Credit Crunch: The End of History?
“We must form a large compact bloc that will in turn help other countries liberate themselves not only from imperialist political power but from imperialist economic power as well. The question of armed liberation from an oppressive political power must be handled in accordance with the rules of proletarian internationalism”
‘El Che’ Ernesto Guevara de la Serna, UN General Assembly, 1964.
Entah mengapa kata-kata hikmah watak utama filem ‘Motorcycle Diaries’ dan ‘Che’ ini kembali menerjah kotak pemikiran rakan kita, Maszlee. Jika setahun lebih yang lalu, aksi-aksi heroik dan juga kiprah Che amat dikagumi oleh beliau, selari dengan jiwa ‘perjuangan menentang imperialisme’ yang mengalir di dalam tubuhnya, kini kekaguman itu tidaklah sehangat dahulu. Mungkin karya-karya Karl Popper, George Orwell dan Umer Chapra telah mengendurkan kehangatan semangat ‘kiri’ tersebut.
Oh ya, kata-kata ini muncul pada waktu kini akibat fenomena ‘credit crunch’. Dua majalah keminatan saudara kita, Economist dan New Statesman telah memperkatakan isu tersebut dari sudut falsafahnya. Malah banyak lagi majalah-majalah dan akhbar-akhbar lain juga turut memperkatakan isu akar kepada fenomena ‘credit crunch’ ini. Jika tanggapan para Islamis bahawa fenomena krisis kewangan global ini mencerminkan kebobrokan system riba kapitalis (seperti yang dilaungkan oleh al-Qaradawi), para pengamat political economy pula melihat ianya sebagai tanda-tanda awal ‘the return of Marxism’ atau ‘the return of Socialism’.
Sepertimana ideologi kapitalisme, ideologi sosialisme juga mengalami proses evolusi. Malah perkembangan ide ‘social democrat’ berteraskan ‘negara kebajikan’ merupakan salah satu dari keanjalan ideologi-ideologi berkenaan (rujuk Heywood, 2004). Malah pendekatan Keynesian, Reagenism, Theatcherism, New Labour dan lain-lain pendekatan political economy dengan jelas menggambarkan situasi berkenaan. Mungkin teori ala-Hegelian Fukuyama, ‘The End of History’ yang mengatakan bahawa kemuncak sejarah adalah dengan kejayaan mutlak ideologi liberal demokrasi juga perlu dinilai semula. Jika Robert Kagan (2008) menulis ‘The Return of History and the End of Dream’ menyanggah Fukuyama dari teori geo-politiknya, maka era ‘credit crunch’, teori lain pula diperlukan.
Serahkan formulasi teori ini kepada orang yang alim di dalam bidangnya. Apa yang rakan kita, Maszlee fikirkan bukanlah dari sudut Kapitalisme vs Sosialisme. Beliau amat terkejut dan tersentak dengan pandangan para Islamis yang kini hebat melancarkan serangan ke atas ideologi kapitalisme dan mencanangkan bahawa system perbankan dan kewangan Islam sebagai alternatifnya. Bukan skeptik, memang itulah ideal yang sering dilaungkan oleh para Islamis, malah oleh beliau sendiri yang diacu melalui acuan golongan Islamis versi madrasah al-Banna.
Cuma beliau merasakan ironik mengenai kritikan ke atas ‘kapitalisme’ yang disifatkan sebagai tamak, tetapi di dalam satu waktu mencadangkan ‘Islamic Banking and Finance’ sebagai alternatifnya. Maafkan beliau. Beliau amat sensitif di dalam isu pendefinisian dan generalisasi. Apakah yang dimaksudkan dengan ‘kapitalisme’ dan siapakah pula ‘yang tamak’. Jika dilihat kepada analisis Umer Chapra, ‘Islam and the Economic Challenge’ (1992), memanglah nampak sistem ‘ekonomi Islam’ adalah sebagai ideal menggantikan dua ideologi dominan di dalam ekonomi masa kini, kapitalisme dan sosialisme. Apa yang musykil, alternative yang beliau kemukakan agak did alam bentuk makro dan juga terlalu ideal berbanding sistem perbankan Islam dan kewangan Islam dewasa kini (terutamanya di Malaysia).
Sistem perbankan dan kewangan Islam merupakan salah satu dari wajah kapitalisme. Ide pasaran bebas, industri hutang, perniagaan berteraskan keuntungan, minimumnya campur tangan daulah dan juga kepentingan individu, kesemuanya merupakan dasar kapitalisme. Malah sistem perbankan itu sendiri merupakan anggota tubuh sistem kapitalisme. Memang kapitalisme itu mempunyai wajah-wajah yang berbeza pada perlaksanaannya. Malah sifat ketamakan yang membusut dari idelogi itu di kalangan para kapitalis juga merupakan salah satu dari wajah buruk tersebut, namun generalisasi terhadap sistem kapitalisme tanpa melihat di mana ‘kita’ berpijak agak kurang tepat.
Apa yang berlaku kini ialah, golongan Islamis mencadangkan bahawa ‘kapitalisme tamak’ dan berteraskan riba perlu digantikan dengan sistem kapitalisme Islam dan lebih adil. Industri hutang tetap lagi wujud, Cuma ianya bebas riba dan berteraskan aset. Apabila sistem perbankan Islam dicadangkan sebagai alternatif, maka kerangka ‘kapitalisme’ itu masih lagi disayangkan, dan tidak keterlaluan seperti ingin diselamatkan, cumanya dengan wajah yang lebih Islamik.
Jangan silap, ini bukan soal halal haram. Ini juga bukan soal hukum-hakam. Saya yakin para penasihat Syariah merupakan orang-orang yang pakar dalam bidang hukum dan telah berjaya menyelamatkan orang ramai dari terjerumus ke lembah riba dengan me‘murni’kan sistem perbankan dan kewangan yang sedia ada. Mereka telah berijtihad dan telah ikhlas di dalam usaha tersebut, tiada bantahan dan tiada keraguan. Cumanya yang ingin dibawa di sini ialah apakah tembakan tambang erhadap sistem ‘kapitalisme’ ataupun ‘ekonomi klasik’ yang merupakan rahim kepada sistem perbankan, dan kemudiannya ingin digantikan dengan alternatif dari kerangka yang sama mempunyai rasional?
Saudara Maszlee kita mungkin akan teruja jika yang dicadangkan sebagai alternatif itu adalah satu kerangka lain yang benar-benar bersumberkan epistemologi Islam. Mungkin seperti ‘micro dynamic’, ‘trust based economy’, mobilisasi sektor ketiga melalui instrument-instrumen Islam seperti wakaf, zakat dan infaq sebagai solusi industri hutang terutamanya di dalam isu pemilikan perumahan, atau apa-apa sahaja yang dilihat sebagai anti-thesis kepada kapitalisme (dalam apa wajah sekalipun). Mungkin saudara Maszlee bukannya orang yang layak untuk berbicara di dalam isu ini, namun beliau tetap menantikan sebarang ide-ide baru tersebut...
Maszlee Malik.
Durham, UK.
* Yang telah mula membaca ‘Atlas Shrugged’ oleh Ayn Rand (Many thanks to Azizul Surrey and Wan Saiful Wan Jan for the their wisdom sharing).
salam ustaz.jemput lawat blog saya. Mmg anti kapitalisme. Dan bakal saya gariskan alternatif sistem kepada kapitalisme dlm posting lain kelak.ada bnyk analisis isu semasa krisis ekonomi.
ReplyDeletesalam ustaz
ReplyDeletepandangan ustaz yg merasakan sistem ekonomi islam merupakan sistem kapitalis 'in disguise' telah digunakan sebagai modal kritikan terhadap sistem ekonomi islam.
pada pandangan saya, sistem ekonomi islam tidak (dan sepatutnya tidak) mengambil dan mencampur adukkan idea kapitalisma dan sosialisma.
ia sepatutnya (dan bagi saya sememangnya sudah) berdiri sendiri di atas hujah-hujah dan dalil-dalil yg konkrit.
contohnya 'asset backed financing' yg dirangka semata-mata kerana mengelakkan riba pada masa yang sama menggalakkan perniagaan. ini tidak bermaksud mengalakkan perniagaan itu diambil ideanya dari sistem kapitalis dan pada masa yg sama menghalang ketamakan riba diambil dari idea sosialis; lalu kita menolak terus idea-idea ini. ini seolah-olah mengatakan 'orang yahudi makan roti maka kita tidak boleh makan roti'.
pada masa yang sama saya juga sangat bersetuju dengan ustaz dalam ingin melihat 'trust based' economy. saya berpegang kepada ayat al quran dimana Allah sebut bahawa 'Allah telah memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah' 2:276. sedekah yg subur ini mungkin dimaksudkan ekonomi masyarakat yg subur
kritikan terhadap sistem perbankan Islam bukanlah kritikan terhadap sistem ekonomi islam. harap dapat bezakan antara kedua-dua benda tersebut.
ReplyDeletesdr azam, rasanya islamic finance is part of islamic economic...
ReplyDeletedan sistem ekonomi Islam sememangnya tidak mencampur adukkan kapitalis dan sosialis...
boleh baca di blog saya untuk maklumat lanjut...
http://ekonomis.wordpress.com/2008/10/21/kapitalisme-itu-apa/
sekadar berkongsi...