Sunday 16 September 2007

Sekolah Melayu Bowburn


Sekolah Melayu Bowburn: penyelamat akidah anak-anak Melayu di Durham

Durham bukanlah nama yang glamor di kalangan rakyat Malaysia. Walau bagaimanapun, sebagai salah sebuah bandar yang bersejarah, tertua dan juga lokasi pelancongan di UK, Durham mempunyai nilainya yang tersendiri di kalangan masyarakat UK. Mungkin kewujudan Universiti di Durham pun tidak begitu diketahui oleh ramai rakyat Malaysia. Mungkin kerana bilangan graduan penuntut Malaysia dari unviersiti tersebut tidak seramai graduan dari universiti-unversiti lain di UK. Walaupun universiti Durham merupakan universiti ketiga tertua di UK, tidak ramai rakyat Malaysia yang sedar akan hal ini.



Kini, kebanyakan para penuntut Malaysia yang menuntut di universiti Durham merupakan calon-calon ijazah kedoktoran (PhD). Kebanyakan mereka mengambil jurusan perbankan dan kewangan Islam, serta segelintir mengambil jurusan pendidikan dan sains politik. Bilangan penuntut Malaysia di Durham tidak sampai 20 orang. Kehidupan mereka menjadi semakin mencabar apabila Durham merupakan kampung orang putih yang tidak mempunyai bilangan warga British bukan orang putih yang ramai. Jika di kota London, bandar Manchester, Liverpool, Leeds dan lain-lain bandar di UK terdapat ramai warga British tidak berkulit putih, hal ini tidak berlaku di Durham. Durham merupakan kampung orang putih.


Masyarakat Islam di Durham


Hal ini membawa kepada kurangnya bilangan umat Islam di bumi Durham. Kebanyakan masyarakat Islam di Durham adalah pelajar universiti, terutamanya pelajar-pelajar pasca siswazah. Mereka datang dan pergi. Orang tempatan Durham yang beragama Islam tidak ramai. Tidak hairanlah hanya terdapat sebuah sahaja masjid di bandar Durham, dan ianya amat kecil dan terletak di belakang bangunan sebuah bar di tengah-tengah kota Durham. Para pengunjung masjid terpaksa melalui bar yang dipenuhi dengan pelanggannya yang mabuk dan bau arak yang amat menyengitkan. Masjid tersebut hanya berfungsi untuk solat Jumaat dan juga kelas tajwid di hujung minggu sahaja. Di hari-hari cuti ianya lenggang. Kedudukannya yang jauh dari penempatan para pelajar Muslim menjadikan solat berjemaah, terutamanya Maghrib, Isyak dan Subuh sukar dilaksanakan.

Bagi masyarakat Malaysia di Durham, mereka lebih memilih untuk tinggal di kawasan yang bernama Bowburn. Kos sewa yang berpatutan (purata £420 sebulan) memaksa mereka untuk menghuni kawasan tersebut. Berbekalkan peruntukan sewa rumah sebanyak £191 sebulan oleh pihak penaja di Malaysia, adalah sukar untuk mereka menyewa di kawasan-kawasan lain di Durham. Bagi komuniti penuntut Arab Saudi yang kaya raya, mereka lebih memilih untuk tinggal di kawasan yang lebih mewah dan mahal. Hal ini sedikit sebanyak memberikan kesan terhadap pendidikan Islam anak-anak Melayu Malaysia di bumi Durham.


Sistem persekolahan arus perdana di Durham sudah tentunya tidak menyediakan pelajaran agama Islam. Masjid di Durham pun tidak menyediakan sekolah hujung minggu seperti yang terdapat di lain-lain tempat di UK. Masyarakat Arab Saudi mempunyai sekolah Islam hujung mereka sendiri yang begitu eksklusif. Bayaran £200 sebulan bagi setiap pelajar bukan warga Arab Saudi menjadikan ianya tidak termasuk di dalam agenda kehidupan masyarakat Mealyu Durham. Sesuatu perlu dilakukan demi menyelamatkan akidah dan juga penghayatan Islam di kalangan anak-anak Melayu Durham yang bilangannya mula mencapai 30 orang. Anak-anak dari lingkungan umur 5 sehingga 12 tahun ini memerlukan pendidikan Islam dan bahasa Melayu yang sempurna. Jika tidak, identiti keIslaman dan juga jatidiri Melayu mereka akan hilang. Sesuatu yang pro-aktif dan kreatif perlu dihasilkan...


Nafas Baru


Mesyuarat kaum ibu Melayu di Bowburn pada awal Julai 2007 telah membawa kepada ide penubuhan sekolah Melayu Bowburn. Jika masalah lokasi menjadi penghalangnya, maka pendekatan “home schooling” menjadi alternatifnya. Jika di tempat lain, sekolah hujung minggu menjadi pilihan, kini di Bowburn, sekolah Melayu berteraskan home schooling ini beroperasi tiga hari seminggu dengan dua sessi di setiap satu hari pembelajaran. Para pelajar dibahagikan mengikut tahapan umur masing-masing. Konsep “home schooling” mungkin masih baru bagi rakyat Malaysia, tetapi tidak di negara-negara maju. Malah di UK sendiri, konsep “home schooling” telah menjadi alternatif kepada ibu bapa yang inginkan penumpuan lebih terhadap anak-anak mereka. Konsep tersebut diiktiraf oleh undang-undang jika ianya menepati syarat-syarat yang diletakkan oleh kementerian pendidikan mereka.

Berbekalkan beberapa kajian dan penyelidikan (RnD) oleh kaum ibu yang ditugaskan, akhirnya sekolah Melayu Bowburn telah menjadi kenyataan para pertengahan Julai 2007. Pelajaran “Islamic Studies” di dalam bahasa Inggeris, Bahasa Melayu komunikasi, pelajaran jawi intensif, Bahasa Arab dan juga pengetahuan am kenegaraan Malaysia menjadi subjek-subjek utama anak-anak Melayu ini. Setiap kelas diadakan di rumah-rumah yang telah dipilih. Jika di Palestin, rakyatnya mengatasi masalah sekolah-sekolah sering dirobohkan oleh rejim Israel dengan mengadakan sesi persekolahan di rumah guru-guru yang terlibat, “home schooling” juga berperanan dengan bentuk yang sama. Rumah-rumah tertentu telah dipilih untuk menjadi kelas kepada para pelajar sekolah Melayu Bowburn. Kondusifme rumah dan juga ruang pembelajaran telah disesuaikan menurut kajian dan juga penyelidikan pihak yang terlibat. Kesemuanya penting demi memastikan konsep “home schooling” benar-benar dapat memberikan impak kepada pembelajaran anak-anak.


Jika di tempat lain mungkin masalah tenaga pengajar menjadi persoalannya, tetapi tidak di sekolah Melayu Bowburn. Kebanyakan dari kalangan kaum ibu yang menemani suami masing-masing terdiri dari kalangan pensyarah, guru dan juga profesional (peguam dan doktor). Konsep volunteerism menjadi tonggak sekolah Melayu Bowburn. Demi memastikan infrastruktur pembelajaran dan juga bahan-bahan pembelajaran cukup, pihak pengurusan memastikan semua anggota masyarakat terlibat. Ibubapa turut bertindak samada sebagai guru-guru ataupun pentadbir sekolah. Konsep takaful dan muafakat menjadi tonggak utama sekolah Melayu Bowburn. Jika di sekolah-sekolah konvensional, ibu bapa melepaskan tanggung jawab mereka kepada para guru dan sekolah, perkara sebegini tidak berlaku di sekolah Melayu Bowburn. Setiap ibu bapa adalah guru, setiap guru adalah ibu bapa. Prinsip “sekolah kami keluarga kami” juga menjadi motivasi kepada setiap penduduk Bowburn untuk membangunkan sekolah Melayu Bowburn. Setiap pembelajaran pasti akan melibatkan ibu bapa di rumah. Jika “sekolah” sering difahami dengan bentuk fizikalnya, di Bowburn tidak sedemikian, sekolah adalah keluarga, sekolah adalah masyarakat.


Kreatif


Selain daripada kelas-kelas pembelajaran, anak-anak juga disajikan dengan pelbagai aktiviti kreatif pembelajaran di luar kelas. Kursus penghayatan Solat, tayangan video berunsurkan pendidikan, pendidikan seni, latihan berpidato, lakonan, nasyid, summer camp dan lain-lain lagi aktiviti dilakukan demi mempelbagaikan corak pembelajaran agar anak-anak tidak merasa bosan.

Setakat ini sekolah ini berjalan dengan pembiayaan ibu bapa sendiri. Beberapa individu dari Malaysia juga telah tampil untuk membantu dengan membekalkan bahan-bahan pembelajaran yang dikirimkan melalui pos. Walau bagaimanapun banyak lagi bahan-bahan pembelajaran diperlukan untuk menceriakan lagi sekolah Melayu Bowburn. Walaupun guru-guru terlibat secara sukarela, namun kebajikan mereka juga perlu diambil kira. Keceriaan kelas di rumah juga memerlukan perbelanjaan. Setakat ini barang-barang terpakai yang boleh didapati melalui “Car boot sale” dan juga “Freecycle” menjadi peralatan sekolah.

1 comment:

  1. Assalam...wbt.

    Saya, Rashid Yusoff dari Kuching, Sarawak. Saya kagum dengan kegigihan pihak ibu bapa yang berusaha untuk mewujudkan sekolah melayu di UK. Bahan bacaan macam mana yang diperlukan? Mungkin saya dapat membantu mengikut kemampuan saya. Saya juga seorang guru mengajar di Kuching.

    Boleh tuan/puan berikan alamat untuk penghantaran bahan-bahan bacaan yang berkaitan.
    Semoga Allah berkati usaha tuan-tuan dan puan-puan itu.
    Terima kasih.

    Rashid Yusoff, Malaysia.

    ReplyDelete