Thursday 4 October 2007

Gereja Di UK Menjadi Sasaran Pencuri


Battlefield Church Shrewsbury

Gereja sasaran pencuri

Akhbar Newslink untuk Diocese (daerah di bawah pentadbiran gereja) di Durham untuk dwi bulan September dan Oktober mengingatkan warga Durham bermazhab gereja England agar bersama-sama mengawal gereja-gereja mereka. Menurut akhbar tersebut, hampir kebanyakan gereja-gereja di Durham menjadi sasaran para pencuri. Lebih malang lagi ia berlaku secara berturut-turut dan tanpa disedari.

Apa yang menarik ialah Durham merupakan sebuah bandar yang menjadi identiti Kristian di UK. Sungguhpun yang demikian, gereja-gereja mereka hanya dikunjungi oleh warga-warga tua yang kebanyakannya wanita. Pada hari-hari minggu pun kebanyakan gereja-gereja tidak berupaya mendapatkan saf yang penuh. Lebih dahsyat lagi kebanyakan gereja-gereja lama terbiar tanpa aktiviti yang berjalan. Sekadar menjadi lambang, itulah hakikat kewujudan kebanyakan gereja-gereja di UK.

Bencana yang menimpa gereja-gereja di Durham bukanlah kes terpencil. Selain dari menjadi sasaran pencuri, gereja-gereja juga menjadi sasaran kegiatan vandalisme. Hal ini merupakan reaksi kepada kehidupan “tidak beragama” yang dianuti oleh majoriti rakyat kulit putih UK. Teringat saya kepada suasana gereja yang penuh di Petaling Jaya dan juga mana-mana bandar di Malaysia. Hal tersebut tidak dapat dibayangkan di UK, malah di bandara Kristian seperti Durham. Bak kata seorang rakan berbangsa British, dia tidak ke gereja pada hari Ahad, tetapi dia “wajib” ke pub pada setiap malam Jumaat dan Sabtu.

Sewaktu mengambil kelas Bahasa Inggeris di pusat bahasa Universiti, seorang warga Poland yang merupakan rakan sekelas juga merungut mengenai perkara tersebut. Menurut beliau, keadaan tersebut berbeza dengan Poland yang majoriti rakyatnya menganut agama Kristian mazhab Roman Katolik. Beliau dan juga rakan-rakan sebaya dengannya merupakan pengunjung setia gereja pada setiap pagi Ahad. Malah keseluruhan keluarganya menghadiri gereja pada setiap pagi Ahad. Apabila beliau sampai di UK, beliau agak terkejut dengan suasana di UK. Bukan sekadar beliau menjadi pengunjung yang paling muda di gereja yang beliau kunjungi, malah, gereja tersebut tidak penuh dan hanya dikunjungi oleh mereka yang sebaya dengan datuk dan nenek beliau sahaja.

Hal ini berbeza dengan AS yang telah menyaksikan kebangkitan ekstrimis Kristian dan juga golongan Christian Rights (Kristian berhaluan kanan). Evangelist begitu agresif menjalankan dakyah mereka di seluruh AS, malah di seluruh dunia. Ideologi kepulangan semula Jesus ke bumi menjadi sogokan kepada ramai rakyat AS. Hal ini pernah dibangkitkan oleh wakil kepada Dr K Sri Damanandha, wakil sami Buddha yang pernah dijemput ke Pusat Matrikulasi UIAM pada tahun 2004 yang lalu.

Keagresifan kaum Evangelist menyebarkan Kristian versi Evangelist telah membuatkan ramai penganut Buddha meninggalkan agama mereka. Keadaan semakin parah apabila kumpulan tersebut telah mula memasuki kawasan kuat Buddha seperti di Sri Lanka, Burma, Thailand, Korea, Jepun dan lain-lain lagi. Hal yang sedemikian telah membuatkan kumpulan-kumpulan Buddha mengambil inisiatif untuk menggandakan usaha mereka mempertahankan pegangan ajaran Buddha di kalangan penganutnya.

Kumpulan Evangelist kebiasaannya datang dengan duit dan perkara-perkara material. Bantuan kemanusiaan, pendidikan dna juga kerja-kerja amal menjadi pakej kepada dakwah Kristian mereka. Hal ini telah mula dicontohi oleh kumpulan-kumpulan Buddha. Sebagai contohnya, kumpulan Buddhist Tzu Chi semakin terkenal dengan kerja-kerja amal mereka di serata dunia. Lihatlah apa yang berlaku di Indonesia, Sri Lanka dan Phuket Thailand lewat gempa Tsunami.
Misi Tsunami JIMdi Mutur, Sri Lanka, 2005.

Kumpulan ini paling diakui keaktifan mereka. Lihat juga pengalaman banjir di selatan tanah air kita. Kumpulan Buddhist Tzu Chi juga merupakan yang paling aktif dan yang paling efisien. Tindakan mereka ini amat mengkagumkan dan berhak mendapat penghormatan. Reaksi mereka berbentuk rasional dan bukan semata-mata emosional.

Hal inilah yang membezakan umat Islam, lebih spesifik lagi pihak autoriti Islam berbanding dengan kumpulan-kumpulan Buddha tersebut. Di Malaysia, ustaz-ustaz dan juga orang-orang agama hanya berseronok membicarakan ketakutan mereka kepada fenomena “murtad” yang begitu digemparkan. Maka, ianya menjadi bola tanggung kepada pelbagai pihak untuk menyalahkan satu sama lain. Malangnya tindakan pro-aktif untuk mengatasi perkara tersebut tidak pula berlaku. Lebih malang lagi, orang-orang agama hanya seronok bercakap sahaja berbanding bekerja.

Perkara ini membuatkan saya berfikir panjang.
Apakah kesan pemikiran sekularisme Liberal menjadi begitu dominan sehingga menyebabkan suasana di gereja-gereja UK sedemikian rupa?
Mengapakah pula dakwah Kristian begitu rancak di negara-negara Asia?
Mengapa pula kaum Buddha begitu pro-aktif dan begitu rasional di dalam menghadapi suasana yang sedemikian.

Brancepeth Church, Durham.

Mengapa pula kaum Muslimin bersikap pasif dan lebih memilih untuk hidup di dalam paranoia?
Mungkin persoalan-persoalan ini boleh mengundang hipotesis-hipotesis yang kemudiannya akan menghasilkan tajuk-tajuk untuk kajian Masters ataupun PhD...

3 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Salam ustaz...

    Tahniah dari saya untuk 2 perkara; menyambung studi dukturah dan kemunculan maszleemalik.blogspot...

    Ustaz, apa kata artikel2 tulisan ustaz di Milenia Muslim dan lain2 makalah disumbat disini. Mudah sikit untuk dibaca dan buat studi.

    Adakah itu dikira plagiarisme ataupun tidak? nanti takut2 disaman majalah pula...

    ReplyDelete
  3. salam ustaz. saye bersetuju dgn pndgn ustaz. Di M'sia, kalo psl kes murtad mmg kecoh. Christians and penganut agame lain is looked as the bad person. As if all of them have a vengeance against Islam and is bent on converting and leading us astray. Fact is, they're as nice as any human is, their religion also teach of moral values, the believe in God and they hate any form of evil. They, truly believe they are on the right path. They think they're bringing us to the right path. There's no competition here. To say that missionaries are the culprit behind murtad is ridiculous. What we should be asking ourselves is WHY did the person murtad in the first place? Solve that and you'll solve the whole problem. Fact is, we are the ones not doing our job, our responsibility as a daei, a vicegerent.

    ReplyDelete