Monday 17 September 2007

Fenomena Alam Yang Mengkagumkan




Fenomena alam yang mengkagumkan




Sebelum saya mula belayar ke Durham, UK, sepertimana halnya mereka yang terdahulu, saya telah cuba mencari orang yang telah pun berada di bumi tersebut. Alhamdulillah rakan sekerja kami di UIA, Wan Kamariah telah pun menetap di sana buat tempoh yang agak lama. Ketika menghubungi suaminya untuk urusan rumah sewa, saya dikejutkan dengan kenyataan beliau yang sukar diterima akal Melayu saya. Beliau mengatakan di Durham, mereka sedang bermain bolasepak, dan waktu di Durham adalah pukul lapan malam. Saya sangkakan mereka bermain bolasepak di waktu malam, tetapi saya terkejut apabila mereka mengatakan pukul lapan petang!




Maghrib di Durham menurut mereka adalah pada pukul 11.00 malam. Isyak pula dijamakkan dengan Maghrib, kerana mega merah tidak tenggelam-tenggelam. Subuh pula masuk pada pukul 2 pagi. Tidak terbayangkan oleh fikiran saya yang masih di Malaysia ini fenomena alam yang sedemikian, sehinggalah saya telah menjejakkan kaki ke bumi Durham. Memang agak ganjil, pelik dan menakjubkan. Siangnya lebih panjang, dan malam hanya sementara sahaja. Fenomena ini berlaku di musim panas, terutamanya di sekitar bulan Jun, Julai dan Ogos. Keadaan sebaliknya pula berlaku di musim sejuk. Malam lebih panjang dan siang lebih pendek.
Hal seperti ini memaksa umat Islam dan para ulama di UK membuat ijtihad baru yang tidak dijumpai di dalam kitab-kitab fiqh klasik. Kebanyakan kitab-kitab fiqh klasik lebih berorientasikan negara Arab, atau Pakistan, atau mungkin bagi penganut mazhab Maliki sebelah barat, lebih berorientasiakan Andalusia pada waktu itu. Malang sekali, suasa di sebelah utara dunia ini berlainan sama sekali dengan suasana dunia di sebelah tengah dan selatan.
Mungkin para pembaca sudah dapat terbayangkan, bagaimanakah keadaan berpuasa di Uk jika Ramadhan jatuh pada musim panas. Ataupun, perkara paling asas, di manakah waktu solat Isyak?




Hal ini telah membuatkan Majlis Ulama Eropah yang dipengerusikan oleh Syeikh Yusuf al-Qaradawi dan dianggotai oleh para ulama terkemuka seperti Syeikh Faysal al-Mawlawi dan lain-lain lagi mengeluarkan ijtihad baru. Oleh kerana waktu Isyak sepertimana di dalam erti kata hilangnya mega merah di langit dan keadaan malam benar-benar gelap tidak ditemukan di UK, terutamanay kawasan utara UK, maka kaum muslimin boleh menjamakkan Maghrib dengan Isyak.




Bagi rakyat Malaysia yang masih taksub dengan mazhab Nusantara, keadaan seperti ini mengundang kontreversi dan penolakan. Bagi kebanyakan rakyat Malaysia yang terpelajar dan berfikir, mereka lebih rasional. Lain tempat lain ijtihadnya. Banyak sekali fiqh tradisional di Malaysia yang diajarkan tanpa dalil-dalil dan hanya semata-mata ijtihad tidak sesuai di tempat lain. Malah sesetengah ijtihad di dalam karya fiqh-fiqh tradisional itu sendiri tidak sesuai dengan realiti dan keadaan di Malaysia, tetapi oleh kerana perasaan taksub, ianya tetap dipertahankan. Lebih malang hanya kerana ijtihad di dalam perkara-perkara ranting itu menyebabkan ramai orang Islam sendiri sukar hendak mengamalkan Islam dan memilih untuk meninggalkan Islam ataupun tidak mengamalkannya.




Buku “Fikah Luar Negara” yang saya karang bersama isteri, Hamidah Mat menyentuh tentnag perkara ini. Sedikit pengalaman berada di tempat orang dan negara pelbagai memaksa saya untuk berkongsi ilmu dengan para penuntut dan warga Malaysia Muslim yang berada di luar negara. Menariknya buku yang sedang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan Mandarin itu kin lebih diminati di negara-negara bukan Malaysia. Menurut pendakwah ala-Deedat yang mula naik di Malaysia, saudara Lim Jui Soon, beliau amat selesa menggunakan buku tersebut untuk mengajar umat Islam di Hong Kong dan Singapura. Beliaulah yang berusaha benar untuk menterjemahkan buku tersebut ke dalam Bahasa Mandarin.




Ustaz muda dan berketampilan di Malaysian Student Department (MSD) London, Ustaz erfino juga tertarik dengan buku berkenaan. Beliau sendiri pun sedang menyusun sebuah manual untuk para pelajar muslim Malaysia di UK berkaitan fiqh dan hukum-hakam. Kehadiran beliau di MSD UK dan juga di bawah pentadbiran pengarah baru En Nazri menjadikan MSD di UK sekarang ini antara yang paling aktif, kreatif dan inovatif di dunia. Sememangnya umat Islam di Malaysia memerlukan para aktivis yang kreatif dan tidak jumud untuk menyampaikan Islam dalam bentuk yang lebih mesra. Aktif dan agresif tetapi tidak mesra dan terlalu ekstrim juga tidak akan menguntungkan Islam.




Bagaimanakah pula berpuasa di musim panas, dengan waktu malamnya hanya empat atau lima jam sahaja?

No comments:

Post a Comment