Monday, 1 June 2009

Membedah Idealisme Kepimpinan Ulama (siri 1)


Membedah idealisme kepimpinan ulama (siri 1)

Maszlee Malik

Idealisme kepimpinan ulama yang telah bertapak kukuh di dalam PAS merupakan fenomena gerakan kebangkitan Islam pasca revolusi Iran 1979. Penyingkiran Dato Asri Muda dan kebangkitan golongan pemuda dengan laungan bahasa Parsi ‘Mark Bar’ Asri (Pergi mampus Asri) menjadi muqadimah kepada kemunculan idelisme ini. Secara jelas, idealisme tersebut pada asalnya cuba mengimpot pengalaman revolusi Iran menjatuhkan rejim diktator Shah Pahlavi ke bumi Malaysia. Di dalam kes ini, PAS mempunyai haluan yang agak unik berbanding dengan gerakan Islam arus perdana lain yang mengikuti metodologi al-Ikhwan al-Muslimun yang telah diasaskan oleh Hassan al-Banna.

Jika dilihat dengan lebih dekat, revolusi golongan ‘mustadhafin’ (marhaen) seperti yang dilabelkan oleh pemimpin tertinggi spiritual Syiah, Ayatollah Khomeini telah mempromosikan teori ‘Wilayah al-Faqeh’ ciptaan beliau sendiri. Idea yang dianggap oleh majoriti ulama Syiah pada asalnya sebagai asing (lihat: Ahmad al-Katib (1998), Tatwir al-fikr al-siyasi al-Shi’i) akhir nya menjadi ideologi utama negara Iran pasca-Revolusi. Khomeini telah berjaya mempersembahkan teori berkenaan berdasarkan ontologi aqidah Imamiyyah dan dengan beberapa pentafsiran semula ide-ide klasik politik Syiah. Pengisytiharan negara Iran sebagai republik Islam telah berjaya menawan hati beberapa gerakan Islam di UK, Pakistan, Lubnan dan PAS di Malaysia. Asasnya, sesebuah negara Islam hanyalah berhak dipimpin oleh para ulama kerana kepakaran mereka di dalam hal ehwal agama.

Walau bagaimanapun idealisme ‘kepimpinan ulama’ PAS telah mengalami metamorfosis akibat pengaruh fikrah al-Ikhwan al-Muslimun yang telah dibawa masuk oleh beberapa tokoh mereka yang telah menerima didikan pimpinan gerakan berkenaan di luar negara. ‘Wilayah Faqih’ bukan lagi model yang ingin dijulang. Oleh kerana fikrah al-Ikhwan al-Muslimun hanya mempromosikan gerakan dakwah-tarbiyyah dan tidak pernah mengenali dan mempromosikan Wilayah al-Faqih, maka idealisme kepimpinan ulama bertukar mengikut acuan dakwah-tarbiyyah pula. Maka bermulalah pencarian epistemologi idealisme tersebut dengan merujuk kepada karya-karya silam ahli Sunnah (seperti karya al-Mawardi, al-Ahkam al-Sultaniyyah) untuk dijadikan hujah dan rujukan demi menjustifikasikan kepimpinan ulama.

Syarat seorang khalifah mestilah mempunyai kemampuan untuk berijtihad yang telah dipromosikan oleh al-Mawardi (dan juga al-Farra, juga menulis buku dengan tajuk yang sama) dijadikan sandaran pula. Anjakan epistemologi untuk idealisme ini dapat dilihat dengan jelas, dan inilah yang menjadikan idealisme tersebut unik dan berbeza dengan ideologi Wilayah al-Faqih di Iran dan juga teori politik al-Ikhwan al-Muslimun di seluruh dunia yang tidak pernah melihat isu kepimpinan ulama sebagai paksi perjuangan mereka. Bermodalkan idealisme ini dan juga kemenangan PAS di Kelantan akibat perpecahan dalaman UMNO yang membawa kepada munculnya Semangat 46 telah memberi laluan luas kepada PAS untuk merekrut kader-kader mereka. Bukan sekadar pelajar-pelajar dari sekolah agama, malah siswa-siswa di IPT juga telah berjaya direkrut berteraskan idealisme ini setelah ruang vakum dakwah kampus ditinggalkan oleh ABIM yang merupakan jaguh ruang tersebut di tahun-tahun 70’an.

Seperkara yang menarik, usaha mengaplikasikan syarat mujtahid (ulama berilmu agama dan mampu menghasilkan ijtihad) ke atas khalifah yang merupakan ketua negara bagi umat Islam itu diambil dan diterjemahkan secara literal serta tidak diteliti dengan analisis yang rapi kepada reality Malaysia. Bukankah pensyaratan tersebut adalah berdasarkan tuntutan semasa di zaman karya-karya tersebut dihasilkan. Bagi ulama ahli Sunnah yang klasik, ide pensyaratan kelayakan ‘berijtihad’ ke atas khalifah itu merupakan serampang banyak mata di dalam memastikan survival Syariat Islam akan terus terjaga.

Pertamanya, syarat tersebut merupakan reaksi mereka kepada aqidah Imamiyyah golongan Syiah yang mewajibkan kepimpinan umat Islam hanya boleh diterajui oleh para imam dari keturunan Nabi SAW (Ahlul Bayt) yang bersifat maksum (bebas dari dosa). Ide kepimpinan imam yang maksum itu merupakan produk golongan pengasas mazhab Syiah Imam dua belas yang telah hidup dizalimi oleh segelintir khalifah Sunni yang zalim. Mereka juga terpengaruh dengan khazanah politik Empayar Parsi yang meletakkan pemimpin agung (Syahin Syah) mereka sebagai wakil Tuhan di muka bumi. Syarat golongan Syiah yang dilihat tidak realistik itu telah cuba diberikan alternatif berdasarkan epistemologi Sunni dengan mensyaratkan seorang pemimpin negara itu tidak wajib bersifat maksum dan imam dari keturunan Ahlul Bayt, tetapi cukup sekadar dianya seorang ulama yang mampu berijtihad.

Di sudut yang lain pula, pensyaratan kemampuan berijtihad ke atas khalifah dan pemimpin negara umat Islam adalah kerana tugas khalifah yang menjadi ketua agama kepada umat Islam. Khalifah mempunyai kuasa untuk menentukan bermulanya Ramadan, bermulanya hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha, di samping mempunyai kuasa untuk menentukan pandangan yang paling rajah (tepat) untuk diikuti oleh umat Islam, meguasai institusi zakat, waqaf, baitul mal dan juga berperanan mengimamkan solat Jumaat para rakyat di ibu negaranya (pada zaman dahulu). Maka sebagai seorang ketua agama di sesebuah negara, sewajibnyalah seorang khalifah dan seorang pemimpin umat Islam mempunyai kemampuan ilmu seorang ulama mujtahid.

Di samping itu, pensyaratan ‘kemampuan berijtihad’ juga merupakan satu kritikan para ulama kepada sistem monarki yang diamalkan oleh dinasti-dinasti yang memerintah umat Islam. Pemerintahan sistem monarki yang telah diasaskan oleh Muawiyah bin Abi Sufyan akibat pengaruh Roman akhirnya telah dijadikan sistem politik Islam secara zaman-berzaman oleh generasi ahli Sunnah yang seterusnya. Hal ini mengundang sikap tidak puas hati di kalangan para ulama terutamanya apabila munculnya para khalifah yang jahil, zalim dan juga tidak mempunyai kewarakan dan ketaqwaan. Kebimbangan para ulama ahli Sunnah terhadap masa depan agama Islam dan juga sumber ekonomi umat Islam (zakat, baitul mal dan waqaf) dari dicemari oleh para khalifah yang zalim dan hanya menduduki takhta kerana faktor keturunan telah mendorong mereka memberikan syarat yang ketat kepada seorang ketua agama iaitu khalifah. Pensyaratan tersebut telah berjaya sedikit sebanyak di dalam menjadikan para khalifah berusaha memberikan anak-anak mereka pendidikan Islam yang mantap di istana agar dapat meneruskan penguasaan keturunan mereka ke atas empayar Islam dan demi menghalang rakyat jelata dari merampas takhta tersebut.

Maka, persoalan yang timbul ialah, apakah pensyaratan ‘ijtihad’ atau karakter ‘ulama’ pada khalifah itu boleh diaplikasikan secara ‘bulat-bulat’ di dalam suasana kontemporari Malysia?

Apakah pensyaratan yang bersifat kontekstual itu wajib diciplak secara literal tanpa melihat kepada objektif dan juga faktor sosio-sejarah yang membawa kepada kemunculannya?

Apakah juga ‘eksperimen-eksperimen’ulama terdahulu bersifat kudus dan generasi terkemudian tidak berhak untuk menghasilkan eksperimen mereka berdasarkan topologi zaman dan keadaan semasa di dalam isu kepimpinan negara?


Maszlee

Durham, UK.

(Tulisan ini tiada kena mengena dengan muktamar PAS yang bakal berlangsung Jun ini).

4 comments:

  1. salam ust..

    takziah atas kehilangan..

    jzkk atas perkongsian..lame ana tunggu..

    sedikit soalan..adakah Iran masih lagi mengamalkan ideologi ini atau tidak memandangkan ahmadinejad tu kan profesional?

    menanti bedahan seterusnya..

    ReplyDelete
  2. "Pemerintahan sistem monarki yang telah diasaskan oleh Muawiyah bin Abi Sufyan akibat pengaruh Roman akhirnya telah dijadikan sistem politik Islam secara zaman-berzaman oleh generasi ahli Sunnah yang seterusnya."

    Bila ustaz menulis tentang ayat ini. Adakah ia bermaksud Muawiyah membuat satu tindakan yang bertentangan dengan konsep shura yang pernah diamalkan sebelum ini? Adakah ia bermaksud ijtihad yang dilakukan itu salah yang berdasarkan hawa nafsu semata-mata..atau Muawiyah menggunakan pertimbangan berdasarkan prinsip Maqasid syar'iyah?

    ReplyDelete
  3. Melintang patah: wilayat faqeh masih menjadi tonggak utama republik Islam Iran. Pengasingan kuasa di antara eksekutif dan juga Majlis Khubara (ulama) menjadi mercu tandanya. Kepimpinan tertinggi spiritual (Khamnei) juga antara tanda lain.

    Yusry: Kita tidak boleh menuduh orang sembarangan. Apa yang Muawiyah lakukan adalah berdasarkan ijtihad beliau mengikut kesesuaian semasa pada pertimbangannya. Beliau seorang ahli politik yang matang dan licik, pastinya mempunyai sebab-sebab tertentu di dalam ijtihadnya. Tiada salahnya mempelajari dari pengalaman orang lain. Shura yang dipromosikan oleh al-Quran juga meneruskan amalan golongan pembesar Quraisyh pre-Islam lewat Dar Nadwah di Mekah.

    ReplyDelete
  4. Ustaz.. TGHH yg terus menegakkan kepimpinan ulamak itu dapat tarbiah lengkap dari Ikhwan. Begitu juga kebanyakan pimpinan lain, hatta Ketua Pemuda baru. Jadi saya nampak, apa yang Ustaz katakan sebagai gelombang kepimpinan baru yang ditarbiah IM menyebabkan slogan kepimpinan ulamak itu mula diketepikan tidak berasas sama sekali. Cuma yang masalahya adalah apabila anai-anai luar yg kononnya dapat tarbiah mula merosakkan mereka.

    2. Kalau Ustaz katakan ijtihad fuqaha' terdahulu itu boleh disesuaikan dgn kita skrg, saya setuju. Tapi ustaz kiaskan pada Ikhwan juga tidak betul. Ini kerana pimpinan Ikhwan hingga kini tak pernah sunyi dari ulamak, walaupun bergelar profesional. Ustaz Mustafa Masyhur dan Mahdi Akif jauh lebih alim dari Ustaz-ustaz Malaysia kita, apatah lagi profesional kita. Jauuuhhh sangat bezanya.Qias maha fariq..

    ReplyDelete