Saturday, 22 September 2007

Adakah Masjid menjadi Rahmatan Lil 'Alamin?







Adakah Masjid Menjadi Rahmatan Lil Alamin?


Sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain-main tiba-tiba dijerkah dan diherdik. Kanak-kanak yang terkejut dengan herdikan tersebut pula kemudiannya dihalau dan diancam untuk dikhatankan ataupun diikat di tiang. Jika anda diberikan peluang untuk meneka, di manakah biasanya suasana tersebut berlaku, apakah yang akan anda jawab?

Apapun jawapan yang anda berikan, jawapan yang paling tepat ialah di masjid!

Bagi ramai kanak-kanak, masjid adalah taman terlarang. Masjid merupakan tempat yang khusus untuk orang-orang tua. Masjid adalah untuk kaki kuliah dan ceramah. Masjid adalah tempat untuk orang-orang baik. Masjid adalah tempat yang terlalu suci dan tidak boleh dikongsi dengan ramai pihak. Itulah realiti kebanyakan masjid-masjid yang terdapat di Malaysia.

Bukankah masjid sepatutnya dijadikan pusat penyebaran dakwah?

Bukankah masjid sepatutnya menjadi ruang umum yang terbuka unutk semua golongan manusia, muslim ataupun non-muslim.

Jika orang hendakkan maklumat mengenai Kristian, pasti mereka ke gereja, jika hendak melihat orang Hindu, pasti di kuil, begitu juga halnya dengan rumah-rumah ibadat yang lain.

Bagaimana jika mereka hendakkan maklumat tentang Islam?

Ke masjid?...pasti akan dijerkah oleh mereka yang bertugas...

Anjakan paradigma perlu dilakukan.

Tidak perlu merubah infrastruktur masjid. Tindakan tersebut hanya akan mengunutngkan kontraktor (yang pastinya non-muslim), dan menaikkan nama YB yang merasmikan sahaja. Apa yang perlu diubah ialah mentaliti dan juga sikap!

Di bawah ini ada beberapa lintasan hati yang saya agak praktikal boleh dilakukan oleh pihak-pihak yang berkuasa di masjid:


1) Tayangan Video Di Masjid!

Sedari awal terletusnya Intifadah 2000, penulis berpeluang untuk memecahkan tradisi masjid dengan menayang video di dalam masjid. Video-video terkini mengenai isu Palestin dan Intifadah akan menjadi paparan selingan ceramah-ceramah kesedaran Palestin. Selain daripada dokumentari, persembahan multimedia "flash" sering dijadikan daya penarik untuk masyarakat dapat menghayati isu Palestin dengan lebih dekat. Walau bagaimanapun tayangan-tayangan video tersebut masih lagi hanya menarik audien "dalam Masjid" dan bukannya orang-orang di luar masjid.

Persoalan yang sering timbul ialah, bagaimanakah kita boleh berupaya untuk menarik mat-mat rempit dan bukan Islam untuk mendapat faedah dari program-program masjid. Ceramah-ceramah, kuliah-kuliah, forum-forum dan juga marhaban dan berzanji hanyalah menjadi hiburan bagi sesetengah kelompok manusia sahaja. Kelompok ini akan terus setia dengan masjid, samada kerana usia mereka ataupun keimanan yang bertapak di dalam hati mereka. Bagi yang hati-hati mereka jauh daripada masjid pula bagaimana?, ataupun bagi non-muslim pula bagaimana?

Ide yang ingin dilontarkan di sini ialah tayangan video yang dilakukan di luar masjid. Samada ianya dilakukan di kawasan meletak kereta masjid, ataupun di taman-taman sekitar masjid. Tujuannya adalah untuk memberi pendedahan dakwah kepada masyarakat setempat. Jikalaulah fizikal masjid menjadi penghalang mereka, jika ianya diadakan di luar masjid, ianya tidak menjadi alasan lagi. Samada mat rempit, mat dadah, bukan Islam, malah sesiapa sahaja berpeluang untuk menerima percikan hidayah tersebut. Bayangkan, jika ianya dilakukan di tanah lapang ataupun di taman-taman permainan dan padang bola sepertimana kebiasaan ceramah-ceramah politik diadakan. Bukankah audien dakwah akan menjadi lebih ramai. Mereka yang lalu-lalang pun berpeluang menikmatinya. Seumpama tayangan gambar yang sering dilakukan oleh Jabatan Penerangan di kampung-kampun pada tahun-tahun 70'an dahulu, kini ianya boleh dilakukan demi menyemarakkan lagi usaha dakwah.

Kandungan video juga perlu dikawal. Janganlah nanti ada pihak-pihak yang ghairah menjalankan kempen-kempen politik dengan menggunakan kaedah tersebut. Sikap berkenaan hanya akan merugikan dakwah Islam yang lebih luas lagi. Cukuplah gelanggang media dan juga masjid-masjid dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu, diharapkan usaha dakwah kepada masyarakat majmuk tidak dicemari dengan polemik politik. Biarlah dakwah kekal dengan kesuciannya, dan jangan dibiarkan politik "kepuakan" menodai keharmoniannya. Video filem-filem Islam seperti "al-Risalah" (The Message) mengenai Rasulullah SAW, Omar Mukhtar, dokumentari-dokumentari mengenai Islam, mengenai Rasulullah SAW, ataupun dokumentari-dokumentari Harun Yahaya, mahupun debat-debat Ahmad Deedat adalah di antara bahan yang boleh ditayangkan. Yakinlah, ramai di kalangan mereka yang memeluk Islam adalah mereka yang terkesan akibat debat Ahmad Deedat.
Masjid yang terkesan dek tsunami di Mutur, Sri Lanka 2005.


Rancangan-rancangan Islam di Malaysia agak ketinggalan. Tanpa menafikan kekreatifan rancangan "Jejak Rasul" TV 3, dan doko "Syahadah" RTM 1, rancangan-rancangan yang lain hanyalah untuk golongan-golongan yang sudah baik. Forum Perdana, al-Kuliyyah, Halaqah dan lain-lain rancangan, kebanyakannya adalah untuk golongan pencen ataupun mereka yang disifatkan sebagai "mukminin" dan "mukminat" sahaja. Yakinlah, generasi MTV, generasi AF dan American Idol tidak akan terbangkit nafsu mereka untuk menontotnnya. Filem-filem "dakwah" juga amatlah mengecewakan, samda kebanyakkannya memaparkan M Rajoli sebagai heronya, ataupun ianya akan menjadi begitu stereotaip dan kaku. Lebih parah lagi jika ianya memaparkan "Islam Fantasi" yang lebih bersikap simplistik. Hidayah akan datang melalui "mimpi", jumpa "orang misteri" ataupun setelah menderhaka kepada ibubapa. Islam seumpama ini bukanlah realistik. Lebih malang lagi jika orang "agama" yang ingin dipaparkan adalah mereka yang mempunyai kostum tertentu dan juga "cara berjalan" tertentu. Sentiasa menundukkan kepada dan bercakap sebutir-sebutir, itulah ciri-ciri orang agama yang sentiasa dipaparkan. Islam baku!, islam kaku! Dan juga Islam "tidak realistik", itulah yang sering dijaja.

Rancangan-rancangan ceramah berbahasa Inggeris oleh penceramah-penceramah Bahasa Inggeris terkenal juga boleh dijadikan bahan tayangan. Penceramah seperti Hamzah Yusuf, Dr Azzam Tamimi, Yusuf Islam, dan lain-lain orator yang "moden" tentunya lebih dekat di hati masyarakat bandar jika ianya ditayangkan di bandar-bandar besar.


2) Program Bersama Non-Muslim

Berhubung perkara ini, saya memberikan tabik hormat kepada Surau al-Syakirin, Bandar Utama di Petaling Jaya. Mereka pernah mengadakan masjlis ramah mesra dengan masyarakat setempat yang majoritinya bukan beragama Islam. Umpan makanan percuma adalah gula-gula untuk mengundang masyarakat setempat, terutamanya kaum Tiong Hua. Sudut yang menariknya ialah kehadiran masyarakat setempat yang menggalakkan menambahkan lagi kekaguman sesiapa sahaja yang menghadiri program tersebut. Rasanya, usaha seumpama ini wajar dicontohi oleh masjid-masjid lain yang terletak di dalam taman yang turut dihuni oleh masyarakat bukan Muslim. Sudah sampai waktunya Islam yang lebih mesra dengan orang ramai dipromosikan. Islam tidak wajar dimonopoli oleh golongan tertentu sahaja. Sebagai "Rahmatan Lil 'Alamin", Islam sewajarnya dipromosikan kepada seluruh manusia di seluruh pelusuk dunia.

Masjid- masjid juga wajar mengadakan "ekspo Islam" ataupun karnival Islam untuk tujuan yang sama. Selain jualan-jualan yang menjadi daya penarik, ekspo pameran-pameran gambar, tayangan video, pengedaran buku-buku, liflet-liflet mengenai Rasulullah Saw, mengenai Islam secara percuma juga boleh dilakukan. Usaha seumpama ini bukanlah baru, di negara-negara barat ianya adalah sesuatu yang biasa. Tidak hairanlah ramai yang berminat untuk menjadi Muslim di sana. Hidayah mestilah diusahakan, walaupun natijahnya adlah kerja Tuhan. Malangnya di Malaysia, kita hanya mengharapkan agar golongan bukan Islam hanya akan menerima "mimpi-mimpi" tertentu sahaja untuk membuka pintu hati mereka kepada Islam. Cukuplah tauladan dari para sahabat yang memeluk Islam hasil usaha dakwah sahabat-sahabat yang terlebih dahulu masuk Islam dan bukannya melalui jampi-jampi ataupun mimpi-mimpi semata-mata.


3) Dakwah Booth

Sebagai pembayar cukai pendapatan, kaum Muslimin mempunyai hak untuk mempersoalkan apakah yang telah dilakukan dengan cukai tersebut. Umat Islam di Malaysia jauh lebih bertuah berbanding penganut agama lain. Mengapa tidak, di setiap belanjawan negara, pasti ada sahaja peruntukan untuk perkembangan agama Islam yang disalurkan ke badan-badan autoriti agama. Perkara yang sama tidak dapat dikecapi oleh penganut-penganut agama lain. Kedudukan Islam sebagai agama rasmilah yang telah membuka peluang kepada penganutnya untuk menikmati keistimewaan ini. Malangnya peruntukan yang disalurkan ini tidak digunakan dengan bijak!

Bukanlah menafikan usaha-usaha baik yang terlalu banyak dilakukan oleh badan-badan autoriti agama ini. Malangnya, usaha dakwah kepada masyarakat Islam dan bukan Islam yang berlaku tidak dapat memenuhi tuntutan masyarakat. Usaha dakwah Islamiah yang terbuka luas tidak digunakan dengan semaksimum mungkin. Kedudukan badan-badan tersebut sebagai autoriti agama juga tidak dimanfaatkan untuk tujuan dakwah sehebat mungkin.

Sekadar memberikan pandangan mengenai ruang-ruang yang wujud. Mengapakan tiada gerai-gerai "dakwah" yang mempromosikan Islam di pusat-pusat membeli belah?, rasanya golongan Rufaqa mempunyai jauh lebih banyak gerai-gerai yang menjual buku-buku "Abuya" mereka berbanding gerai-gerai yang dimiliki oleh badan-badan autoriti agama.

Bukankah masyarakat sebenar lebih ramai di pusat-pusat membeli belah berbanding di dalam masjid. Komuniti masjid adalah komuniti terpilih dan komuniti "ahli syurga". Ruang dakwah yang sebenar ada di luar masjid. Golongan non-muslim juga terdapat di luar masjid.

Banyak lagi ide-ide yang menarik dapat difikirkan oleh pihak berkuasa masjid. Hanya tinggal perlaksanaan sahaja. Mungkin ramai yang akan mempersoalkan, siapa pula nak melaksanakannya? Tenaga untuk melaksanakan sering menjadi persoalan yang menghantui AJK-AJK masjid. Jika ada AJK-AJK yang aktif di kalangan orang muda, nanti akan disingkirkan oleh “Old Guards”. Jika ada masjid-masjid yang aktif dikuasi oleh orang-orang muda, ada pula pihak “berkuasa” yang akan mengganggu...inilah dilemma masjid-masjid di Malaysia.

Apabila urusan masjid dipolitikkan. Sepatutnya masjid menjadi ruang bebas politik. Biarlah gelanggang dan pentas-pentas politik dan alam siber sahaja yang dicemari dengan pencak silat politik.

Berikan ruang bersih dan udara segar di masjid untuk umat Islam merapatkan ukhuwwah dan meningkatkan ketaqwaan. Pihak berkuasa sepatutnya tidak terlalu ghairah menggunakan kuasa untuk mempolitikkan masjid, begitu juga pihak pembangkan sepatutnya tidak begitu agresif memanipulasi ruang masjid untuk agenda mereka.

Apakah solusinya?

Masjid angkat!

Ya, persatuan-persatuan mahasiswa Islam sepatutnya mengambil masjid-masjid sebagai masjid angkat mereka.Jadikan mereka penggerak untuk program-program di masjid-masjid yang ingin melakukan “tajdid” (pembaharuan).Golongan siswa merupakan golongan yang bertenaga, mempunyai idealisme dan juga mempunyai waktu yang banyak. Sudah sampai waktunya umat Islam untuk menyaksikan revolusi di masjid-masjid seluruh Malaysia. Sudah sampai juga umat Islam menyaksikan revolusi pada usaha dakwah di bumi Malaysia ini!
Kementerian Waqaf Qatar, Doha 2005.

No comments:

Post a Comment