Wednesday 2 January 2008


Belajar Agama di UK? (part 2)

Berbicara tentang belajar agama di UK mengingatkan saya kepada beberapa tokoh Islam reformis dan kesan pengembaraan mereka ke dunia barat. Penumpuan saya bukanlah kepada mereka yang terlalu kontreversial ataupun mereka yang telah menjadi “barat” atau lebih barat dari barat. Tumpuan saya ialah kepada para reformis awal yang telah menterjemahkan kesedaran mereka dan pencerahan pemikiran mereka kepada bidang politik. Tokoh-tokoh yang merasakan bahawa kemunduran umat Islam adalah terletak kepada kebobrokan sistem politik di negara-negara umat Islam, lantas bangkit mengemukakan resolusi.

Pengkajian saya di dalam bidang politik Islam mendekatkan lagi saya dengan tokoh-tokoh tersebut. Bukan hanya sekadar membaca penulisan dan meneliti ide-ide mereka, malah faktor keperibadian mereka juga turut memancing minat saya. Usaha dan juga perjuangan mereka yang dibentuk hasil pengembaraan ilmu di negara orang memaksa saya untuk lebih bernafsu mengkaji pemikiran mereka.

Pengembaraan Rif’at Tahtawi (1801-1873) sebagai contoh, begitu bermakna bagi diri beliau. Beliau merupakan ulama yang pertama menyeru agar dunia Islam mula berinteraksi dengan dunia barat. Tujuannya agar dunia Islam mengambil kebaikan yang ada pada tamadun barat yang tidak bertentangan dengan Islam. Hasilpemikiran beliau telah diabadikan di dalam karya agungnya “Takhlis al-Ibriz Ila Talkhis Bariz”.

Buku tersebut telah merakamkan sikap kagum beliau terhadap konsep demokrasi di dalam pemerintahan Peranchis pasca revolusi Peranchis. Beliau telah menekankan kepentingan pluralisme politik dan konsep-konsep demokrasi yang sebenarnya telah wujud di dalam Islam tetapi tidak diamalkan.

Khairudin al-Tunisi (1810-1899) pula di dalam nada yang sama telah berjaya menghasilkan magnum opus beliau, “Aqwam al-Masalik Fi Ma’rifat Ahwal al-Mamalik”. Beliau telah mencadangkan program reformasi di dalam sistem pemerintahan negara-negara umat Islam. Beliau telah menempelak sikap pemerintah tirani, terutamanya di negara beliau, Tunisia. Pada hemat beliau, sikap sedemikianlah yang menjadi penghalang kepada kemajuan tamadun umat Islam. Beliau kagum dengan kemajuan barat yang merupakan hasil daripada sistem politik mereka yang adil dan sejahtera. Beliau menyeru umat Islam untuk mengambil manfaat dari tamadun barat yang tidak bertentangan dengan Islam.

Beliau juga amat menekankan konsep “ummah” bagi umat Islam di dalam buku tersebut. Beliau juga melaungkan konsep Wataniyyah Islamiyyah yang merupakan pencetus kepada ide Pan-Islamisme yang berkembang di tangan al-Afghani. Beliau menyeru agar umat Islam disatukan di bawah satu payung pemerintahan khilafah. Sepertimana Tahtawi, beliau juga telah menjadikan sistem politik di Peranchis sebagai model contoh.

Bagi Jamaludin al-Afghani (1838-1897), beliau memberikan diagnosis kelemahan dan kemunduran umat Islam adalah disebabkan oleh kehilangan keadilan dan shura di dalam sistem politik mereka. Kurangnya partisipasi rakyat di dalam proses pemerintahan dan juga kerakusan para diktator merupakan resepi utama kemajalan umat. Beliau mengidamkan pemerintahan republik yang bertunjangkan perlembagaan dan membuka ruang partisipasi kepada semua warga negara. Beliau meletakkan syarat pemerintahan negara republik itu hendaklah terbuka kepada akauntabiliti awam.

Berbanding dengan Tahtawi dan Tunisi, al-langkah al-Afghani lebih panjang. Beliau telah berpeluang mengembara ke Istanbul, London, Paris, Moscow, St.Petersburg dan Munich. Pengkayaan pemikiran beliau banyak dibentuk hasil pengembaraannya di dalam usaha menuntut ilmu. Beliau amat konsisten di dalam usahanya mempromosikan pan-Islamisme dan juga sistem khilafah.

Jamaludin al-Afghani

Muhammad Abduh (1849-1905) merupakan murid kepada al-Afghani. Sepertimana gurunya, beliau juga merupakan di antara ulama dan pemikir politik Islam yang telah mendapat pencerahan pemikiran hasil keberadaannya di luar negara. Ketika berada di Paris, beliau telah bersama-sama dengan al-Afghani menerbitkan jurnal al-Urwat al-Wuthqa. Jurnal tersebut telah disifatkan oleh penjajah British di Mesir sebagai propaganda anti-British. Setelah empat tahun berada di Peranchis akhirnya beliau pulang ke Mesir dan menjawat jawatan sebagai hakim mahkamah di sana.

Sebelum menjadi mufti Mesir pada tahun 1899, beliau telah melahirkan karya agungnya “Risalat al-Tawhid” pada tahun 1897. Beliau terkenal dengan seruan Salafiyyahnya dan juga seruan mengembalikan usaha ijtihad. Beliau juga terkenal dengan sikap kritisnya terhadap taqlid. Pemikiran beliau banyak mencorakkan metod pemikiran gerakan Islam moden terutamanya gerakan al-Ikhwan al-Muslimin.

Muhammad Abduh

Ulama sezaman dengan Abduh yang turut mempunyai biografi yang hampir sama dengan beliau ialah ulama dari Syria, Abdul Rahman al-Kawakibi (1849-1903). Dua karya beliau yang terkenal, “Tabai’al-Istibdad” dan “Umm al-Qura” merupakan kritikan terhadap pemerintahan diktator dan zalim. Beliau telah cuba membela Islam dengan memisahkan Islam daripada kezaliman para pemerintah umat Islam. Kebanyakan pemerintah umat Islam menjustifikasikan kezaliman mereka di atas nama agama. Beliau menegaskan,inilah faktor utama yang telah menjadikan umat Islam sebagai mangsa penjajahan barat.

Di dalam buku “Umm al-Qura” beliau telah melontarkan ide penyatuan umat Islam di dalam satu forum. Perwakilan setiap negara umat Islam akan bersatu setiap perhimpunan haji dan menjana kesatuan serta kekuatan mereka. Ide mirip kepada ide OIC pada hari ini. Malangnya OIC yang wujud pada hari ini tidak berupaya merealisasikan ide sistem politik yang adil di dalam negara-negara umat Islam. Beliau, walau bagaimanapun lebih dilihat sebagai anti-Turki dan pro-Arab. Hal inilah yang membezakan beliau dengan tokoh-tokoh sebelum ini. Menarik lagi, beliau tidak pernah mengembara ataupun menuntut ilmu di negara barat seperti tokoh-tokoh sebelum ini. Mungkin faktor inilah yang menjadikan beliau lebih taksub kepada bangsa Arab.

Tokoh yang perlu disebutkan nama di sini juga ialah Rashid Reda (1865-1935). Beliau merupakan anak murid Abduh dan guru kepada Hassan al-Banna. Sepertimana tokoh-tokoh sebelum ini, beliau juga telah mengemukakan thesis politik Islam beliau. Pengalaman hasil pengembaraan menuntut ilmu beliau ke dunia barat telah melahirkan pemikiran modernis yang bernasnya. Beliau mencadangkan bahawa sistem politikIslam yang adil adalah sistem yang berpaksikan Tawhid dan juga shura. Beliau juga mengkritik pemerintahan diktator, terutamanya di atas nama agama. Di dalam buku beliau “al-Khilafah”, beliau menekankan peranan Islam sebagai petunjuk, rahmat dan juga polisi sosio-sivik. Sepertimana al-Afghani dan Abduh, beliau menekankan kepentingan kesatuan umat, khilafah, kerajaan pilihan umat, shura, akauntabiliti dan juga kepentingan mempelajari sistem politik barat yang lebih tersusun dan adil. Seperti yang lain juga, beliau bersetuju bahawa sistem politik barat sebenarnya merupakan sistem yang Islamik tetapi tidak diamalkan oleh umat Islam. Malangnya barat mengamalkannya dan memperkenalkannya di dalam jenama dan label yang baru.

No comments:

Post a Comment