Wednesday 6 February 2008

Belajar Ketelusan Berpolitik Dari UK



Mempelajari Erti Ketelusan Berpolitik di UK


Sambutan tahun baru 2008 menyaksikan kerancakan politik UK. Jika tirai 2007 yang telah melabuh menyaksikan parti buruh (Labour) pimpinan PM Gordon Brown dikejutkan dengan isu derma, kini parti konservatif dikejutkan pula dengan isu kronisme Derek Conway. Parti buruh masih lagi disiasat lewat isu derma sejumlah £ 630,000 oleh peniaga berbangsa Yahudi dari New Castle, David Abrahams. Undang-undang UK melarang mana-mana parti politik menerima derma dari pihak ketiga kerana ianya akan menimbulkan suasana syak wasangka dan juga pertelingkahan kepentingan.

Bayangkan jika mana-mana pihak membiayai sesuatu parti politik, dan parti tersebut memenangi pilihanraya umum dan membentuk kerajaan. Bukankah nanti parti berkenaan akan terhutang budi kepada individu berkenaan, dan akan memberikan imbuhan ataupun menurut kata individu yang telah menderma tersebut. Persoalan yang timbul, kepada siapakah parti tersebut akan berkhidmat?, apakah kepada rakyat, ataupun kepada penaja mereka?

Bagaimana pula jika parti tersebut akan meluluskan polisi berkaitan negara yang bertentangan dengan kepentingan individu yang telah menderma?,lebih mengeruhkan keadaan, jika si penderma tadi seorang kapitalis yang mempunyai kepentingan ke atas perniagaannya. Maka apakah parti tersebut akan mendahulukan kepentingan awam ataupun kepentingan si penderma?

Di situlah terletaknya ketelusan dan unsur akauntabiliti. Maka, UK yang menegakkan konsep good governance berteraskan akauntabiliti dan ketelusan mempunyai undang-undang untuk memastikan prinsip-prinsip tersebut akan terus dijaga. Undang-undang yang diperkenalkan oleh kerajaan parti buruh selepas mereka memanangi pilihanraya umum pada tahun 1997.

Derek Conway pula sedang menjadi perhatian di seluruh UK kerana tindakan beliau melantik anaknya berkerja untuk beliau dengan bayaran lebi £ 11,773 setahun beserta bonus £10,000 pada September 2005 dan Mei 2007. Isu yang timbul bukanlah kerana anaknya bekerja, tetapi isu ketelusan. Remaja yang masih menuntut di Universiti New Castle itu telah diambil menjadi pegawai penyelidik (research asisstant) tanpa ada sebarang bukti kerja-kerja yang dilakukan. Hal ini mengundang kemarahan ahli parlimen dan rakyat yang melihat bahawa elaun tersebut merupakan tindakan salah guna wang pembayar cukai.

Ahli parlimen dari parti konservatif itu melahirkan kekesalan dan berikrar tidak akan bertanding di dalam pilihanraya akan datang sebagai balasan keapda kecuaiannya. Di pihak House of Common pula, beliau telah dikenakan tindakan dengan digantung selama 10 hari daripada dewan berkenaan. Tindakan ini amat profesional. Walaupun beliau merupakan mantan ketua whip kerajaan konservatif di House of Common, namun undang-undang tidak memilih bulu. Konsep “Rule of Law” menjadi tonggak kepada sistem pemerintahan di UK.

Kesan daripada kes Conway, siasatan menyeluruh dikenakan ke atas semua ahli parlimen di atas perbelanjaan mereka. David Cameron, ketua parti konservatif, sekaligus ketua pembangkang di House of Common mencadangkan agar elaun kepada para ahli parlimen dikurangkan dan gaji mereka dinaikkan demi mengelakkan sebarang penyalah gunaan elaun oleh mereka di masa hadapan.


Derek Conway

Seperkara yang menarik, akhbar The Independent telah berjaya mengeluarkan laporan mengenai kebanyakan ahli parlimen di UK mengambil pasangan mereka bekerja sebagai setiausaha di pejabat. Hal tersebut dilakukan demi menjaga keharmonian rumah tangga. Langkah tersebut sememangnya berkesan. Kebanyakan ahli parlimen yang mempunyai pasangan masing-masing sebagai setiausaha di pejabat mempunyai hayat perkahwinan yang lebih lama berbanding dengan kebanyakan ahli parlimen yang mengalami masalah rumahtangga.

Persoalan yang timbul di sini bukanlah isu siapa yang bekerja dengan siapa. Bukan juga isu anak atau isteri ataupun kaum kerabat yang diambil bekerja, isunya ialah penyalah gunaan elaun yang diberikan. Conway tidak dapat membuktikan kerja-kerja yang telah dilakukan oleh anaknya yang merupakan seorang pelajar univeristi sahaj sewaktu diambil bekerja. Tanpa laporan yang memuaskan, tindakan beliau hanya mengundang keraguan dan membuka ruang kepada penyalah gunaan kuasa dan harta rakyat.

Apa yang berlaku di UK ini bertepatan dengan apa yang pernah diperkatakan oleh Abdul rahman al-Kawakibi (mati 1903 Masihi) lebih 100 tahun yang lalu. Di dalam karya agungnya, “Tabai’ al-Istibdad” (Tradisi diktator), beliau telah menegaskan bahawa ruh kepada pemerintahan Islam ialah “akauntabiliti”. Beliau telah memuji kerajaan Great Britain di zamannya yang mempunyai sistem akauntabiliti yang menyerupai zaman awal Islam. Malang sekali di negara-negara Islam sistem akauntabiliti dan juga perlaksanaannya amat lemah. Keadaan inilah yang menyuburkan diktatorisme yang membawa kepada kemunduran umat Islam, semenjak zaman dulu sehingga kini.


Abdul Rahman al-Kawakibi

Para pemimpin di negara-negara Islam merasakan bahawa mereka adalah tuan dan pemilik mutlak negara dan harta rakyat. Mereka tidak merasakan bahawa kekuasaaan yang mereka miliki adalah amanah yang telah diberikan oleh rakyat. Mereka tidak merasakan bahawa mereka adalah hamba kepada rakyat. Mereka juga terlupa bahawa mereka akan berdiri di hadapan Allah di padang Mahsyar dan akan dipersoalkan mengenai amanah yang telah diebrikan kepada mereka untuk dilaksanakan. Lebih malang, apabila para pemimpin hanya melihat keada kewajipan rakyat untuk taat dan patuh kepada mereka, tanpa menyedari bahawa suruhan ketaatan itu beserta dengan kewajipan rakyat untuk melaksanakan akauntabiliti. Mereka juga terlupa bahawa ketaatan rakyat itu ada harganya, iaitu kewajipan para pemimpin menjaga kepentingan rakyat dan mendahulukannya berbanding kepentingan dirinya sendiri.

Amat malang lagi konsep “Good Governance” di kebanyakan negara-negara Islam amat kabur. Sudahlah kebanyakan negara-negara Islam menduduki tangga terbawah di dalam mana-mana indeks good governance, lebih memalukan lagi, negara-negara tersebut hanya menduduki tangga teratas di dalam indeks “corruption”, pencabulan hak asasi manusia dan juga rasuah. Lebih mendukacitakan apabila konsep demokrasi yang kononnya dilaksanakan di negara-negara Islam hanyalah berkaitan dengan pilihanraya sahaja. Maka apabila telah diadakan pilihanraya, walaupun penuh dengan kekotoran dan penipuan, setiap negara mendakwa mereka mengamalkan demokrasi. Pilihanraya hanyalah sebahagian dari juzuk prinsip demokrasi, walhal akauntabiliti, rule of law dan juga ketelusanlah yang merupakan sine qua non kepada sistem berkenaan.

Lebih malang lagi, ada negara yang hendak lari dari konsep akauntabiliti, ketelusan dan juga rule of law menjadikan slogan demokrasi bukanlah sistem yang sesuai dengan umat Islam sebagai alasan. Maka suburlah diktatorisme di negara-negara berkenaan di atas nama Islam. Para ulama yang naif tentang hakikat demokrasi dan sistem good governance pun dengan bangganya mempertahankan para diktator tersebut di atas alasan “wahyu Tuhan”. Hasilnya, umat Islam terus menjadi mangsa dan terus mundur.

Apabila meneliti konsep-konsep good governance yang dicanangkan oleh barat, kita akan merasakan bahawa, keadilan Islam jelas terserlah di dalam konsep-konsep tersebut. Malangnya, konsep-konsep berkenaan terlalu kabur dan terlalu sukar ditemui di negara-negara umat Islam sendiri...

Hal ini menarik minat saya untuk meneliti kata-kata Ibn Taimiyah (mati 728H), “Pemerintah kafir yang adil lebih baik daripada pemerintah Muslim yang zalim!”.

* Untuk melihat maklumat lengkap mengenai Conway dan juga perbelanjaan serta elaun beliau, lawati laman:

http://www.theyworkforyou.com/mp/derek_conway/old_bexley_and_sidcup

No comments:

Post a Comment