Tuesday 2 June 2009

Menjelang Pilihanraya EU


Menjelang Pilihanraya EU

4 hb Jun 2009 akan menyaksikan pilihanraya untuk memilih wakil dari seluruh Eropah (Member of European Parliament) untuk Parlimen EU (European Parliament). Pilihanraya ini akan berlangsung di seluruh negara anggota EU mengikut kawasan parlimen yang telah ditetapkan. UK sebagai salah sebuah negara anggota (yang bersyarat dan ganjil) juga tidak terlepas dari menganjurkan pilihanraya tersebut.

Malang sekali pilihanraya EU ini tidak sehebat pilihanraya tempatan (local election) mahupun pilihanraya umum (general election) di bumi UK ini. Tiada poster-poster bergantungan, jauh sekali bendera parti-parti yang bertanding, tiada rapat umum, malah tiada juga ceramah politik terbuka yang aktif. Tidak pasti di daerah-daerah (county) lain di UK ini, namun di kawasan North East di mana Durham merupakan sebahagian darinya, sambutan untuk pilihanraya tersebut amat dingin.

Apa yang menarik dan boleh diambil kira ialah kelayakan seseorang untuk mengundi. Setiap isi rumah yang mempunyai akaun bank yang sah, dan membayar cukai layak untuk mengundi. Kelayakan mengundi tidak terhad kepada warganegara semata-mata. Kelayakan mengundi diberikan kepada penduduk (resident) yang rasmi dan sah. Maka, rakyat Malaysia, seperti rakyat-rakyat negara lain yang tinggal di sini, walaupun sebagai pelajar, berhak untuk mengundi. Hanya ingin ataupun tidak sahaja.

Bagi diri saya, pilihanraya kali ini amat bermakna. Rakan-rakan British dari Palestine Solidarity Campaign (PSC) Durham agak pro-aktif di dalam isu ini. Sebagai sebuah gerakan masyarakat sivil yang mementingkan niche (relung) ataupun interest group, mereka agak fokus di dalam aktivisme yang dilakukan. Melihat kepada kedudukan strategik para ahli parlimen EU berhubung isu Palestin, pihak PSC seluruh UK telah memetakan strategi mereka menjelang pilihanraya yang bakal berlangsung. Wakil yang terpilih ke parlimen EU hendaklah dipastikan agar mesra-Palestin dan tidak bersikap pro-Israel.

Strategi pertama mereka ialah dengan bertemu ahli-ahli parlimen EU dari UK yang sedia ada dan bakal bertanding di dalam pilihanraya yang bakal menjelang. Seawal bulan Mac lagi mereka telah melakukan lobi tersebut. Selain dari membekalkan para ahli parlimen dengan aklumat-maklumat penitng berhubung isu Palestin, mereka juga memastikan para ahli parlimen tersebut memberikan komitmen mereka untuk bersikap pro-Palestin pada penggal akan datang.

Di fasa kedua, PSC seluruh UK akan mengadakan program-program forum dan soal-jawab (hustings) bersama calon-calon pilihanraya di kawasan masing-masing berhubung pendirian mereka mengenai isu Palestin. Program umum tersebut menjadi ruang awam untuk menilai calon-calon yang bertanding. Mereka memastikan calon-calon yang komited sahaja yang akan dipilih oleh para pengundi.

Bagi kawasan parlimen EU North East England, dua calon dikenal pasti amat pro kepada isu Palestin. Stephen Hughes dari parti Labour dan juga Fiona Hall dari Liberal Democrat merupakan calon yang telah memberikan komitmen untuk bersikap pro-aktif di dalam parlimen EU berhubung isu Palestin. Selaku presiden komuniti Islam di Durham dan juga penasihat Durham Malaysian Scholars, saya menggalakkan rakyat Malaysia di Durham yang prihatin terhadap isu Palestin agar memberikan undi mereka kepada dua calon tersebut.

Maszlee

2 comments:

  1. owh.camtu ek.org luar pon boleh mengundi ek.

    kat Hradec Kralove,Czech Rep. ni agak sakan jugak kempen diorg.Penuh board tepi2 jalan,banner kempen utk undi parlimen EU.Maklumlah,diorg pengerusi EU skarang.

    tp taktau la party mane yg pro isu palestine atau tak.takde dlm senarai kot.yg pro ngan against Lisbon Treaty je ade.

    All the best ustaz dalam memperjuangkan isu palestine!

    viva la ustaz maszlee!

    ReplyDelete
  2. Salaam Joy,

    Lisbon treaty membuka banyak peluang utk isu Palestin. Lisbon treaty memebrikan keseimbangan kuasa di antara EU Parliament dengan EU Council. Selama ini banyak resolusi2 yg pro-Palestin telah dikeluarkan oleh EU Parliaments, tetapi diabaikan di peringkat polisi dan perlaksanaan oleh Council dan juga EU Committee. Kini, jika Lisbon treaty terlaksana dan diterima oleh semua negara2 anggota, kuasa EU Parliament akan bertambah dan perlaksanaan resolusi akan berkuat kuasa...

    Mungkin blok yg pro-Lisbon lebih bermanfaat dalam hal ini.

    Maszlee

    ReplyDelete