Wednesday, 22 October 2008

Rudi Giulani dan Pengguguran Anak


Rudi Giulani dan pengguguran anak

Rudi Giulani dikenali ramai oleh dua perkara utama. Pertamanya, beliau merupakan mayor (datuk Bandar) New York untuk dua penggal (dari 1994-2001) di mana peristiwa 11 September berlaku sewaktu beliau menjawat jawatan berkenaan. Keduanya, beliau telah berjaya mengurangkan kadar jenayah di New York pada zaman pemerintahannya melalui pendekatan ‘Broken Window’.

Warga AS berketurunan Itali ini pernah mencuba nasib untuk menjadi calon presiden parti Republican, namun kecundang di pertengahan jalan dan akhirnya menyokong calon unggul parti berkenaan, John McCain. Bukanlah isu keperibadian Giulani yang ingin dilihat di sini, tetapi pendekatan ‘Broken Window’ beliau yang telah Berjaya mengurangkan kadar jenayah di kota raya yang amat terkenal dengan jenayahnya itu.

Bersama dengan kerjasama komisioner polis kota New York, Bill Branton, beliau telah melaksanakan pendekatan agresif di dalam menanggani jenayah di kota New York. Pendekatan ‘Broken Window’ tersebut merupakan ide yang telah diilhamkan oleh James Q Wilson. Melalui pendekatan berkenaan, segala kesalahan jenayah yang minor telah dikenakan tindakan dan ditanggani. Logiknya, kesalahan-kesalahan kecil jika dibiarkan, maka para pelakunya akan merasakan tiada kesalahan melakukan jenayah-jenayah yang lebih besar. Pendekatan tersebut telah berjaya, hasilnya kadar jenayah di New York turun melebihi 100% pada sekitar tahun 2000. Beliau juga telah menginisiatifkan penambahan anggota polis demi menanggani jenayah di kota tersebut.

Mungkin catatan Frank Zimring, ‘The Great American Crime Decline’; Wayne Barret ‘Rudy!: An Investigative Biography of Rudolph Giuliani’ dan juga buku Robert Polner, ‘America's Mayor: The Hidden History of Rudy Giuliani's’ boleh menjadi rujukan bagi sesiapa yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai kejayaan tersebut. Buku karangan bersama Giulani dan Ken Kurson, ‘Leadership’ juga amat berharga di dalam isu ini.

Apa yang menarik perhatian saudara Maszlee kita bukanlah polisi ‘Broken Window’, tetapi satu teori lain mengenai penurunan kadar jenayah di New York oleh Steven Levit dan Stephen Dubner melalui karay best-seller mereka, ‘Freakonomics’. Bukan sekadar mereka menyanggah tanggapan umum mengenai polisi ‘Broken Window’ dan penambahan anggota polis di New York sebagai faktor penurunan kadar jenayah di kota New York, malah mereka membawa satu teori yang lain. Di dalam bab ‘Where have all criminals gone?’, mereka menyatakan individu yang bertanggungjawab menyebabkan fenomena tersebut ialah Norma McCorvey. Siapakah minah Norma ini?

Norma merupakan seorang gadis jalanan, kaki mabuk, tidak berpelajaran dan juga penagih dadah pada usianya 21 tahun. Pada tahun 1970 Norma mendapati dirinya mengandung lagi setelah dua kali menyerahkan anak kelahirannya untuk dipelihara oleh keluarga angkat. Beliau tidak mampu untuk menjaga anak yang bakal dilahirkannya. Keadaan hidupnya yang melarat akan menyebabkan anak yang bakal dilahirkan itu akan mengulangi jenayah dan juga kemelaratan hidup yang dilaluinya itu. Apa yang beliau mahukan hanya ‘pengguguran’. Malangnya menggugurkan anak merupakan satu jenayah yang mengundang hukuman di Texas, di mana beliau tinggal.

Akhirnya beliau telah memfailkan kes di Dallas, dan beliau telah berhadapan dengan pendakwaraya Dallas pada waktu itu, Henry Wade. Kes tersebut akhirnya telah dibawa ke mahkamah tinggi (Supreme Court) AS untuk dibicarakan. Norma menggunakan nama samara Jane Roe untuk kes berkenaan. Pada 22 januari 1973, keputusan mahkamah telah berpihak kepada Norma atau Roe. Undang-undang mengenai pengguguran telah dicabar dan beliau dibenarkan untuk menggugurkan kandungannya. Malangnya keputusan tersebut agak lewat, beliau telah pun melahirkan anak tersebut dan menyerahkannya kepada keluarga lain sebagai anak angkat.

Keputusan kes Roe vs Wade telah menjadi justifikasi kepada jutaan gadis-gadis melarat seperti Roe untuk menggugurkan kandungan mereka. Hasilnya?, menurut pengamatan Levitt dan Dubner, mereka yang berpotensi untuk menjadi penjenayah di masa hadapan telah berjaya dinyahkan sebelum mereka sempat lahir ke dunia lagi. Menurut mereka kebanyakan penjenayah dilahirkan dalam keluarga yang miskin, melarat dan juga anak-anak jalanan. Kebanyakan mereka juga membesar tanpa pendidikan dan kasih saying yang cukup memandangkan ibu bapa mereka tidak bertanggung jawab dan di dalam banyak keadaan merupakan para penjenayah. Kitaran semula penjenayah telah berjaya digagalkan!

Semacam bunyi Nabi Khidir membunuh anak kecil yang kufur lewat surah al-Kahfi. Tapi itu Nabi kan? Namun isunya sama juga, iaitu ‘nyawa’!

Mungkin ianya salah satu sebab, tetapi untuk memaksakan ia sebagai penyebab utama seperti teori Levitt dan Dubner agak keterlaluan. Melihat dengan ‘mata helang’ dari atas, mungkin teori tersebut nampak ada logiknya, tetapi hanya sejuzuk dari cantuman cebisan-cebisan gambaran keseluruhannya untuk masyarakat yang ternyata telah rosak. Bagi umat Islam isu ini mungkin agak keterlaluan, kerana ianya melibatkan isu ‘nyawa’ (nafs). Para doktor Muslim dan juga ulama Shariah sepakat memutuskan pengguguran tanpa kemudaratan jelas bagi si ibu dalam tempoh tertentu adalah haram (Mereka mungkin khilaf tentang tempoh dibenarkan pengguguran). Malah para doktor Muslim tidak akan bersubahat melakukan perkara haram tersebut di atas dasar agama dan etika.

Hal ini menggingatkan saudara Maszlee kita kepada fatwa Majma; al-Fiqh al-Islamiyy yang berpusat di Jeddah dan juga keputusan terkini isu pengguguran oleh Jawatankuasa fatwa perubatan oleh pakar-pakar perubatan dan ulama Shariah di Jordan. Mereka semua senada di dalam mengharamkan pengguguran kecuali dengan kemudaratan yang jelas ke atas si ibu akibat kandungan dan kelahiran di dalam tempoh tertentu.

Timbul pula isu kadar jenayah di negara-negara Islam. Apakah keadaan ekonomi yang melarat dan sistem sokongan yang lemah dari kerajaan diktator Muslim menjadi puncanya? Jika dilihat dari kajian Dr Umer Chapra di dalam buku terbarunya mengenai ‘Islamic Civilisation’, memang negara-negara Islam kebanyakannya mundur dari segi ekonomi dan juga tinggi di dalam indeks rasuah. Apakah isu kelahiran tidak dirancang menjadi salah satu dari penyebabnya? Ianya tidak dibincangkan di dalam buku yang sedikit sebanyak dipengaruhi oleh pendekatan ‘Neo-Classical’ di dalam lontaran-lontaran idenya.

Atau mungkin sistem kebajikan, sistem pendidikan, sistem tadbir urus (governance) yang buruk, sistem pemerintahan, sistem ekonomi sokongan, dan juga sistem moral itu sendiri sepatutnya memainkan peranan yang lebih baik ?

Keadaan berbeza, di barat (ini agak generalisasi) yang mempunyai sistem nilai yang berbeza, dan juga berteraskan nuansa yang berbeza, pendekatannya agak berlainan. Bagi negara-negara Islam dan juga masyarakat Muslim yang nuansa kehidupan mereka berteraskan Tauhid, tentu pendekatannya juga berbeza. Manusia-manusia Asia yang ‘Homo Religiosus’, dan juga manusia-manusia Muslim yang ‘Homo Islamicus’ mempunyai perkiraan yang brbeza mengenai kehidupan, keamanan dan juga keberagamaan...

Mungkin Anthony Pagden akan bersetuju dengan konsep ‘beza budaya’ ini ? Atau Edward Said ?...

No comments:

Post a Comment