Friday 8 February 2008

Perhambaan



Perhambaan

Di dalam magnum opusnya “Taba’i al-Istibdad”, al-Kawakibi ada menyebutkan: “Orang merdeka lebih mementingkan kemuliaan berbanding kehidupan, manakal hamba pula lebih mementingkan kehidupan daripada kemuliaan” (m.s. 32). Beliau telah memetik kata-kata yang disandarkan kepada Ibn Khaldun ketika memicarakan tentang kesan negatif pemrintahan diktator kepada kemuliaan hidup rakyat. Di dalam buku berkaitan sifat-sifat diktator itu, al-Kawakibi telah menyenaraikan kesan-kesan buruk pemerintahan diktator terhadap kehidupan rakyat jelata.

Amat menarik, beliu yang hidup di penghujung kurun ke-19 telah mula membicarakan tentang kepincangan politik kaum muslimin. Kaum Muslimin telah ditimpa bala apabila diperintah oleh para diktator di bumi mereka sendiri, dan dari kalangan anak bangsa mereka. Hal inilah yang menyebabkan kemunduran umat Islam dan sebab utama mereka berterusan dijajah samada dari segi fizikal mahupun pemikiran. Tidak salah pemikir kontemporari, al-Marhum Syeikh Muhammad al-Ghazali apabila membuat perbandingan di antara Mesir dan India. Beliau mengatakan, “Pada tahun 60’an kedua-dua Mesir dan India sibuk berusaha membangunkan industri jentera. Selepas beberapa tahun, India berjaya mencipta kenderaan mereka sendiri, tetapi Mesir gagal. Apakah otak Mesir berbeza dengan otak India. Tidak, kedua-duanya sama, tetapi demokrasi di Indialah yang telah menyebabkan mereka maju dan diktator di Mesirlah yang menyebabkan mereka terus mundur”.


Perhambaan secara fizikal mungkin telah berjaya dihapuskan. Deklarasi Hak Asasi Manusia 10 Disember, 1948 merupakan belantan terakhir menghapuskan sistem tersebut yang telah diharamkan melalui beberapa perjanjian dan deklarasi sebelumnya. Malangnya perhambaan pemikiran, ideologi, hegemoni, ekonomi dan budaya masih berterusan berlaku. Samada ianya berlaku di atas nama pemerintahan diktator, pemerintahan autokratik, hak asasi manusia, demokrasi, ekonomi bebas dan juga globalisasi, kesemuanya mempunyai matlamat yang sama, iaitu perhambaan sesama manusia.

Di dalam kelas thesis writing di Universiti, kami membincangkan tentang perjuangan pembebasan hamba oleh golongan Northerners di AS lewat perang saudara AS pasca Declaration of Independence. Ramai yang lebih berminat melihat situasi perhambaan di AS pada kala itu sebagai topologi kepada perbincangan. Sebagai pengkaji politik sains, saya lebih melihat kepada akar kepada isu tersebut. Samada golongan Southerners yang memperjuangkan isu pemilikan dan pentadbiran negara mereka sendiri, isu utamanya ialah kebebasan dan hak asasi.

Tema kedua-dua kumpulan tersebut ialah kebebasan dan penghapusan elemen tirani di dalam kehidupan manusia. Maka, bagi saya, topologi bagi perbincangan tersebut ialah isu “freedom” dan asal usul falsafah tersebut. Bukan AS yang sepatutnya menjadi kajian, tetapi keadaan di Eropah, perkembangan falsafah kebebasan dan hak (rights) yang berkembang di Eropah lewat Enlightenment (pencerahan) dan juga bagaimana ianya boleh menjalarkan akarnya ke AS. Peperangan saudara tersebut mempunyai dasar falsafah mereka yang tersendiri. Perbedaan pentafsiran membawa kepada perbedaan maksud. Perbedaan maksud membawa kepada perbedaan perlaksanaan, dan akhirnya membawa kepada khilaf pendekatan dan perlaksanaan.


Decleration of Independence yang didrafkan oleh ThomasJefferson di antara 11 Jun sehingga 28 Jun 1776 (dirasmikan pada 4 Julai 1776) merupakan manifestasi kepada teori kebebasan individu John Locke dan lain-lain pemikir Eropah yang membicarakan isu kebebasan dan juga hak milik seperti Mills, Hobbes, Thomas Paine dan lain-lain lagi. Walaupun kesan penulisan Paine lebih ketara (terutamanya pamplet beliau, The Common sense pada than 1775), namun ide republikan yang menjadi tunjang asas kepada pembentukan AS itu sendiri merupakan hasil adunan ide pemikir-pemikir Eropah sebelum beliau. Malah Jeffersonlah yang bertanggung jawab membawa Paine pulang ke AS untuk bersama-sama membuat draf berkenaan.

Kedua-dua pihak yang bertelagah menjadikan falsafah Jefferson sebagai paksi perjuangan mereka. Pihak Northerners menjulang prinsip “All men are created equal”, manakala golongan Southerners pula mengibarkan ideologi state’s rights yang dikemukakan oleh Jeffreson di dalam resolusi Kentucky dan Virgina. Mereka juga menghalalkan perjuangan mereka dengan the rights of revolution yang terkandung di dalam “Declaration of Independence”. Amat menarik, dari sebuah deklarasi yang bertujuan membebaskan diri dari penjajahan dan juga membawa semangat kemerdekaan, hasilnya sebuah peperangan yang meragut ribuan nyawa di kedua-dua belah pihak. Jikalaulah Jefferson masih hidup di kala peperangan saudara tersebut, pastinya beliau akan mengoyakkan deklerasi berkenaan.

Selepas beratus tahun berlalu, kini AS telah mengalami kematangan di dalam ideologi asa negara tersebut. Tiada lagi peperangan saudara, tiada lagi perhambaan dalam erti kata jual beli hamba, tiada lagi isu pemilikan tanah, tiada lagi penjajahan British ke atas bumi AS dan banyak perkara yang sudah tiada di AS. Mungkin kemaraan calon untuk presiden AS dari parti demokratik, Senator Barrack Obama yang sedang berperang dengan Senator Hillary Clinton untuk mewakili parti berkenaan juga merupakan salah satu dari hasil ideologi di dalam “perlembagaan” AS tersebut. Malangnya, jika itu hasilnya di dalam negara AS, apabila ianya bersangkutan polisi luar mereka, segalanya musnah. AS sebagai kuasa hegemoni dunia, berlagak sebagai tuan kepada hamba-hamba mereka di muka bumi yang lain. Sokongan kepada penjajahan rejim Zionis, perang Afghanistan, penjajahan Iraq dan juga kerakusan mereka menguasai sumber-sumber minyak di kawasan teluk...kesemuanya menjadikan ideologi Jefferson bagaikan tiada nilai lagi.

Bayangkan juga jika Jefferson dihidupkan semula sekarang dan menyaksikan pula penjajahan bentuk baru AS dan juga sokongan tidak berbelah bagi AS kepada penjajahan rejim Zionis Israel ke atas bumi Palestin, mungkinkah beliau akan mengisytiharkan semula deklarasi yang baru?, atau mungkin beliau akan melucutkan kewarganegaraan AS beliau ? Atau juga beliau akan mengetuai demonstrasi di hadapan Rumah Putih menentang polisi luar kerajaan AS?

Hal yang sama pernah saya selorohkan bersama seorang rakan mengenai hubungan intim kerajaan Arab Saudi dengan AS. Jikalaulah Syeikh Muhammad b Abd Wahab dihidupkan kembali dan melihat kehadiran Bush menjual USD 20 Billion senjata kepada Raja Abdullah, apakah mungkin akan berlaku revolusi kedua di negara tersebut? Apakah mungkin beliau juga akan memperjuangkan isu hak umat yang dibazirkan oleh pemerintah monarki Saudi?, atau beliau sendiri akan dihukum sebagai “Bugha” oleh ulama kerajaan di sana lantas dipenjarakan sepertimana Syeikh Salman ‘Audah dan juga Syeikh Safar al-Hawali suatu waktu dahulu?

No comments:

Post a Comment