Monday 27 April 2009

Fiqh al-Aqalliyyaat dan pasca kolonialisme


Fiqh al-Aqalliyyaat dan Pasca Kolonialisme

Fanon, Memmie, Spivak, Said, Bhabha, Hall dan Hofstede yang dikenali sebagai rujukan di dalam karya-karya pasca kolonialisme mungkin tidak pernah mengenali istilah 'Fiqh al-Aqalliyyaat'. Terma berkenaan lebih sinonim dengan al-Qaradawi, Abdullah Baya, Faisal al-Mawlawi, Abdullah Juday' dan lain-lain ulama muslimin kontemporari.

Bagi ruang fiqh tersebut, ianya muncul sebagai menyahut tuntutan realiti baru kaum Muslimin. Fiqh Islam klasik yang terbina di atas realiti majoriti muslimin di dalam lingkungan geografi yang dinamakan sebagai 'Dar al-Islam' sudah tentunya kurang membicarakan isu umat Islam sebagai minoriti di bumi non-Islam. Jika ada pun, bicaranya hanya terhad kepada isu-isu hukum semata-mata dan bukannya identiti. Realiti geo-politikal di zaman tersebut telah menjadikan perbicaraan para ulama silam lebih kepada tidak membenarkan umat Islam mendiami bumi non-Muslim kecuali untuk tujuan-tujuan penting bagi tempoh sementara dan bukannya sebagai penduduk tetap.

Fiqh al-Aqalliyyat yang muncul dewasa ini merupakan satu reaksi kepada realiti yang baru. Kawasan geografi yang dahulunya menjadi kawasan terlarang bagi umat Islam kini menjadi bumi kediaman mereka. Bumi yang dahulunya menjadi negara bagi musuh kepada umat Islam kini menjadi tempat bermastautin umat Islam di dalam jumlah yang terlalu ramai. Di atas realiti inilah pelbagai isu yang berkaitan dengan umat Islam timbul. Bagi warga Muslim yang inginkan hidupnya sentiasa berada di bawah naungan Islam, maka isu hukum-hakam mula timbul samada di dalam lapangan ibadat, lapangan berjual beli, ruang politik dan juga di dalam beberapa ruang yang lain.

Jika dilakukan dekonstruksi ke atas wacana fiqh al-aqalliyyat yang kontemporari itu, kebanyakan isu-isu yang timbul adalah berkaitan isu identiti. Umat Islam yang pada asalnya berhijrah sebagai imigran dari negara yang dijajah oleh kuasa barat kini menjadi sebahagian daripada rakyat negara penjajah tersebut. Kehidupan umat Islam di negara berkenaan bukan lagi sebagai watak yang dijajah tetapi sebagai warga kepada negara berkenaan. Hal ini sudah tentunya memerlukan satu dekontruksi kepada definisi warga berkenaan. Maka wacana fiqh al-aqalliyyat menjadi satu jawapan kepada pendefinisian ini menurut world view Islam.

Bertitik tolak dari penelitian hasil dokunstruksi ini, maka agak jelas bahawa wacana tersebut mempunyai unsur pasca-kolonialisme. Bicara identiti, bicara pendefinisian semula individu, bicara mencabar status-cuo golongan penjajah di bumi mereka, bicara tentang kewujudan realiti baru selepas penjajahan merupakan implikasi daripada wacana fiqh al-aqalliyyaat. Satu persoalan yang agak menarik ialah, apakah genre pasca kolonialisme yang berlatar belakangkan pasca-strukturalisme selari dengan wacana fiqh berkenaan? Apakah mungkin ruang relatif budaya dijadikan sebagai tapak selanjutnya untuk melihat relevannya wacana fiqh berkenaan di dalam ruang pasca kolonialisme?

Mungkin di dalam hal ini para pengkaji sains kemanusiaan juga perlu diberikan ruang untuk menilai 'fiqh al-aqalliyyaat' menurut kaca mata mereka.

1 comment:

  1. akum tuan, sudahkah dibicarakan secara tersusun disiplin fiqh ini?

    adakah bukunya yg khusus?

    tq..

    ReplyDelete