Saturday, 2 February 2008

Islam Itu Mudah!!!


Mudahnya Islam!

Di dalam bab ke-14 buku Riyadh al-Salihin, Imam al-Nawawi telah menamakan tajuk bab tersebut sebagai “al-Iqtisaad fi al-‘Ibadaat”. Tajuk tersebut membawa makna “bersederhana di dalam beribadat”. Beliau telah memulakan perbincangan bab tersebut seperti kebiasaannya dengan membawa dua potong ayat al-Quran (Taha: ayat 1&2; al-Baqarah: ayat 185). Kemudiannya, beliau membawa hadis-hadis yang berkaitan dengan makna kesederhanaan Islam di dalam beribadat.

Menariknya, kebanyakan hadis-hadis yang majoritinya dipetik dari al-Bukhari dan Muslim adalah berkisar tentang arahan Rasulullah SAW kepada para sahabat agar tidak melampau-lampau di dalam beribadat. Samada ianya berbentuk larangan, suruhan mahupun pengiktirafan kepada apa-apa perbuatan sahabat yang berkaitan dengan konsep bersederhana di dalam beribadat. Sebagai contohnya hadis rowayat Aisyah mengenai tiga orang sahabat di mana di antara mereka ada yang enggan tidur dan hanya ingin bertahajjud, ada pula yang ingin berpuasa tanpa berbuka, dan ada pula yang tidak mahu bernikah. Kemudiannya Rasulullah SAW menegur mereka dan menyatakan itu bukanlah sunnah baginda.

Begitu juga hadis mengenai anjuran Rasulullah SAW kepada Hanzalah dan Abu Bakar agar tidak ekstrim dan menunaikan hak keluarga, isteri dan tubuh badan. Banyak lagi hadis-hadis lain yang membawa erti seumpama itu. Kesimpulannya, bagi sesiapa yang menyelusuri bab tersebut, mereka akan dapat melihat konsepkesederhanaan di dalam Islam. Jelaslah seperti yang Allah SWt tekankan di dalam surah al-Baqarah ayat 185, Allah inginkan kemudahan bagi kita dan tidak mahukan kepayahan kepada kita.

Ayat-ayat dan hadis-hadis di dalam bab tersebut hanyalah secebis dari kesederhanaan Islam, agama fitrah. Jika dilihat secara menyeluruh, Syariat Islam itu sendiri merupakan sesuatu yang fitrah dan realistik. Tidak ada ibadat di dalam Islam yang sukar dilakukan oleh manusia biasa. Tiada ibadah di dalam Islam yang khusus untuk segolongan dan tidak dapat diamalkan oleh sebilangan besar yang lain. Islam juga tidak mempunyai ibadat mahupun ritual yang menyakitkan, menyukarkan dan membebankan penganutnya. Jika ada yang menyikapi Islam sebagai payah dan sukar, ternyata iman belum benar-benar bersemadi di dalam dadanya.

Jika dilihat lebih mendalam lagi, tiada istilah pembaziran di dalam ibadat-ibadat yang disyariatkan. Tiada ibadat yang memaksa agar umat Islam melukakan atau menyiksa diri sendiri. Tiada juga ibadat di dalam Islam yang memaksa umatnya membazir tanpa tujuan. Tiada colok yang perlu dibakar, tiada kertas yang perlu dibakar, tiada makanan yang perlu dibazirkan untuk tuhan, tiada apa-apa yang perlu dipersembahkan untuk tuhan jika ingin beribadat. Begitu juga Islam tidak memaksa umatnya agar dikasi ataupun menghindari perkahwinan semata-mata untuk mendekatkan diri kepada tuhan. Lebih terkejut, bersama dengan isteri, ataupun si isteri bersama dengan suami pun akan diberikan pahala!

Islam juga tidak anti ilmu. Islam tidak anti perubahan dan kemajuan. Islam juga tidak menggalakkan taklid buta dan memperhambakan diri sesama manusia di atas nama agama.Tiada kekuasaan golongan agama seperti kekuasaan gereja di zaman kegelapan Eropah. Islam juga tidak menjadikan kefahaman agama dalam bentuk yang sempit hanya kepada persoalan mistik dan tahyul. Islam agama rasional dan ilmu. Malangnya, umat Islam sahaja yang kadang-kadang bersikap skeptik, jumud dan juga tidak rasional di dalam beragama. Lebih malang apabila tiada dokotomi di antara agama dan adat tradisional, sehinggakan agama akan menjadi begitu lucu, khurafat dan bahan lawak jenaka. Kejahilan umat dan juga kelesuan ulama. Lebih malang apabila agama dijadikan alat para tirani untuk menjustifikasikan kezaliman mereka, maka Islam akan sentiasa dilihat sebagai anti-tesis.


Kesederhanaan Islam ini walau bagaimanapun akan menjadi hilang dan kabur dek kejahilan umat dan kesesatan sesetengah penganutnya. Hal inilah yang menjadi realiti kepada nasib Islam pada hari ini. Pengamalan yang bukan dari ajaran Rasulullah SAW ditonjolkan sehinggkan Islam menjadi begitu hina dan pelik. Lebih malang lagi jika pengamalan tersebut menyerupai amalan kaum kufar dan penyembah berhala. Hal inilah yang melata di negara-negara Islam. Sehinggakan penganut Islam dilihat sebagai tiada beza dengan penganut agama Hindu, Buddha dan juga golongan Animisme.

Menjelang 10 Muharram sehinggalah di hari saya menulis ini (hampir dua minggu), stesen-stesen telivisyen milik kaum Syiah di Iran, Iraq dan Lubnan masih lagi menayangkan ritual berkaitan peristiwa Karbala. Nyanyian, ratapan, tangisan, jeritan, acara melukakan diri, mengetuk diri, menyakitkan diri dan juga pelbagaian ritual yang tidak pernah diajarkan oleh Rasulullah SAW menjadi acara harian. Dari yang berserban, sehinggalah kepada mereka yang berada di jalanan, kaum Syiah menyakitkan diri demi memperingati kematian cucu Nabi Muhammad SAW. Jika dilihat sekali lalu, tiada bezanya dengan acara Thaipusam di Batu Caves.

Di Iraq, acara menyakitkan diri dan perarakan memukul diri kini telah menjadi upacara besar-besaran di atas restu penjajah Amerika Syarikat. AS yang datang menjajah Iraq telah memberikan ruang seluas-luasnya kepada kaum Syiah di Iraq untuk berkuasa dan menyebarkan ajaran Syiah mereka. Kaum Syiah yang merupakan rakan karib penjajah AS di bumi Iraq juga dibenarkan mempunyai stesen televisyen Satelit mereka dengan banyak sekali. Acara Ashura ataupun Karbala disambut dengan semeriah mungkin di seluruh Iraq. Pemandangan yang tidak pernah dilihat di zaman Saddam. Di Arab Saudi pula, kaum Syiah telah disokong oleh AS dan pertubuhan hak asasi kemanusiaan untuk memaksa kerajaan Saudi membenarkan upacara Karbala dilakukan secara besar-besaran.

Bagi umat Islam (selain Syiah) di bumi UK, tiada yang lebih memalukan daripada perarakan menyakitkan diri ini dilakukan di kota London. Mujurlah kerajaan UK tidak membenarkan peserta perarakan melukakan dan memukul diri dengan senjata, jika tidak, sudah banyak darah yang telah ditumpahkan demi perayaan tersebut di bumi London. Ketika ditemuramah oleh stesen televisyen BBC, salah seorang peserta perarakan Ashura menyatakan bahawa penduduk bukan Islam di UK perlu didedahkan dengan upacara perayaan besar kaum Muslimin!

Ketika kaum Muslimin pro-Palestin sedang mengadakan demonstrasi di 10 Downing street memaksa kerajaan UK peduli kepada nasib umat Islam di Gaza, kaum Syiah pula berpesta dengan perarakan Ashura mereka. Tidak kelihatan pula bendera Hizbullah di dalam demonstrasi Gaza tersebut. Mungkin hal umat Islam di Gaza tidak memberikan apa-apa makna kepada peserta Ashura tersebut.

Saya terfikir, jika saya seorang yang bukan Muslim, pastinya saya akan mengatakan, “Islam adalah seperti Hindu, Islam ada Ashura, Hindu ada Thaipussam”, kedua-duanya begitu menyakitkan. Jika kaum Hindu menyakitkan diri dengan mencucuk dan melukakan badan mereka pada hari Thaipussam, kaum Syiah pun melakukan perkara yang sama pada hari tersebut. Begitulah payahnya Islam dan buruknya Islam jika penganutnya tidak mengikuti sunnah Rasulullah SAW. Mungkin ini jugalah hikmahnya Imam al-Nawawi memilih tajuk kesederhanaan, Islam itu memang sederhana jika menuruti sunnah Rasulullah SAW, dan akan menjadi payah dan sukar jika mengikuti selain dari sunnah baginda SAW. Jom ikut sunnah! Jom baca Riyadh al-Salihin!

1 comment: