Monday, 8 June 2009

Bezakah wacana politik dan wacana agama?



Bezakah Wacana Politik dan Wacana Agama?

Lewat peperangan Hizbullah-Israel 2006, majalah i pernah menyiarkan dua artikel yang agak bertentangan dan ironik dari dua sahabat yang rapat. Kedua-dua artikel tersebut bukanlah menceritakan tentang perincian kepada peperangan tersebut, tetapi mengenai sikap Ahli Sunnah kepada Syiah.

Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang belum lagi menjadi mufti pada ketika itu membidas sikap sesetengah ahli Sunnah di Malaysia yang agak kagum dengan Hizbullah yang Syiah. Menurut hemat beliau, Syiah merupakan golongan yang sesat dan juga mengkafirkan sahabat, maka tidak selayaknya kita terlalu mengagungkan beliau. Artikel bertentangan pula dihasilkan oleh saya sendiri yang menyeru agar wacana politik dibezakan dengan wacana agama. Bagi saya, kedua-duanya mempunyai laras bahasa dan kesan yang berbeza. Kedua-dua wacana tersebut mempunyai paradigma dan juga kesan yang berbeza. Inilah yang sering saya bawakan di mana-mana sahaj penulisan saya. Tetapi jangan salah sangka, ini tidak bermakna saya menyuruh agar agama dipisahkan dari politik secara total yang merupakan buah dari pemikiran sekularisasi...bagi orang yang bijak dan berfikir mereka akan dapat membezakannya. Bagi mereka yang agargelojoh membuat kesimpulan dan tidak pernah cuba memahami cara berfikir orang lain, berhenti setakat di sini dan pergilah meneroka laman facebook...

Isu yang sama (membezakan di antara wacana politik dan agama) juga perlu dibawa ketika memahami isu ummah centricism yang telah mempopularkan beberapa tokoh di dalam PAS hari ini. Bagi anak-anak siswa dan juga mereka yang taksub, saranan tersebut telah dilihat sebagai 'agenda UMNO', pemecah belah jamaah, penghapusan wala di dalam jamaah dan pelbagai lagi tafsiran. Agak menarik, artikel dan juga sesi celoteh mengenai tajuk tersebut (melalui VCD yang diedarkan tanpa izin penceramah sendiri) telah menjadikan sekumpulan pemuda yang asalnya telah lesu mula bertenaga kembali. Akhirnya sesi perbincangan isu tersebut telah berjaya menggegarkan muktamar pemuda PAS pada tahun tersebut. Malangnya tiada pihak pun dari kalangan pemuda-pemuda berkenaan yang sudi untuk menjemput saya untuk membincangkan perkara tersebut. Mungkin tiada budaya 'mendengar' dan cuba 'memahami' pemikiran orang lain...budaya taklid masih tebal di waktu itu.

Walau apapun polemik tersebut telah berjaya menggerakkan para pemuda berkenaan dari kelesuan. Sekurang-kurangnya tafsiran dan perbahasan mengenai ide berkenaan, walaupun tidak menepati apa yang difahami oleh pencetusnya, telah mewarnai perbincangan para pemuda berkenaan. Anggaplah ia sebagai satu usaha kerdil dari pencetusnya untuk melonjakkan idealisme golongan pemuda tersbeut walaupun dengan cara yang provokatif...

Kini, lewat muktamar PAS ke-55, seruan untuk menguatkan kesatuan ummah dengan meyikapi isu UMNO-PAS secara bijaksana telah berkumandang kuat. Golongan pro-muqabalah (perpaduan Melayu?) telah berjaya menenggelamkan suara golongan anti-muqabalah (pro perpaduan Malaysia). Tuan Guru DS Presiden telah menekankan keperluan untuk tidak menutup ruang dakwah kepada UMNO. Saranan beliau juga telah diulangi oleh ketua pemuda PAS yang baru. Dakwah dilihat sebagai kerja utama parti yang perlu didahulukan berhubung sikap PAS terhadap UMNO. UMNO telah mula diterima sebagai sebahagian dari umat Islam...dan perlu didakwahi, dan disantuni...demi kemaslahatan ummah. DS Najib dan ketua pemuda UMNO pun bergembira dan menghulurkan tangan mereka di atas keterbukaan PAS ini...(sambil berkata, jerat sudah mengena!)

Ucapan dan saranan tersebut memang amat tepat jika ianya dikumandangkan di dalam wacana dakwah dan agama. Hakikat ahli-ahli UMNO merupakan saudara seakidah dan ummah tidak dapat dinafikan. Siapakah ahli-ahli UMNO?, merekalah adik beradik, saudara mara, jiran, handai taulan dan juga kenalan orang-orang PAS. Mereka juga bersyahadah sekali, bersolat sekali, beryasin dan bertahlil sekali dengan orang-orang PAS. Mereka jugalah yang sama-sama membaca al-Quran yang dibaca oleh orang PAS, bersolat menghadap kiblat yang dihadap oleh orang-orang PAS, dan juga makan makanan halal dari cop JAKIM yang juga diyakini oleh orang-orang PAS. Mukmin itu bersaudara...Muslim saudara Muslim yang lain!

Itu tepat sekali jika dibawa di dalam wacana agama dan dakwah. Persoalannya apakah di dalam wacana politik, 'laras bahasa' sedemikian sesuai?

Pimpinan PAS, terutamanya Tuan Presiden mungkin lebih arif, malah beliau menyarankan agar ilmu 'siyasah' difahami dan dikuasai oleh para pemimpin dan aktivis PAS.

Malangnya, bagi saya, di dalam wacana politik, bahasa sedemikian adalah tidak sesuai. Bahasa politik memerlukan ungkapan-ungkapan teknikal yang berbeza dengan bahasa agama dan bahasa dakwah. Bahasa politik memerlukan topologi yang horizontal berteraskan hubungan vertikal dan bukannya hubungan vertikal yang membawa kepada kontasi horizontal seperti halnya bahasa dakwah dan agama.

Bahasa politik mengambil kuat faktor suasana dan juga pandangan 'kemanusiaan' yang lebih. Sebab itulah al-Juwayni menempelak al-Mawardi yang terlalu mengecilkan ruang ijtihad di dalam politik. Bak kata al-Ghannoushi, ruang politik memerlukan ruang ijtihad yang luas.

Biarlah bahasa politik itu membicarakan persoalan akauntabiliti, ketelusan, tadbirurus, keseimbangan kuasa, kebebasan politik, penghapusan korupsi, keluhuran undang-undang dan yang seumpama dengannya. Sudah tentu rentaknya agak berlainan. Tetapi wacana politik tidak pula menafikan peranan ukhuwwah, akidah dan juga hubungan sesama Muslim. Biarlah yang kroupsi itu saudara seakidah kita, namun teguran kita, bangkangan kita dan juga usaha kita menjatuhkannya melalui ruang demokrasi tidak sedikit pun mengurangkan ukhuwwah dan juga ikatan akidah kita dengan mereka, malah membantu mereka...agar mereka tidak lagi melakukan kezaliman.

Mungkin nasihat Rasulullah SAW, 'bantulah saudara kamu yang zalim dan yang dizalimi' itu perlu dihayati dalam kerangka politik. Bukanlah apabila kita menjatuhkan sesuatu parti dan membawa mereka ke liang lahad kerana korupsi dan juga kezaliman mereka itu menandakan kita mengkafirkan mereka ataupun menidakkan ukhuwwah islamiyyah kita dengan mereka. Bahkan kita membantu mereka agar tidak berterusan di atas kezaliman kerana kekuasaan dan juga kedudukan mereka. Kita sayangkan mereka, sebab itu kita mahu mereka digantikan...

Saya bukan ahli politik, malah sehingga kini masih belum menerima apa-apa surat pendaftaran sebagai ahli mana-mana parti politik. Walau bagaimanapun sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dan yang ingin melihat masa depan yang lebih cerah untuk agama, rakyat dan juga bumi Malaysia, saya inginkan perubahan. Perubahan itu semakin hampir...janganlah direncatkan ia. Bak kata saya kepada ahli keluarga terdekat saya yang pernah menjadi aktivis UMNO yang tegar. Jika UMNO ingin diselamatkan, ia perlu dimulakan dari 'scratch', ia perlu bermula dari noktah...ia perlu bermula dengan kekalahan yang total agar UMNO dapat membina kembali dirinya...


Maszlee
Durham, UK.
* Tahniah buat TG DS A Hadi dan Ust Nasha!, begitu juga buat Nasrudin Tantawi dan TG DS Harun Taib!, selamat memacu PAS untuk PRU-13 nanti...
(Ketika ini saya sedang menyiapkan kertas kerja mengenai Democracy and Good Governance: a new discourse of PAS untuk konfrens di Paris Jumaat ini)

2 comments:

  1. salam ustaz, semoga ustaz dlm keadaan bahagi dan ceria bersama isteri2 dan anak2...
    islam meraikan perbedaan pendapat dan semoga dgn perbedaan pendapat ini membawa kite kehadapan bukan kebelakang...

    bole ustaz tolong kompom kan hadis diatas...satu lagi tolong doakan saya ditemukan jodoh secepat yg mungkin ustaz...hehehe...sorry lari tajuk

    yg ikhlas,
    alexender yg berbangsa melayu

    ReplyDelete
  2. salam ustaz..


    setelah berperah otak, menghadam menggunakan hati dan akal kebanyakkan artikel- artikel mengenai perpaduan, saya jumpa sedikit penerangan dan penunjuk buat saya untuk memahami dengan lebih jelas. Ustaz bukan sekadar menerangkan, malah melontarkan idea bagi menanganinya.

    "Biarlah bahasa politik itu membicarakan persoalan akauntabiliti, ketelusan, tadbirurus, keseimbangan kuasa, kebebasan politik, penghapusan korupsi, keluhuran undang-undang dan yang seumpama dengannya. Sudah tentu rentaknya agak berlainan. Tetapi wacana politik tidak pula menafikan peranan ukhuwwah, akidah dan juga hubungan sesama Muslim. "

    "Bukanlah apabila kita menjatuhkan sesuatu parti dan membawa mereka ke liang lahad kerana korupsi dan juga kezaliman mereka itu menandakan kita mengkafirkan mereka ataupun menidakkan ukhuwwah islamiyyah kita dengan mereka."

    Terima kasih ... wallahualam

    ReplyDelete