Monday 17 September 2007

Lucy dan Orientalis




Lucy dan Orientalis

Pernahkah anda terbayangkan menjadi minoriti di tempat sendiri? Mungkin pernah jika anda bekerja di stesen minyak yang dipenuhi oleh para pekerja dari Bangladesh. Atau juga jika anda tinggal di kawasan setinggan yang dipenuhi oleh imigran dari Indonesia. Mungkin juga jika anda seorang yang racist dan Malay Chauvinist, apabila anda bersekolah di sekolah Cina. Atau jika anda bekerja di pejabat, kilang, syarikat yang dipenuhi oleh rakan-rakan berbangsa Tionghua. Bagaimana perasaan anda ketika itu?, sudah tentu anda akan berasa terasing, dan kemahuan untuk “survive” itu lebih tinggi dari kebiasaan.


Lihatlah anak-anak Melayu di sekolah-sekolah Cina, lihatlah anak-anak Melayu di universiti luar negara, lihatlah orang-orang Melayu yang kaya-raya di Afrika Selatan, lihat juga bangsa Asia di UK, lihatlah jugalah kepada para peniaga Cina di kampung-kampung Melayu, lihatlah juga anak-anak Cina di UIA ataupun sekarang ini di MRSM. Hakikatnya itulah perasaan survival minoriti. Keinginan untuk bersaing, untuk menjadi yang terbaik menjadi sebahagian dari falsafah kehidupan.


Di jabatan tempat saya melanjutkan pelajaran peringkat ijazah kedoktoran, hal ini berlaku kepada orang kulit putih pribumi UK. Walaupun mereka adalah kaum pribumi atau bumiputera mengikut istilah Malaysia, tetapi di jabatan “School of Political Affairs and Governance” mereka adalah minoriti. Kebanyakan penuntut di jabatan ini merupakan kaum Muslimin dari segenap pelusuk dunia. Majoritinya berbangsa Arab, dan dari Arab Saudi. Bagi orang kulit putih yang mengambil pengajian peringkat Master dan PhD di dalam bidang politik di Timur Tengah, mereka akan menjadi minoriti di sini. Hal ini pernah dikongsikan oleh rakan sejabatan dan juga merupakan calon sarjana (Master) di dalam bidang pengajian Orientalis. Namanya Lucy, berasal dari Sunderland.


Sunderland, sepertimana Durham dan beberapa kawasan di Timur Laut (North East)England, merupakan kawasan yangdidominasi oleh orang-orang kulit putih. Amat payah mencari warga UK berkulit hitam mahupun dari keturunan Asia. Istilah yang selalu digunakan oleh penuntut-penuntut Malaysia di sini apabila merujuk kepada tempat-tempat seperti ini ialah “kampung orang putih”. Lucy berasal dari kampun gorang putih ini. Seperti warga North East yang lain, beliau mengakui pada mulanya beliau amat naif tentang kepelbagaian etnik warga UK. Mereka lebih menyangkakan bahawa UK adalah bumi yang didiami oleh orang kulit putih semata-mata.
Pandangan beliau telah berubah setelah beliau memasuki universiti Durham. Menarik mengenai universiti ini, hanya 15%penduduk Durham sahaja yang menuntut di sini. Selain dari yurannya yang mahal,syarat kemasukannya juga agak ketat, walaupun tidak sehebat Oxford dan Cambridge. Bukanlah hakikat tersebut bertujuan mengatakan orang-orang dari North East sebagai miskin dan kurang cerdik, tetapi ini menunjukkan prestij universiti tersebut di mata rakyat UK. Hal ini telah disedari oleh negara China. Tidak hairanlah negara tersebut menjadi negara yang mempunyai paling ramai pelajar di universiti Durham. Fenomena ini dapat dirasakan jika anda berjalan-jalan di sekitar bandar Durham yang amat klasik dan antik. Spesis manusia bermata sepet dan berkulit kuning langsat berteraburan di sana-sini.


Kembali kepada Lucy. Sebagai seorang pelajar lulusan sekolah aliran Methodist di Sunderland, beliau tidak banyak terdedah dengan budaya luar. Jika di zaman pra-siswazahnya beliau hanya melihat sahaja kewujudan para pelajar lain yang masih lagi di dalam saiz minoriti, segalanya berubah selepas beliau memasuki pengajian pasca siswazah. Beliau mendapati dirinya menjadi minoriti di kalangan para pelajar Arab, Pakistan dan Asia yang lain. Hanya beliau dan seorang lagi warga British berkulit putih sahaja yang bukan Islam di dalam kelas-kelas pengajiannya di Middle Eastern Studies School. Hal ini telah membuatkan beliau mula berfikir dan mengkaji. Akhirnya pembacaan dan kejian beliau membawa beliau kepada gambaran yang lebih luas mengenai kemajmukan rakyat UK. Beliau sedar bahawa UK adalah milik ramai manusia dan bukannya manusia berkulit putih sahaja.


Kesedaran tersebut telah menimbulkan keinginan beliau untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Islam. Semakin beliau mendalami tentang Islam, semakin beliau berasa rapat dengan kaum Muslimin. Mungkin ramai yang mengharapkan ending beliau sebagai seorang muslimah, begitu juga rakan-rakan sepenganjiannya. Walau bagaimanapun, kesedaran beliau tentang hakikat Islam dan juga sikap tidak prejudis serta sikap toleransi beliau sudah mencukupi sebagai langkah permulaan. Beliau sendiri mengakui banyak prejudis dan silap tanggap beliau telah berjaya dihapuskan setelah begelumang dengan literasi-literasi tentang Islam. Buku Edward Said tentang Orientalisme banyak membuka matanya. Sikap kritis beliau telah membawa beliau mengkritik karya tersebut yang disifatkan ketinggalan zaman. Menurutnya, sikap prejudi pengkaji Orientalis dan juga massa di Eropah menjadi lebih parah dari sebelum ini dengan kerja jahat media.


Beliau akhirnya memutuskan untuk menjadikan topik disertasi beliau tentang “Peranan media di zaman moden di dalam mencorakkan arus orientalisme moden diUK”. Amat menarik topik yang beliau pilih, semoga ianya akan menyumbangkan kepada perubahan sikap para pengkaji Orientalis di UK di masa hadapan. Peluang untuk memperkenalkan beliau dengan beberapa tokoh yang sememangnya berdepan dengan isu media dan umat Islam di UK amat-amat berharga buat saya. Tidak terbayangkan di kepala saya bagaimana beliau tidak mengenali Yvonne Riddley. Kami sama-sama terkejut mendapati bahawa Yvonne juga berasal dari Durham!!!


Anas al-Tikriti, jurucakap MAB dan mantan calon Respect Party dari Leeds juga amat bermanfaat bagi kajian Lucy. Selain dari dua individu tersebut, Dr Azzam Tamimi, CEO stesen televisyen al-Hiwar dan pengarah Institute for Islamic Political Thought yang berpusat di UK. Dr Azzam telah menyedari tentang peranan media di dalam mencorakkan pemikiran rakyat UK. Di atas kesedaran itulah beliau sering muncul di kaca-kaca televisyen rancangan dialog dan berita utama di UK. Beliau tidak mahu golongan yang membawa pentafsiran yang salah mengenai Islam muncul untuk mewakili umat Islam seperti yang sering berlaku sebelum ini. Malangnya, pihak media, terutamanya BBC sememangnya berminat untuk mengambil golongan yang membawa ide-ide radikal untuk mewakili umat Islam di media. Golongan yang mengkafirkan demokrasi, mengharamkan umat Islam mengundi, mendakwa ingin menegakkan pemerintahan Khalifah di UK, golongan yang ingin melihat kehancuran kaum bukan Islam di UK, golongan yang mengharamkan umat Islam bermastautin di UK, dan lain-lain golongan seperti itu menjadi keminatan BBC untuk muncul mewakili umat Islam.


Ibarat api yang sedang membara dicurahkan minyak. Semakin maraklah apinya membakar rentung segala yang kering dan yang basah. Hakikat ini memaksa Dr Azzam dan Anas untuk muncul di media untuk membawa kefahaman Islam yang sebenar dan sederhana. Usaha mereka membawa Dr Yusuf al-Qaradawi ke UK juga merupakan sebahagian dari usaha pemurnian imej Islam tersebut. Usaha tersebut memerlukan penerusan dan juga keiltizaman.
Kehadiran individu seperti George Galloway dan Ken Livingstone juga sedikit sebanyak menyumbang kepada natijah positif di dalam usaha tersebut. Saya teringat lagi apabila menyebutkan nama George Galloway, Lucy berteriak kesukaan “Yeah, I like George! He is the guy!”...semoga George akan terus menjadi inspirasi kepada Lucy dan perjuangannya...

No comments:

Post a Comment