Sunday 16 September 2007

Masjid di Durham


Masjid di Durham

Apa yang terbayang di benak fikiran ramai kaum Muslimin bila disebutkan perkataan masjid? Sudah tentu bentuk seni binaannya yang stereotaip. Sebuah bangunan tersergam indah, ada kubah, ada menara azan, ada ruang solat yang luas, ada corong pembesar suara untuk azan berkumandang, mempunyai kawasan yang luas, mempunyai tempat wuduk dan lain-lain unsur yang membolehkan sebuah bangunan itu menerima pentafsiran otak kiri sebagai masjid.


Gambaran stereotaip sebegini mungkin tidak sesuai di semua tempat di serata dunia, terutamanya di tempat di mana kaum Muslimin merupakan golongan minoriti. Saya teringat kali pertama saya berpeluang ke London adalah pada tahun 1997 sewaktu cuti musim panas di universiti, sewaktu saya masih menuntut di Jordan. Di sana saya telah ditemukan dengan sebuah bangunan yang dinamakan masjid tetapi tidak menepati ciri-ciri arkitek yang mendominasi benak fikiran ramai orang melayu Malaysia. Di sebuah tempat yang bernama Kenselgreen, ruang sudut sebuah perpustakaan telah dijadikan masjid. Begitu juga ketika saya berpeluang ke Sheffield di dalam siri lawatan tersebut. Sebuah masjid yang pada asalnya sebuah bangunan gereja terbiar telah saya kunjungi. Ianya terletak bahagian atas bangunan rumah kedai.

Di Jepun, ketika saya dijemput oleh persatuan pelajar Islam di sana pada tahun 2002, saya juga telah menyaksikan perkara yang sama. Walaupun terdapat beberapa buah masjid yang menepati seni bina masjid yang biasa, namun beberapa masjid yang saya kunjungi hanyalah merupakan bangunan-bangunan kedai yang telah diubah suaikan. Jasa golongan peniaga berketurunan Pakistan di dalam membina masjid di Jepun tidak dapat dinafikan. Selain daripada masjid Turki yang tersergam indah di Tokyo, kebanyakan masjid-masjid di seluruh Jepun merupakan bangunan-bangunan kedai yang telah diubah suai. Semoga para pembina masjid-masjid tersebut mendapat ganjaran seperti yang telah dijanjikan oleh Rasulullah SAW.


Di Durham keadaannya lebih kurang dengan keadaan tempat-tempat yang didiami oleh kaum minoriti Muslim yang lain. Sebagai sebuah bandar universiti, kebanyakan penduduk Durham merupakan para penuntut universiti. Majoriti kaum Muslimin juga merupakan para penuntut universiti. Ramai dari kalangan mereka adalah dari kalangan penuntut pasca-siswazah yang datang dari timur tengah. Universiti Durham bukanlah sebuah universiti yang glamor di kalangan rakyat Malaysia. Walaupun ianya sebuah universiti yang berprestij di Uk dan merupakan universiti ketiga tertua di UK, namanya tidak begitu dikenali sangat oleh rakyat Malaysia berbanding dengan Oxford dan Cambridge. Mungkin University of Nottingham pun lebih terkenal berbanding universiti Durham.

Komuniti kaum Muslimin di Durham mungkin berada di sekitar dua ratus lebih orang. Kebanyakan penuntut pasca siswazah adalah dari kalangan mereka yang telah berkeluarga, maka bilangan anak-anak menambahkan angka kewujudan kaum Muslimin di Durham. Bilangan yang hadir solat Jumaat mungkin tidak boleh dijadikan ukuran kerana ketiadaan kaum wanita dan anak-anak. Kehadiran solat Eid atau solat hari raya lebih memberikan gambaran yang paling hampir tentang bilangan kaum Muslimin di Durham.

Di Durham hanya terdapat dua buah masjid. Masjid yang asal merupakan rumah yang disewa untuk dijadikan masjid di kawasan di mana majoriti kaum Arab tinggal. Saiznya lebih kecil, kerana ia merupakan bangunan rumah, dan hanya dapat menampung bilangan jamaah yang amat terhad. Masjid utama ialah masjid yang terletak di bandar Durham. Di sinilah didirikan solat Jumaat, solat hari raya dan juga solat tarawih. Bangunan dua tingkat tersebut boleh menampung hampir seratus tiga puluh jemaah untuk solat Jumaat. Bilangan tersebut hanya dapat dicapai jika para jemaah bersikap toleransi dan berusaha mengecutkan badan mereka dan mengecilkan ruang untuk menampung bentuk fizikal asal mereka.

Seperkara yang menarik mengenai masjid yang dikelolakan oleh “Islamic Student Society of Durham University “ ini ialah mengenai lokasinya. Ianya terletak di belakang sebuah pub. Sebagai hadiah dari pihak universiti untuk para pelajar Muslim, mereka terpaksa redha dengan apa-apa sahaja yang diberikan oelh pihak universiti. Pub yang bernama “Dunk Cow” akan menyambut para jemah yang pergi untuk menunaikan solat di masjid. Sepanjang perjalanan untuk menunju ke masjid, para jemaah terpaksa melalui lorong gelap yang dipenuhi dengan aroma arak dari pub tersebut. Lorong gelap itu jugalah yang digunakan oleh pengunjung pub untuk memuaskan kehendak mereka. Banyangkan keadaan para jemaah yang menuju ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat pada kebiasaannya pada pukul satu tengahari. Pada waktu rehat itu jugalah para pengunjung pub akan berebut menuju ke destinasi pemuas nafsu mereka.

Lorong gelap menjadi saksi kewujudan dua golongan yang berebut menuju ke destinasi masing-masing dengan niat yang berbeza. Lazimnya para jemaah akan menjadi bahan tontonan para pengunjung pub yang bersantai di sebalik cermin pub yang luas. Mereka tersenyum tawar, para jemaah juga tersenyum hambar. Mungkinkah akan terbuka hati mereka untuk mengetahui apakah istimewanya bangunan masjid di belakang pub tersebut? Semoga Allah memberikan hidayahnya kepada seluruh umat manusia...Amin.


Di masjid Durham, sepertimana di masjid-masjid lain di UK, kepelbagaian bangsa kaum Muslimin jelas terserlah. Arab dari pelbagai negara, Pakistan, Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand dan lain-lain lagi. Kesemuanya mempunyai niat yang sama, iaitu mengabdikan diri kepada Allah SWT lewat ibadat solat...

1 comment:

  1. salam.
    Mungkin ade hikmahnye lokasi dekat dgn pub. Salah satu bentuk dakwah? =) Dakwah bilhal. Nanti stiap kali pegi solat, buat2lah muke bersemangat ceria, tertarik org2 pub tuh nak ikut. heheh. =).
    Syukur alhamdulillah, bace kisah2 ustaz di Durham, especially pasal byk usaha2, inisiatif2 sendriri yg waja yg ustaz dan komuniti Muslim (M'sia) kat Durham laksanakn. Memberi semangat serba sikit kpd hamba Allah di Czech Republic ini. =)
    Ustaz, teruskan usaha penulisan2 dlm blog nih ustaz! Best! Walaupun x ramai yg tuleh komen, sbenarnye ramai pembace kat luar nih ustaz. Ana kasi suggestion: Ustaz letakla counter kat blog nih...=)

    ReplyDelete