Asian Values dan Soi Lek
Ketika persidangan ‘World Conference on Human Rights’ pada 25 June 1993 di Vienna, Austria anjuran PBB, para perwakilan di seluruh dunia telah terbahagi kepada dua kumpulan besar. Di satu kumpulan, negara-negara barat dan pro-barat telah bersetuju untuk menerapkan konsep universaliti kepada ide hak asasi manusia, di pihak yang lain pula, kumpulan yang tidak bersetuju. Persidangan tersebut telah meluluskan ‘Vienna Declaration and Programme of Action’ atau yang lebih dikenali sebagai VDPA itu telah menyaksikan bagaimana sebilangan negara-negara Asia dan negara-negara Islam telah menentang ide tersebut yang didakwa sebagai bertentangan dengan nilai-nilai setempat mereka (Freeman, 2003: 48; Smith, 2007: 62).
Tidak lama selepas persidangan tersebut, Dr Mahathir, Lee Kwan Yew dan Goh Chok Tong mula melontarkan ide mereka mengenai nilai-nilai timur yang menghalang teori hak asasi manusia versi barat diterapkan di negara-negara Asia. ‘Asian Values’ menjadi slogan para pemimpin tersebut. Di dalam wawancara-wawancara mereka dengan mdeiadan juga di dalam tulisan-tulisan mereka, serangan terhadap falsafah liberal barat menjadi tema utama. Dr Mahathir muncul dengan ide nilai-nilai ketimuran versi Malasia yang cuba disadurkan dengan beberapa nilai Islam, manakala dua pemimpin Singapura tersebut pula sibuk menjaja nilai-nilai Kofuciunisme (Kausikan, 1993, 1997; Zakaria, 1994; Mahbubani, 1998).
MAsyarakat yang rosak, kadar jenayah yang tinggi, kebebasan keterlaluan, masyarakat berpaksikan seks, nilai kekeluargaan yang luntur dan pupus, kemalasan, peminggiran agama di dalam kehidupan dan perkauman yang melampau di barat menjadi hujah utama mengapa ide-ide hak asasi barat tidak sesuai di tanah Asia. Golongan pro-Asian Values cuba mempamerkan keluhuran budi masyarakat Asia, ketinggian akhlak, kesopanan, kesusilaan, nilai kekeluargaan, nilai kemasyarakatan dan juga nilai etika yang tinggi di dalam kehidupan mereka. Menurut Mahathir, Kuan Yew dan Goh, inilah rencah kejayaan ekonomi kedua-dua negara tersebut.
Pendekata, yang barat itu rosak, yang timur atau Asia itu bersih dan baik. Sekali lagi generalisasi telah digunakan di dalam persoalan ini. Persoalannya apakah generalisasi ini tepat?, apakah di barat itu tidak ada yang baik untuk dipelajari dan dicontohi. Apakah di timur pula tiada kelemahan yang boleh diperbaiki?, atau apakah sebenarnya motif pemimpin-pemimpin tersebut?
Hal ini telah membuatkan TPM Malaysia pada waktu itu, Anwar Ibrahim (1993) mendedahkan apakah hakikatnya Asian Values. Beliau menegaskan bahawa adalah tidak wajar sesetengah pihak mengemukakan ide ‘Asian Values’ hanya untuk menjustifikasikan tindakan autokratik mereka. Hal ini ada benarnya, para pemimpin tersebut telah cuba menyembunyikan sistem autokratik di kedua-dua negara Malaysia dan Singapura dengan alasan Asian Values. Kebebasan bersuara disempitkan, kebebasan media dan informasi begitu terhad di kedua-dua negara berkenaan. Pihak pemerintah bebas menggunakan akta draconian untuk menakutkan para rakyat. Pihak pembangkang bagaikan telah dikembirikan. Singapura diibaratkan sebagai ‘police state’, di mana segala perlakuan rakyatnya adalah berdasarkan apa yang dibenarkan oleh kerajaan sahaja. Di Malaysia pula, kerajaan menjadi begitu bermaharajalela sehingga menjadikan golongan elit begitu berkuasa menyalah guna kuasaterutamanya di dalam mengagihkan kekayaan negara. Nepotisme, patronisme, menjadi perencah utama korupsi.
Kepura-puraan para pemimpin autokratik di Asia menggunakan alasan Asian Values untuk menghalalkan tindakan mereka telah dikecam oleh Amartya Sen (1997) yang merupakan pemenang Nobel Memorial Prize in Economic Sciences bagi tahun 1998. Di dalam karyanya ‘Development as Freedom’, Sen telah mendedahkan bahawa kerajaan autokratik adalah bertentangan dengan nilai-nilai Asia yang kononnya menjadi tunjang tindakan para pemimpin tersebut. Beliau berhujahkan kata-kata Konfusis, sedutan ayat-ayat al-Quran dan hadith, hikayat Hindu tentang Asoka dan Kautilya sebagai pematah hujah para dictator yang oportunis menggunakan alasan Asian Values.
Soi Lek memenangi pemilihan timbalan presiden MCA!
Saudara Maszlee kita bukanlah ahli MCA, malah tidak layak pun, walaupun genetik cina mendominasi separuh dari susunan DNA beliau.
Apa yang memeranjatkan beliau ialah bagaimana seorang individu yang telah ternyata terlibat dalam skandal seks di kaca mata umum berjaya dipilih semula untuk menjadi orang nombor dua di dalam parti terbesar mewakili etnik cina di Malaysia?
Di manakah perginya ‘Asian Values’ di dalam hal ini?
Apakah sikap AS (yang merupakan sebahagian dari dunia barat) ketika memastikan Bill Clinton meletakkan jawatan kerana skandal seks tidak betul?
Atau apakah dunia telah terbalik?
Apakah Asian Values hanya sesuai untuk mempertahankan golongan elit yang korup dengan memastikan rakyat dibisukan sahaja?
Atau Asian Values memang sudah hilang?, dan benarlah teori ‘The End of History’ Fukuyama?
Mungkin sepupu Altantuya boleh menjawabnya bagi pihak pejuang ‘Asian Values’ versi para diktator!
Maszlee Malik
Durham, UK.
* Asian Values for Asian dictators = ‘Taat Ulil Amri’ doctrine for Muslim dictators!
No comments:
Post a Comment