Apakah yang anda boleh lakukan jika berada di dalam situasi tersebut?
Berikut adalah artikel tulisan Ust Wifaq, calon PhD di Maghribi mengenai keadaan tersebut:
Terdapat empat pendapat Ulama bagi orang yang tidak mempunyai air untuk berwudhu' dan tidak mempunyai sesuatu bahan yang dibenarkan untuk bertayammum:
Pendapat Pertama, tidak perlu bersolat waktu itu tetapi hanya perlu mengantikannya. Ini adalah pendapat Imam Awza'ei, Sufyan Thauri, Abu Yusuf, satu riwayat dari Abu Thaur, Daud Zahiri dan salah satu riwayat dari Imam Malik.
Hujah mereka ialah firman Allah s.w.t:
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan, (jangan pula hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub, terkecuali orang yang sekadar menyeberang saja, hingga kamu mandi. Dan jika kamu sakit atau sedang dalam musafir atau datang dari tempat buang air atau kamu telah menyentuh perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air, maka bertayamumlah kamu dengan so'ied yang bersih (suci); sapulah mukamu dan tanganmu. Sesungguhnya Allah Maha Pema'af lagi Maha Pengampun". [1]
Hujah mereka dari ayat ini ialah, larangan bersolat kepada orang berjunub sehingga mendapat air atau so'ied. Ini bermaksud, jika kamu tidak mempunyai air atau tayammum, kamu tidak dibenarkan solat sehingga kamu mendapat air atau so'ied.
Hujah mereka dikuatkan dengan hadis:
أن النبي صلى الله عليه وسلم قال (لا يقبل الله صلاة بغير طهور) رواه مسلم
Bahawa Nabi s.a.w pernah bersabda "Allah s.w.t tidak menerima solat tanpa taharah". [2]
Dan dengan hadis:
أن النبي صلى الله عليه وسلم قال (مفتاح الصلاة الطهور) رواه أبو داود والترمذي وقال حديث حسن
Bahawa Nabi s.a.w pernah bersabda "kunci kepada solat ialah taharah". [3]
Jika hadis-hadis ini menunjukkan Allah s.w.t tidak menerima solat yang tidak mempunyai taharah, maka orang yang bersolat tanpa taharah, solat mereka tidak akan diterima. Dengan itu diwajibkan kepada mereka menunggu sehingga mereka boleh bersolat dengan taharah.
Dan dalil mereka dari Qiyas ialah: orang yang tidak mempunyai taharah adalah sama seperti orang perempuan haidh yang masih keluar darahnya tidak dibenarkan solat sehingga suci dari haidh tersebut. Begitu juga orang tiada taharah hendaklah menunggu sehingga mempunyai taharah yang sempurna. [4]
Pendapat kedua, tidak perlu bersolat dan tidak perlu ganti. Ini adalah salah satu riwayat dari Abu Thaur dan Imam Malik.
Dalil mereka adalah seperti dalil pendapat di atas yang melarang bersolat tanpa taharah.
Cuma bagi mereka, keadaan orang yang tidak mempunyai taharah adalah seperti orang perempuan yang haidh apabila telah bersuci tidak perlu untuk mengganti solat yang ditinggalkan pada waktu haidh[5]. Begitu juga bagi orang tidak mempunyai taharah tidak perlu mengganti solat tersebut kerana mereka telah dijatuhkan taklif dengan ketiadaan taharah.
Firman Allah s.w..t
"Allah tidak mentaklif seseorang melainkan dengan kadar kemampuannya".[6]
Dengan itu orang yang tidak mampu mendapat air dan so'ied, tidak diwajibkan solat kerana luar kemampuannya untuk bersolat dengan taharah.
Pendapat Ketiga, hendaklah dia bersolat dan tidak perlu ganti solat tersebut. Ini merupakan pendapat Imam Malik dalam salah satu riwayat darinya dan salah satu riwayat dari Imam Ahmad. Dan juga Imam Muzani yang merupakan anak murid Imam Syafie berpendapat tidak perlu diulangi solat tersebut.
Mereka berhujah berdasarkan hadis Aisyah r.a.
عن عائشة رضي الله عنها أنها استعارت من أسماء قلادة فهلكت فأرسل رسول الله صلى الله عليه وسلم ناسا من أصحابه في طلبها فأدركتهم الصلاة فصلوا بغير وضوء فلما أتوا النبي صلى الله عليه وسلم شكوا ذلك إليه فنزلت آية التيمم
"Dari Aisyah r.a bahawa dia telah meminjam kalung dari Asma, tetapi malang baginya kalung itu hilang. Lalu Rasulullah SAW menyuruh beberapa orang sahabat mencarinya. Ketika tiba waktu solat, mereka solat tanpa wudhu'. Setelah mereka bertemu kembali dengan Nabi SAW mereka melaporkan kepadanya peristiwa yang mereka alami demikian itu. Lalu Allah SWT menurunkan ayat tayammum"[7].
Di dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w tidak menyuruh para sahabat tersebut mengulangi solat walaupun mereka bersolat tanpa taharah. Sekiranya solat mereka tidak diterima sudah tentu Rasulullah s.a.w menyuruh mereka mengulangi solat.
Dan sekiranya diwajibkan mengulangi solat tersebut maka ini akan membawa kepada mewajibkan dua solat fardhu yang sama dalam satu hari dan tiada dalil yang menyuruh mendirikan solat fardhu yang sama dalam satu hari.
Dan hukum ini juga adalah seperti orang perempuan yang keluar darah istihadhah tidak perlu mengulangi solatnya setelah tamat istihadhah. [8]
Pendapat Keempat, hendaklah dia bersolat kemudian perlu diulangi solat tersebut. Ini adalah pendapat yang masyhur di dalam Mazhab Syafi'e bagi orang yang tidak mempunyai air untuk berwudhu' dan tiada tanah atau debu untuk bertayammum maka diwajibkan bersolat pada waktu itu kemudian perlu diulangi solat tersebut.
Hujah-hujah yang digunakan ialah di dalam hadis Aisyah r.a di atas yang menyebut para Sahabat r.a telah solat dalam keadaan tidak berwudhu' kemudian mereka menyatakan kepada Rasullah s.a.w dan Baginda tidak mengingkarinya serta tidak mengatakan solat tersebut tidak wajib dalam keadaan tersebut. Sekiranya solat dalam keadaan tersebut tidak wajib, sudah tentu Rasullah s.a.w telah nyatakan kepada para Sahabat r.a.
Dalil ini dikuatkan dengan hadis:
حديث أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال (ما نهيتكم عنه فاجتنبوه وما أمرتكم به فافعلوا منه ما استطعتم) رواه البخاري ومسلم
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: "apa yang aku larang dari melakukan sesuatu jauhilah ia, dan apa yang aku perintahkan sesuatu kepada kamu, lakukanlah apa yang kamu mampu". [9]
Ketiadaan air atau sesuatu untuk bertayammum adalah perkara yang di luar kemampuan. Dengan itu diwajibkan bersolat mengikut kemampuan masing-masing.
Adapun solat tersebut mesti diulangi adalah berdasarkan dalil lain iaitu hadis:
أن النبي صلى الله عليه وسلم قال (لا يقبل الله صلاة بغير طهور) رواه مسلم
Bahawa Nabi s.a.w pernah bersabda "Allah s.w.t tidak menerima solat tanpa taharah". [10]
Hadis ini menunjukkan Allah s.w.t tidak menerima solat yang tidak mempunyai taharah, maka orang yang bersolat tanpa taharah tidak menunaikan solat dengan sempurna. Oleh sebab itu diwajibkan kepada mereka mengulangi solat dengan keadaan yang sempurna beserta taharah.
Ulangan solat ini adalah dengan sebab keuzuran tersebut tidak selalu berlaku bahkan terlalu jarang terdapat orang yang tidak mempunyai air atau tayammum. Maka dengan itu diwajibkan dia mengulangi solat tersebut. Contohnya seperti orang yang bersolat dalam keadaan berhadas kerana terlupa, diwajibkan mengulangi solat tersebut dengan sepakat ulama. [11]
Perbincangan Dalil dan Hujah:
Perbincangan hujah pendapat pertama: (tidak perlu bersolat waktu itu tetapi dia hanya perlu mengantikannya) hujah mereka dengan ayat 43 surah An-Nisa' boleh ditolak dengan dua sebab:
Pertama: ayat tersebut tidak bermaksud melarang pelaksanaan solat bagi orang yang berjunub, tetapi yang dimaksudkan ialah larangan dari mendekati tempat bersolat iaitu masjid. Kerana di dalam ayat ini menyebut:
iaitu "terkecuali orang yang sekadar menyeberang saja"[12]. Ini menunjukkan ayat tersebut bermaksud "janganlah kamu hampiri tempat solat" bukan solat itu sendiri. Kerana tempat solat sahaja yang boleh diseberangi dan perbuatan solat itu pula tidak boleh diseberangi. [13]
Kedua: jika yang dimaksudkan ialah solat sekalipun, ayat tersebut membawa maksud larangan pelaksanaan solat kepada orang yang mampu bertaharah. Adapun orang yang tidak mempunyai kemampuan untuk bertaharah tidak termasuk di dalam larangan ayat ini.
Dan hujah mereka dengan kedua-dua hadis yang mewajibkan taharah untuk bersolat juga ditolak, kerana hadis-hadis ini juga membawa maksud larangan pelaksanaan solat kepada orang yang mampu bertaharah. Orang yang tidak mampu tidak termasuk di dalam larangan ini.
Perbincangan hujah pendapat kedua: (tidak perlu bersolat dan tidak perlu ganti) dalil mereka dengan menggunakan Qiyas kepada orang haidh boleh ditolak, kerana terdapat perbezaan antara dua keadaan ini.
Orang yang berhaidh wajib meninggalkan solat walaupun mempunyai air dan sesuatu untuk bertayammum. kerana di dalam hadis menyebut:
إن دم الحيض دم أسود يعرف فإذا كان ذلك فأمسكي عن الصلاة
"Sesungguhnya darah haidh adalah darah hitam yang dikenali, jika begitu rupanya maka hendaklah kamu meninggalkan solat".[14]
Ini berbeza dengan orang tidak mempunyai taharah, kerana tiada dalil yang memerintahkan supaya meninggalkan solat.
Perbincangan hujah pendapat ketiga: (hendaklah bersolat dan tidak perlu ganti solat tersebut). Hujah mereka dengan hadis Aisyah r.a boleh ditolak kerana tidak semestinya penjelasan Nabi s.a.w agar mengulangi solat tersebut berlaku pada waktu tersebut. Kerana mengganti solat kebiasaannya tidak dilakukan terus pada waktu tersebut, bahkan selalu dilewatkan pada waktu yang lain.
Dan hujah mereka yang kedua juga boleh ditolak yang mengatakan jika diwajibkan mengulangi solat tersebut akan membawa kepada mewajibkan dua solat fardhu, ini kerana tiada halangan untuk mewajibkan dua solat fardhu jika terdapat dalil lain yang menyuruh berbuat demikian.
Contohnya seperti orang yang syak mengenai waktu solat, kemudian dia bersolat dengan berijtihad telah masuk waktu solat tersebut. Setelah itu dia yakin bahawa dia telah bersolat sebelum masuk waktu, maka dia mesti mengulangi solat tersebut, maka di sini kita telah wajibkan dia solat fardhu sebanyak dua kali.
Dan hujah mereka bahawa hukum ini adalah seperti orang perempuan yang istihadhah, maka tidak perlu mengulangi solatnya, juga boleh ditolak. Ini kerana keuzuran istihadah berlaku dalam tempoh yang panjang, maka tidak diwajibkan mengulangi solat tersebut, kerana jika diwajibkan mengulang solat akan menyebabkan kesusahan dan kesukaran berpanjangan.
Tetapi hujah ini boleh digunakan jika seseorang itu tidak mampu bertaharah dalam tempoh yang panjang, kerana kesukaran mengulangi solat tersebut adalah sama seperti orang beristihadah, maka dengan ini dibenarkan bersolat tanpa perlu mengulangi solat tersebut.
Perbincangan hujah pendapat keempat: mereka bersetuju dengan pendapat ketiga yang mewajibkan solat tanpa taharah, cuma mereka mewajibkan juga supaya diulangi solat tersebut. Bagi mereka, sebab utama kewajipan ini adalah kerana keuzuran tersebut jarang berlaku dan biasanya berlaku dalam tempoh yang singkat. [15]
Bagi pendapat ini, hanya orang yang tidak mampu mempunyai taharah dalam tempoh yang singkat sahaja perlu mengulangi solat yang dilakukan tanpa taharah. Dan tidak perlu mengulangi solat itu jika sekiranya keadaan tersebut berlaku dalam tempoh yang panjang, kerana akan menyebabkan kesulitan yang luar biasa untuk mengganti semua solat tersebut.
Pendapat yang keempat ini lebih tepat, kerana mempunyai dalil yang kukuh dan penelitiannya lebih mendalam kerana membezakan antara situasi selalu dan situasi yang jarang berlaku.
Kesimpulannya, bagi orang yang tidak mempunyai air untuk berwudhu' dan tiada sesuatu untuk bertayammum hendaklah dia bersolat tanpa taharah. Jika keadaan itu berlarutan dalam tempoh yang lama atau selalu berlaku, dia tidak perlu mengulangi solat-solatnya itu. Tetapi jika situasi itu jarang berlaku, maka hendaklah dia mengulangi solatnya.
Wallahu A'lam.
Kenitra, Maghribi
[1]Surah An-Nisa': 43
[2]H.R Muslim
[3]H.R Abu Daud dan Tirmidhi dan berkata: Hadis Hasan.
[4]Al-Majmuk: 2/306-307, al-Muntaqa oleh Imam Baji: 1/130.
[5]Al-Majmuk: 2/306-307
[6]Surah Al-Baqarah: 286
[7]H.R Bukhari, Muslim, An-Nasa'ie, Al-Baihaqi, Ibn Hibban, Al-Baghawi, Abu Daud, dan Ibn Majah.
[8]Al-Majmuk: 2/306-307
[9]H.R Bukhari dan Muslim
[10]H.R Muslim
[11]Al-Majmuk: 2/306-307
[12]Surah An-Nisa': 43
[13]Lihat Miftahul Wusul oleh Imam Tilmisani: m/s: 523-524.
[14]H.R Abu Daud, An-Nasa'ie dan Al-Hakim. Hadis ini disahihkan oleh Al-Hakim dan Ibn Hibban.
[15]Al-Majmuk: 2/306-307
No comments:
Post a Comment