Wednesday 3 June 2009

Krisis tuntutan elaun ahli parlimen UK


Krisis tuntutan elaun ahli parlimen UK

Suasana politik di UK lewat ini menjadi tidak menentu. Isu tuntutan perbelanjaan menteri-menteri kabinet dan ahli-ahli parlimen kerajaan memerintah (dari Labour Party) dan juga dari kabinet banyangan (Shadow Cabinet) beserta ahli parlimen-ahli parlimen pembangkang yang lain telah membuatkan rakyat British hilang kepercayaan kepada ahli politik.

Kemelut mengenai tuntutan melampau dan berlebihan para ahli parlimen dari kedua-dua parti Labour dan Konsevatif telah membawa kepada perubahan pada pandangan umum rakyat Britain menjelang pilihanraya umum yang bakal diadakan bila-bila masa sahaja. Apa yang pasti, setiap ahli parlimen di dalam House of Common kini tidak lagi senang duduk dan berada di dalam kegelisahan. Pantang ada sedikit keraguan pada tuntutan elaun mereka, maka pihak media akan bersedia mendedahkannya.

Semalam dan kelmarin, dua orang menteri kabinet kerajaan British telah menjadi sasaran media. Tuntutan melampau Exchequere (menteri kewangan), Alistair Darling, dan juga menteri dalam negeri (Home Secretary), Jacqui Smith telah didedahkan kepada umum. Jacqui diberitakan bakal meletakkan jawatan di atas pendedahan tersebut. Di pihak pembangkang utama dan kabinet bayangan (parti konservatif), David Cameron telah mengerahkan ahli parlimen-ahli parlimen dari partinya untuk menjelaskan semula tuntutan-tuntutan melampau mereka demi integriti dan juga maruah parti. Tindakan tersebut juga merupakan sebahagian daripada menunaikan amanah mereka kepada rakyat.

Fenomena ini telah merubah lanskap pandangan umum rakyat berhubung parti yang bakal mereka pilih menjelang pilihanraya umum nanti. Melalui satu poll yang dijalankan oleh ComRes untuk akhbar 'The Independent', kedua-dua parti Labour dan Konservatif kini berada di takuk yang sama dengan masing-masing mengalami kejatuhan mata. Parti-parti kecil yang lain, termasuk parti ketiga terbesar, Liberal Democrat telah berjaya mendapat mata yang lebih. Apa yang menakutkan ialah sokongan kepada parti perkauman ekstrimis, British National Party telah meningkat kepada 4% (lihat: http://www.mirror.co.uk/news/latest/2009/06/02/poll-voters-will-snub-main-parties-115875-21407847/).

Walau apapun yang berlaku, seperkara yang dapat dipelajari dari isu yang melanda politik UK ini ialah tahap ketelusan dan akauntabiliti tadbirurus mereka. Para ahli politik dan menteri-menteri kabinet tidak mendapat keistimewaan dan juga kekebalan di sisi media. Semuanya sama sahaja bila berhadapan dengan media, hatta Perdana Menteri mereka sendiri. Hal ini merupakan antara legasi zaman pencerahan Eropah yang amat bermakna kepada penduduk benua tersebut.

Jika dilihat kepada apa yang berlaku di tanah air kita, mungkin keadaan amat berbeza. Media arus perdana tidak berkhidmat kepada rakyat, tetapi menjadi aparat pemerintah demi mengekalkan kekuasaan mereka. Media massa yang sepatutnya menjadi alat ampuh untuk proses akauntabiliti pihak pemerintah dan juga ahli-ahli politik tidak berperanan sepatutnya. Kepentigngan rakyat menjadi soal sekunder, apa yang utama ialah mengekalkan survival pihak pemerintah dengan memutar belitkan fakta dan berita. Begitu juga dengan pihak-pihak yang diharapkan agar dapat menjadi saluran akauntabiliti kepada pihak pemerintah seperti SPRM dan kesatuan pekerja. Mungkin Menteri Pelajaran yang baru perlu mengalihkan pandangannya kepada isi kandungan pendidikan yang diberikan kepada anak-anak Malaysia. Isu PMR bukanlah isu utamanya, tetapi sistem pendidikan yang ada sendiri pun telah diadun agar melahirkan manusia-manusia yang tidak mempunyai kesedaran untuk memahami nilai-nilai dan tanggung jawab sebagai warga negara yang bertanggung jawab. Selagi sekolah-sekolah masih diletakkan di bawah pengawasan sebuah 'Kementerian'. selagi itulah anak-anak Malaysia yang dilahirkan oleh sekolah-sekolah kebangsaan tidak akan berdaya kreatif dan kritis.

Di satu sudut yang lain pula, Islam yang menjadi agama rasmi kepada negara Malaysia tidak dapat menembusi dinding tebal korupsi para pemerintah. Prinsip keluhuran undang-undang, persamaan, keadilan dan juga ketelusan yang dibawa oleh al-Quran dan Sunnah agak sepi dari ruang politik. Agama hanya dijadikan alat untuk suvival ahli-ahli politik demi kepentingan mereka. Agama hanya dijadikan alat untuk menjustifikasikan kedudukan dan juga kezaliman para politikus. Apabila kedudukan sesetengah pihak mula terancam, segera agama dijadikan hujah demi mengekalkan mereka di atas takhta dan kerusi parlimen. Walhal, di dalam kehidupan harian, agama tidak langsung menghalang mereka dari rasuah, korupsi, menzalimi lawan politik, pecah amanah, mengadu domba, memfitnah dan juga melakukan kecurangan terhadap harta rakyat dan amanah yang telah diberikan.

Apakah silapnya?

Di manakah kurangnya?

Sebagai manusia-manusia homo-religiousius, rakyat Malaysia perlu didedahkan dengan nilai-nilai sebenar agama berhubung dengan karakter dan kesedaran sivik. Ruang adunan Islam dan Politik tidak boleh hanya difahami sebagai 'kepimpinan Mullah' dan hukum 'Hudud' semata-mata. Kefahaman sebenar tentang isu keadilan sosial, kesamaan, keluhuran undang-undang, akauntabiliti, ketelusan, persaudaraan, solidariti dan juga integriti individu perlu diterapkan.

Maszlee
Durham, UK.

No comments:

Post a Comment