Belajar Agama di UK???
Ketika saya dihubungi oleh beberapa anak murid dari Malaysia, sering mereka bertanyakan apakah yang saya pelajari di UK. Sikap skeptik terhadap “mengaji ilmu agama di tempat orang Kafir” masih lagi kuat di kalangan rakyat Malaysia. Mereka berhak untuk skeptik, malah saya sendiri pun masih lagi mempunyai persepsi yang sama di dalam beberapa keadaan. Walaupun sudah ratusan graduan pasca siswazah lepasan bidang agama Islam dari UK, namun persepsi awam terhadap “belajar agama di UK???!!!” masih lagi menebal.
Maka yang sering terbayang di kotak pemikiran masing-masing, para pelajar akan dirosakkan, ataupun diracun pemikiran mereka oleh para orientalis. Para orientalis pula sering dipukul rata sebagai orang kafir yang jahat dan mempunyai konspirasi untuk merosakkan Islam. Mungkin ada kebenarannya prejudis tersebut berdasarkan realiti yang pernah berlaku dan yang sedang berlaku. Bagi golongan terpelajar yang berpeluang membaca karya-karya orientalis mungkin mempunyai sikap yang berbeza. Bagi yang terdedah dengan buku Edward Said mengenai Orientalism juga mempunyai persepsi yang jauh berbeza.
Di sini, saya tidak bertujuan hendak membicarakan persoalan orientalisme. Biarlah karya Edward Said itu yang berbicara buat dirinya. Begitu juga, biarlah graduan UK yang lain menjadi pembela orientalis “baik” yang pernah mereka temui. Saya juga tidak mahu membicarakan persoalan dengan siapa para penyelidik pasca siswazah “belajar”. Pertamanya mereka ke UK hanyalah untuk mengkaji, dan meneroka ruang baru di dalam bidang keilmuan. Tambahan lagi, sekarang ini yang akan menyelia kajian-kajian mereka bukan sekadar orang-orang kafir sahaja. Ramai di kalangan para penyelia di universiti-universiti di UK pada hari ini adalah di kalangan umat Islam sendiri.
Cuma seperkara yang begitu menarik-narik hati saya untuk memikirkannya. Apakah duit rakyat yang banyak ditaburkan
kepada para pemegang biasiswa di kalangan pengkaji ni berbaloi jika mereka hanya sekadar membawa balik segulung
ijazah kedoktoran sahaja?
Mungkin juga mereka pulang dengan membawa kemahiran berbahasa Inggeris yang lebih baik dari sebelumnya. Mereka juga pasti pulang dengan pengalaman yang serba baru dan cara berfikir yang lebih luas. Pasti juga para penyelidik tersebut juga akan mempunyai cara penilaian terhadap sesuatu perkara yang jauh berbeza berbekalkan pengalaman dan juga ilmu yang telah mereka perolehi “dari luar”.
Persoalan yang timbul dalam pemikiran saya ialah apakah “added value” yang boleh mereka bawa pulang selain dari perkara-perkara yang telah disebutkan.
Jika dilihat perkembangan para penyelidik peringkat pasca siswazah Malaysia di UK, keadaan mereka amat berbeza dengan keadaan para peneroka UK dari Malaysia pada tahun-tahun 70’an. Mungkin keadaan berbeza, dan masyarakat pun berbeza.
Pada tahun-tahun 70’an, ketika para peneroka ilmu dari Malaysia menjejakkan kaki ke UK, keadaan umat Islam di UK tidak sebaik hari ini. Hari ini bilangan mereka amat dapt dirasakan, malah di sesetengah bandar, umat Islam lebih majoriti daripada golongan bukan Islam. Golongan imigran dari Asia merupakan kelompok terbesar kaum Muslimin di UK pada hari ini. Aktivisme Islam juga kini diterajui oleh mereka dan menurut versi mereka. Ini bermakna, kawasan yang majoriti Pakistan akan mempelopori aktiviti ala-Pakistan, yang Arab akan bercorakkan keAraban, yang Turki bercirikan keTurkian, yang Kurdi pula secara Kurdi mereka, dan begitulah seterusnya.
Berdasarkan pembahagian aktivisme mengikut taburan demografi kepuakan inilah, rakyat Malaysia yang beragama Islam juga terheret sama. Tidak hairanlah, kebanyakan masyarakat Melayu Malaysia lebih selesa bersama mereka sahaja. Keadaan lebih dapat dirasakan jika ianya berkaitan program-program keagamaan.
Hal seperti ni memerlukan usaha perubahan dan tajdid. Pengalaman 3-4 tahun di bumi orang tidak patut dibiarkan berlalu hanya untuk mendapatkan segulung ijazah semata-mata. Pengalaman organisasi, sosial, interaksi, institusi dan juga aktivisme di UK merupakan aset yang tidak patut dipandang sepi.
Bagi para pengkaji aliran agama, pengalaman yang lebih mencabar perlu diterokai. Kedudukan sebagai tempat rujuk rakyat Malaysia di dalam isu-isu agama tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak menganjakkan paradigma masing-masing di dalam beraktiviti. Penerokaan alam UK perlu dilakukan, terutamanya yang melibatkan komuniti lokal. Mungkin di sesetengah tempat, hal ini berlaku secara tabii, tetapi di tempat yang mempunyai taburan pelajar Malaysia yang ramai, keadaan seperti ini agak terhalang. Apa pun alasannya, perjuangan sering memerlukan pengorbanan dan kreativiti.
Assalamualaikum,
ReplyDeleteustaz maszlee.
saya mohd lutfi hafifi,
pelajar univ.mu'tah,jordan..
membaca tulisan di dalam blog ustz amat menarik perhatian saya.
saya mempunyai harapan untuk menyambung pengajian saya di UK.
khafif_86@hotmail.com