Thursday, 25 June 2009

Keluarkan Diri Anda


Keluarkan Diri Anda

Cuba lihat lukisan 'bonjour, monsieur Courbet' karya Gustave Courbet di atas. Bayangkan jika anda merupakan salah seorang daripada tiga watak tersebut. Mungkin yang berjanggut panjang itu, ataupun salah seorang dari dua orang yang sedang menghadapnya. Apakah yang ada fikirkan?

Pandangan mata anda akan tertumpu kepada pihak yang mana anda berkomunikasi dengannya. Subjek komunkasi akan menjadi fokus, dan minda anda pada waktu itu akan tertumpu kepada realiti waktu tersebut. Apa yang lebih penting, anda tidak akan berpeluang untuk melihat diri anda sendiri...kerana sibuk membicarakan subjek yang diperkatakan.

Sekarang, keluarkan diri ana dari gambar tersebut. Lihatlah gambar itu secara luas dan menyeluruh. Anda akan dapati pandangan anda akan lebih luas, akan lebih mengamati setiap watak dan juga obejk pada realiti berkenaan. Bayangkan pula jika anda mendengarkan perbualan mereka...sudah tentu solusi yang akan dirumuskan tidak tertumpu kepada apa yang anda fikirkan sahaja, tetapi melibatkan semua aktor yang terlibat.

Bagaimanakah pula anda dan kehidupan seharian. Di dalam konflik sebagai misalnya? Apakah anda sering mengongkong diri di dalam watak yang terlibat, ataupun anda cuba mengeluarkan diri dan melihat apa yang berlaku secara menyeluruh, lantas bersikap adil kepada semua...

Lihat pula kepada anjing di dalam gambar tersebut. Apakah pula perana yang boleh dimainkan olehnya di dalam usaha anda membuat penilaian yang adil melalui pengamatan yang menyeluruh?


Maszlee
Durham, UK.

Monday, 15 June 2009

Seorang Pahlawan dan Seorang Rahib


Seorang Pahlawan yang terkenal amat dihormati dan digeruni di dalam negaranya. Para serdadu bawahan amat menyanjungi dan takutkan akan beliau. Sesiapa sahaja yang mencabar beliau akan pasti dapat dikalahkannya. Maka pada satu hari ketika pahlawan hebat ini berjalan dengan lagak yang sombong dan angkuhnya di pasar, beliau telah ditegur oleh seorang rahib yang sedang duduk memerhatikan gelagat manusia di pasar.

Sang rahib tersenyum menyindir dan menegur. "Wahai anak muda, adakah kau pahlawan yang sering disanjungi itu?". Dengan pandangan yang menyindir melalui lirik anak matanya, beliau segera menjawab "Akulah yang mereka sanjungi itu". Sang rahib masih lagi tersenyum dan berkata, "Sayang sekali, kau masih lemah dan tidak selayaknya disanjungi itu". Pahlawan yang gagah itu pun naik berang dan mula mengangkat suaranya. "Jangan kau mencabar aku wahai rahib, sekali aku tumbuk, aku pasti semua tulang-tulangmu akan patah remuk!". Dengan perasaan marah, si pahlawan meninggalkan sang rahib.

Tidak lama selepas peristiwa tersebut, berlaku peperangan di antara negeri tersebut dengan negeri jiran yang berdekatan. Negeri itu telah kalah teruk, serdadu mereka ramai yang telah terbunuh. Negeri jiran berjaya menawan negeri berkenaan. Di dalam keadaan yang parah dan luka, sang pahlawan yang gagah itu terpaksa mencari perlindungan di hujung kota. Beliau segera terjumpakan sang rahib.

Sang rahib pun bertanya. "Apakah yang telah berlaku kepada dirimu wahai pahlawan yang gagah?". Sang pahlawan dengan malunya berkata, "Benar katamu, aku amat lemah dan tidak segagah yang aku sangkakan wahai rahib". Sang rahib memegang bahu si pahlawan dan berkata,"Kau tersilap, sekarang kau telah menjadi gagah dan menyedari kekuatanmu. Kekuatan seorang pahlawan ialah apabila dia menyedari kelemahan dirinya dan berusaha mengatasinya. Bangkitlah wahai pahlawan, binalah kekuatanmu dan kumpulkan serdadu yang baru untuk bangkit menyerang semula!".

Selepas setahun sang pahlawan berjaya mengumpulkan tenteranya semula dan menyerang negeri jiran tersebut. Mereka telah menang dan berjaya memerdekakan negara tersebut. Pahlawan itu sedar bahawa kekalahan negerinya sebelum itu hanyalah merupkan permulaan untuk kejayaan yang sebenar...


Bagaimanakah pula dengan dirianda?, apakah anda di puncak kelemahan ataupun pada permulaan kekuatan diri?


Ayuh, jangan biarkan rebahnya diri menjadi alasan untuk tidak bangkit semula!



Maszlee

Paris

Wednesday, 10 June 2009

The Saudi Government gone crazy!!!


Prevent Alstom from building the Haramain Express Railway

Saudi Arabia awarded French company Alstom a multi-million dollar contract for the construction of Haramain Express Railway, to link the holy cities of Makkah and Madina. Alstom is in violation of international law for its part in the construction of the Jerusalem Light Rail, which will link illegal Israeli settlements in the occupied Palestinian territory (including East Jerusalem) with the city of Jerusalem. The construction of the light rail is part of a wider Israeli policy to ethnically cleanse the Palestinians from Jerusalem and turn permanent the illegal occupation of the city.

The decision by the Saudi Arabian authorities is in violation of its own international commitments. The Arab League barred member states from dealing with companies involved in the construction of Jerusalem Light Rail project. The Saudi contract sends a signal of approval for Alstom’s actions in Jerusalem and highlights the lack of integrity of the Haramain project: the Saudi Arabian government has chosen to link two of Islam’s holiest cities by sponsoring the colonization of another.

Across the world a divestment campaign is taking pace against Alstom and its partner company Veolia, with victories in Sweden and France. In 2006, Dutch ASN Bank took the responsible decision to divest from the project. Alstom and Veolia are accused by Palestinian civil society, represented by the BDS National Committee, BNC, of complicity in grave violation of international law and Palestinian rights for their role in the JLR project. Despite the pressure, the two companies have refused to end their participation in the project. With construction at an advanced stage, Alstom and Veolia are guilty of actively colluding with Israeli apartheid.

  1. Write to the Saudi Railway Organization and to the Saudi Arabian diplomatic representation in your country demanding immediate cancellation of the contract with Alstom.

    karni@saudirailways .org (Vice President)
    shafqatrabbani@ sro.org.sa (Project Manager)
    salim@sro.org. sa (Project Manager)
    sohail@sro.org. sa (Project Engineer)

    Please bcc us on your correspondence: saudialstomdivestme nt@gmail. com

  2. Sign the petition: http://www.petition online.com/ BDSaudi/petition .html
  3. Write about this issue in your local media. Discuss it in your local mosque and community centers. Participate in actions for boycott, divestment and sanctions of Israel.

Find Out More!

The Case Against Veolia and Alstrom:

The Ethnic Cleansing of Palestinians From Jerusalem:

(Sumber : http://palsolidarit y.org/2009/ 06/7054)

Tuesday, 9 June 2009

Antara dua Muktamar


Antara Dua Muktamar

Bagi sesiapa yang belum mengenal Maxime Rodinson, beliau merupakan sarjana Peranchis yang telah menulis buku 'Islam and Capitalism'. Tesis utama buku tersebut ialah penolakan terhadap sangkaan Max Weber (bapa sosiologi barat) bahawa agama-agama lain (termasuk Islam) tidak serasi dan tidak membawa nilai Kapitalisme yang membawa kepada kemajuan ekonomi barat. Di dalam magnum opus beliau 'The Protestant Ethic and the Spirit of Capitalism', Weber telah membuktikan bahawa Protestant versi Calvanism yang beliau anuti merupakan tanah yang subur untuk ideologi Kapitalisme. Maka, Rodinson pula telah mengemukakan teorinya pula yang mengatakan bahawa Islam juga amat serasi dan menyediakan tanah yang subur juga untuk ideologi kapitalisme. Samada al-Quran dan Sunnah, kedua-duanya tidak menentang unsur-unsur perdagangan, pencarian keuntungan (yang tidak dihadkan), pemilikan individu, dan lain-lain lagi, tetapi dengan versinya yang tersendiri dengan mengharamkan beberapa elemen yang akan merosakkan perdagangan itu seperti riba, gharar, menipu, monopoli dan lain-lain.

Jomo K.S. telah menyangkal hujah kedua-dua Weber dan Rodinson di dalam artikelnya, 'Islam and Capitalim Development: A Critique of Rodinson and Weber'. Beliau mengemukakan sisi terlindung yang tidak disentuh oleh Rodinson terutamanya mengenai ekonomi Islam. Beliau telah menegaskan bahawa konsep 'keadilan sosial' yang menjadi tema utama falsafah ekonomi Islam tidak selari dengan sikap individualisme terlampau ideologi Kapitalisme. Bagi sesiapa yang biasa dengan wacana falsafah politik ekonomi, sentimen 'sosialisme' tulisan Jomo akan segera dihidu. Jomo bukanlah yang pertama,malah Abdul Qadir 'Audah, Ali Shari'ati dan lain-lain lagi telah mendahului beliau di dalam usaha pengharmonian di antara teori ekonomi sosialisme dengan falsafah eknomi Islam. Agak menarik, mungkin analisis Umer Chapra mengenai Islamic Economy boleh memeriahkan lagi wacana berkenaan. Kesimpulannya, falsafah ekonomi Islam itu tidak bersifat statik. Sebagai pentafsiran kepada wahyu yang terbuka kepada ijtihad dan akal manusia, falsafah tersebut boleh dicorakkan menurut rasional dan juga kesesuaian setempat selagi ianya tidak merongkai apa yang baku dan fundamental.

Mukadimah ini menjadi pembuka kata mengenai pandangan seorang rakyat Malaysia yang ingin melihat Malaysia yang lebih harmoni untuk sekelian penduduknya (termasuk alam sekitar dan haiwan). Pada tahun ini, konvensyen parti-parti politik di UK yang telah berlangsung pada awal tahun telah menjadikan perbincangan mengenai krisis ekonomi (credit crunch) sebagai tema utama. Setiap parti mengemukakan saranan mereka untuk memulihkan ekonomi jika mereka menguasai tapuk pemerintahan. Wacana yang mereka gunakan adalah wacana politak ekonomi yang berbunyi positif dan penuh keyakinan. Ketiga-tiga parti utama di UK (Buruh, Konservatif dan Liberal Demokrat @ Lib Dem) telah mengemukakan blue print mereka sebagai dasar untuk menjadi parti pemerintah. Agak menarik,walaupun Lib Dem merupakan parti yang mungkin tiada peluang untuk menjadi parti pemerintah pun, namun reotrik dan juga gagasan yang dibawa oleh Nick Clegg (presiden parti) membuktikan bahawa mereka bersedia untuk memerintah. Antara yang menarik ialah polisi luar mereka yang bersikap mesra Palestin dan agak agresif berhubung dengan Israel. Walau bagaimanapun, parti yang sering mendapat julukan 'parti gay' (kerana komitmen mereka memperjuangkan hak golongan minoriti, terutamanya golongan gay) ini agak mustahil untuk mencapai puncak kekuasaan mahupun menjadi pembangkang utama dengan kabinet bayangan yang tersendiri.

Hal ini telah membuka selera saya untuk mengikuti dengan tekun perbincangan di dalam perhimpunan Agung UMNO dan juga Muktamar PAS. Sebagai rakyat Malaysia yang realis, saya terpaksa akur bahawa kuasa politik di Malaysia masih lagi berteraskan sikap kepuakan dan bangsa. Politik identiti masih kuat berakar di dalam budaya politik rakyat Malaysia. Oleh yang demikian, tidak dapat tidak tampuk kekuasaan mestilah berada di dalam tangan parti bangsa yang majoriti, iaitu parti orang Melayu. Maka, samada UMNO ataupun PAS, merekalah merupakan harapan survival politik orang Melayu. Hal ini merupakan satu norma yang tidak dapat disangkal, cuma apa yang perlu diberikan perhatian, apakah budaya pemikiran seperti ini akan mengabaikan kepentingan dan hak kaum minoriti yang majoriti ataupun tidak.

Seperti kebiasaannya, di dalam Perhimpunan Agung UMNO, politik wang merupakan sinonimnya. Walaupun media tidak melaporkan, namun testemonial para perwakilan yang balik dari perhimpunan tersebut dengan wang yang lumayantelah cukup untuk manusia berakal untuk tidak menafikannya. Politik wang dan politik patronage merupakan rencah utama politik UMNO. Maka dengan rencah itu jugalah UMNO menjadi rosak dan UMNO telah ditolak oleh kebanyakan rakyat Malaysia pada PRU ke-12 yang lalu, terutamanya di kalangan bukan Melayu. Bukan sekadar UMNO, malah parti-parti komponen BN yang lain juga telah menerima tempias penolakan rakyat terhadap UMNO. Malangnya, para pemimpin UMNO tidak juga sedarkan diri. Di kala UMNO sedang lesu dan mengharapkan 'wow factor' (bak kata Timbalan Perdana menteri Malaysia dan juga Timbalan Presiden UMNO), para pemimpin UMNO masih lagi tidak serik.

Walau bagaimanapun, apa yang ditunggu ialah kualiti ucapan dan pebincangan di dalam perhimpunan tersebut. Amat malang, kualiti perbincangan dan usul yang dibawa oleh para perwakilan tidak mencerminkan bahawa UMNO telah melonjak untuk memperbaiki dirinya. Walaupun tiada keris yang dijulang kali ini, namun tiada usul dan perbahasan yang menuntut perubahan drastik berhubung keadaan terkini negara. Namun, sekurang-kurangnya nada perbincangan perwakilan tetap yakin bahawa UMNO akan terus berada di tampuk pemerintahan dan akan terus berkuasa. Malangnya tiada sesuatu yang baru, apatah lagi sesuatu yang menunjukkan kematangan dan kemajuan di dalam pemikiran majoriti para perwakilan. Mungkin masing-masing sibuk menantikan pemimpin yang telah mereka undi sebagai balasan duit yang telah diberikan untuk menjadi MT ataupun apa-apa jawatan yang lain.

Pada bulan Jun pula, muktamar PAS telah berlangsung. PAS merupakan lawan utama UMNO. Walaupun PKR nampak mempunyai kelebihan kerusi di parlimen (PKR 31 kerusi, PAS 23 kerusi), namun hakikat undian yang diberikan kepada PAS dan juga jumlah kerusi DUN yang dikuasai membuktikan bahawa PAS masih merupakan parti pembangkang utama di Malaysia. Maka sewajarnya PAS bersedia untuk mengambil tampuk pemerintahan dari UMNO. Hal ini telah dinyatakan oleh Timbalan Presiden PAS yang telah memenangi kerusi tersebut buat kali ketiga berturut-turut, Ust Nasharudin Mat Isa. Selain dari usaha unutk mengukuhkan PR, PAS juga menurut beliau bersedia untuk menggantikan UMNO.

Mungkin keterbatasan ruang, bagi penonton politik di luar negara, ruang media alternatif sahaja yang dapat dijadikan ruang untuk mengikuti perkembangan muktamar. TV PAS, Harakahdaily dan Siasah online mungkin menjadi sumber terpecaya. Media masa arus perdana mempunyai agenda tersendiri, begitu juga halnya dengan media-media alternatif lain yang tidak dimiliki oleh PAS. Mereka mempunyai pentafsiran yang lain berbanding tuan punya badan sendiri. Amat kecewa bagi pengamat politik yang amatur seperti saya dengan kualiti perbincangan di dalam muktamar. Walaupun timbalan presiden membuka cita-cita yang besar,namun kualiti dan juga atmosfera perbahasan dan usul lebih merupakan isu dalaman parti dan juga isu-isu reaksi. Tiada satu blue-print yang jitu di dalam perbahasan mahupun di dalam ucapan presiden yang menunjukkan PAS bersedia memerintah.

Di kala Tuan Guru Presiden menyalahkan ideologi Kapitalisme Liberal yang semakni hancur dan membawa keruntuhan ekonomi di barat, tidak pula dibincangkan alternatifnya di bumi Malaysia yang ingin dibawa oleh PAS. Sistem perbankan Islam yang bertapakkan semangat kapitalisme itu sendiri pun turut didokong oleh PAS. Begitu juga dengan perbahasan pemuda mengenai Liberalisme ekonomi, sanggahan mereka hanyalah mengenai kemungkinan pemodal Yahudi akan bertapak di Malaysia, dan kemudiannya menegaskan bahawa rakyat masih memerlukan kerajaan di dalam urusan ekonomi mereka. Bagi para pengkaji politik eknomi, ternyata saranan itu berbau sosialisme, dan juga mengukuhkan lagi polisi ekonomi BN yang membuka ruang kepada patronage economy yang menghasilkan kronisme dan nepotisme selanjutnya korupsi.

Mungkin saya terlepas pandang, namun seperkara yang penting ialah perbincangan berhubung kepentingan bukan Melayu/Islam yang telah memberikan undi kepada PAS lewat PRU-12 yang lalu. Selain dari perbincangan mengenai Kelab Penyokong PAS, tiada perbincangan khusus mengenai kedudukan sosio-ekonomi bukan Melayu/Islam jika PAS mengambil alih kekuasaan dari UMNO. PAS tida boleh membiarkannya hanya kepada PR untuk membuat keputusan, PAS mestilah mempunyai ideologi dan juga gagasan mereka sendiri yang kemudiannya dilobikan di dalam PR. Mungkin saranan penubuhan suruhanjaya mengkaji rampasan kuasa BN di Perak boleh dipuji, namun sekali lagi, ianya lebih berbentuk reaksi. Cadangan mengharamkan SIS merupakan satu yang beasar dan serius. Walaupun impaknya negatif dan mengundang pelbagai polemik, namun sekurang-kurangnya itu membuktikan komitmen PAS terhadap ideologi yang didokonginya. Saya secara peribadi tidak menyokongnya, tetapi jika itu yang dimahukan oleh majoriti ahli PAS, sekurang-kurangnya ia perlu dihormati. Usul yang besar dan bersikap 'genuine' seperti inilah yang dimahukan. Bukanlah saya bermaksud usul yang 'mengharamkan', tetapi usul yang membawa 'blue-print' PAS kepada rakyat mengenai apa yang ingin mereka bawa jika mendapat tampuk kekuasaan.

Isu kerajaan perpaduan sepatutnya dijadikan usul dan diperbahaskan. Biar apapun yang ingin diperkatakan oleh orang lain, namun PAS perlu bersikap matang di dalam membawa sesuatu ide. Janganlah isu tersebut membuatkan mereka yang mendokongnya bersikap seperti watak-watak 'spitting image'. Jika benar ia relevan, bawakan usul dan diperbincangkan dan kemudian diputuskan samda ianya relevan ataupun tidak. Jika ianya tidak relevan dan ditolak oleh perwakilan semua, maka ianya harus 'ditutup' dan dibuang tanpa perlu dibincangkan lagi. Sekiranya ianya diterima oleh para perwakilan, maka di waktu itu PAS sebagai sebuah parti yang bersedia untuk memerintah perlu menghormati pandangan majoriti ahli. Menyenyapkan isu tersebut tanpa diperbincangkan akan menimbulkan tanda tanya dan gosip yang berterusan. Pihak lawan pula akan terus memanipulasi isu berkenaan untuk kepentingan mereka.

Walau apapun yang telah berlangsung, tahniah diucapkan kepada para pemimpin PAS dan perwakilan yang telah menjayakan uktamar ke-55 PAS. Mungkin mengharapkan sesuatu yang besar dari UMNO dan PAS adalah keterlaluan. Masanya akan sampai juga, namun bila?


Maszlee
Durham, UK.
* Menantikan usul pembentukan kabinet bayangan PR dengan PAS mengemukakan menteri-menteri bayangan mereka dengan polisi-polisi tersendiri menggambarkan aspirasi PAS dan harapan rakyat....ini juga tidak muncul...
Maka, tiada sesuatu yang baru yang dikemukakan juga. Apakah mereka benar-benar telah bersedia untuk memerintah dan menggantikan UMNO?

Monday, 8 June 2009

Bezakah wacana politik dan wacana agama?



Bezakah Wacana Politik dan Wacana Agama?

Lewat peperangan Hizbullah-Israel 2006, majalah i pernah menyiarkan dua artikel yang agak bertentangan dan ironik dari dua sahabat yang rapat. Kedua-dua artikel tersebut bukanlah menceritakan tentang perincian kepada peperangan tersebut, tetapi mengenai sikap Ahli Sunnah kepada Syiah.

Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang belum lagi menjadi mufti pada ketika itu membidas sikap sesetengah ahli Sunnah di Malaysia yang agak kagum dengan Hizbullah yang Syiah. Menurut hemat beliau, Syiah merupakan golongan yang sesat dan juga mengkafirkan sahabat, maka tidak selayaknya kita terlalu mengagungkan beliau. Artikel bertentangan pula dihasilkan oleh saya sendiri yang menyeru agar wacana politik dibezakan dengan wacana agama. Bagi saya, kedua-duanya mempunyai laras bahasa dan kesan yang berbeza. Kedua-dua wacana tersebut mempunyai paradigma dan juga kesan yang berbeza. Inilah yang sering saya bawakan di mana-mana sahaj penulisan saya. Tetapi jangan salah sangka, ini tidak bermakna saya menyuruh agar agama dipisahkan dari politik secara total yang merupakan buah dari pemikiran sekularisasi...bagi orang yang bijak dan berfikir mereka akan dapat membezakannya. Bagi mereka yang agargelojoh membuat kesimpulan dan tidak pernah cuba memahami cara berfikir orang lain, berhenti setakat di sini dan pergilah meneroka laman facebook...

Isu yang sama (membezakan di antara wacana politik dan agama) juga perlu dibawa ketika memahami isu ummah centricism yang telah mempopularkan beberapa tokoh di dalam PAS hari ini. Bagi anak-anak siswa dan juga mereka yang taksub, saranan tersebut telah dilihat sebagai 'agenda UMNO', pemecah belah jamaah, penghapusan wala di dalam jamaah dan pelbagai lagi tafsiran. Agak menarik, artikel dan juga sesi celoteh mengenai tajuk tersebut (melalui VCD yang diedarkan tanpa izin penceramah sendiri) telah menjadikan sekumpulan pemuda yang asalnya telah lesu mula bertenaga kembali. Akhirnya sesi perbincangan isu tersebut telah berjaya menggegarkan muktamar pemuda PAS pada tahun tersebut. Malangnya tiada pihak pun dari kalangan pemuda-pemuda berkenaan yang sudi untuk menjemput saya untuk membincangkan perkara tersebut. Mungkin tiada budaya 'mendengar' dan cuba 'memahami' pemikiran orang lain...budaya taklid masih tebal di waktu itu.

Walau apapun polemik tersebut telah berjaya menggerakkan para pemuda berkenaan dari kelesuan. Sekurang-kurangnya tafsiran dan perbahasan mengenai ide berkenaan, walaupun tidak menepati apa yang difahami oleh pencetusnya, telah mewarnai perbincangan para pemuda berkenaan. Anggaplah ia sebagai satu usaha kerdil dari pencetusnya untuk melonjakkan idealisme golongan pemuda tersbeut walaupun dengan cara yang provokatif...

Kini, lewat muktamar PAS ke-55, seruan untuk menguatkan kesatuan ummah dengan meyikapi isu UMNO-PAS secara bijaksana telah berkumandang kuat. Golongan pro-muqabalah (perpaduan Melayu?) telah berjaya menenggelamkan suara golongan anti-muqabalah (pro perpaduan Malaysia). Tuan Guru DS Presiden telah menekankan keperluan untuk tidak menutup ruang dakwah kepada UMNO. Saranan beliau juga telah diulangi oleh ketua pemuda PAS yang baru. Dakwah dilihat sebagai kerja utama parti yang perlu didahulukan berhubung sikap PAS terhadap UMNO. UMNO telah mula diterima sebagai sebahagian dari umat Islam...dan perlu didakwahi, dan disantuni...demi kemaslahatan ummah. DS Najib dan ketua pemuda UMNO pun bergembira dan menghulurkan tangan mereka di atas keterbukaan PAS ini...(sambil berkata, jerat sudah mengena!)

Ucapan dan saranan tersebut memang amat tepat jika ianya dikumandangkan di dalam wacana dakwah dan agama. Hakikat ahli-ahli UMNO merupakan saudara seakidah dan ummah tidak dapat dinafikan. Siapakah ahli-ahli UMNO?, merekalah adik beradik, saudara mara, jiran, handai taulan dan juga kenalan orang-orang PAS. Mereka juga bersyahadah sekali, bersolat sekali, beryasin dan bertahlil sekali dengan orang-orang PAS. Mereka jugalah yang sama-sama membaca al-Quran yang dibaca oleh orang PAS, bersolat menghadap kiblat yang dihadap oleh orang-orang PAS, dan juga makan makanan halal dari cop JAKIM yang juga diyakini oleh orang-orang PAS. Mukmin itu bersaudara...Muslim saudara Muslim yang lain!

Itu tepat sekali jika dibawa di dalam wacana agama dan dakwah. Persoalannya apakah di dalam wacana politik, 'laras bahasa' sedemikian sesuai?

Pimpinan PAS, terutamanya Tuan Presiden mungkin lebih arif, malah beliau menyarankan agar ilmu 'siyasah' difahami dan dikuasai oleh para pemimpin dan aktivis PAS.

Malangnya, bagi saya, di dalam wacana politik, bahasa sedemikian adalah tidak sesuai. Bahasa politik memerlukan ungkapan-ungkapan teknikal yang berbeza dengan bahasa agama dan bahasa dakwah. Bahasa politik memerlukan topologi yang horizontal berteraskan hubungan vertikal dan bukannya hubungan vertikal yang membawa kepada kontasi horizontal seperti halnya bahasa dakwah dan agama.

Bahasa politik mengambil kuat faktor suasana dan juga pandangan 'kemanusiaan' yang lebih. Sebab itulah al-Juwayni menempelak al-Mawardi yang terlalu mengecilkan ruang ijtihad di dalam politik. Bak kata al-Ghannoushi, ruang politik memerlukan ruang ijtihad yang luas.

Biarlah bahasa politik itu membicarakan persoalan akauntabiliti, ketelusan, tadbirurus, keseimbangan kuasa, kebebasan politik, penghapusan korupsi, keluhuran undang-undang dan yang seumpama dengannya. Sudah tentu rentaknya agak berlainan. Tetapi wacana politik tidak pula menafikan peranan ukhuwwah, akidah dan juga hubungan sesama Muslim. Biarlah yang kroupsi itu saudara seakidah kita, namun teguran kita, bangkangan kita dan juga usaha kita menjatuhkannya melalui ruang demokrasi tidak sedikit pun mengurangkan ukhuwwah dan juga ikatan akidah kita dengan mereka, malah membantu mereka...agar mereka tidak lagi melakukan kezaliman.

Mungkin nasihat Rasulullah SAW, 'bantulah saudara kamu yang zalim dan yang dizalimi' itu perlu dihayati dalam kerangka politik. Bukanlah apabila kita menjatuhkan sesuatu parti dan membawa mereka ke liang lahad kerana korupsi dan juga kezaliman mereka itu menandakan kita mengkafirkan mereka ataupun menidakkan ukhuwwah islamiyyah kita dengan mereka. Bahkan kita membantu mereka agar tidak berterusan di atas kezaliman kerana kekuasaan dan juga kedudukan mereka. Kita sayangkan mereka, sebab itu kita mahu mereka digantikan...

Saya bukan ahli politik, malah sehingga kini masih belum menerima apa-apa surat pendaftaran sebagai ahli mana-mana parti politik. Walau bagaimanapun sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dan yang ingin melihat masa depan yang lebih cerah untuk agama, rakyat dan juga bumi Malaysia, saya inginkan perubahan. Perubahan itu semakin hampir...janganlah direncatkan ia. Bak kata saya kepada ahli keluarga terdekat saya yang pernah menjadi aktivis UMNO yang tegar. Jika UMNO ingin diselamatkan, ia perlu dimulakan dari 'scratch', ia perlu bermula dari noktah...ia perlu bermula dengan kekalahan yang total agar UMNO dapat membina kembali dirinya...


Maszlee
Durham, UK.
* Tahniah buat TG DS A Hadi dan Ust Nasha!, begitu juga buat Nasrudin Tantawi dan TG DS Harun Taib!, selamat memacu PAS untuk PRU-13 nanti...
(Ketika ini saya sedang menyiapkan kertas kerja mengenai Democracy and Good Governance: a new discourse of PAS untuk konfrens di Paris Jumaat ini)

Thursday, 4 June 2009

PR Perlu Diinstitusikan


PR perlu diinstitusikan

Semenjak tsunami politik yang melanda tanah air lewat PRU ke-12 yang lepas, suasana politik Malaysia tidak pernah reda. Kejutan atau tamparan kepada hegemoni rejim BN lewat PRU tersebut menjadikan pihak elitis koalisi tersebut tidak senang duduk. Kedudukan mereka di 'centre' sedikit demi sedikit telah cuba dihakis oleh golongan 'peripheral,' terutamanya di negeri-negeri yang dikuasai oleh PR.

Kemelut politik di Perak dewasa ini tidak dapat ibarat imblical cord yang tidak terputus dari tsunami tersebut. Rakyat jelata semakin bosan dan muak dengan corak politik BN yang agak kurang bermoral di dalam memastikan hegemoni mereka terus kekal dan kekuatan mereka tidak tercabar. Dinamisme realpolitik pihak BN semakin menjadikan rakyat secara umumnya semakin jemu terhadap mereka dan bukan semakin percaya. Walaupun berlaku perubahan pada tampuk pemerintahan negara dan juga pada parti tunggak BN, iaitu UMNO, masih tidak dapat mengubah persepsi umum rakyat terhadap BN. Malah krisis di Perak, kemelut dalaman UMNO di Terengganu, perpecahan UMNO di Perlis dan juga peperangan dingin di dalam barisan kepimpinan UMNO di antara kem 'lama' dengan kem 'baru' semakin memburukkan keadaan. Rakyat menjadi semakin meluat dan muak dengan UMNO, malah dengan parti-parti komponen BN lain yang disifatkan oleh kebanyakan rakyat sebagai telah di'UMNO'kan.

Apakah harapan rakyat?

Pakatan Rakyat (atau yang dilabel sebagai Pakatan Pembangkang oleh media arus perdana)?

Tidak dinafikan PRU ke-12 membuktikan bahawa itu sememangnya harapan rakyat. Malangnya kredebiliti pemimpin-pemimpin PR semakin tercalar akibat isu di loncat parti di Perak dan juga isu integriti sesetengah pemimpin PR di Pulau Pinang. Tidak perlu berselindung, imej PKR yang merupakan peneraju PR melalui ikon mereka, DS Anwar Ibrahim telah menjadi semakin buruk pada tanggapan kebanyakan rakyat. Persepsi umum melihat PKR merupakan tempat bersarangnya golongan UMNO yang pindah kem, tetapi masih membawa tradisi dan paradigma UMNO di dalam kehidupan dan budaya politik mereka.

Lebih malang lagi, PR sehingga kini masih gagal menempatkan diri mereka sebagai pembangkang yang kuat di parlimen. Sehingga detik ini, tiada Shadow Cabinet yang kukuh seperti yang pernah diwujudkan selepas PRU ke-10 yang lalu. PR masih lagi dilihat sebagai bernafsu untuk mengambil alih kerajaan melalui perpindahan ahli parlimen-ahli parlimen BN ke kem mereka. Malangnya, apakah PR benar-benar bersedia?

Sehingga kini juga, PR belum lagi menjadi sebuah institusi yang rasmi dengan perlembagaan dan juga visi dan misi yang jelas. Malah jika dilihat, negeri-negeri yang dikuasai oleh PR mempunyai hala tuju yang berlainan tanpa keselarasan dari segi matlamat dan hala tuju yang ingin dicapai. Kerajaan PAS di Kedah dan Kelantan tidak seperti kerajaan DAP di Pulau Pinang; manakala kerajaan DAP di PP pula tidak seperti kerajaan PKR di Selangor. Sekurang-kurangnya, di peringkat negeri-negeri, biarlah terdapat keseragaman agar rakyat dapat melihat model 'Malaysia Baru' yang ingin dibawa oleh PR di peringkat pusat nanti.

Seburuk-buruk BN (yang dipenuhi dengan korupsi dan pelbagai krisis serta isu), mereka sekurang-kurangnya mempunyai satu aspirasi, satu keselarasan, satu central command, dan juga persefahaman. Pendekata, mereka berjaya menjadi satu institusi yang nampak jelas siapa pimpinan utama, dan juga di mana tugas mereka. Hal ini tidak jelas di dalam PR.

Di pihak PAS pula, kewujudan kem pro-muzakarah dengan UMNO seperti yang dimainkan oleh media arus perdana semakin mengecewakan rakyat. Dominasi kumpulan tersebut (seperti yang diceritakan oleh media pro-BN) di dalam beberapa jawatan strategik PAS (pemuda dan dewan ulama) juga semakin menakutkan ramai pemerhati. Walau bagaimanapun, melihat kepada ucapan Ustaz Nasharudin Mat Isa (yang sering dijuluk sebagai 'pro-Muzakarah') lewat muktamar pemuda PAS, mungkin ramai yang menarik nafas lega. Beliau menegaskan bahawa PAS akan kekal menjadi tulang belakang PR (inilah realitinya, memandangkan kebanyakan jentera pilihanraya PR adalah terdiri dari para aktivis PAS yang tidak kenal lelah dan menganggap usaha mereka sebagai jihad). Jika benar seperti yang dinyatakan, maka PAS perlu bertindak menyelamatkan PR menjelang PRU ke-13 nanti. Tiada siapa dapat menafikan bahawa 'saham' tertinggi para pimpinan PR di kala ini adalah pada para pemimpin PAS seperti DS TG Nik Aziz Nik Mat, DS Nizar Jamaludin dan juga DS Husam Musa, hatta di kalangan rakyat yang bukan beragama Islam.

Hal ini mengimbaukan saya kepada keadaan politik di UK yang semakin bercelaru juga. Krisis tuntutan elaun berlebihan para pemimpin parti-parti utama di UK (spesifiknya parti Labour @ Buruh dan juga konservatif) menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada para ahli politik. Sambutan dingin terhadap pilihanraya EU yang berlangsung hari ini (4 Jun 2009) mencerminkan sikap tersebut. Di sebalik krisis tersebut, terdapat beberapa pihak yang mendapat keuntungan, iaitu parti-parti kecil yang berunsurkan niche. Green Party sebagai contohnya, mendapat mata yang tinggi akibat hilangnya kepercayaan rakyat terhadap parti-parti utama. Lebih menakutkan lagi, parti perkauman BNP (British National Party) juga semakin mendapat tempat di hati rakyat UK, terutamanya dari golongan bawahan dan segelintir dari golongan pertengahan.

Apakah di dalam kekalutan politik di Malaysia dan juga krisis kepercayaan rakyat terhadap BN dan PR akan mengundang reaksi yang sama?

Apakah perlunya wujud parti-parti baru yang boleh memberikan nafas baru kepada suasana politik Malaysia?

Apakah perlunya wujud parti-parti berdasarkan niche di Malaysia seperti yang banyak wujud ni negara-negara maju untuk membawa aspirasi 'creative minority' (minoriti kreatif) di kalangan rakyat?

Apakah tahap kesedaran politik rakyat Malaysia sudah bersedia untuk menghadapi suasana baru itu?

Bukankah Parti Sosialis Malaysia telah berjaya didaftarkan?

Bukankah pimpinan Hindraf juga hendak menubuhkan parti baru?

Mungkin sudah sampai waktunya para aktivis seni, aktivis buruh, aktivis environmen, aktivis sosial dan lain-lain kumpulan berteraskan sasaran (interest group) untuk menubuhkan parti mereka?

Bagaimana pula dengan Parti Akauntabiliti Rakyat (PAR) yang menjadi watchdog kepada parti-parti yang memerintah samda di peringkat pusat mahupun di peringkat negeri, samada kepada kerajaan BN mahupun kepada kerajaan PR?


Maszlee
* Yang telah mengundi parti Buruh untuk wakil EU bagi kawasan parlimen North Eastern UK.

Wednesday, 3 June 2009

Krisis tuntutan elaun ahli parlimen UK


Krisis tuntutan elaun ahli parlimen UK

Suasana politik di UK lewat ini menjadi tidak menentu. Isu tuntutan perbelanjaan menteri-menteri kabinet dan ahli-ahli parlimen kerajaan memerintah (dari Labour Party) dan juga dari kabinet banyangan (Shadow Cabinet) beserta ahli parlimen-ahli parlimen pembangkang yang lain telah membuatkan rakyat British hilang kepercayaan kepada ahli politik.

Kemelut mengenai tuntutan melampau dan berlebihan para ahli parlimen dari kedua-dua parti Labour dan Konsevatif telah membawa kepada perubahan pada pandangan umum rakyat Britain menjelang pilihanraya umum yang bakal diadakan bila-bila masa sahaja. Apa yang pasti, setiap ahli parlimen di dalam House of Common kini tidak lagi senang duduk dan berada di dalam kegelisahan. Pantang ada sedikit keraguan pada tuntutan elaun mereka, maka pihak media akan bersedia mendedahkannya.

Semalam dan kelmarin, dua orang menteri kabinet kerajaan British telah menjadi sasaran media. Tuntutan melampau Exchequere (menteri kewangan), Alistair Darling, dan juga menteri dalam negeri (Home Secretary), Jacqui Smith telah didedahkan kepada umum. Jacqui diberitakan bakal meletakkan jawatan di atas pendedahan tersebut. Di pihak pembangkang utama dan kabinet bayangan (parti konservatif), David Cameron telah mengerahkan ahli parlimen-ahli parlimen dari partinya untuk menjelaskan semula tuntutan-tuntutan melampau mereka demi integriti dan juga maruah parti. Tindakan tersebut juga merupakan sebahagian daripada menunaikan amanah mereka kepada rakyat.

Fenomena ini telah merubah lanskap pandangan umum rakyat berhubung parti yang bakal mereka pilih menjelang pilihanraya umum nanti. Melalui satu poll yang dijalankan oleh ComRes untuk akhbar 'The Independent', kedua-dua parti Labour dan Konservatif kini berada di takuk yang sama dengan masing-masing mengalami kejatuhan mata. Parti-parti kecil yang lain, termasuk parti ketiga terbesar, Liberal Democrat telah berjaya mendapat mata yang lebih. Apa yang menakutkan ialah sokongan kepada parti perkauman ekstrimis, British National Party telah meningkat kepada 4% (lihat: http://www.mirror.co.uk/news/latest/2009/06/02/poll-voters-will-snub-main-parties-115875-21407847/).

Walau apapun yang berlaku, seperkara yang dapat dipelajari dari isu yang melanda politik UK ini ialah tahap ketelusan dan akauntabiliti tadbirurus mereka. Para ahli politik dan menteri-menteri kabinet tidak mendapat keistimewaan dan juga kekebalan di sisi media. Semuanya sama sahaja bila berhadapan dengan media, hatta Perdana Menteri mereka sendiri. Hal ini merupakan antara legasi zaman pencerahan Eropah yang amat bermakna kepada penduduk benua tersebut.

Jika dilihat kepada apa yang berlaku di tanah air kita, mungkin keadaan amat berbeza. Media arus perdana tidak berkhidmat kepada rakyat, tetapi menjadi aparat pemerintah demi mengekalkan kekuasaan mereka. Media massa yang sepatutnya menjadi alat ampuh untuk proses akauntabiliti pihak pemerintah dan juga ahli-ahli politik tidak berperanan sepatutnya. Kepentigngan rakyat menjadi soal sekunder, apa yang utama ialah mengekalkan survival pihak pemerintah dengan memutar belitkan fakta dan berita. Begitu juga dengan pihak-pihak yang diharapkan agar dapat menjadi saluran akauntabiliti kepada pihak pemerintah seperti SPRM dan kesatuan pekerja. Mungkin Menteri Pelajaran yang baru perlu mengalihkan pandangannya kepada isi kandungan pendidikan yang diberikan kepada anak-anak Malaysia. Isu PMR bukanlah isu utamanya, tetapi sistem pendidikan yang ada sendiri pun telah diadun agar melahirkan manusia-manusia yang tidak mempunyai kesedaran untuk memahami nilai-nilai dan tanggung jawab sebagai warga negara yang bertanggung jawab. Selagi sekolah-sekolah masih diletakkan di bawah pengawasan sebuah 'Kementerian'. selagi itulah anak-anak Malaysia yang dilahirkan oleh sekolah-sekolah kebangsaan tidak akan berdaya kreatif dan kritis.

Di satu sudut yang lain pula, Islam yang menjadi agama rasmi kepada negara Malaysia tidak dapat menembusi dinding tebal korupsi para pemerintah. Prinsip keluhuran undang-undang, persamaan, keadilan dan juga ketelusan yang dibawa oleh al-Quran dan Sunnah agak sepi dari ruang politik. Agama hanya dijadikan alat untuk suvival ahli-ahli politik demi kepentingan mereka. Agama hanya dijadikan alat untuk menjustifikasikan kedudukan dan juga kezaliman para politikus. Apabila kedudukan sesetengah pihak mula terancam, segera agama dijadikan hujah demi mengekalkan mereka di atas takhta dan kerusi parlimen. Walhal, di dalam kehidupan harian, agama tidak langsung menghalang mereka dari rasuah, korupsi, menzalimi lawan politik, pecah amanah, mengadu domba, memfitnah dan juga melakukan kecurangan terhadap harta rakyat dan amanah yang telah diberikan.

Apakah silapnya?

Di manakah kurangnya?

Sebagai manusia-manusia homo-religiousius, rakyat Malaysia perlu didedahkan dengan nilai-nilai sebenar agama berhubung dengan karakter dan kesedaran sivik. Ruang adunan Islam dan Politik tidak boleh hanya difahami sebagai 'kepimpinan Mullah' dan hukum 'Hudud' semata-mata. Kefahaman sebenar tentang isu keadilan sosial, kesamaan, keluhuran undang-undang, akauntabiliti, ketelusan, persaudaraan, solidariti dan juga integriti individu perlu diterapkan.

Maszlee
Durham, UK.

Tuesday, 2 June 2009

Menjelang Pilihanraya EU


Menjelang Pilihanraya EU

4 hb Jun 2009 akan menyaksikan pilihanraya untuk memilih wakil dari seluruh Eropah (Member of European Parliament) untuk Parlimen EU (European Parliament). Pilihanraya ini akan berlangsung di seluruh negara anggota EU mengikut kawasan parlimen yang telah ditetapkan. UK sebagai salah sebuah negara anggota (yang bersyarat dan ganjil) juga tidak terlepas dari menganjurkan pilihanraya tersebut.

Malang sekali pilihanraya EU ini tidak sehebat pilihanraya tempatan (local election) mahupun pilihanraya umum (general election) di bumi UK ini. Tiada poster-poster bergantungan, jauh sekali bendera parti-parti yang bertanding, tiada rapat umum, malah tiada juga ceramah politik terbuka yang aktif. Tidak pasti di daerah-daerah (county) lain di UK ini, namun di kawasan North East di mana Durham merupakan sebahagian darinya, sambutan untuk pilihanraya tersebut amat dingin.

Apa yang menarik dan boleh diambil kira ialah kelayakan seseorang untuk mengundi. Setiap isi rumah yang mempunyai akaun bank yang sah, dan membayar cukai layak untuk mengundi. Kelayakan mengundi tidak terhad kepada warganegara semata-mata. Kelayakan mengundi diberikan kepada penduduk (resident) yang rasmi dan sah. Maka, rakyat Malaysia, seperti rakyat-rakyat negara lain yang tinggal di sini, walaupun sebagai pelajar, berhak untuk mengundi. Hanya ingin ataupun tidak sahaja.

Bagi diri saya, pilihanraya kali ini amat bermakna. Rakan-rakan British dari Palestine Solidarity Campaign (PSC) Durham agak pro-aktif di dalam isu ini. Sebagai sebuah gerakan masyarakat sivil yang mementingkan niche (relung) ataupun interest group, mereka agak fokus di dalam aktivisme yang dilakukan. Melihat kepada kedudukan strategik para ahli parlimen EU berhubung isu Palestin, pihak PSC seluruh UK telah memetakan strategi mereka menjelang pilihanraya yang bakal berlangsung. Wakil yang terpilih ke parlimen EU hendaklah dipastikan agar mesra-Palestin dan tidak bersikap pro-Israel.

Strategi pertama mereka ialah dengan bertemu ahli-ahli parlimen EU dari UK yang sedia ada dan bakal bertanding di dalam pilihanraya yang bakal menjelang. Seawal bulan Mac lagi mereka telah melakukan lobi tersebut. Selain dari membekalkan para ahli parlimen dengan aklumat-maklumat penitng berhubung isu Palestin, mereka juga memastikan para ahli parlimen tersebut memberikan komitmen mereka untuk bersikap pro-Palestin pada penggal akan datang.

Di fasa kedua, PSC seluruh UK akan mengadakan program-program forum dan soal-jawab (hustings) bersama calon-calon pilihanraya di kawasan masing-masing berhubung pendirian mereka mengenai isu Palestin. Program umum tersebut menjadi ruang awam untuk menilai calon-calon yang bertanding. Mereka memastikan calon-calon yang komited sahaja yang akan dipilih oleh para pengundi.

Bagi kawasan parlimen EU North East England, dua calon dikenal pasti amat pro kepada isu Palestin. Stephen Hughes dari parti Labour dan juga Fiona Hall dari Liberal Democrat merupakan calon yang telah memberikan komitmen untuk bersikap pro-aktif di dalam parlimen EU berhubung isu Palestin. Selaku presiden komuniti Islam di Durham dan juga penasihat Durham Malaysian Scholars, saya menggalakkan rakyat Malaysia di Durham yang prihatin terhadap isu Palestin agar memberikan undi mereka kepada dua calon tersebut.

Maszlee

Monday, 1 June 2009

Membedah Idealisme Kepimpinan Ulama (siri 1)


Membedah idealisme kepimpinan ulama (siri 1)

Maszlee Malik

Idealisme kepimpinan ulama yang telah bertapak kukuh di dalam PAS merupakan fenomena gerakan kebangkitan Islam pasca revolusi Iran 1979. Penyingkiran Dato Asri Muda dan kebangkitan golongan pemuda dengan laungan bahasa Parsi ‘Mark Bar’ Asri (Pergi mampus Asri) menjadi muqadimah kepada kemunculan idelisme ini. Secara jelas, idealisme tersebut pada asalnya cuba mengimpot pengalaman revolusi Iran menjatuhkan rejim diktator Shah Pahlavi ke bumi Malaysia. Di dalam kes ini, PAS mempunyai haluan yang agak unik berbanding dengan gerakan Islam arus perdana lain yang mengikuti metodologi al-Ikhwan al-Muslimun yang telah diasaskan oleh Hassan al-Banna.

Jika dilihat dengan lebih dekat, revolusi golongan ‘mustadhafin’ (marhaen) seperti yang dilabelkan oleh pemimpin tertinggi spiritual Syiah, Ayatollah Khomeini telah mempromosikan teori ‘Wilayah al-Faqeh’ ciptaan beliau sendiri. Idea yang dianggap oleh majoriti ulama Syiah pada asalnya sebagai asing (lihat: Ahmad al-Katib (1998), Tatwir al-fikr al-siyasi al-Shi’i) akhir nya menjadi ideologi utama negara Iran pasca-Revolusi. Khomeini telah berjaya mempersembahkan teori berkenaan berdasarkan ontologi aqidah Imamiyyah dan dengan beberapa pentafsiran semula ide-ide klasik politik Syiah. Pengisytiharan negara Iran sebagai republik Islam telah berjaya menawan hati beberapa gerakan Islam di UK, Pakistan, Lubnan dan PAS di Malaysia. Asasnya, sesebuah negara Islam hanyalah berhak dipimpin oleh para ulama kerana kepakaran mereka di dalam hal ehwal agama.

Walau bagaimanapun idealisme ‘kepimpinan ulama’ PAS telah mengalami metamorfosis akibat pengaruh fikrah al-Ikhwan al-Muslimun yang telah dibawa masuk oleh beberapa tokoh mereka yang telah menerima didikan pimpinan gerakan berkenaan di luar negara. ‘Wilayah Faqih’ bukan lagi model yang ingin dijulang. Oleh kerana fikrah al-Ikhwan al-Muslimun hanya mempromosikan gerakan dakwah-tarbiyyah dan tidak pernah mengenali dan mempromosikan Wilayah al-Faqih, maka idealisme kepimpinan ulama bertukar mengikut acuan dakwah-tarbiyyah pula. Maka bermulalah pencarian epistemologi idealisme tersebut dengan merujuk kepada karya-karya silam ahli Sunnah (seperti karya al-Mawardi, al-Ahkam al-Sultaniyyah) untuk dijadikan hujah dan rujukan demi menjustifikasikan kepimpinan ulama.

Syarat seorang khalifah mestilah mempunyai kemampuan untuk berijtihad yang telah dipromosikan oleh al-Mawardi (dan juga al-Farra, juga menulis buku dengan tajuk yang sama) dijadikan sandaran pula. Anjakan epistemologi untuk idealisme ini dapat dilihat dengan jelas, dan inilah yang menjadikan idealisme tersebut unik dan berbeza dengan ideologi Wilayah al-Faqih di Iran dan juga teori politik al-Ikhwan al-Muslimun di seluruh dunia yang tidak pernah melihat isu kepimpinan ulama sebagai paksi perjuangan mereka. Bermodalkan idealisme ini dan juga kemenangan PAS di Kelantan akibat perpecahan dalaman UMNO yang membawa kepada munculnya Semangat 46 telah memberi laluan luas kepada PAS untuk merekrut kader-kader mereka. Bukan sekadar pelajar-pelajar dari sekolah agama, malah siswa-siswa di IPT juga telah berjaya direkrut berteraskan idealisme ini setelah ruang vakum dakwah kampus ditinggalkan oleh ABIM yang merupakan jaguh ruang tersebut di tahun-tahun 70’an.

Seperkara yang menarik, usaha mengaplikasikan syarat mujtahid (ulama berilmu agama dan mampu menghasilkan ijtihad) ke atas khalifah yang merupakan ketua negara bagi umat Islam itu diambil dan diterjemahkan secara literal serta tidak diteliti dengan analisis yang rapi kepada reality Malaysia. Bukankah pensyaratan tersebut adalah berdasarkan tuntutan semasa di zaman karya-karya tersebut dihasilkan. Bagi ulama ahli Sunnah yang klasik, ide pensyaratan kelayakan ‘berijtihad’ ke atas khalifah itu merupakan serampang banyak mata di dalam memastikan survival Syariat Islam akan terus terjaga.

Pertamanya, syarat tersebut merupakan reaksi mereka kepada aqidah Imamiyyah golongan Syiah yang mewajibkan kepimpinan umat Islam hanya boleh diterajui oleh para imam dari keturunan Nabi SAW (Ahlul Bayt) yang bersifat maksum (bebas dari dosa). Ide kepimpinan imam yang maksum itu merupakan produk golongan pengasas mazhab Syiah Imam dua belas yang telah hidup dizalimi oleh segelintir khalifah Sunni yang zalim. Mereka juga terpengaruh dengan khazanah politik Empayar Parsi yang meletakkan pemimpin agung (Syahin Syah) mereka sebagai wakil Tuhan di muka bumi. Syarat golongan Syiah yang dilihat tidak realistik itu telah cuba diberikan alternatif berdasarkan epistemologi Sunni dengan mensyaratkan seorang pemimpin negara itu tidak wajib bersifat maksum dan imam dari keturunan Ahlul Bayt, tetapi cukup sekadar dianya seorang ulama yang mampu berijtihad.

Di sudut yang lain pula, pensyaratan kemampuan berijtihad ke atas khalifah dan pemimpin negara umat Islam adalah kerana tugas khalifah yang menjadi ketua agama kepada umat Islam. Khalifah mempunyai kuasa untuk menentukan bermulanya Ramadan, bermulanya hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha, di samping mempunyai kuasa untuk menentukan pandangan yang paling rajah (tepat) untuk diikuti oleh umat Islam, meguasai institusi zakat, waqaf, baitul mal dan juga berperanan mengimamkan solat Jumaat para rakyat di ibu negaranya (pada zaman dahulu). Maka sebagai seorang ketua agama di sesebuah negara, sewajibnyalah seorang khalifah dan seorang pemimpin umat Islam mempunyai kemampuan ilmu seorang ulama mujtahid.

Di samping itu, pensyaratan ‘kemampuan berijtihad’ juga merupakan satu kritikan para ulama kepada sistem monarki yang diamalkan oleh dinasti-dinasti yang memerintah umat Islam. Pemerintahan sistem monarki yang telah diasaskan oleh Muawiyah bin Abi Sufyan akibat pengaruh Roman akhirnya telah dijadikan sistem politik Islam secara zaman-berzaman oleh generasi ahli Sunnah yang seterusnya. Hal ini mengundang sikap tidak puas hati di kalangan para ulama terutamanya apabila munculnya para khalifah yang jahil, zalim dan juga tidak mempunyai kewarakan dan ketaqwaan. Kebimbangan para ulama ahli Sunnah terhadap masa depan agama Islam dan juga sumber ekonomi umat Islam (zakat, baitul mal dan waqaf) dari dicemari oleh para khalifah yang zalim dan hanya menduduki takhta kerana faktor keturunan telah mendorong mereka memberikan syarat yang ketat kepada seorang ketua agama iaitu khalifah. Pensyaratan tersebut telah berjaya sedikit sebanyak di dalam menjadikan para khalifah berusaha memberikan anak-anak mereka pendidikan Islam yang mantap di istana agar dapat meneruskan penguasaan keturunan mereka ke atas empayar Islam dan demi menghalang rakyat jelata dari merampas takhta tersebut.

Maka, persoalan yang timbul ialah, apakah pensyaratan ‘ijtihad’ atau karakter ‘ulama’ pada khalifah itu boleh diaplikasikan secara ‘bulat-bulat’ di dalam suasana kontemporari Malysia?

Apakah pensyaratan yang bersifat kontekstual itu wajib diciplak secara literal tanpa melihat kepada objektif dan juga faktor sosio-sejarah yang membawa kepada kemunculannya?

Apakah juga ‘eksperimen-eksperimen’ulama terdahulu bersifat kudus dan generasi terkemudian tidak berhak untuk menghasilkan eksperimen mereka berdasarkan topologi zaman dan keadaan semasa di dalam isu kepimpinan negara?


Maszlee

Durham, UK.

(Tulisan ini tiada kena mengena dengan muktamar PAS yang bakal berlangsung Jun ini).