Monday, 15 August 2011

Rasionalnya zakat diswastakan (devolution):



Rasionalnya zakat diswastakan (devolution):

1) Tanggung jawab untuk membasmi kemiskinan tidak dibebankan kepada kerajaan semata-mata. Malah setiap anggota masyarakat melalui institusi masyarakat madani akan berkongsi beban untuk membangunkan masyarakat melalui wasilah umum berteraskan sistem zakat yang adil dan telus. Konspenya ialah: 'Dari masyarakat untuk masyarakat'.

2) Di dalam mengenal pasti asnaf (penerima zakat), masyarakat lebih mengenali masyarakat sendiri. NGO-NGO ataupun masjid-masjid lebih mengenali ahli masyarakat dan masalah mereka. Istilah 'social capital' lebih tepat di dalam memperkasakan institusi tersebut, terutamanya 'masjid-masjid', agar memainkan peranan yang lebih efektif di dalam membina anggota komuniti. Pengalaman gereja-gereja Evangelist di AS di dalam membantu masyarakat mungkin boleh dijadikan contoh bagaimana aktor-aktor bukan kerajaan boleh membina masyarakat mandiri tanpa terlalu bergantung harap pada ahli politik semata-mata.

3) Badan-badan selain agensi kerajaan kurang dengan karenah birokrasi dan tidak terikat dengan pengaruh ahli politik yang sering menggunakan prasarana kerajaan sebagai alat untuk mempromosikan diri mereka. Dengan berfungsinya badan-badan selain kerajaan membantu para penerima zakat, penggunaan agama oleh aktor politik akan dapat dikurangkan.

4) Kebajikan asnaf muallaf (samada yang baru masuk Islam ataupun yang berkira-kira untuk memeluk Islam) akan lebih terjamin. Halfway home seperti 'Hidayah Centre' yang menjaga kebajikan para muallaf secara terus dan lebih dekat dengan penuh kasih sayang dan bukan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga. Jika dibandingkan layanan kepada para muallaf yang menerima zakat dari pihak berkuasa, mereka lebih dianggap sebagai pengemis dari pihak atasan, berbanding layanan kepada penganut agama Kristian yang dilayan oleh gereja dengan penuh kasih sayang. Layanan dan khidmat berteraskan kasih sayang dan ihsan yang sama hanya boleh dikecapi oleh para muallaf melalui NGO-NGO yang menumpukan usaha mereka untuk dakwah dan kebajikan saudara baru.

5) Bagi para pelajar yang menerima bantuan zakat dari NGO ataupun badan-badan dakwah, pemberian zakat tidak berakhir dengan pengarah pusat zakat, jabatan agama ataupun YB menghulurkan replika cek semata-mata. Kebiasaannya badan-badan dakwah mementingkan proses kaderisasi, pembinaan syakhsiah, pembinaan karakter dan juga penyediaan para pelajar untuk menjadi pemimpin di masa hadapan. Sudah tentunya jika badan-badan dakwah yang memberikan zakat dan menaja para pelajar, zakat yang diberikan itu jauh lebih efektif di dalam membina masyarakat Islam yang progresif dan produktif.

6) Kelazimannya NGO-NGO dan aktor-aktor bukan kerajaan tidak hanya mementingkan angka kutipan berbanding dengan angka perbelanjaan. KPI aktor-aktor tersebut biasanya adalah untuk memberikan impak kepada program-program dan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan dan bukan semata-mata berbangga dengan angka kutipan dan juga profil korporat yang kebanyakannya bersifat 'artificial'.


7) Individu Muslim akan mengeluarkan zakat hanya kepada mana-mana badan yang mempunyai rekod yang cemerlang di dalam pengagihan zakat dan aktiviti yang efisien melalui pengagihan tersebut. Rakyat Muslim tidak lagi terpaksa membayar zakat kerana mereka terpaksa tanpa melihat kepada natijah zakatnya digunakan. Makanya, hanya mereka yang layak sahaja akan menerima pembayaran zakat dan kepercayaan oleh masyarakat untuk dibayar zakat kepada mereka. Atmosfera 'healthy competition' dan free-market yang sihat ini akan menjadikan badan-badan zakat berlumba-lumba memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk masyarakat dari hasil kuitpan mereka. Maka dengan sendirinya akauntabiliti badan penerima dan pengagih zakat adalah di tangan stakeholders, iaitu rakyat sendiri berdasarkan meritokrasi...


Banyak lagi rasional yang boleh disenaraikan sebagai sambungan kepada perbincangan ini. Apa yang penting, aktor masyarakat sivil perlu diperkasakan di dalam isu zakat. Sekadar menjadi ejen kutipan zakat dengan pulangan 30% ataupun 50% dari pusat zakat sahaja tidak akan dapat menjadikan sistem zakat sebagai sistem yang efisien untuk menyelesaikan masalah kemiskinan, kefakiran dan juga kemunduruan masyarakat Islam. Persoalannya sejauhmana pihak autoriti agama bersedia untuk melakukan perubahan demi membangunkan ummah dan negara. Kemurahan pihak autoriti agama untuk memasyarakatkan usaha membangunkan agama adalah amat perlu.

Mungkin proposal ini mengajukan sesuatu yang agak radikal dan mempunyai kekangan undang-undang, serta hambatan kerangka fiqh taklidi. Persoalan ini boleh ditanggapi jika semua pihak meletakkan Maqasid al-Syariah dan moral sebagai paksi utama di dalam melahirkan ijtihad-ijtihad baru berkaitan zakat dan pembangunan ummah. Mengapakah perlu kemajuan ummah dibantutkan semata-mata kerana pendekatan deontologicalataupun legal positivistic dengan mengenepikan konsekuensi dan unsur moral?...

No comments:

Post a Comment