orang Arab dan bukannya warga Malaysia sendiri yang boleh mengolahkan berita menurut kefahaman anak tempatan.

Bidang terjemahan adalah di antara lain bidang yang agak ketinggalan di Malaysia. Kebanyakan literasi yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu adalah literasi-literasi agama. Amat sukar untuk mendapatkan terjemahan karya-karya klasik sastera Arab mahupun yang kontemporari diterjemahkan ke dalam bahasa kita. Jauh sekali buku-buku mengenai politik, sejarah, sosiologi dan juga karya popular bukan agama. Di dalam persoalan ini kita boleh merasa malu kepada rakan-rakan Indonesia yang begitu aktif dan juga ligat di dalam bidang penterjemahan. Kegagalan kita untuk memanfaatkan literasi-literasi bahasa lain ke dalam bahasa kita akan membuatkan kita seumpama katak di bawah tempurung.

Di dalam ruang lain pula, ruang diplomatik dan politik juga memerlukan mereka yang pakar di dalam bahasa Arab komunikasi. Jika di barat, pihak perisikan dan badan-badan keselamatan amat bergantung kepada mereka yang pakar berbahsa Arab, begitu juga di dalam sector diplomatik. Namun, demi memberikan sumbangan yang maksimum di dalam bidang-bidang yang telah disebutkan, penguasaan terhadap dwi-pengkhususan perlu diberikan tumpuan. Para siswa tidak boleh hanya bergantung kepad akeputusan akademik dan juga mengecilkan skop pembacaan kepada apa yang dipelajari sahaja. Pencapahan di dalam pengetahuan dan juga sikap kritikal ketika membaca perlu disuburkan. Tanpa keupayaan untuk menganalisis dan juga bersikap kritis, apakah nilai para siswa timur tengah?

Industri kewangan Islam juga menjanjikan satu lagi ruang untuk dibanjiri oleh para graduan timur tengah. Pertumbuhan pesat industri kewangan Islam yang global menjanjikan ruang-ruang kerjaya dan juga profesion untuk mereka yang mengkhususi bidang tersebut. Walau bagaimanapun, amat malang jika para siswa hanya mengecilkan cita-cita hanya untuk menjadi penasihat Syariah ataupun pegawai bank dan insititusi kewangan semata-mata tanpa melihat gambaran yag lebih luas berkaitan ekonomi Islam. Ekonomi pasaran berorientasiakn Kapitalisme hanya menyuburkan ekonomi golonagn pemodal dan meninggalkan rakyat marhaen dengan bebanan hutang. Para siswa perlu cuba untuk menerokai ide pasca pembangunan berteraskan pandangan dunia Islam, ruang ekonomi mikro berkaitan ekonomi berkebajikan, ekonomi kelompok dan sosial dan juga pembangunan luar Bandar perlu juga diberikan perhatian. Di samping itu, para siswa hendaklah cuba memcahkan kejumudan para aktor di dalam industri kewangan Islam yang hanya menumpulan kepada ekonmi pasaran tanpa melihat kepada ekonomi alternatif seperti ekonomi-hijau (mesra alam) dan juga ruang ekonomi terbuka.


Memahami bahasa masyarakat sivil, mengisi kelompongan dakwah moden, cuba membentuk jamak-pengkhususan, atau benar-benar menguasai Fiqh berteraskan realiti.

Jika diimbau tidak berapa lama dahulu, para graduan timur tengah jurusan deeniyyah (syariah dan usuludin, termasuk juga bahasa Arab) dianggap sebagai kelompok katak di bawah tempurung. Bukan sekadar ilmu mereka dilihat terhad kepada persoalan halal dan haram semata-mata, malah mereka dilihat sebagai tidak mampu untuk berfikir, apatah lagi celik kepada ilmu semasa. Mungkin telahan tersebut ada benarnya pada reality kebanyakan graduan timur tengah pada waktu itu yang memilih untuk bersikap demikian. Mereka juga tidak boleh disalahkan kerana sistem pendidikan agama yang hanya berpusat dan berpaksikan sekolah-sekolah pondok dan sekolah-sekolah agama rakyat sememangnya menghasilkan produk yang sedimkian. Tambah lagi prasarana IT tidaklah sehebat hari ini.

Hari ini prejudis seumpama ini mungkin telah sedikit berubah. Kewujudan sekolah-sekolah agama berasrama penuh, sekolah agama swasta dan juga sekolah bestari telah Berjaya mengubah realiti yang lama. Perubahan ini dikuatkan lagi dengan prasarana IT walaupun tidak secanggih di negara-negara maju, tetapi sudah cukup untuk membuatkan ilmu-ilmu semasa telah Berjaya didemokrasikan. Hanya dengan waktu yang diluangkan dan juga beberapa ‘click’, dunia maklumat terbuka luas di hadapan sesiapa sahaja yang dahagakan ilmu dan pengetahuan. Bahkan, kini para graduan timur tengah lebih terkehadapan di dalam beberapa perkara seperti IT, politik (semasa dan dunia) berbanding dengan graduan negara-negara lain. Realiti yang berubah ini juga memerlukan perubahan kepada lanskap ilmu agama itu sendiri.

Kini peranan graduan agama tidak lagi diharapkan oleh masyarakat unutk menjadi pak imam, mengisi kelas malam kuliah di surau-surau dan masjid-masjid lagi. Mereka diharapkan agar dapat bersama memberikan warna kepada masyarakat jamak budaya di Malaysia. Mungkin agak tidak selayaknya untuk kita hanya tunduk kepada kehendak pasaran. Sikap seumpama ini hanya akan mencorakkan para asatizah populis yang akan melakukan apa sahaj di atas kehendak popular. Apa yang perlu ada ialah sikap sebagai ‘doktor’ untuk merawat sakit dan juga wabak yang dihidapi oleh masyarakat di dalam kerangka pandangan dunia Islam. Izinkan bagi saya untuk membawa isu persoalan masyarakat jamak budaya, jamak agama dan juga jamak kefahaman ataupun yang lebih popular dengan nama masyarakat plural.

Samada kita mahu ataupun tidak, itulah realiti Malaysia. Allah SWT telah memilih kita untuk berhadapan dengan suasana seperti ini. Suasana yang amat unik dan tidak contohnya di bumi kelahiran Islam, mahupun di negara-negara Arab di mana ilmu-ilmu Islam mengalir dari mata airnya. Suasana plural ini memerlukan lanskap baru kepada pengamalan Islam dan dakwah. Adalah silap untuk hanya bergantung kepada ijtihaad-ijtihad yang lahir di Negara-negara Arab[6], ataupun di waktu silam, malah di Negara kita sendiri pre-kemerdekaan dan pre-plural. Keadaan semasa ini memerlukan ijtihaad-ijtihad yang baru agar keindahan Islam dapat berperanan di dalam realiti yang mencabar ini. Kegagalan membawa ijtihad-ijtihad baru hanya akan menampakkan Islam itu sebagai agama yang rigid, lapuk dan juga tidak boleh membawa kepada suasana harmoni dan saling faham memahami. Di samping itu, kefahaman dan juga penguasaan terhadap ilmu Maqasid amat penitng di dalam usaha-usaha tersebut. Ilmu Maqasid bukan sekadar perlu dipelajari dan diamalkan, malah perlu dipopularkan agar menjadi penyuluh kepada segala polisi dan ketetapan yang berlaku di dalam masyarakat.

Demi mendepani cabaran ini, sewajarnya para siswa Jordan mempergunakan segala kelebihan yang ada di Jordan untuk menongkah aurs dan membawa agenda ‘Islamisasi’ mereka, ataupun memperkuatkan usaha yang telah sedia wujud. Apa yang pasti, mentaliti dan paradigma para siswa memerlukan kepada anjakan dan revolusi. Ilmu-ilmu talaqqi dan klasik yang diperolehi perlu dicernakan dan diolahkan kembali demi menghasilkan ijtihaad jama’iyy untuk mengarus perdanakan Islam di dalam realiti yang baru ini. Fiqh interaksi di antara budaya, fiqh masyarakat harmoni, fiqh politik pasca-demokrasi, fiqh ekonomi pasca-pembangunan, fiqh dakwah masyarakat majmuk, fiqh interaksi antara agama, ilmu perbandingan agama, dan juga fiqh pengwujudan tamadun silang budaya perlu diterokai. Ruang-ruang yang telah diterangkan oleh Dr Yusuf al-Qaradawi akan banyak membantu di dalam menempuhi realiti ini. Jikalaulah masyarakat Muslim di Eropah mempunyai Fiqh Aqalliyyat mereka, mengapa kita tidak memunculkan Fiqh Malaysia kita yang tersendiri. Bukankah Prof Dr Mahmood Zuhdi telah melontarkan ide Fiqh Malaysia?, ianya perlu disambut, dan para siswa Jordanlah yang bakal menerajui perluasan konsep tersebut.

Di samping itu, para graduan Jordan perlu menguasai bahasa masyarakat sivil dan bukannya terbelenggu dengan bahasa silam fiqh terdahulu. Usaha-usaha yang diinisiatifkan bukan lagi menoleh ke belakang tetapi terus memandang ke hadapan dengan menjadikan apa yang lalu sebagai panduan dan pengajaran. Apa yang baik dijadikan tauladan, apa yang silap dijadikan sempadan. Janganlah kita masuk ke dalam lubang biawak berkali-kali, itu adlah kemuncak kedunguan dan kebodohan. Usahlah dibazirkan waktu untuk mengulangi dan merindui sejarah silam, lebih malang lagi hidup untuk mengulangi kepahitan sejarah lalu. Setiap zaman mempunyai zeitgeist masing-masing. Kita hidup di waktu ini adalah untuk melakar sejarah di masa hadapan. Pastikan sejarah yang ingin kita lakarkan itu lebih memberikan harapan segar dan indah kepada generasi hadapan.


Perlukan pengisian bidang sains kemanusiaan yang kurang diberikan tumpuan. Membina kepakaran kedua.

Demi untuk membawa perubahan di kalangan siswa jurusan agama dan juga jurusan perubatan serta perubatan, mereka perlu mempunyai dwi-pengkhususan. Kepakaran kedua diperlukan untuk membawa perubahan. Demi membentuk sejarah yang lebih indah, dan tamadun plural yang baru, para siswa perlu mencontohi tauladan ulama silam. Bagi mereka, disiplin ilmu itu hanya dipisahkan dengan sempadan yang agak tipis. Kemahiran kepada sesuatu bidang tidak menghalang mereka untuk menguasai bidang yang saling melengkapi ilmu yang telah dikuasai. Mungkin bagi ulama terdahulu bidang falsafah, bahasa Arab, astronomi, perubatan dan juga retorik merupakan satu keperluan di samping ilmu-ilmu agama. Mungkin bagi kita pada hari ini, ilmu politik, ekonomi, pengurusan, psikologi, sosiologi dan bahasa menjadi satu kemestian.

Demi mencapai usaha tersebut, para siswa hendaklah jelas dengan apa yang mereka hendak capai. Hari pertama mereka menjejakkan kaki ke dewan kuliah, mereka sepatutnya telah merancang apakah yang akan mereka lakukan 10 atau 20 tahun ke hadapan. Impian hari ini adalah relaiti hari esok. Bertolak dari apa yang mereka impikan itulah para siswa hendaklah berusaha menguasai bidang kedua di dalam tempoh mereka menuntut ilmu. Di samping itu, penguasaan bahasa keempat perlu diberikan tumpuan juga. Bagi sesiapa yang ingin menjadi ilmuwan, adalah satu kelemahan jika hanya berupaya menguasai tiga bahasa sahaja. Ilmuwan semasa memerlukan penguasaan dan bukan sekadar pengetahuan bahasa-bahasa semasa.

Gunakan peluang yang ada untuk mempelajari bahasa-bahasa moden yang lain, ataupun mungkin bahasa-bahasa setempat (Cina, India, dan bahasa-bahasa pribumi yang lain). Bagi yang bercita-cita menjadi ulama ataupun pemikir Islam, sekurang-kurangnya mestilah berupaya untuk menguasai bahasa ‘ilmu Islam’ seperti (terutamanya) Parsi, Turki dan Urdu. Bahasa ilmu di kalangan bahasa Eropah pula, di mana kebanyakan bahan-bahan ilmiah berkaitan Islam, falsafah dan pemikiran kontemporari, maka Bahasa Peranchis, Bahasa Jerman dan bahasa Latin (kuno) adalah kredit yang besar bagi sesiapa yang benar-benar ingin mengulangi sejarah silam kegemilangan ilmuan Muslimin. Sekadar mempunyai kemahiran membaca dan menulis di dalam Bahsa Arab dan bahasa Inggeris sahaja tidak memadai di waktu kini.


Menjadi agen perubah sosial, kerja-kerja kemanusiaan.

Antara senario terkini yang berlaku di peringkat global ialah keterlibatan aktif organisasi-organisasi agama di dalam usaha kemanusiaan dan juga masyarakat sivil. Samada golongan Avengelist dengan misi window 20/40 mereka, golongan Liberation theology dari gereja Katolik, aktivis Buddha Savodharya Avodaya di Sri Lanka, mahupun Buddhi Tzu chi di Asia Tenggara, dan tidak ketinggalan juga organisasi-organisasi Islam seperti Islamic Relief dan lain-lain juga merupakan antara aktor di dalam fenomena terbaru ini (Casanova 1994: 3-10; Nasr, 1995; Piscatori and Eickelman, 1996; Bayat, 2007; Mandaville 2001; Myers, 1999; Zadek, 1993). Seperti kajian Karen Amstrong (2002), kekuatan dalaman atau yang dinamakan ‘mitos’ telah memberikan satu motivasi berterusan dan berkekalan untuk organisasi-organisasi berteraskan agama ini untuk terus melakukan kerja-kerja kemanusiaan dan kebajikan mereka.

Menurut Ferris (2005: 317), kebanyakan organisasi Islam hanya menumpukan kerja-kerja kemanusiaan mereka untuk kaum Muslimin sahaja dan tidak bersikap seperti NGO-NGO Kristian yang lebih menyeluruh. Hal ini ada benarnya, walaupun mungkin kita tidak mempunyai kajian kuantitatif untuk membuktikan, tetapi di dalam banyak keadaan organisasi-organisasi Islam lebih bersikap reaksi dan juga defensif di dalam melakukan misi mereka. Walaupun demikian, sikap pro-aktif organisasi seperti Islamic Relief yang tidak mengkhususkan usaha mereka hanya kepada umat Islam sahaja perlu dijadikan contoh[7]. Mesej ‘Rahmatan li al-‘Alaamin’ perlu direalisasikan oleh organisasi-organisasi Islam.

Mesej menjadi agen rahmat kepada manusia amat selari dengan sikap ithar (mendahulukan orang lain ke atas diri sendiri) yang amat dipuji oleh al-Quran. Sikap yang pernah ditunjukkan oleh para Muhajirin lewat peristiwa hijrah ini telah Allah SWT jadikan pra-syarat untuk kejayaan (Muflihun).

“Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri (ithar), sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.” (al-Hasyr (59): 9)

Sikap sebagai agen rahmat juga selari dengan ruh kepada pemahaman beberapa sabda Rasulullah SAW, di antara lain yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah mewajibkan berihsan (menyempurnakan sesuatu dengan baik) dalam semua perkara.” (Hadis riwayat Muslim)

Di dalam hadis lain, baginda juga ada menyebutkan:
“Barangsiapa yang berupaya memberikan manfaat kepada saudaranya, maka hendaklah ia melakukannya” (riwayat Muslim)

Rasulullah SAW juga menjanjikan menurut hadis yang disampaikan oleh Abu Hirayrah:
“Barangsiapa yang melepaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskannya daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan Qiamat. Barangsiapa yang mempermudahkan bagi orang susah, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya di dunia dan di akhirat.” (riwayat Muslim)

Rasulullah SAW berpesan:
“Seorang mukmin yang bercampur bergaul dengan masyarakat dan sabar atas kepedihan dan kepayahan yang ditimbulkan oleh masyarakatnya, adalah LEBIH BESAR GANJARANNYA dari mukmin yang tidak bergaul dengan masyarakat dan tidak sabar atas kepedihan, kepayahan kejahatan masyarakatnya.” (Riwayat Al-Bukhari, At-Tirmidhi & Ahmad)

Bagi para pelajar jurusan perubatan di dalam dan di luar negara, mereka mempunyai IMAM dan PPIM untuk dijadikan wahana kepada kerja-kerja kemanusiaan dan kemasyarakatan. Saya yakin, bagi para pelajar Jordan, mungkin persatuan yang anda miliki boleh melebarkan aktivisme kemasyarakatan dan kemanusiaan anda di epringkat antarabangsa ataupun di dalam Negara lewat cuti musim panas. Menyedari hakikat kemiskinan dan juga kesusahan tidak mengenal agama dan juga bangsa, selayaknya kebajikan dan juga kemanusiaan juga mempunyai logic yang sama. Program sekolah angkat, kampung angkat, lawatan ke kem-kem pelarian, bantuan ke kawasan-kawasan bencana, kesemuanya merupakan lapangan-lapangan baru untuk anda terokai.

Mungkin juga sedikit tumpuan boleh diberikan kepada negara-negara Balkan yang memerlukan bimbingan dan bantuan kita. Kesedaran dan kebangkitan pengamalan agama di Negara-negara tersebut amat memberangsangkan. Alangkah indahnya jika rakyat Malaysia dapat memberikan sedikit saham dan sumbangan dalam bentuk ilmu, material dan spiritual di sana. Sebagai siswa, inilah ruang baru untuk anda membawa dimensi dan horizon baru di dalam aktivisme mahasiswa Malaysia. Kita perlu memandang ke hadapan dan melakarkan perspektif baru untuk masa depan umat, jangan asyik terlena dengan cerita-cerita masa lalu. Setiap zaman mempunyai semangat (zeitgeist) dan juga suasana yang berbeza.

Ruang lain yang miungkin boleh diterokai juga ialah kerja-kerja kebajikan dan kesukarelawanan berkait isu remaja dan belia. Jarak umur siswa yang rata-ratanya tidak jauh dengan para remaja dan masih lagi di dalam lingkungan belia boleh memberikan impak kepada apa sahaja program yang diinisiatifkan. Kelebihan anda semua ialah pada keilmuan Islam, hatta di kalangan para pelajar perubatan sekalipun. Kekebalan pandangan dunia Islam di dalam gerakerja dan juga apa sahaja yang direncanakan pastinya berupaya untuk memberikan arah tuju dan juga ‘cahaya’ di hujung terowong yang gelap bagi menyelamatkan belia dan remaja pada hari ini di Negara kita.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya di manakah saya meletakkan idealisme siswa di dalam kerangka politik. Bagi saya, definisi politik tidak sepatutnya dikecilkan hanya kepada politik partisan. Memanglah, ideal di barat jika dapat dicontohi amat baik sekali, iaitu di mana parti-parti politik diberikan padang permainan yang sama rata dengan tidak membezakan siapa yang memerintah dan siapa yang tidak. Hatta di universiti-unversiti sekalipun, parti-parti politik dibenarkan menubuhkan cawangan mereka tanpa mencampuri urusan politik kampus yang lebih kepada isu kebajikan para pelajar dan visi siswa menurut kerangka mereka dan bukannya sebagai satelit kepada mana-mana parti di luar.

Politik harus difahami dengan kerangkanya yang lebih luas. Politik warga dan juga ruang masyarakat sivil merupakan di antara ruang mengoptimumkan aktivisme ‘tadbirurus’ sekaligus menswardayakan setiap individu untuk terlibat di dalam urusan tadbirurus tersebut. Ruang masyarakat sivil sebenarnya memainkan peranan yang lebih daripada sekadar sektor ketiga semata-mata, tetapi juga menjadi kumpulan pendesak, pencorak arus dan juga suara bagi kelompok rakyat di dalam memastikan ruang keadilan akan terjamin di pihak daulah. Bertitik tolak dari kesedaran ini, segala proses untuk mendidik, mencorakkan masyarakat, meringankan beban mereka, dan juga memastikan wacana ilmu menjadi wacana arus perdana, secara tidak langsung merupakan keterlibatan politik. Jika yang sedemikian, maka aktivisme siswa yang bersikap ‘down to earth’, ataupun penyediaan corak wacana umum juga adalah keterlibatan politik. Jangan dilupakan juga, wacana agama yang sepatutnya menjadi milik rakyat juga merupakan sebahagian dari ruang keterlibatan politik yang luas.


[1] Lihat: al-Quran, al-Baqarah (2): 182, 220; al-Nisaa (4): 114;  al-Maidah (5): 39; al-An’am (6): 48, 54; al-A’raf (7): 35; Hud (11):8; al-Shura (42): 40.
[2] Lihat: al-Quran, al-Nisaa (4): 16, 35, 128.
[3] Lihat al-Quran: al-Baqarah (2): 11, 160, 224, 228; Ali Imran (3): 89; al-Nisaa (4): 129, 146; al-A’raf (7): 56, 170; al-Anfaal (8): 1, 11: 117; al-Nahl (16): 119; al-Nur (24): 5; al-Shu’ara (26): 152; al-Qasas (28): 19; al-Hujuraat (49):9.
[4] Lihat antara lain perbahasan al-Qaradawi mengenai Usul keempat di dalam bukunya, ‘Mawqif al-Islam min al-Ilham wa al-Kasf wa al-Ru’a wa al-Ruqa’, Maktabah Wahbah, Kaherah,1994.
[5] Mungkin perbincangan tentangnya di dalam ‘Syarh al-‘Aqidah al-Tahawiyyah’  karangan Ibn Abdul ‘Izz al-Hanafi boleh menjadi rujukan di dalam hal ini.
[6] Mungkin pengalaman Andalusia yang hidup dengan masyarakat jamak-agama dan jamak budaya (La Convenvicia) agak berbeza dengan yang lainnya.
[7] Lihat: http://www.islamic-relief.org.uk/.

2 comments:

  1. Mengimbau kenangan PERTAMA 2010. MANIS dengan adunan rentas ideologi di pentas itu.

    ReplyDelete
  2. hentikan budaya taksub dan kita bsatu ats nama islam

    biar kita di bwh pyung ISLAM dan mpunyai PAS, ISMA, JIM, ABIM dan lain2 sbgai lajnah di bwhnya..masing2 perlu fokus pada ISLAM- bukan menyaingi sesama kita sndri.


    Untuk perkara politik kita serahkan kepada PAS, di dalam bidang dakwah kita serahkan kepada Tabligh untuk menguruskannya, untuk perkara pendidikan kita serahkan kepada ABIM, untuk perkara ekonomi kita serahkan kepada Global Ikhwan, untuk tarbiyyah kita serahkan pengurusannya kepada JIM, untuk bantuan kepada Negara-negara umat Islam kita serahkan kepada ISMA, dan begitulah seterusnya wujudnya pembahagian tugasan untuk membangunkan tamadun ummah seperti mana Rasulullah SAW memberikan tugasan kepada para sahabat di dalam membangunkan kerajaan Islam di Madinah pada ketika itu.

    ReplyDelete