Saturday, 1 March 2008

Dinasti Politik di Malaysia


Dinasti Politik di Malaysia

PRU 12 yang sedang berlangsung di Malaysia kini sedang menyaksikan fenomena yang agak menarik. Antara yang menarik ialah penampilan ramai muka anak-anak muda. Antara fenomena yang menarik juga ialah penerusan dinasti politik, samada di pihak parti BN dan juga parti-parti lain seperti PKR, DAP dan PAS. Khairy, menantu Pak Lah, Mukhriz anak Mahathir, Nurul Izzah anak Anwar Ibrahim, Wan Azizah isteri Anwar, Lim Guan Eng anak Lim Kit Siang, Gobind Deo Singh anak Karpal Singh, Hishamudin anak Hussein Onn, Najib anak Tun Razak, Mujahid anak Yusuf Rawa, Aziz adik Kadir Syeikh Fadzir, Ismail Kassim adik Shahidan Kassim dan lain-lain lagi.


Khairy / Pak Lah


Izzah / Anwar

Lim Kit Siang dan Guan Eng

Dinasti politik bukanlah sesuatu yang baru. Jones (2005) telah menyentuh perkara ini ketika membicarakan tentang persepsi pengundi terhadap politik dinasti di Amerika Syarikat (AS). Dinasti Bush, dinasti Kennedy, dinasti Clinton, dinasti Simons, dinasti Gores, dinasti Rockefellers, dinsati Roosevelts adalah di antara dinasti politik di AS. Nathan (1998) pula berpendapat bahawa peluang calon-calon dari dinasti politik lebih cerah untuk dipilih oleh para pengundi kerana kredebiliti orang sebelum mereka. Beliau menyifatkan calon-calon dari dinasti politik secara automatik akan memenangi undi percuma dari penyokong setia keluarga mereka. Berbanding muka-muka segar yang terpaksa meniti tangga politik dan berusaha lebih gigih untuk menaikkan diri, calon-calon dari dinasti politik tidak memerlukan usaha sedemikian.

Bukan hanya di AS, malah di negara-negara Arab, fenomena dinasti politik bukanlah sesuatu yang asing. Usah dikira negara-negara yang bernaung di bawah sistem monarki seperti negara-negara teluk, malah negara-negara yang bernaung di bawah sistem sosialis pun turut mengamalkan perwarisan kuasa kepada dinasti politik. Bashar mengganti Hafiz al-Assad di Syria, Jamal bakal menggantikan bapanya Husni Mubarak di Mesir, Sayful Islam sedang menanti-nantikan detik beliau mewarisi kekuasaan bapanya, Muammar Ghadaffi di Libya, Saad Hariri mengantikan bapanya Rafiq (almarhum) di Lubnan, Uday dan Qusay (almarhum) juga telah diberikan kedudukan istimewa di Iraq oleh bapa mereka Saddam Hussein (almarhum) di zaman kegemilangan beliau. Malah, di negara komunis Cuba pun persoalan dinasti politik tidak dapat dielakkan. Lihatlah bagaimana Raul telah dipilih menggantikan abangnya, Fidel Castro sebagai orang nombor satu di Cuba.


Saad / Rafiq

Persoalan yang boleh dibincangkan ialah sejauhmana kredibiliti calon-calon dinasti politik ini benar-benar mempunyai kualiti kepimpinan. Persoalan lain juga ialah sejuahmana calon-calon dari dinasti politik yang kebanyakannya dari keluarga yang mewah ini benar-benar menghayati aspirasi rakyat dan orang bawahan. Selain daripada kurangnya pengalaman mereka meniti anak tangga politik dari bawah, calon-calon dinasti politik kebanyakkannya lebih dilihat sebagai menumpang tuah. Mungkin alasan ini disangkal secara keras oleh Hilary Clinton yang sering menuduh lawannya untuk calon presiden parti Demokrat, Barack Obama sebagai tidak berpengalaman. Beliau mendakwa pengalamannya sebagai “first lady” (wanita pertama) AS di zaman suaminya Bill menjadi presiden adalah aset paling utama kepada rakyat AS untuk memilih beliau sebagai presiden AS.

Mungkin Khalifah Omar dan Khalifah Ali (munurut versi Sunni) yang enggan keluarga mereka dilantik sebagai pengganti mempunyai hikmah yang tersendiri. Walaupun tiada dalil yang melarang, tetapi mereka mempunyai alasan yang tersendiri untuk tidak membenarkan dinasti al-Khattab dan dinasti Ali mendominasi suasana politik umat Islam. Tidak hairanlah mengapa al-Hassan tidak mahu meneruskan karier politiknya dan terus menyerahkannya kepada Muawiyah. Mungkin Hassan lebih memahami hikmah yang diketahui oleh bapanya. Malangnya, Muawiyah pula tidak dapat menyelami hikmah tersebut lantas memulakan sistem monarki di dalam jasad politik umat Islam. Walaupun Ibn Khaldun di dalam al-Mukaddimah menjustifikasikan tindakan beliau dengan alasan “kepentingan Assabiyah (pengaruh)” di dalam politik, namun ruang perdebatan mengenai perkara itu masih lagi terbuka luas.

Sikap MB Kelantan, Dato Seri Nik Aziz mungkin nampak lebih berprinsip di dalam hal ini (Bernama, 14/2/2008). Keputusan tegas beliau agar anaknya Nik Abduh tidak dicalonkan merupakan sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana ahli politik di Malaysia. Walaupun anak beliau terkenal sebagai aktivis parti PAS dan juga mempunyai kredibiliti untuk menjadi pemimpin, namun sikap berprinsip Nik Aziz menyebabkan beliau mengambil keputusan tersebut. Mungkin sikap beliau ini patut dicontohi oleh sesetengah pemimpin yang pandai berkata tetapi tidak mengotakan apa yang mereka katakan. Agak ironik, pada suatu masa dahulu mereka yang menempelak sikap kronisme, nepotisme dan juga dinasti politik, akhirnya melakukan perkara yang lebih kurang sama dengan apa yang mereka tempelak. Akhirnya urusan politik parti menjadi urusan keluarga sendiri apabila anak, isteri dan juga kuncu-kuncu yang rapat diberikan kuasa dan pengaruh.

Mungkinkah pengaruh feudalisme di dalam kehidupan masyarakat Malaysia masih lagi menebal?

Atau, politikus kita banyak belajar dari Lee Kuan Yew?

10 comments:

  1. salam,

    ".....Keputusan tegas beliau agar anaknya Nik Abduh tidak dicalonkan merupakan sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana ahli politik di Malaysia."

    bagaimana pula dengan mahathir yg. tidak memberi ruang kepada mukhriz untuk bergiat cergas dalam politik dizaman pemerintahannya?

    ReplyDelete
  2. Walaupun Mukhriz tak aktif politik, tapi perniagaan yang berkait dgn krajaan byk... antara laungan2 reformasi yang membuatkan mahathir berundur adalah kronisma...

    ReplyDelete
  3. assalamualaikum
    boleh saya tahu pendirian ustaz dalam politik tanah air memandangkan JIM tak ada suara dalam parlimen namun politik amat penting utk menyuarakan hak rakyat.apa pandangan ust ye?

    ReplyDelete
  4. dari saya yang lemah (tak belajar tinggi heheh) ni ustaz, sebab muawiyah memperkenalkan sistem monarki ialah untuk mengelakkan berlakunya pembunuhan khalifah-khalifah kerana perebutan kuasa. wallahu a'lam.

    ReplyDelete
  5. Sai,

    Kita tidak mempertikaikan apakah niat Muawiyah.Namun jika nak elakkan pertumpahan darah adalah sebab monarki diprkenalkan, maka ianya silap.

    Sejarah menjadi saksi lebih banyak pertumpahan darah adalah disebabkan perlantikan Yazid. Hussein, Abdullah b Zubair dan ramai lagi sahabat2 yang telah terkorban di zamannya.

    Sebab utama pada pandangan ustaz ialah pengaruh persekitaran. Sistem monarki merupakan sistem yang unggul dan diterima pakai pada waktu tersebut di seluruh dunia. Maka berdasarkan ijtihad Muawiyah, beliau merasakan itulah yang terbaik untuk umat Islam.

    Apapun yang telah berlaku,kesemuanya menjadi pelajaran bagi kita umat yang terkemudian. Cuba melihat sejarah dari aspek yang analitikal, dan corakkan masa depan dengan langkah yang kritikal.

    ReplyDelete
  6. Jannahani,

    Politik tanah air tidak boleh disempitkan kepada sistem parlimen ala Westminster kita sahaja.

    Apabila ruang umum (public sphere) telah mencapah disebabkan oleh revolusi maklumat, maka ruang politik menjadi lebih terbuka.

    Penglibatan politik tidak terhad juga kepada politik kepartian. Politik kepartian hanyalah juzuk daripada tubuh politik yang lebih besar. Ruang-ruang politik warga (citizen politic) melalui penglibatan masyarakat sivil (civil society) masih banyak dan belum benar-benar diterokai di Malaysia.

    Insha Allah selaras dengan perkembangan teknologi komunikasi dan juga perkembangan intelektual rakyat Malaysia, politik warga akan menjadi lebih berperanan di masa depan nanti.

    Jangan lupa, bloggers juga merupakan aktor politik yang agak pro-aktif sekarang ini!

    ReplyDelete
  7. Saya kira kuasa adalah aspek yg paling penting dalam pemerintahan apatah lagi mengambil kira politik dalam konteks yg lebih luas di mana kuasa adalah ultimate dari pentarbiyyahan di segala peringkat.

    Menelusuri seerah di mana pengebumian pernah diletakkan sebagai aspek kedua dgn menyegerakan dahulu hal penggantian khalifah.Apabila politik mencapah dalam ruang lingkup yg lebih luas,saya kira politik warga berjalan seiring dgn politik dalam organisasi dgn mempunyai suara menyatakan kebenaran apabila hukum Islam tdk di'implement'.

    Dakwah bottom up tetap diperlukan dalam masa yg sama.Tidak ada salah satu yg mesti ditinggalkan,maka saya pegang kepentingan berpolitik utk memegang kuasa adalah yg paling utama.

    ReplyDelete
  8. Jannahani,

    Politik itu adalah mengenai kuasa. Tiada siapa menafikan. Malah politik warga pun adalah berkaitan dengan kuasa juga.

    Cuma persoalan yang patut difikirkan apakah keterlibatan politik itu hanya terhad kepada politik kepartian semata-mata?

    Saya kira Jannahani seperti kebanyakan rakyat Malaysia yang lain masih tersilap di antara politik kepartian dengan maksud politik yang sebenar.

    Mengenai peristiwa perlantikan Abu Bakar sejurus kematian Rasulullah SAW tiada kaitan epistemologinya dengan politik kepartian.

    Nasihat saya agar Jannahani luaskan sikit pembacaan mengenai politik. Jangan hadkan diri kepada bahan2 politik yang ditulis oleh ISlamis semata-mata, terutamanya yang berbahasa Melayu sahaja.

    Alang-alang hendak berpolitik biar benar-benar memahami apakah itu politik.

    ReplyDelete
  9. Artikel klu masuk surat khabar bagus ni, sebab ramai yg kurang perasan tentang fenomena ni.Jazakumullah!

    ReplyDelete
  10. Maaf,saya tak 'follow' pula ulasan ust.Harini berkesempatan dapat membaca laman ini lagi,alhamdulillah.Saya tak menafikan politik warga seperti kata ust, malahan saya sebutkan ia berjalan seiring dgn kepentingan utk memegang kuasa.Tiada salah satu yg ditinggalkan.Berdasarkan ilmu yg saya pelajari,politik/siasah merangkumi makna yg amat luas.Bermula dari sekecil-kecil politik diri iaitu bagaimana mentadbir atau menguruskan diri setiap hari hinggalah mencakupi aspek pembinaan daulah dan negara.
    Politik atau Siasah bermaksud memerintah, mentadbir atau memimpin. Politik adalah suatu ketetapan Allah menjadi keperluan semula jadi makhluk hidup yang bermasyarakat termasuklah binatang yang bermasyarakat seperti lebah dan semut. (Islam & Demokrasi, halaman 5)

    Banyak hukum-hukum Islam yang disyaratkan pelaksanaannya dengan mendirikan kerajaan yang bersifat politik seperti hukum-hukum menyeru kebaikan dan melarang perbuatan jahat, mengawasi kehidupan manusia seperti berniaga, bertani, memiliki tanah, pelaksanaan undang-undang jenayah dan lain-lain. Maka sarjana Islam menetapkan kaedah yang terkenal iaitu; “Apa-apa perkara yang tidak sempurna perkara yang wajib melainkan dengannya maka ia juga wajib.” (Islam & Demokrasi, halaman 7)

    Umat Islam kini amat tandus akhlaq dan tak dinafikan ramai yg goyah aqidah.Apabila kejatuhan khalifah yg telah berusia 84 tahun kini,krisis politik adalah soal genting.Saya teringat pengislaman sultan semasa kesultanan melayu melaka,apabila sultan memeluk Islam maka rata-rata rakyat turut memeluk Islam.Demikian kuasa memberikan kesan 'massive' di samping pelaksanaan dakwah dari segala aspek dgn terbentuknya kuasa di peringkat kepimpinan.Demikian juga berbondong-bondong orang memeluk Islam apabila terbentuknya siasah perlembagaan negara Islam Madinah.Dan saya tidak hadkan pemahaman saya kepada politik kepartian,dengan itu saya memegang sangat pentingnya memegang tampuk kuasa kerana haq Allah adalah matlamat tertinggi utk ditegakkan semula.Dan dengan jalan kuasa adalah jalan yg paling realistik dengan tidak meninggalkan dakwah di peringat akar umbi juga.

    Sekiranya saya menghadkan pemahaman saya kepada politik kepartian,boleh jadi saya dikira taksub pula.Jika sudah terlaksana sepenuhnya Islam di tanah air tercinta,tidak ada keperluan lagi utk saya mendokong perjuangan qiyadi yg mahu Islam terlaksana sepenuhnya.Wallahualam.

    ReplyDelete