Tuesday, 14 April 2009

Tajdid oh Tajdid


Tajdid oh Tajdid


Perkataan 'Tajdid' merupakan satu jenama bermusim. Seperti durian, hujan dan juga jualan musim perayaan. Ia muncul di persada pentas wacana agama menurut musim juga. Ia muncul mengikut 'demand' dan juga keadaan semasa.

Di tahun-tahun 20an-30an ia muncul sebagai sebahagian daripada pakej perubahan intelektual golongan perubah yang digelar kaum muda. Pakej pemikiran alAfghani-Abduh-Redha telah berjaya membawa gelombang perubahan kepada sistem sosial, politik malah ekonomi kaum Melayu Islam di Malaysia.

Tahun-tahun 70an-80an pula menyaksikan label ini dijadikan slogan oleh golongan perubahan berteraskan gerakan. Golongan gerakan dakwah pada waktu itu yang membawa ide Negara Islam telah berjaya membawa gelombang perubahan pada beberapa wajah sosial, politik dan juga ekonomi kaum Melayu Islam.

Pada awal alaf kedua pula, slogan ini muncul kembali. Kali ini jenama Tajdid menjadi modal pelaris golongan pembaharuan yang bersikap kritis terhadap pengamalan tradisionalis. Impaknya mungkin ada kepada cara beragama sesetengah golongan agama, namun kesan yang ketara seperti gelombang Tajdid sebelum-sebelum itu belum lagi muncul. Samada ruang yang cuba diwarnai oleh pendokong tajdid kali ketiga ini tidak selebar gelombang-gelombang sebelum ini menjadi puncanya, ataupun mungkin juga ia hanya menjadi sekadar retorik dan tidak membawa agenda yang lebih signifikan...

Mungkin juga golongan yang ingin membawa Tajdid baru ini tidak berjaya memaparkan agenda yang disepakati dan diperakui. Atau juga mungkin kesan gelombang gerakan dakwah masih lagi mempunyai impaknya...

Apa yang pasti saya merasa kagum terhadap agenda Tajdid yang dibawa oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz. Beliau tidak pernah mengangkat bendera tajdid. Beliau juga bukanlah orator yang pakar retorik seperti presiden beliau. Jauh sekali Tuan Guru Nik Aziz (TGNA) ini merupakan ahli politik yang licik. Beliau juga mungkin tidak sampai hendak dikategorikan sebagai ahli falsafah politik mahupun pemikir. Beliau adalah beliau, seorang pemimpin negeri yang berkarismatik dengan cara yang tersendiri, disegani dan juga dihormati...namun tidak sunyi dari kontreversi.

Tajdid yang dibawa oleh TGNA bukanlah di peringkat nasional, apatah lagi di peringkat antarabangsa. Tajdid yang dibawa oleh TGNA adalah di dalam kerangka pemikiran parti atau jamaah yang dipimpinnya. Tranformasi parti PAS amat ketara di mutakhir ini melalui komentar-komentar dan juga sentuhan-sentuhan TGNA.

Siapa sangka PAS akan menghalalkan muzik dan boleh membawa artis untuk bersama di atas pentas PAS. Mungkin di tahun-tahun 80'an,para artis merupakan golongan yang tidak akan diberikan ruang di dalam PAS, kecualilah mereka telah meinggalkan alam muzik, namun kini ianya telah berubah. Bermula dari Mawi dan kini dengan Amy, TGNA telah berjaya menambat hati mereka, dan mereka telah berjaya menambat hati anak-anak muda penyokong PAS agar tidak lagi memandang lekeh kepada para artis.

TGNA juga bersikap amat terbuka di dalam isu-isu yang sengaja disensasikan oleh para politikus dan agamawan tradisionalis. Isu pengunaan nama Allah oleh bukan Islam, isu orang bukan Islam membaca ayat al-Quran, isu 16 September, isu keperluan parti pembangkang di dalam sesebuah negara (sebagai menolak ide unity government), isu masjid Cina, malah juga isu bekerjasama dengan bukan Islam di dalam menentang kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah sekalipun pemerintah tersebut merupakan seorang Muslim. Ini semua merupakan ijtihad-ijtihad baru yang tidak pernah diterokai oleh gerakan-gerakan Islam di timur tengah. Amat malang jika pendokong PAS tidak mendokumentasikan ijtihad-ijtihad TGNA yang penuh dengan nilai kontemporer.

Mungkin ramai yang merasa pelik, apakah gerangannya penghargaan terhadap TGNA dirakamkan di blog ini. Apatah lagi pemilik blog ini pernah difitnah sebegitu teruk di dalam perhimpunan pemuda PAS oleh salah seorang pemimpin pemuda beberapa tahun yang lalu.

Sebagai seorang ahli akademik, penulis dan juga warga aktif bukan kerajaan (Non-Govermental Active Citizen / NGAC) saya merasakan coretan ini adalah sebahagian dari perkongsian pemikiran sahaja. Biarpun ianya tiada nilai akademik, mahupun nilai politik, ianya adalah sebahagian daripada cetusan ide...yang mungkin bernas dan munkin tiada nilainya. Di ruang publik seperti ini, segalanya boleh dilontarkan...walaupun Big Brother mungkin sedang melihat.

Jika TGNA telah bertajdid di dalam parti beliau, bilakah pula anda ingin melakukan tajdid di dalam organisasi anda pula?, atau mungkn tajdidperlu dimulakan pada diri sendiri dahulu?

Selamat melakukan 'Tajdid'!


Maszlee
Politik Warga Aktif Bukan Kerajaan (NGAC)

6 comments:

  1. Salam, Ustaz.

    Memang saya sekarang tengah melakukan tajdid dan islah terhadap diri saya sendiri...

    :D

    ReplyDelete
  2. .....tajdid.......tajdid...insyaAllah....moga istiqamah....jangan taqlid dan tajmid sudah....
    hakikatnya .... pemikiran-pemikiran para penyokong fanatik PAS masih menjumudkan pemikiran mereka..yang peliknya mengapa mereka saling tolong menolong diantara parti-parti bukan ISLAM serta dlm masa yang sama hubungan mereka dengan jamaah-jamaah ISLAM yang lain (ngo2) tidak kemana , malah ada berlakunya pergaduhan dan fitnah2 diantara satu yang lain...terutamanya di peringkat IPT dan lain2....

    Kalau nak tajdid pun...Pastikan dahulu perkara2 yang Aula (priority)..Pulihkan dahulu hubungan2 diantara sesama ISLAM + Jamaah2 Islam yang lain2....sebelum bertahaaluff dengan parti2 kuffar...

    ....harap tunjuk ajar daripada UST...

    salam Ukhuwwah...dari bumi Yamen...ard Iman, fiqh wal hikmah ....

    ReplyDelete
  3. salam wbt..

    muslim_milenium, sy kurang bersetuju dgn pendapat anda mengatakan PAS membelakangkan hubungan sesama muslim, malah sanggup berkawan dgn kuffar.. sy setuju kalau ianya hanya melibatkan golongan fanatik PAS, namun tidak PAS secara keseluruhannya.. jadi di sini, golongan fanatik PAS tidak dapat menggambarkan pendirian SEBENAR PAS dlm isu ini..

    ttg perkara yg harus diutamakan, malang sekali, anda masih melihat PAS sbg sebuah Gerakan yg masih memusuhi saudara-saudaranya.. mungkin keadaan anda yg berhadapan dgn situasi yg agak "selesa" lantas boleh memikirkan perkara2 "seburuk" itu..

    PAS di Msia tiada sedikitpun masa utk memikirkan ttg memusuhi sahabat2nya.. apa yg ditumpukan adalah menegakkan Islam, dan meruntuhkan toghut.. pelbagai strategi digunakan, tenaga dikerahkan, dan sebagainya.. PAS berhadapan dengan "musuh"nya yg sebenar iaitu taghut! sesiapa yg cuba menegakkan taghut, pastia akan ditentang PAS!

    malangnya, masih ada ramai ahli2 Gerakan sahabat2 PAS ini terlalu memikirkan ttg persepsi PAS terhadap mereka.. jelas, anda mungkin tidak "sesibuk" PAS dlm menghadapi "musuhnya" yg sebenar, lalu anda mencari "musuh" yang KONONnya me"musuhi" anda..

    bersama2lah dgn mereka yg berjuang bermati-matian menghadapi musuh Islam.. Ustaz Maszlee adalah contoh terbaik dlm hal ini.. wpun beliau tidak terang-terangan mendokong perjuangan PAS di tanah air, namun beliau jelas dgn misi dan visi Gerakannya yg ingin menegakkan Islam, tidak lupa juga Daulah di Msia..

    TAKBIR!

    ReplyDelete
  4. Salam...Menarik.

    Kita juga memerlukan Tajdid dalam Tajdid. Tajdid dalam Tajdid perlu melihat dalam 2 konteks, iaitu nas secara juziy dan juga kulliy. Supaya nas kulliy mampu memelihara nas yang juziy.

    Tajdid dalam Tajdid perlu melihat ijtihad para sahabat radiyallah 'anhum ajmain seperti ijtihad Abu Bakr as-Siddiq dalam memerangi mereka yg tidak membayar zakat dengan melihat nas kulliy ke atas nas juziy. Begitu juga ijtihad Umar al-Khattab dan para sahabat terhadap perkahwinan Muslim dengan ahl Kitab di zamannya dengan melihat nas kulliy ke atas juziy.

    Sekiranya tidak, nas juziy mungkin akan membinasakan keseluruhan nas kulliy.

    Dalam perkara ini al-Imam as-Syatibi amat tajam membahaskannya.

    Untuk beberapa perkara, para ilmuan Muslim mungkin perlu memilih fatrah 'at-Tarawi' dengan menangguhkan keputusan buat seketika.

    ReplyDelete
  5. SalamzZZz..

    hi_j87 ,.. mungkin kurang prihatin terhadap perkataan "musuh".. amat bahaya jika disalah tafsirkan... " Orang mukmin itu adalah bersaudara" .. Comment yg terdahulu bukanlah menunjukkan saya bermusuh dengan PAS... tiada maknanya...Perbezaan pandangan tidak memberi makna kepada permusuhan . Saling tegur-menegur sesama Muslim juga tidak membawa kepada makna "musuh" ....Kritikan-kritikan yang membina juga lebih jauh daripada sifat-sifat permusuhan... Kita tidak melupakan jasa2 serta sumbangan2 dari saudara2 kita yang berjuang di dalam PAS, PKR dan lain2...Kita juga tidak terlupa untuk menasihati atau menegur apa2 kesalahan yang berlaku, dalam masa yang sama kita juga harus bersifat terbuka dalam menerima teguran dan nasihat2... Sepertimana juga kita meyakini bahawa tiada jamaah atau parti manapun yang tidak terlepas daripada kesalahan2, kerana kita menyakini hanya Allah (Pemelihara) Rasulnya sahaja yang terpelihara daripada segala kesalahan..... .... WallahuA'lam Bissowab ..

    ReplyDelete