Steavenson Street,Bowburn
Memburu Layla....tul Qadar di Durham
Pada malam ke-21 Ramadhan 1428 (bersamaan 2 Oktober 2007), suasana di masjid Durham tidak serancak malam-malam sebelumnya. Seperti di tanah air juga, malam-malam penghujung menyaksikan kemerosotan bilangan jemaah ke masjid dan surau. Walau bagaimanapun malam ke-27 dijangkakan akan lebih meriah berbanding malam-malam sebelumnya. Di kalangan warga Arab, mereka beriman bahawa malam 27 merupakan spot question untuk malam laylatul qadr.
Malam ke-21 menandakan bermulanya pesta ibadat di bulan Ramadhan. Sepertimana yang telah diceritakan oleh Aisyah di dalam Sahih Muslim, Rasulullah SAW akan menggerakkan anggota keluarganya untuk beribadat di malam-malam 10 terakhir Ramadhan. Umm Salamah pula menceritakan bagaimana Rasulullah SAW beriktikaf di masjid pada setipa 10 malam terakhir Ramadhan dan menggandakannya (20 hari) pada tahun kewafatan baginda SAW.
Tazkirah di antara solat tarawih disampaikan oleh Saudara Muhammad Abu Saed dari Oman. Walaupun beliau seorang penganut mazhab Ibadhi yang berpusat di Oman, namun beliau tidak mengasingkan dirinya. Pengalaman saya bercampur dengan warga Oman samada di Jordan mahupun di UIAM menjadikan saya merasa kagum dengan Muhammad. Warga Oman memang terkenal dengan kebaikan hati mereka (yang warak dan yang beragama sahaja). Mereka juga terkenal sebagai orang-orang yang warak. Ini selari dengan akar pucuk ajaran Ibadhi yang bersumberkan ajaran Khawarij yang amat-amat mementingkan ketaqwaan dan kewarakan. Walau bagaimanapun kaum Ibadhi di Oman tidak mewarisi ekstrimisme kaum Khawarij yang mengkafirkan pembuat dosa. Mereka lebih cenderung kepada pendapat Muktazilah yang mengatakan pembuat dosa yang tidak sempat bertaubat akan kekal selama-lamanya di dalam neraka. Mereka juga menolak bahawa pelaku maksiat yang tidak sempat bertaubat akan menerima syafaat dari Allah SWT dan berpeluang masuk ke dalam syurga.
Orang Oman berbuka puasa
Pegangan mereka terhadap konsep “Wa’ad dan Wa’ed” yang mengatakan bahawa Allah SWT tidak akan mengungkiri janji balasan neraka terhadap pelaku dosa menjadi teras pegangan aqidah tersebut. Tidak hairanlah kaum Ibadhi yang warak dan beragama akan sentiasa dilihat bersolat sunat dan membaca al-Quran. Ibarat kata-kata syair golongan Khawarij yang awal, “Kami bersolat dengan merasakan neraka sedang membakar di hadapan kami, teling kami mendengar desiran daun-daun yang terbakar dek api neraka. Haruman syurga pula menusuk masuk ke dalam hidung kami, dan hati kami dipenuhi dengan rasa hina dan tunduk kepada Allah Maha Berkuasa”.
Lelaki Oman dengan pakaian tradisional
Walaupun kaum Ibadhi terkenal dengan kewarakan, namun mereka lebih suka menyimpan kewarakan tersebut pada diri mereka. Jarang sekali mereka terlibat dengan program-program Islam arus perdana. Mungkin itu pengalaman cetek saya bersama kaum Ibadhi dari Oman. Hal ini tidak saya temui pada Muhammad Abu Saed. Selain sikap beliau yang pro-aktif, beliau juga terkenal sebagai pendakwah yang tidak jemu memberikan tazkirah dan nasihat di masjid Durham. Seringkali samada khutbah, takzirah mahupun cetusan-cetusan yang beliau timbulkan mempunyai kesan yang amat mendalam kepada para pendengar.
Apa yang disampaikan dari hati, tempatnya ke hati juga...
Keikhlasan seseorang di dalam mengeluarkan nasihat dari jiwa yang bertawqa akan jatuh ke dalam hati yang ikhlas untuk menerima juga.
Hal ini selari dengan makna “nasihat” di dalam bahasa Arab yang membawa makna Ikhlas dan juga “keinginan untuk sesuatu yang baik kepada yang dinasihati”...
Nasihat tidak dapat lari dari unsur keihlasan...
Nasihat di atas dasar reaksi akan tenggelam bersama emosi.
Nasihat di atas perasaan marah, akan mengundang kemarahan juga.
Nasihat untuk menunjuk-nunjuk akan mengundang tentangan.
Nasihat untuk mendapatkan keuntungan material, akan hilang bersama hilangnya habuan yang dibelanjakan.
Nasihat yang ikhlas di atas dasar ketaqwaan, maka tempatnya di hati yang akan dicanaikan seiring keikhlasan beracukan acuan taqwa dan keimanan.
Pada malam 21 itu Muhammad telah mengingatkan para jemaah tentang peluang untuk memaksimumkan amalan pada malam-malam 10 terakhir Ramadhan. Beliau mengingatkan bahawa peluang untuk bertemu dengan Ramadhan pada tahun-tahun mendatang bukanlah sesuatu yang pasti. Maka peluang yang ada perlu direbutkan.
Beliau memberikan contoh seorang yang ketinggalan keretapi, dan mendapati hanya gerabak-gerabak terkahir sahaja yang tinggal. Maka orang tersebut hendaklah melakukan apa sahaja untuk meloncat ke dalam mana-mana gerabak terakhir tersebut.
Beliau juga memberikan contoh kisah benar dua orang sakit di hospital yang pernah diziarahinya.
Salah seorang pesakit tersebut akan memanggil sesiapa sahaja yang lalu di hadapannya. Mengapakah beliau memanggil?
Semata-mata untuk meminta pertolongan agar helaian al-Quran yang dibacanya dapat dialihkan. Beliau telah menjadi lumpuh dan tidak boleh menggerakkan apa-apa di bawah paras dadanya. Jika tiada sesiapa yang lalu, maka orang sakit tersebut terpaksa membaca dua muka surat di hadapannya sahaja...sehinggalah ada sesiapa yang lalu, barulah beliau berpeluang untuk membaca muka surat-muka surat seterusnya.
Apakah kita yang masih sihat ini akan menunggu sehingga lumpuh dan tidak boleh menggerakkan tangan barulah kita hendak membaca al-Quran?...
Seorang pesakit lagi mempunyai cerita yang lain. Beliau telah mengalami kecederaan parah akibat kemalangan. Kebanyakan tulangnya patah. Beliau sering menangis kerana telah lama tidak berpeluang untuk sujud dan meletakkan dahinya ke bumi menyembah Allah. Lebih malang lagi, sebelum ini beliau bukanlah seorang yang menjaga solatnya...
Kecelakaan tersebut telah menginggatkan beliau agar bertaubat, namun beliau tidak dapat melakukan sujud.
Apakah kita juga hendak menunggu tulang pata seluruh badan barulah teringin untuk sujud?...
Moral dari tazkirahnya, beliau menyeru agar para jemaah merebut peluang di malam-malam 10 terakhir Ramadhan pada tahun ini untuk mendirikan malam-malam mereka dengan ibadah. Beliau juga menyeru agar para jemaah tidak menangguh-nangguhkan keinginan untuk melakukan ibadat. Masa tidak akan menunggu kita...
Moral dari tazkirahnya, beliau menyeru agar para jemaah merebut peluang di malam-malam 10 terakhir Ramadhan pada tahun ini untuk mendirikan malam-malam mereka dengan ibadah. Beliau juga menyeru agar para jemaah tidak menangguh-nangguhkan keinginan untuk melakukan ibadat. Masa tidak akan menunggu kita...
No comments:
Post a Comment