Sunday 30 November 2008

Good Governance for Dummies


Good Governance For Dummies

Selesai perang dingin dan juga konsesi Washigton, dunia telah dikejutkan dengan satu fenomena baru. Pengisytiharan kemenangan ideologi liberal ke atas cara hidup-cara hidup lain di seluruh dunia oleh Fukuyama lewat 'The End of History' menjadi laungan pertama perubahan tersebut. Negara-negara liberal demokrasi melihat bahawa negara-negara 'lain' yang masih mundur memerlukan dosej tertentu dari fahaman liberislme untuk membolehkan mereka maju ke hadapan.

Seumpama faham 'civitas' yang dianuti oleh warga Greek kuno, faham 'Eurocentism' (meminjam istilah Edward Said) juga memberikan tanggungjawab kepada warga barat yang bertamadun untuk 'membangun'kan warga dunia yang lain. Faham ini jugalah yang diakui oleh nabi Liberalisme Locke dan juga Nabi Utilitarian J.S. Mill. Kedua-dua mereka memberikan justifikasi penjajahan golongan kolonial di atas nama 'membangun'kan bangsa lain. Bhikkhu Parekh melabelkan faham ini sebagai 'Liberal Monism'. Faham yang melihat diri sendiri sebagai 'yang paling bertamadun' dan orang lain sebagai mundur, barbarian dan juga kurang akalnya. Jika dilihat, dari paradigma 'civitas' ini jugalah lahir perkataan 'virtue' yang merujuk kepada 'the virtue of the Greeks' yang perlu diamalkan oleh 'manusia lain' untuk mereka menjadi bertamadun.

Ketika World Bank memberikan keputusan analisa mereka terhadap kemunduran di Sahara Barat, mereka menamakan 'governance' (tadbirurus) sebagai penyakit utama masyarakat di negara tersebut.Governance yang lemah mengundang korupsi, kerajaan tidak stabil. patronisme, rasuah, diktator, elitisme dan penghujungnya membawa kepada kemunduran. Maka mereka memutuskan agar penawar 'Good Governance' menjadi formula utamanya. Semenjak dari prokalamasi tersebut, jenama 'Good Governance' sering menjadi tema di dalam usaha refomasi dan juga pembangunan, terutamanya di negara-negara dunia ketiga dan negara-negara membangun.

'Good Governance; membawa nilai liberal dan demokrasi sebagai formula asasi untuk negara-negara membangun. Sepertimana World Bank, IMF, USAID dan UNDP juga turut serta di dalam usaha membina formula tersendiri di dalam membangunkan negara-negara mundur berdasarkan kerangka 'Good Governance'. Berdasarkan kerangka tersebut, maka beberapa prinsip dan ciri-ciri yang membawa kepada 'Good Governance' diutarakan. Logiknya, apabila negara-negara tersebut beramal dengan ciri-ciri berkenaan, maka pembangunan akan dapat dicapai.Malah badan-badan antarabangsa tersebut meletakkan syarat bahawa mana-mana negara yang inginkan bantuan kewangan dari mereka hendaklah memenuhi ciri-ciri 'Good Governance' yang mereka gariskan.

Antara ciri-ciri 'Good Governance' seperti yang dikemukakan oleh badan-badan antarabangsa tersebutke atas negara yang ingin maju adalah: Tahap akauntabiliti yang tinggi di dalam pentadbiran negara, Transparensi (keluwesan) di dalam urusan negara, terutamanya yang melibatkan perbendaharaan, Keluhuran undang-undang (Rule of Law) yang memastikan bahawa undang-undang dipatuhi, dan juga badan kehakiman bebas dari pengaruh eksekutif mahupun legaslatif, hak asasi manusia yang dihormati terutamanya di dalam isu kebebasan politik, bersuara dan gender, gerakan masyarakat sivil yang aktif dan tidak dikongkong, dan juga perkhidmatan awam yang efektif dan effisien. Banyak lagi ciri-ciri lain yang dikemukan oleh badan-badan tertentu dan tidak diambil kira oleh sesetengah yang lain. Ciri-ciri yang disebutkan ini merupakan ciri-ciri yang disepakati oleh kebanyakan badan-badan antarabangsa yang terlibat dengan isu 'Good Governance'.

Kerangka 'Good Governance' ini menjadi tema bagi kebanyakan parti-parti pembangkang dan juga badan-badan bukan kerajaan di negara-negara membangun di dalam usaha refomasi mereka. Sememangnya ciri-ciri atau lebih tepat dikatakan sebagai prinsip-prinsip 'Good Governance' tersebut merupakan mekanisme yang dapat membasmi gejala-gejala yang membantutkan pembangunan seperti rasuah, korupsi, elitisme, kronisme, nepotisme, salh guna kuasa, patronisme, kelemahan penjawat awam dan lain-lain lagi. Pengalaman barat yang dijana melalui kajian-kajian empirikal mereka telah membuktikan bagaimana gejala-gejala buruk yang membarah tersebut telah menghalang mereka dari maju.

Walau bagaimanapun, kerangka 'Good Governance' versi barat ini tidak semuanya sempurna. Mengadaptasi kesemua cadangan barat berdasarkan pengalaman mereka yang mungkin berbeza dengan pengalaman warga timur adalah kurang bijak. Sejarah mereka mempunyai topografi yang tersendiri, begitu juga dengan sejarah warga timur. Budaya yang membentuk identiti mereka juga mempunyai kelainan dengan budaya yang membentuk identiti warga lain, samada di timur mahupun di Amerika Latin dan Afrika. Maka, di atas kesedaran ini, mantan PM Singapura, Lee Kwan Yew telah bangkit untuk mencabar keunggulan 'Good Governance' versi liberal ini. Berhujahkan bahawa nilai-nilai ketimuran tidak sama dengan nilai-nilai barat, beliau telah menyanggah beberapa prinsip 'Good Governance' yang dikemukakan.

Bersambung di artikel akan datang....(Good Governance versi Asia)

1 comment:

  1. thanks ustaz for the good penerangan. baru faham
    bagi saya kerajaan atau government berbentuk demokrasi dan nation state ni baru ja muncul kan?
    ciri2 tamadun islam pada saya banyak menekankan kepada soal kekuatan masyarakat, dan peranan ulama. walaupun sebusuk mana khalifah atau pemerintah empayar Islam, ianya masih survive atas kekuatan masyarakat.

    idea good governance ini baru berevolusi ke atas negara-negara bekas empayar Islam dan majoriti muslim. pada saya, ianya sangat baik dipraktikkan. soalnya, apa hak barat untuk menetapkan standard pada semua negara lain? kuasa kapitalist yang jahat cuba berselindung dibalik tabir riba dan menjajah negara2 islam secara tidak langsung
    waAllahualam
    asyhraff someideas

    ReplyDelete