Sunday, 30 November 2008

Good Governance versi Asia


Good Governance Versi Asia

Di dalam perbincangan mengenai 'Multiculturalism', Kymlicka telah membawa para pembaca agar akur kepada fitrah manusia yang dicorakkan oleh budaya dan latar belakang. Sebagai Liberal Multiculturalist, beliau telah melakukan proses dekonstruktif terhadap isu budaya (cultrue) dan mendapati bahawa ianya berperanan sebagai instrumen untuk menjaga identiti kumpulan dan survival mereka. Premis ini digunakan oleh Kymlicka sebagai asas mengapa survival kumpulan perlu dijaga, tetapi budaya hendaklah bersedia untuk menerima perubahan berdasakan perkembangan semasa.

Berlainan dengan Kymlicka, Parkeh di dalam Rethinking Multiculturalism menegaskan bahawa identiti dibentuk oleh budaya. Budaya pula menjadi teras kepada identiti dan dicorakkan oleh pengalaman kumpulan zaman berzaman dan akhirnya membentuk pengaruh subliminal di kalangan anggota kumpulan tersebut. Menafikan budaya adalah menafikan fitrah manusia itu sendiri yang bukan hanya wujud dengan jalinan rasional dan fizikal semata-mata. Sambil menafikan tanggapan filosof Helenis tentang unsur identiti manusia, dan juga gambaran manusia rasional dari kaca mata liberal barat, Parekh tetap konsisten dengan teori identiti budaya yang kekal wujud bersama manusia seperti mana wujudnya darah dan daging di dalam elemen fizikal mereka.

Lee Kwan Yew di dalam autobiografinya telah mencabar dominasi liberal barat di dalam isu hak asasi manusia (human rights) dan juga governance. Menurut ideologi liberal barat, rasional yang difahami melalui kerangka empirikal diletakkan sebagai penentu cara hidup. Kebebasan individual menguasai ruang kehidupan umum dan memberikan warna kepada seluruh wacana berkaitan kehidupan. Ruang moral, budaya dan agama hanya mengambil tempat sebagai pengisi ruang peribcadi yang tidak boleh mencorakkan ruang umum di dalam kehidupan manusia. Logiknya, kerana agama dan budaya adalah realiti yang subjektif dan kadang kalanya tidak rasional. Hal ini bertentangan dengan nilai-nilai ketimuran menurut perkiraan Lee.

Walaupun Lee berfahaman sekular dan amat menekankan bahawa Singapura merupakan negara sekular serta menolak sebarang campur tangan agama di dalam ruang politik dan ruang umum, tetapi Lee tidak menolak peranan budaya dan moraldi dalam ruang umum. Menurut Lee, inilah identiti manusia timur yang dididik dengan budaya sopan dan budi.Hal ini bagaikan telah terpadam dari kamus kehidupan manusia barat. Lee menekankan bahawa kaum Cina yang merupakan majoriti rakyat Singapura amat terikat dengan falsafah moralyang diajarkan oleh Konfucius. Ajaran Konfucius menekankan agar kemaslahatan majoriti perlu diutamakan di atas kemaslahatan individu. Budaya menghormati orang yang lebih tua, ibu bapa, para pemimpin dan mereka yang berkuasa tertanam di dalam hati dan akal setiap manusia timur menurut Lee. Ajaran Konfucius juga menekankan konsepdisiplin dan ketekunan di dalam melakukan kerja untuk jangka masa panjang. Manusia timur bertindak berdasarkan wawasan jangka masa panjang dan bukannya untuk tempoh yang singkat. Beliau juga menekankan konsep meritokrasi sebagai tunjang pentadbiran di Singapura demi memberikan keadilan kepada rakyat jelata. Kesimpulannya, ajaran Konfucius inilah yang menjadi teras kepada 'Good Governance' Singapura.

Lee berbangga dengan kemajuan ekonomi Singapura dan kemakmuran serta keamanan negara tersebut hasil formula Konfucius tersebut. Menurut beliau, inilah formula kejayaan Singapura. Hal ini disokong penuh oleh penggantinya Goh Chok Tong yang kemudiannya bertanggungjawab menubuhkan insitut khas di bawah seliaan kerajaan sebagai think tank untuk mengkaji dan membuat penyelidikan lanjut mengenai falsafah Konfucius yang boleh diterapkan di dalam hal-hal pentadbiran, ekonomi dan politik. Perkara yang sama dilaungkan oleh beberapa pemimpin Asia timur seperti Taiwan, China, Korea,malah Malaysia juga yang mempunyai versi tersendiri di dalam memberikan wajah kepada 'GoodGovernance'. Hal ini menjadi ruang perdebatan memandangkan engara-negara Asia timur telah pun maju, membangun dan mempunyai kestabilan ekonomi walaupun tanpa mengikuti ideologi liberal barat di dalam memberikan definisi kepada 'Good Governance'.

Berbalik kepada Malaysia, Dr Mahatir, Mantan PM Malaysia juga tidak ketinggalan di dalam menempelak ideologi liberal barat. Senada dengan Lee, mereka mengatakan bahawa ideologi liberal barat telah membawa kepada kemusnahan institutsi kekeluargaan, moral dan juga agama di barat. Kadar jenayah yang tinggi, budaya seksualisme, kelahiran anak-anak luar nikah yang ramai dan juga budaya hedonisme merupakan buah hasil ideologi liberalisme barat.Kebebasan individu yang keterlaluan di barat juga dakwa mereka berdua tidak sesuai dengan bentuk masyarakat majmuk dan beradab sopan di kawasan Asia. Bagi mereka kebebasan bersuara yang berlebihan akan mencabar konsep hormat menghormati di antara kaum yang akhirnya akan membawa ketidak stabilan di dalam negara.

Mahatir pula menggunakan nilai-nilai Islam sebagai tonggak idenya untuk membawa kepada alternatif 'Good Governance' versi liberal barat. Walau bagaimanapun nilai-nilai Islam yang dibawa oleh Mahatir sebagai mana dakwaannya mempunyai gaya yang tersendiri dan bukannya di dalam versi ekstrimisme dan jumud. Mahatir juga menekankan bahawa penumpuan kepada kesatuan rakyat, tanggung jawab untuk membantu rakyat yang kurang bahagiannya di dalam agihan ekonomi negara merupakan di antara 'Good Governance' di Malaysia yang mempunyai struktur sosio-ekonomi yang berbeza dengan barat. Mahatir juga menekankan peranan pemerintah untuk memastikan mereka berpegang kepada moral yang tinggi sebagai identiti ketimuran mereka dan tidak terikut-ikut dengan kebobrokan akhlak dan moral masyarakat barat.

Walau bagaimanapun teori 'Good Governance' dengan nilai Asia ini tidak sunyi dari kritikan. amai pengkaji dan juga pemimpin dari dalam Asia dan barat yang mengkritik hujah-hujah para pemimpin yang sebaris dengan Lee dan juga Mahatir. Amartya Sen, di dalam 'Development as Freedom' dengan sinis telah mengkritik definisi kemajuan (devleopment) yang difahami oleh para pemimpin 'Asian values'. Beliau juga mengkritik sikap autokratik mereka di dalam pentadbiran yang telah membawa kepada 'police state' dan juga kecilnya ruang kebebasan kepad arakyat untuk menjalankan aktiviti 'akauntabiliti' bagi pihak majoriti. Beliau telah menempelak sikap para pemimpin tersebut yang berselindung di sebalik topeng Asian Values untuk menjustifikasikan corak pemerintahan 'autokratik' mereka. Sen membawa prinsip-prinsip dari al-Quran, Konfucius, Kautilya dan lain-lain manuskrip 'timur' demi menunjukkan bahawa nilai Asia juga menggalakkan kebebasan bersuara dan ruang akauntabiliti yang luas di kalangan rakyat. Hal ini menurut Sen amat bertentangan dengan nilai Asia yang dipromosikan oleh para pemimpin autokratik yang berselindung di sebaliklaungan nilai Asia.

Anwar Ibrahim di dalam Asian Renaissance pula cuba bersikap adil di dalam isu nilai Asia. Beliau tidak menafikan keunikan bangsa timur yang disifatkan sebagai 'Homo-Religisius'.Beliau juga tidak menolak peranan budaya, agama dan moral di dalam mencorakkan identiti sesuatu kelompok masyarakat. Walau bagaimanapun beliau mengkritik 'nilai Asia' yang dijadikan alasan para pemimpin autokratik di dalam menjustifikasikan pengamalan aukratik, kronisme dan nepotisme di dalam pemerintahan mereka. Beliau uga menolak prejudis secara pukal terhadap ide liberal barat yang di dalam banyak perkara mempunyai nilai universal yang baik, tetapi beliau menolak nilai-nilai hidup barat yang bertentangan dengan agama, moral dan budaya masyarakat timur.

Kesimpulannya, isu 'Good Governance' walaupun mempunyai nilai univesal, tetpai masih terbuka untuk penilaian dan kritikan. Memaksakan taipologi 'Good Governance' versi liberal barat ke atas semua penduduk dunia adalah tidak wajar. Unsur budaya dan agama perlu diambil kira di dalam memberikan model terbaik untuk 'Good Governance'sesebuah negara.Walau bagaimanapun, nilai universal yang berkaitan dengan akauntabiliti, ketelusan, keluhuran undang-undang, penghormatan terhadap hak asasi dan kebebasan asasi manusia, perkhidmatan awam yang effisien serta bebas dari korupsi, patronisme dan juga kelembapan perlulah diterima. Perpaduan di antara nilai-nilai universal tersebut dengan budaya setempat yang bertindak sebagai 'penguat' ataupun 'pelengkap' akan melahirkan bukan sahaja negara yang maju, membangun dan makmur, malah ianya juga akan membawa kepada keamanan dan kesejahteraan. Berdasarkan premis inilah, sepatutnya negara-negara Islam mempunyai versi 'Good Governance' mereka yang tersendiri.

Bersambung di dalam artikel 'Good Governance versi Islam'

No comments:

Post a Comment