Siapakah yang ingin dikorbankan Ibrahim?
Lewat sambutan Eid al-Adha masyarakat Malaysia Durham yang lalu, saya telah diminta untuk menyampaikan “Words of Wisdom” (tazkirah). Tema korban, sudah tentu menjadi landasannya. Di dalam mencari erti pengorbanan, sudah tentu sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim akan menjadi tauladan yang sentiasa mekar sepanjang zaman. Di dalam mencari cerita mengenai pengorbanan Ibrahim, saya telah terjumpa dengan persoalan yang menarik. Mungkin agak lucu bunyinya, tetapi ianya tidak lucu di persada keilmuan. Persoalan tersebut ialah, siapakah yang ingin disembelih oleh Ibrahim?
Adakah Ishaq atau Ismail?
Bagi umat Islam, surah al-Saaffaat ayat 100-110 merupakan penjelasan kepada persoalan berkenaan:
Ya Rabbku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang-orang yang saleh. (QS. 37:100)
Maka Kami beri dia kabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar. (QS. 37:101)
Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: "Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahwa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!" Ia menjawab: "Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar". (QS. 37:102)
Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis(nya), (nyatalah kesabaran keduanya). (QS. 37:103)
Dan Kami panggillah dia: "Hai Ibrahim, (QS. 37:104)
sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu ", sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. (QS. 37:105)
Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. (QS. 37:106)
Dan Kami tebus anak itu dengan dengan seekor sembelihan yang besar . (QS. 37:107)
Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian, (QS. 37:108)
(yaitu)"Kesejahteraan dilimpahkan atas Ibrahim", (QS. 37:109)
Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. (QS. 37:110)
Sesungguhnya ia termasuk hamba-hamba Kami yang beriman. (QS. 37:111)
Dan Kami beri dia kabar gembira dengan (kelahiran) Ishaq seorang nabi yang termasuk orang-orang yang saleh. (QS. 37:112)
Pendapat majoriti dan yang paling autoriti di dalam Islam, yang ingin disembelih ialah Ismail. Hal ini telah disebutkan secara panjang lebar oleh Ibn Kathir di dalam Magnum Opus beliau, Tafsir al-Quran al-‘Azim. Hal yang sama juga telah dibawakan oleh ulama tafsir terulung Islam, Ibn Jarir a-Tabari.
Bagi golongan Yahudi dan Kristian yang berpegang kuat kepada Old Testament (Perjanjian Lama), mereka berpegang bahawa yang ingin disembelih adalah Ishaq. Hal ini telah disebutkan di dalam kitab Genesis, bab 22.
Khilaf???
Persoalan yang menarik ialah, di dalam Tafsir Ibn Kathir, ada juga diriwayatkan bahawa terdapat di kalangan para sahabat juga yang beriman bahawa yang ingin disembelih adalah Ishaq!!!
Malah Ibn Kathir telah mengkhususkan satu tajuk perbincangan mengenai perkara tersebut ketika mentafsirkan ayat 99-113 dari surah al-Saaffaat.
Beliau membuat kesimpulan bahawa, para sahabat yang mempunyai pendapat sedemikian (antaranya Ibn Mas’ud, Ali, al-Abbas dan beberapa tabi’in terkemuka) terpengaruh dengan riwayat ari Ka’ab al-Ahbar. Beliau merupakan mantan pendita Yahudi yang telah memeluk Islam dan menjadi rujukan sahabat Rasulullah SAW di zaman Umar R.A. Beliau telah bayak menceritakan riwayat-riwayat Israeliyyat di dalam mentafsirkan ayat-ayat al-Quran berkaitan cerita-cerita kaum terdahulu. Pendapat para sahabat dan tabi’in ini juga telah dikemukakan oleh al-Baghawi di dalam tafsir beliau tanpa menceritakan perihal Ka’ab.
Ibn Kahtir juga berpendapat bahawa kebanyakan riwayat yang disandarkan kepada para sahabat tersebut juga merupakan riwayat-riwayat yang lemah.
Beliau menutup perbincangan tersebut dengan membawa hujah-hujah dan riwayat-riwayat yang lebih kuat menunjukkan yang ingin disembelih adalah Ismail. Beliau juga membawa logika al-Quran yang menceritakan melalui gaya bahasa Arab di dalam ayat di atas bahawa yang disembelih itu adalah anak Ibrahim A.S. yang pertama.
Selain daripada hujah-hujah dari riwayat-riwayat yang sahih, beliau juga mengemukakan hujah logik. Logiknya, tradisi sembelihan ini berlaku di Makkah dan oleh umat Islam. Sebaliknya bagi agama Kristian dan Yahudi, tiada pula upacara sembelihan kambing di Baitul Maqdis sebagai sebahagian daripada ritual agama dan perayaan memperingati sembelihan tersebut.
Apa Cerita Bible (Old Testament)?
Manrik sekali. Di dalam kitab Genesis bab ke-16, cerita mengenai kelahiran Ismail ada diriwayatkan. Ini bermaksud mereka menerima kewujudan Ismail sebagai anak yang pertama. Di dalam bab 16: ayat 16, Ibrahim dikatakan berumur 86 tahun ketika kelahiran Ismail. Dalam bab 17: ayat 1 pula, Ibrahim dikatakan telah mendapat seorang lagi anak lelaki iaitu Ishaq. Malangnya di dalam bab 22: ayat 2, Ibrahim telah diperintahkan untuk “menyembelih SATU-SATUnya anak beliau, iaitu Ishaq”!!!
Perkataan “Your only son” telah digunakan di dalam petikan tersebut. Seolah-olah ayat tersebut benar-benar bertentangan dengan cerita di bab ke-16 di dalam kitab Genesis juga. Seperti perihal cerita-cerita lain yang amat kontradik di dantara satu dengan lain di dalam kedua-dua Old Testament dan New Testament, cerita ini juga turut mengalami nasib yang sama.
Kerja orientalis
Beberapa sarjana orientalis telah cuba untuk membuktikan bahawa yang disembelih adalah Ishaq dan bukannya Ismail. Maka mereka telah cuba mengeksploit beberapa perbincangan mengenai peristiwa tersebut. Ada di antara mereka yang mengatakan bahawa al-Quran tidak menyebut secara terang nama anak Ibrahim yang ingin disembelih, maka itu menunjukkan yang disembelih itu bukannya Ismail. Tambahan pula, di hujung ayat al-Saffaat itu disebutkan nama Ishaq, maka Ishaqlah yang telah diperintah untuk disembelih. (Jackie Naude, Isaac Typology in the Koran di dalam I. H. Eybers, De Fructu Oris Sui: Essays in Honour of Adrianus Van Selms, hal. 121-29)
Mereka juga mengatakan bahawa pentafsiran mengenai Ismail yang ingin disembelih merupakan periwayatan yang timbul kemudian daripada al-Quran. Perasaan taksub keAraban dan juga ingin menjustifikasikan agama Islam yang didokongi oleh orang Arablah yang telah mendorong orang Islam mencipta cerita yang sedemikian. (Reuven Firestone, Comparative Studies in Bible and Quran, di dalam Benjamin H Hary, John L. Hayes dan Fred Astren, Judaism and Islam: Boundaries, Communication and Interaction, hal. 169-84)
Ada juga di kalangan mereka yang mengatakan pendapat mengenai Ismail sebagai anak yang diperintah untuk disembelih hanya timbul pada zaman Abbasiyyah dan tidak pada zaman sebelumnya. (Maria Petsani, The Dhabih Allah as Metaphor for Self Submission, hal. 12)
Malah ada juga yang menuduh orang-orang Arab sengaja mereka cipta ayat tersebut dan cerita Ismail semata-mata untuk menarik orang ramai ke Mekkah. Maka ritual penyembelihan memberikan sumber ekonomi kepada orang-orang Mekah. (Lihat: richard Bell di dalam “The Sacrifice of Ishmael” di dalam jurnal Glasgow Univ Oriental Society Transactions, vol. 10, hal. 29-31)
Antara para orientalis lain yang bertanggung jawab membuat tuduhan-tuduhan sedemikian adalah, John Kaltner di dalam Abraham’s Sons: how the Bible and Quran see the same story differently di dalam Bible Review, vol. 18, hal. 45, Michael M Capsi di dalam Take Now Thy Son, hal. 94, Sahcha B. Cohen di dalam The Binding and it’s Transformations in Judaism and Islam, hal. 50, 97 dan 112, dan lain-lain lagi.
Amat menarik melihat hujah-hujah orientalis mengenai al-Quran dan periwayatan Hadis mengenai peristiwa penyembelihan tersebut. Malangnya mereka terlupa untuk melihat kepada percanggahan fakta di dalam Old Testament itu sendiri.
Walau apa pun persoalannya, bukanlah tugas kita untuk merisaukan mereka. Persoalannya sudahkah anda berkorban seperti Ibrahim? Sudahkah anda berkorban pada hari raya haji yang datang dan pergi? Sudahkah juga anda berkorbankan jiwa, nafsu, harta dan juga nyawa untuk Allah SWT?
Jika belum, bilakah lagi ???
No comments:
Post a Comment