Monday 23 February 2009

Ketuanan dan Kepuanan


Ketuanan dan Kepuanan

Ah Guo, siswa MA dari China di University of Durham telah memperkenalkan saya kepada novel San Guo Yan Yi (Three Kingdoms). Novel karya Chen Shou yang mengisahkan pemerintahan tiga empayar di China pada sekitar tahun 189-280 itu dikatakan amat popular di kalangan rakyat China. Ah Guo memberitahu saya, jika ingin memahami budaya dan cara fikir politik orang Cina, bacalah buku tersebut.

Kee Beng, penganalisis politik Malaysia yang berpusat di Singapura pula menafikan idealisme si Ah Guo. Di dalam satu pertemuan dengan beliau bersama-sama dengan pengarah Malaysia Think Tank, Wan Saiful, Kee Beng mengatakan kenyataan tersebut terlalu umum dan ideal. Beliau yang mempunyai latar belakang di dalam pengajian China mungkin mempunyai pendapat yang lebih akademik. Menolak pendapat si Ah Guo pun tidka boleh juga, kerana beliau merupakan sampel orang tempatan yang lebih mengetahui budaya dan karakter orang-orang negaranya. Bak kata pepatah Arab, 'Hanya penduduk Mekah yang mengetahui jalan-jalannya'.

Bukan San Guo yang ingin dibicarakan di sini. Jika tidak silap saya, Khalid Jaafar pernah mengkomentar mengenai novel tersebut apabila beliau membuat persamaan Ezam Mohd Nor dengan salah satu watak di dalam novel tersebut, Lu Bu. Lu Bu merupakan seorang pengkhianat dan sanggup membunuh bapa angkatnya demi mendapatkan gundik bapa angkat beliau yang diminatinya. Maka analogi Khalid Jaafar, Ezam juga pengkhianat kepada bapa angkatnya Anwar dan perjuangan PKR. Ini juga bukan minat saya untuk dibicarakan di sini.

Saya tertarik dengan sistem maharaja di China. Selama ratusan tahun sistem tersebut diwarisi dan diamalkan. Jika nak diikutkan hujah Lee Kwan Yew mengenai pemerintahan ala-Konfusiunisme yang dijajakan sebagai Asian Values, sepatutnya sistem Maharaja diwujudkan kembali di Singapura. Namun, bukan ikon, ataupun sistem maharaja itu yag penting bagi Lee. Apa yang penting ialah epistemologi dan juga falsafah dari ajaran-ajaran Konfusiunisme. Lagak Max Weber yang menjustifikasikan sistem Kapitalis dengan berlandaskan budaya etika Calvinist, Lee mendabik dada mengatakan kejayaan ekonomi Singapura adalah disebabkan oleh falsafah Konfusis yang diamalkan oleh masyarakat Singapura yang majoritinya berbangsa Cina.

Dewasa ini kemelut politik di Malaysia kembali mengibarkan retorik 'ketuanan Melayu'. Istana telah digunakan demi survival politik golongan tertentu dan dipakejkan dengan 'ketuanan Melayu'. Jika selepas PRU ke-12, ramai sahaja yang marahkan pihak istana kerana tidak memihak kepada pilihan politik tertentu, namun kali ini apabila pihak istana memihak kepada mereka, pihak lawan pula menjadi derhaka dan mencabar ketuanan Melayu. Memang politik di Malaysia amat lucu dan berwarna-warni, tidak semuram politik di UK. Di UK, politiknya ikut buku, dan ikut etika, maka kurang ceria dan kurang menarik. Di Malaysia, mungkin kerana slogan Malaysia Boleh, macam-macam yang boleh berlaku.

Mungkin pesanan Rasulullah SAW, 'Jika kamu tidak malu, maka lakukanlah apa sahaja yang kamu suka'...(H.R. al-Bukhari) ada benarnya di sini. Inilah yang berlaku di Malaysia, tiada lagi rasa malu. Lebih jijik lagi, politik bogel membogel semakin ketara. Bermula dari zaman reformasi berkaitan Anwar, sehinggalah kepada isu Chua Soi Lek, dan terkini isu gambar Elizabeth Wong...kesemuanya membuktikan Malaysia memang benar-benar boleh.

Apa yang saya tertarik ialah apakah ketuanan Melayu itu hanya terletak pada institusi istana semata-mata? Bukankah rakyat Cina sudah lama tidak bermaharaja, tetapi negara mereka telah berjaya menempa kejayaan ekonomi. Jika hendak ikut ramalan Robert Kagan (2008), China bakal menjadi salah satu kuasa Geo-Politik menjelang tahu-tahun mendatang. Apakah ketuanan China ini ada kaitannya dengan kepupusan sistem Maharaja mereka?, ataupun tiada kaitan langsung?, Wallahua'lam.

Walau apapun yang berlaku, kita perlu akur bahawa sistem istana itu adalah sebahagian dari sejarah kita, dan sebahagian dari perlembagaan. Namun, menyalah gunakan istana di dalam kemelut politik sewajarnya dinilai semula. Begitu juga mengibarkan kembali isu ketuanan Melayu untuk kepentingan politik golongan tertentu juga wajar dinilaikan juga.

Persoalannya, asyik ketuanan Melayu sahaja yang dibincangkan, bagaimana pula isu kepuanan?

No comments:

Post a Comment