Tuesday, 1 January 2008

Apabila Anak Orang Putih Berkopiah



Apabila anak orang putih berkopiah...

Seperkara yang menarik mengenai sistem pembelajaran sekolah rendah di UK ialah penumpuan terhadap pembacaan, pengalaman baru, skil dan bebas dari peperiksaan. Sesuatu yang tidak dapat difahami oleh warga UK jika kanak-kanak serendah darjah satu menduduki peperiksaan. Sesuatu yang tidak akan tergambar di dalam pemikiran mereka juga kerisauan ibu bapa mnejelang peperiksaan anak-anak mereka yang bersekolah di sekolah rendah. Kanak-kanak di sekolah lebih ditekankan dengan aspek pengetahuan, pembacaan dan juga meneroka perkara-perkara sekeliling mereka. Hal ini membuatkan kanak-kanak merasa seronok dan sentiasa bersemangat untuk ke sekolah.

Selain daripada keseronokan belajar di sekolah, kanak-kanak juga banyak didedahkan dengan perkara-perkara baru di dalam kehidupan mereka. Anak-anak sekecil tujuh tahun diberikan “assignment” untuk dicari lewat internet. Mereka juga didedahkan dengan pengalaman berkenalan dengan budaya baru dan agama-agama yang wujud melalui pelajaran Religious Education (RE). Mereka dibawa untuk melawat masjid, gereja dan tempat-tempat ibadat untuk berkenalan dengan agama-agama tersebut.

Saya sendiri agak terkejut apabila anak perempuan saya, Nusaybah sekecil 7 tahun diberikan assignment untuk mencari maklumat mengenai tuhan-tuhan Hindu melalui internet. Beliau juga pernah bertungkus lumus menyiapkan karangan tentang hijrah Nabi Muhammad SAW berdasarkan maklumat yang mereka perolehi dari buku-buku dan juga internet.

Pengalaman yang paling menarik ialah undangan dari guru besar kepada masyarakat Islam di Bowburn untuk menerangkan tentang Islam kepada anak-anak sekolah tersebut. Maka, isteri saya telah dipilih untuk melaksanakan tugasan tersebut. Guru besar yang bernama Mrs Lyon itu meminta agar isteri saya membawa segala aksesori berkaitan Islam untuk didedahkan kepada murid-murid sekolahnya.

Pada hari yang diminta tersebut, isteri saya telah ditemani oleh jiran kami Wan Kamariah Baba, pensyarah UIAM yang sedang menghabiskan PhDnya di dalam bidang pendidikan bahasa Inggeris. Pelbagai persiapan telah disediakan semenjak hari mereka dipelawa lagi. Demi membuatkan anak-anak tersebut tidak bosan VCD kartun Islam dan rukun Islam terbitan PT Nada Cipta Indonesia dijadikan bahan bantuan mengajar. Kebetulan pula di dalam VCD tersebut terdapat nasyid-nasyid di dalam Bahasa Inggeris mengenai rukun Islam dan rukun iman.

Pelbagai “Islamic stuffs” yang dibawa untuk diperkenalkan. Gambar kaabah, gambar masjid, tudung (hijab), kopiah, sejadah, dan lain-lain lagi. Mereka ditunjukkan cara Muslim bersolat, diterangkan cara Muslim berpuasa, dan juga ritual haji. Ketika dipertontonkan cara Muslim bersolat, ramai dari kalangan anak-anak orang putih yang ingin turut serta. Maka, ada yang berkopiah, ada yang bertudung, dan bersama-sama melaungkan “Allah Akbar”.

Program tersebut di bulan Ramadhan. Maka banyak persoalan mengenai Ramadhan dan puasa yang ditanyakan.Apakah Muslim tidak mati?, apakah tidak boleh minum walau sedikit pun dan macam-macam lagi. Walau bagaimanapun, satu soalan yang amat lucu telah diutarakan: “Madam, my friend Iman said, his dad will gives him 30 pounds at the end of Ramadan if he can finish the fasting for the whole month. Is that from Islam too?, and what if I fast, can I get 30 pounds too?”

Pengalaman menarik itu amat berharga buat isteri saya. Di Malaysia jarang kita mendapat peluang sebegini. Walaupun kaum bukan Islam hidup bersama, namun dialog sihat jarang berlaku. Kebanyakannya berbentuk palsu dan dipaksakan. Prejudis masih menguasai kotak pemikiran warga Malaysia di antara satu sama lain. “Cohesion” masih belum benar-benar dapat dihayati.

Teringat saya kepada kata-kata Dr Ridwan Fontaine, pensyarah MMU berbangsa Peranchis. Sebagai seorang yang pernah hidup dua alam, beliau mempunyai pengalaman berfikir sebagai non-Muslim. Kata beliau, “Jika sesiapa dari kalangan non-Muslim ingin berbincang tentang Islam, jangan mulakan dengan perkara semasa. Jangan juga memulakan dengan isu-isu furuk. Mulakan dengan pemahaman terhadap konsep “LA ILAHA ILLA ALLAH dan MUHAMMAD RASUL ALLAH”. Jika mereka telah jelas, barulah kita bicarakan isu-isu lain, barulah mereka dapat memahami mengapa kita “sebegini”!

No comments:

Post a Comment