Monday 27 October 2008

Filem dan Tarbiyyah


Filem dan Tarbiyyah

Membaca ‘The Age of the Warrior’ karya terkini jurnalis akhbar ‘the Indipendent’ yang tersohor, Robert Fisk mengingatkan kita kepada buku ‘Culture and Imperialism’ karya Edward Said.

Bukanlah temanya yang serupa, ataupun pemikiran yang dibawa (memang banyak persamaan berdasarkan topologi idea post-colonialism) tetapi di dalam sikap mereka terhadap filem. Di dalam kedua-dua buku tersebut, kedua-duanya mengambil sikap dekonstruktif terhadap filem-filem yang mereka tonton berkaitan dengan mesej yang inign mereka bawa dan ingin mereka sampaikan.

Hal ini mengingatkan ustaz kita, Maszlee Malik kepada empat perkara:

a) Filem Syriana yang telah beliau cadangkan kepada para pekerja admin di kuliyyah IRKHS lewat ceramahnya mengenai isu Palestin dan peperangan Israel-Lubnan 2006. Filem tersebut amat berkesan untuk sesiapa yang ingin mendapatkan gambaran awal apakah yang berlaku di timur tengah. Filem Hollywood tersebut berjaya menyampaikan dengan ringkas tentang siapakah aktor, skrip dan juga tangan-tangan yang bertindak sebagai produser kepada keadaan tidak stabil di rantau tersebut. Fisk amat meminati filem ini.

b) Prof Giovani Ercolani, jurulatih dari UN (UNITARPOCCI) yang bertanggung jawab melatih beliau di dalam isu-isu conflict and peace studies di bawah seliaan UN. Beliau telah menggunakan teknik dekonstruktif terhadap filem-filem yang ada kaitan dengan topik perbincangan. Antara filem yang digunakan ialah Munich, Battle in Algiers, Hotel Rwanda, dan beberapa filem dari Balkan, Peranchis dan juga Turki. Kebanyakan filem-filem berkenaan adalah berdasarkan kisah benar dan dihasilkan untuk tujuan pembelajaran.

c) Filem ‘animal Farm’, 1984, ‘Merchant of Venice’, Les Miserable dan pelbagai epik-epik Greek yang lain seperti Ulysses, Troy, Helena dan lain-lain lagi. Kesemuanya mempunyai mesej yang tersendiri selain daripada menjadi bahan sejarah, ideologi dan kesusateraan.

d) Filem-filem perjuangan berdasarkan sejarah seperti ‘Bhagat Singh’, Shaheed, Motorcycle diaries, Che, Umar Mukhtar, Atilla the Hunt, Braveheart, Hunger mengenai Bobby Sands (pejuang IRA), Kingdom of Heaven, dan lain-lain lagi.

Di dalam lapangan dakwah teknik seumpama ini juga bukanlah asing. Bagi para aktivis Islam versi Ikhwan Muslimin ‘antarabangsa’, buku ‘Ma’anaa Natatawar’ karya Syaikh dakwah dari Iraq (Muhammad Ahmad al-Rashid aka Syeikh Muntalaq) telah menyatakan tentang perkara tersebut. Di dalam karya berkenaan, Muhammad Ahmad Rashid telah mencadangkan beberapa filem, antaranya ‘al-Risalah’ (The Message), Umar al-Mukhtar, al-Qadisiyyah dan lain-lain lagi untuk tatapan para duat. Logiknya menurut beliau, ia akan membina kecintaan terhadap sejarah, menambahkan pengalaman, membuka minda dan menaikkan semangat juang. Filem-filem tersebut dimasukkan antara materi tarbiyyah bagi para pendakwah.

Filem amat menarik untuk dijadikan bahan mengajar, jika kena dengan tema, cara dan mutu filem. Kebanyakan filem yang dihasilkan berdasarkan kisah benar serta bermutu dan berkualiti sengaja dibuat untuk dijadikan rujukan para pengkaji. Filem yang berdasarkan novel yang membentuk pemikiran dan ideology juga amat bernilai besar untuk menampakkan lagi mesej yang ingin disampaikan oleh penulisnya. Filem-filem seumpama ini mempunyai mesej mereka yang tersendiri yang perlu difahami setelah proses dekonstruktif dijalankan. Sehingga kini, rakan kita ustaz Maszlee masih lagi ternanti-nantikan filem-filem mengenai para pejuang Islam moden yang dapat dijadikan pedoman kepada generasi yang baru. Bilakah agaknya akan muncul filem-filem mengenai Hassan al-Banna, Syed Qutb, al-Maududi,Muhammad Adbuh, Jamaludin al-Afghani, Abu Hassan al-Nadwi, Syeikh al-Albani, Iqbal, Malik ben Nabi, Ismail Farouqi, Burhanuddin al-Helmi, Ahmad Boestamam, Tok Janggut, Ustaz Fadhil Noor dan lain-lain nama yang telah mengukir sejarah.

Maszlee Malik

* Respek pada geng-geng PKS yang telah berjaya menghasilkan filem ‘Sang Murabbi’. Bila agaknya Pak Abu Hassan Morad kita nak menghasilkan filem layar perak pula?

No comments:

Post a Comment