Friday 29 February 2008

Jamie's School Dinner



Jamie’s School Dinner

Bagi mereka yang bermastautin di UK, nama Jamie Oliver bukanlah asing. Maaf, bagi para peminat masakan dan makanan yang bermastautin di UK. Bukan semua orang mengenali Jamie Oliver “the naked chef”. Mungkin di kalangan warga under grad dan juga kebanyakan orang-orang lelaki post grad, nama Bekham lebih melekat di kotak pemikiran masing-masing. Jamie Oliver (33 tahun) adalah chef selebriti di UK, lagak Chef Wan suatu waktu dahulu di Malaysia. Selain daripada rancangan memasak beliau “the naked chef” yang popular pada tahun1998-1999, buku-buku memasak dan juga kehidupan serba glamor, terdapat nilai tambahan pada beliau yang perlu dikongsikan bersama rakyat Malaysia.

Beliau bukanlah seorang yang sangat istimewa. Malah pengidap sakit dyslexia ini tidak menghabiskan sessi persekolahannya kerana tidak dapat mengikuti pembelajaran secara normal. Beliau membesar di dapur pub milik kedua ibu bapanya di Essex, UK. Beliau juga pada asalnya hanyalah tukang masak di dapur “The Neal Street Restaurant” di London, sehinggalah produser Patricia Llewellyn menemuinya di restoran berkenaan. Akhirnya beliau dipilih oleh Patricia untuk menjadi tukang masak rancangan memasak beliau yang baru. Rancangan tersebut yang dinamakan sebagai “the naked chef” telah menaikkan nama Oliver. Ianya bukanlah rancangan lucah, malah tiada sesiapa pun yang telanjang di dalam rancangan tersebut. Bak kata Oliver, yang “naked” itu adalah makanan dan bukan tukang masak. Mungkin anda boleh terbayangkan kartun animasi Walt Disney, Rattatouille, untuk menggambarkan kehidupan awal Oliver.

Apa yang menarik mengenai Oliver ialah sumbangan beliau terhadap masyarakat. Beliau bukanlah seorang aktivis hak asasi manusia ataupun enviromentalis, tetapi idea yang beliau bawa telah berjaya membawa perubahan besar di dalam kehidupan masyarakat UK. Antara projek kemasyarakatan yang beliau mulakan ialah melatih anak-anak muda yang ketinggalan pelajaran dan tidak berkemampuan untuk belajar memasak. Beliau juga telah berjaya menubuhkan restoran kebajikan yang dinamakan sebagai “Fifteen restaurant”untuk melatih mereka di samping memberikan ruang keuntungan dari restoran untuk tujuan kebajikan. Pada permulaannya beliau telah melatih seramai 15 anak-anak muda tersebut.Kini kesemua 15 anak muda itu telah berjaya menjadi chef di dalam industri kebajikan. Rangkaian restoran “Fifteen” kini mempunyai cawangan di serata dunia. Sebagai habuannya, beliau telah menerima anugerah berprestij di UK, iaitu “Beacon Fellowship” pada tahun 2005.

Sumbangan beliau yang terbesar sekali kepada rakyat UK adalah kempen “Jamie’s School Dinner” pada tahun 2006. Beliau menjadi jelek melihat kualiti makanan yang disajikan kepada kanak-kanak di sekolah. Makanan yang diberikan sewaktu dinner (waktu rehat untuk makan tengah hari) tidak berkualiti dan tidak membantu pembesaran minda kanak-kanak sekolah. Sebagai tindakan pro-aktif, beliau telah melancarkan kempen agar kanak-kanak di sekolah-sekolah UK hanya diberikan makanan yang berkhasiat dari sayur-sayuran segar, buah-buahan berkhasiat dan lain-lain makanan yang berkualiti. Bersama seorang dinner lady dari Breenwich, Nora Sander, beliau telah berjaya mendapatkan tandatangan lebih 300,000 ibu bapa untuk kempen tersebut. Beliau juga telah berjaya menemui Tony Blair selaku PM di Britain pada waktu itu untuk menjayakan kempennya.

Hasil daripada kempen yang mendapat liputan meluas media di UK, akhirnya Tony Blair meluluskan peruntukan sebanyak £280 juta sebagai bantuan kepada sekolah-sekolah di seluruh UK agar membekalkan makanan yang berkhasiat kepada kanak-kanak sekolah. Kerajaan UK juga telah menyediakan panduan bagi sekolah-sekolah berhubung kualiti makanan yang dibenarkan untuk sajian kanak-kanak sekolah. Sehingga kini kempen beliau masih lagi berjalan untuk memastikan perlaksanaan polisi tersebut benar-benar dilaksanakan. Maklumat lanjut mengenai kempen tersebut boleh didapati di : (http://www.channel4.com/life/microsites/J/jamies_school_dinners/).

Mungkin banyak yang boleh kita pelajari dari usaha kemasyarakatan Jamie. Di Malaysia kita mempunyai ramai selebriti. Samada selebriti hiburan, politik, sukan, masakan, agama dan lain-lain lagi. Malangnya sejauhmana mereka menyumbangkan ide ke arah perubahan?, atau kedudukan yang ada hanyalah diusahakan untuk menjana kepentingan peribadi semata-mata. Kadangkala persoalan pembacaan, tahap intelektual dan keterbukaan fikiran juga memainkan peranan. Sejauhmana mereka ingin meluangkan waktu untuk memikirkan persoalan masyarakat. Sejauhmana mereka peduli terhadap rakyat . Sejauhmana juga mereka mempunyai kesedaran untuk memikirkan bahawa perkembangan intelektual kanak-kanak amat berkaitan dengan makanan, bahan bacaaan, enviromen di sekolah dan juga persekitaran di rumah?

Di Malaysia, malang sekali,usaha-usaha kesedaran berkaitan masyarakat sering dibebankan pada bahu kerajaan semata-mata. Pihak birokrasi pula seringkali tidak kreatif dan ketandusan ide-ide berbentuk RnD. Jika ada pun badan-badan masyarakat sivil yang berperanan, maka ianya hanyalah CAP dan Persatuan Pengguna semata-mata. Jika ada pun badan-badan Islam yang peka, mereka hanya risaukan persoalan halal dan haram pada ubat gigi, makanan dan kosmetik semata-mata. Mengharapkan para ulama jauh sekali, mungkin fatwa-fatwa mereka adalah untuk kehidupan ruang spiritual semata-mata. Para artis dan selebriti?, maaf, mungkin persoalan baju dan mekap lebih utama untuk mereka fikirkan. Jika ada yang berminat untuk masuk ke sekolah pun, itu hanya untuk memberikan ceramah motivasi yang akan memberikan imbuhan yang lumayan.

Di dalam membincangkan persoalan pemakanan dan kebajikan kanak-kanak sekolah, saya teringatkan pengalaman bersekolah di sekolah agama rakyat pada awal tahun 1990. Bukan sekadar makanan tidak berkhasiat, malah kualiti kehidupan dan persekitaran juga amat menyedihkan. Apatah lagi nasib sekolah-sekolah Tamil di estet-estet, dan juga sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina di kampung-kampung. Nampaknya para ilmuwan kita di UK harus memikirkan sesuatu untuk membalas jasa rakyat. Jikalaulah rakyat telah rela memberikan ratusan ribu duit untuk para ilmuwan dihantar belajar ke luar negara, mungkin telah sampai masanya mereka memikirkan sesuatu yang terbaik untuk masyarakat juga. Mengapa tidak mencontohi Jamie Oliver?

1 comment:

  1. Tak sangka seorang tukang masak pun boleh memberi sumbangan kepada masyarakat. Saya harap kisah Jamie Oliver ni boleh jadi pembakar semangat untuk kita semua,harap-harap lepas ni orang macam Chef Wan/Chef Ismail boleh ikut macam Jamie.

    ReplyDelete