Historicism dan 'Ibar
Seringkali para penceramah agama muncul melaknat bangsa Yahudi secara pukal ketika membicarakan isu Palestin. Pada sesetengah keadaan, ada di antara mereka yang terdorong untuk memuji jenayah kemanusiaan Hitler lewat peristiwa Holocaust. Agak ironik, bagaimanakah Islam yang sepatutnya menjadi agama rahmat telah disalah ertikan oleh para agamawan di dalam menjustifikasikan jenayah Hitler yang bukan sahaja tidak berperikemanusiaan, malah dikutuk oleh Islam.
Mungkin mereka terlupakan firman Allah SWT, "Dan janganlah kebenciaan kamu kepada sesuatu kaum mendorong kamu untuk tidak berlaku adil, berlaku adillah, ianya lebih dekat dengan ketakwaan..." (al-Maidah 5:8)
Kebanyakan golongan agamawan, tidak kiralah mereka yang tradisionalis ataupun mereka yang mendakwa sebagai golongan anti-taklid, telah mengambil secara literal ayat-ayat berkenaan kisah Bani Israel yang telah diceritakan di dalam al-Quran. Kebanyakan cerita-cerita tersebut merupakan ayat Madaniyyah (diturunkan di Madinah) di dalam surah al-Baqarah. Ini bermakna, ia mempunyai konteks dan juga sebab yang eksklusif. Maka fakta-fakta sejarah telah dijadikan wacana di dalam membuktikan bahawa bangsa Yahudi merupakan 'bangsa terkutuk', 'bangsa yang dilaknat' ataupun bangsa yang tipu daya, putar belit dan juga penuh dengan kejahatan.
Agak lucu, di dalam nafas yang sama mereka boleh pula memuji Hitler dan kaumnya yang sepatutnya dua kali lima atau lebih dahsyat dari kaum Yahudi. Mungkin hanya kerana al-Quran tidak membawakan cerita tentang Hitler, maka Hitler tidak perlu dilaknat dan dikutuk sedemikian rupa. Maka, tafsiran literalis seumpama ini akan cuba mewarnakan realiti dengan kefahaman literal mereka terhadap ayat-ayat suci dan teks-teks kudus. Seumpama Man from La Mancha.
Malangnya, di dalam menyikapi al-Quran dan sunnah, kaum literalis tidak pula melihat wacana fiqh di dalam mengeluarkan penghukuman mereka. Bukankah di dalam wacana fiqh, samada di dalam ayat-ayat al-Quran mahupun sabda-sabda Nabi, sikap berlainan pula ditunjukkan. Ahli kitab mempunyai kedudukan yang lebih istimewa berbanding penganut agama-agama lain. Malah sejarah Islam telah membuktikan bagaimana umat Islam dapat membezakan sikap mereka terhadap kaum Yahudi di dalam wacana yang berbeza.
Ya, memang di dalam wacana aqidah, agama Yahudi merupakan agama yang tersasar. Mereka juga merupakan pembunuh para Nabi, dan perosak kitab-kitab suci. Jika kita tidak beriman dengan fakta-fakta ini, kita tidak beriman dengan al-Quran.
Begitu juga di dalam wacana sejarah. Seperti mana Old Testament, kebanyakan cerita-cerita mengenai hubungan kaum Yahudi dengan Nabi Musa, Nabi Isa dan beberapa Nabi lain, mereka mempunyai rekod yang buruk. Hal ini bukan sahaja di dalam al-Quran, malah di dalam teks-teks suci mereka sendiri pun ada mengiyakannya. Namun, apakah wacana sejarah boleh bertukar menjadi wacana aqidah?, apakah juga wacana sejarah boleh bertukar menjadi wacana fiqh. Persoalan yang lebih ketara ialah, apakah wacana sejarah boleh dijadikan sandaran di dalam wacana politik, dan pentafsiran kepada realiti yang mempunyai latar belakang yang berbeza dan konteks yang tidak sama?
Hal ini mengingatkan kita kepada apa yang telah dibicarakan oleh Karen Armstrong di dalam bukunya 'Muhammad: Prophet For Our Time'. Beliau telah mengkritik golongan yang ingin mempertahankan nilai liberal dengan menghidupkan budaya Eropah kuno yang anti-Islam. Bagi zaman kegelapan Eropah kuno, pihak gereja telah menyebarkan faham anti-Islam (Islamphobia) demi survival agama Krisitian di Eropah.Mereka juga telah menggunakan sentimen yang sama untuk melancarkan perang salib dan memastikan dana untuk perang tersebut akan kekal berterusan.
Sikap anti-Islam inilah yang telah cuba dihidupkan kembali dewasa ini untuk agenda golongan tertentu. Malangnya bagi sesetengah masyarakat barat yang kurang kritikal dan hidup dengan prejudis yang telah diwarisi berzaman tidak cuba melihat konteks yang berbeza. Hal ini bukannya baru. Sikap yang sama pernah mereka amalkan terhadap bangsa Yahudi. Unsur sejarah dan kebudayaan yang mereka warisi telah membawa kepada sikap 'Anti-Semitik'.
Tidak hairanlah Hitler ketika mula muncul telah menggunakan wacana anti-Yahudi untuk mempopularkan dirinya. Jika sebelum itu pidatonya tidak mendapat perhatian ramai, tetapi setelah beliau mula membicarakan isu Yahudi, beliau menjadi terkenal. Mudah sahaja formulanya, kebencian warisan yang mereka anuti telah membawa kepada natijah tersebut.
Begitu juga pada hari ini. Jika seorang lagi Hitler ingin muncul, maka wacana anti-Yahudi tidak akan laku, malah beliau mungkin akan dikenakan tindakan undang-undang. Hari ini wacana Islamphobia mungkin dapat menggantikan wacana anti-Yahudi. Armstrong telah mengingatkan para pembaca bahawa sikap Islamphobia yang berterusan hanya akan membawa kepada pengulangan terhadap Holocaust, kali ini bukan kepada kaum Yahudi tetapi kepada umat Islam. Malang sekali ianya telah pn berlaku. Lihatlah Afghanistan, Iraq, Palestin dan juga 'War on Terror'. Bukankah umat Islam telah menerima nasib yang serupa dengan kaum Yahudi lewat Holocaust?
Sejarah dan wacana sejarah perlu difahami benar di dalam menyikapi kitab suci. Hermeneutics bukanlah cadangannya. Historicism juga telah dipukul hebat oleh Popper. Mungkin metod 'Ibar yang telah dikemukakan oleh Ibn Khaldun, bapa ilmu Sosiologi patut dijadikan alat...
Kesimpulannya, kita tidak membenci sesuatu kaum hanya kerana mereka itu kaum tersebut. Kita juga tidak membenci sesuatu agama kerana ianya agama tersebut. Tetapi kita mengkritik sesuatu kumpulan, ideologi dan fahaman kerana kezaliman dan jenayah yang mereka dilakukan.
Isu Palestin merupakan isu di antara kezaliman kaum Zionis yang didokongi oleh majoriti kaum Yahudi, kaum Kristian dan juga sesetengah Muslim yang berkongsi aspirasi yang sama. Adalah silap menyikapi isu Palestin sebagai pertembungan di antara dua kaum, ataupun pertembungan di antara dua agama. Ianya merupakan pertembungan di antara keadilan dan kezaliman, di antara kemanusiaan dan kebinatangan, ianya juga merupakan pertembungan di antara penjajahan dan juga perjuangan menuntut kemerdekaan dan kebebasan.
keliru,DR MAZA menyatakan mungkin hitler itu ada benarnya,ust fathul bari terang2 menyatkan ini bukan soal kemanusian.ini soal pertembungan yahudi VS Islam.
ReplyDeletetapi sy tidak menafikan perlunya adil.DR MAZA juga dlm kuliah beliau pernah menyatakan adanya yahudi zaman ar rasul yang memeluk ISlam walaupon yahudi satu bangsa yg dilaknat.
pandangan dr maza:
ReplyDeleteKita bukan anti kaum tertentu, atau anti-semitic secara membabi buta seperti Hitler atau masyarakat Eropah dahulu. Namun jika kita melihat Yahudi Israel hari ini mengkhianati perjanjian atau bersikap jahat, itu bukanlah perkara baru dan pelik untuk mereka kerjakan. Kepercayaan Hitler itu, mungkin ada benarnya..
http://drmaza.com/home/?p=542
everyone is subjected to his opinion not his own facts
ReplyDeletesalam ust, saya hormat pandangan ust...ade part yg saya kurang setuju..ramai org cakap orthodox jew anti zionis la, pegi demo anti-zionis, n mcm2...to be honest saya meraguinye (dlm hati)..walaupun saya akui ade rakyat mereka yg ok..tp pernah tak ustaz lihat orthodox jew melayan Messianic Jews?? klu same2 jews pon mcm tu, dgn org islam no wonder la ust....
ReplyDeleteHahaha,
ReplyDeleteYahudi anti-Zionis bukan hanya di kalangan Ortodoks shj, i.e. Naturei Karta.
Puluhan ibu lagi yg anti-Zionis Alex...Ilan Pappei, Israel Shahak, Norman Finkelstein, Chomsky, etc...
Baca banyak lagi, campur dengan manusia lebih luas lagi, dan jangan hanya hidup dalam kepompong 'manusia2 suci' sahaja...
Jangan jadi mcm ustaz2 yang merasakan dunia ini hanya milik mereka sahaja...
Dunia ini terlalu luas untuk dimonopoli oleh orang Islam sahaja.