Tuesday 18 September 2007


Edukationers dan Jihad bisnes

Para graduan universiti Al al-Bayt, Jordan pre-2000 merupakan golongan yang bertuah. Walaupun mereka terpaksa menghabiskan lima tahun dan 165 jam kredit untuk pengajian pasca siswazah, namun apa yang mereka dapat amat bermakna. Kesemua pelajar tanpa mengira jurusan yang diambil diwahibkan mengambil lebih 12 subjek Islam, subejk tambahan seperti psikologi, sosiologi, sains enviromen, komputer dan juga bahasa-bahasa asing. Subjek bahasa yang diwajibkan terbahagi kepada dua kumpulan, bahasa-bahsa Eropah dan juga bahasa negara-negara Islam.

Bagi subjek bahasa-bahasa Eropah, bahasa Inggeris, Jerman, Sepanyol, Peranchis dan juga Itali adalah antara yang ditawarkan. Bagi bahasa negara-negara Islam pula, bahasa Parsi, bahasa Urdu dan bahasa Turki adalah di antara subjek yang ditawarkan. Bagi sesiapa yang memilih untuk mendalami bahasa-bahasa tersebut, mereka diberikan peluang untuk mengikuti sehingga enam semester. Kurikulum tersebut khusus disediakan demi mencapai matlamat pengasas Universiti tersebut, Putera Hassan Bin Talal dan juga rektor pertamanya, Muhammad Adnan Bakhit. Mereka berhasrat agar para graduan universiti tersebut akan menjadi ilmuan yang menguasai pelbagai sudut keilmuan.

Kesan pengajian bahasa Jerman selama dua semester banyak memberikan kesan kepada diri saya sendiri. Sehingga kini, saya masih lagi cuba untuk belajar dan mengekalkan penguasaan terhadap bahasa berkenaan walaupun pada tahap yang paling minimum. Keberadaan di UK merupakan satu peluang untuk saya mengasah kembali bahasa bangsa Hitler tersebut. Terdapat beberapa siaran televisyen yang menayangkan filem-filem dan rancangan-rancangan dari Jerman. Antara filem yang menarik pernah saya tontoni adalah filem "Edukationers".

Menonton filem di UK bukanlah sesuatu yang baik. Anda terpaksa berhati-hati memilih agar tidak terdedah kepada dosa-dosa mata. Jika anda berada di UK, maka rancangan UKTV History lebih saya cadangkan. Bukan sekadar ianya memberikan pengetahuan mengenai sejarah, malah bahasa yang digunakan juga amat baik untuk para penuntut Melayu yang ingin mengasah bahasa mereka. Selain dari rancangan berita, BBC Parliament juga amat bermanfaat selain daripada Islam Channel bagi sesiapa yang melanggan Sky.

Berbalik kepada filem Edukationers, ianya merupakan filem yang mengisahkan kehidupan tiga rakan yang berfahaman Sosialis sayap kiri di Berlin. Fielm tersebut memaparkan idealisme ketiga-tiga pemuda tersebut di dalam menempuh kehidupan mereka. Bagi sesiapa yang berfahaman sosialis, ataupun mengkaji mengenai fahaman tersebut, cerita ini amat menarik untuk ditontoni. Dua pemuda dan seorang pemudi itu saling berkongsi hidup berteraskan falsafah kebebasan yang mereka anuti. Selain daripada itu, dua pemuda tersebut terlibat dalam satu aktiviti jenayah yang mereka lakukan derteraskan idealisme yang mereka anuti. Mereka memecah masuk ke dalam rumah golongan mewah dan kaya raya. Tujuan mereka bukanlah untuk mencuri, tetapi mereka mengubah corak hiasan di dalam rumah tersebut. Tujuannya ialah menimbulkan perasaan takut kepada tuan tumah. Di samping itu, mereka meninggalkan nota mengingatkan tuan rumah mengenai jenayah yang telah mereka lakukan terhadap masyarakat dengan kehidupan bermewah-mewah mereka sebagai agen Kapitalis. Mereka juga mengingatkan tuan rumah mengenai tanggungjawab sosial yang sepatutnya dilakukan terhadap rakyat yang miskin dan melarat. Di akhir nota tersebut, mereka meninggalkan tandatangan "Die Edukationers".

Rakan mereka yang ketiga pula menghadapi kesukaran hidup. Sebagai pemudi yang tidak mempunyai pendidikan tinggi dia terpaksa menanggung hutang sebanyak Euro 100,000. Sebabnya kecil sahaja, beliau telah melanggar sebuah kereta Mercedez yang berharga sebanyak itu dan terpaksa membayar gantirugi. Beliau terpaksa bekerja siang dan malam untuk melangsaikan hutang tersebut. Beliau yang pada asalnya tidak mengetahui mengenai aktiviti kedua-dua rakannya "Die Edukationers", akhirnya terlibat juga. Lebih malang lagi apabila percubaan beliau buat kali pertama dengan aktiviti "Die Edukationers" menemui jalan buntu apabila tuan rumah yang mereka cerobohi pulang. Lebih malang lagi apabila tuan rumah tersebut adalah tuan punya kereta Mercedez yang beliau langgar. Di akhir kebuntuan tersebut, mereka akhirnya telah menculik tuan rumah berkenaan.

Memandangkan mereka bukanlah penjenayah, penculikan tersebut lebih kepada usaha mendoktrinisasikan tuan rumah tersebut. Mereka telah memberikan input-input berdasarkan ideologi Sosialis mengenai keadilan sosial dan jenayah kaum kapitalis kepada mangsa tersebut. Malangnya, mangsa tersebut sendiri pun di waktu mudanya merupakan antara pejuang sosialis yang idealis seperti pemuda-pemuda berkenaan. Bezanya, menurut mangsa berkenaan, dia dan rakan-rakannya tidak menculik orang. Diringkaskan cerita, cerita tersebut sarat mengandungi mesej-mesej ideologi sosialis mengenai keadilan sosial dan pandangan mereka mengenai kekayaan dan pemilikan.

Hasil dari menonton cerita tersebut telah membawa saya mengimbau tentang keadaan di Malaysia. Jika di UK, perubatan adalah percuma melalui NHS, dan setiap rakyat mendapat bahagian yang sama banyak. Di Malaysia akan berlainan. Memang kerajaan menyediakan perkhidmatan kesihatan yang percuma setakat ini, namun khidmat kesihatan yang percuma memerlukan bayaran. Tidak semua orang mampu untuk menerima rawatan dan perkhidmatan kesihatan yang baik. Lebih malang lagi kualiti makanan yang baik pun kurang dinikmati oleh golongan berpendapatan rendah. Lebih menyayat hati lagi, hatta hospital-hospital yang menggunakan label Islam pun turut menjadi zon terlarang bagi golongan berpendapatan rendah, apatah lagi golongan petani di luar bandar.

Melihat kepada hospital-hospital swasta di ibu kota, hati saya turut terguris lagi apabila melihat hanya golongan borguese sahaja yang berhak menikmati perkhidmatannya. Walaupun ada di antara hospital-hospital yang terlibat di bawah kelolaan individu yang sibuk menjaja "Jihad Ekonomi", malang sekali beliau hanya memahami jihad dalam bentuk menjana kekayaan sahaj dan bukannya mengagihkan kekayaan tersebut. Apakah gunanya jika perkataan jihad itu hanya difahami di dalam kerangkan Kapitalis dan bukannya di dalam kerangka konsep "Takaful" yang dipromosikan oleh Islam.

Adalah pilu lagi mengenangkan beberapa hospital berjenama Islam dibina dengan menggunakan duit Baitul Mal, tetapi untuk mendapatkan rawatannya, hanya golongan yang berpendapatan sederhana dan mewah sahaja yang berhak menikmati. Mengapa tidak ditubuhkan hospital Islam menggunakan duit zakat untuk golongan berpendapatan rendah. Hantarkan sahaja pelajar-pelajar perubatan dengan duit zakat dan bila mereka pulang, ikatkan dengan hospital tersebut. Mengapa hospital-hospital swasta yang bertaraf lima bintang tidak menyediakan rawatan percuma ataupun hari-hari rawatan percuma untuk golongan yang berpendapatan rendah? Mungkin kehadiran mereka di hari-hari biasa akan menjijikkan Mak Datin-Mak Datin dan Puan Sri-Puan Sri...

Mungkin sudah sampai masanya bank-bank yang menjaja nama Islam pun menyumbang dalam hal ini. Jika mereka benar-benar ingin menjual produk Islam, ruh Islam juga mesti terjelma di dalam projek-projek yang mereka jalankan. Jika pihak-pihak hospital swasta enggan memberikan perkhidmatan perubatan percuma kepada golongan marhaen, mungkin bank-bank tersebut boleh memainkan peranan dengan membina klinik-klinik percuma dengan menggunakan perkhidmatan doktor-doktor pakar dan perubatan berkualiti tinggi. Mungkin golongan penasihat Syariah harus memainkan peranan yang pro-aktif selain daripada menghalalkan produk semata-mata untuk pihak bank mengaut keuntungan dari rakyat. Aspek kebajikan dan pembangunan mikro-ekonomi masyarakat berpendapatan rendah wajib dipelopori oleh bank-bank yang ingin membawa label Islam.

Penghayatan terhadap ayat 7 di dalam Surah al-Mumtahanah (59) di dalam al-Quran perlu difahami dalam bentuknya yang lebih komprehensif dan realistik!

No comments:

Post a Comment