Sunday, 23 September 2007

Khutbah Pertama di Durham



Bersama rombongan KARISMA bertemu Syeikh Faysal Mawlawi di Beirut, 2005.


Khutbah pertama di Durham

Bukan susah untuk mencari lokasi masjid di bandar Durham. Jika ditanyakan lokasi masjid, pastinya ramai yang tidak tahu, tetapi tanyakan di mana pub Dun Cow. Pub menjadi tanda utama (landmark) untuk warga Inggeris bertemu. Selain dari nama jalan dan juga apa-apa bangunan utama, pub menjadi tanda jalan yang paling efisien bagi warga Inggeris mencari sesuatu lokasi. Satu lagi petanda yang mudah adalah Freemason Lodge yang tersergam gah di sebelah pub Dunk Cow. Bangunan Freemason yang dihiasi dengan ukiran-ukiran Masionis begotu jelas kelihatan dari setiap sudut. Hiasan bintang Daud (Star of David) di bangunan tersebut juga amat mudah dilihat dari jauh. Itulah uniknya masjid di Durham. Di belakang pub, di sebelahnya Freemason Lodge.



Seawal minggu pertama di Durham lagi, cikgu Talib, orang lama Malaysia di Durham telah mempelawa saya untuk menyampaikan khutbah. Mungkin terlalu drastik, maka saya lebih memilih untuk melihat lenggok khutbah di bumi Durham ini dahulu. Walaupun khutbah bukanlah merupakan sesuatu yang asing bagi seornag ustaz, namun khutbah di sini agak berbeza. Membaca pengalaman orang-orang lain seperti Ustaz Hasrizal aka SaifulIslam.com, Ustaz Erfino MSD UK, Tuan Hassan Tuan Lah mufti siber, dan lain-lain blogger yang berkongsi cerita mereka menyampaikan khutbah di rantau orang, menjadikan saya teruja juga untuk mencuba. Maklumlah khutbah di sini di dalam dua bahasa, Inggeris dan Arab. Mungkin ianya bukan sesuatu yang pelik bagi para penuntut Malaysia di Jepun yang terpaksa bergilir dengan para siswa dari Indonesia untuk menyampaikan khutbah. Walau bagaimanapun bagi seorang yang tidak pernah tinggal di bumi majoriti non-Muslim seperti saya, ianya adalah pengalaman yang baru.



Selepas berkenalan dengan Imam masjid tersebut, seorang “hafiz al-Quran” warga Libya, saya akhirnya diminta untuk menyampaikan khutbah yang pertama di masjid Durham. Imam tersebut amat istimewa. Beliau yang merupakan seorang penuntut di peringkat ijazah kedoktoran, juga merupakan seorang yang menghafal al-Quran. Selain menjadi imam di masjid tersebut, beliau juga dikenali dengan usahanya mengajar tajwid kepada komuniti muslim di Durham. Walaupun beliau mengaku sebagai peminat dan pengikut setia Syeikh al-Albani, namun peribadi dan perwatakan beliau amat moderat. Penampilan beliau amat berbeza dengan mereka yang taksub dengan al-Albani yang boleh dikenali secara terus melalui pakaian, sikap, janggut, riak muka dan ketiadaan toleransi ketika berpendapat. Pengalaman di Jordan banyak mendedahkan saya kepada golongan yang taksub dan tidak toleran seperti itu. Malang sekali apabila penyakit tersebut telah mula menular di Malaysia dan Indonesia.



Pemandangan sungai yang merentasi bandar Durham

Antara individu yang begitu mendesak saya untuk menyampaikan khutbah adalah seorang calon Master berketurunan Palestin. Tariq, seorang warga Jordan yang telah lima tahun di UK, telah meminta saya untuk menyampaikan khutbah seawal pertemuan saya dengan beliau. Sebagai seorang warga Palestin yang kuat beragama, beliau juga merupakan salah seorang penggerak aktiviti-aktiviti di masjid tersebut. Berlatar belakangkan pengajian hubungan antarabangsa (International Relation), beliau sedang menyiapkan disertasinya yang berkisar tentang pengaruh doktrin Wilayah Faqih Khomeini ke atas hubungan luar Iran. Jangan tersilap, beliau bukanlah seorang Syiah. Rakyat palestin memang tiada yang Syiah. Syiah bukanlah sesuatu yang popular di Palestin. Hubungan Iran-HAMAS tidak boleh ditafsirkan sebagai hubungan keagamaan, ianya lebih kepada hubungan politik.



Khutbah pertama yang telah saya sampaikan adalah berkisar tentang pengajaran surah al-Asr. Surah yang dikatakan oleh Saidina Omar sebagai mencukupi seorang Muslim jika ia sahaja yang diturunkan sebagai wahyu. Kupasan yang amat menarik berkaitan surah ini terdapat di dalam Tafsir Fi Zilal al-Quran karangan Syed Qutb. Beliau menggelarkan surah ini sebagai pendorong positif kepada setiap Muslim di dalam menempuh kehidupan mereka.Dr Yusuf al-Qaradawi pula menjadikannya sebagai panduan kepada para pemuda Muslim di dalam menempuh kehidupan mereka di zaman moden ini. Pendekata, terlalu banyak pengajaran yang terdapat di dalam surah yang amat ringkas tetapi padat ini.

Syed Qutb



Contoh-contoh yang praktikal dari surah al-Asr boleh membuka ufuk minda seseorang untuk melihat Islam dalam bentuknya yang lebih menarik. Bayangkan, surah yang pendek itu telah berjaya memecahkan pemikiran “ananiyah” atau “keakuan” yang banyak difahami oleh masyarakat Muslim. Seperti pemikiran kubur masing-masing, buat apa jaga tepi kain orang lain, mengapa sibuk-sibuk nak fikir pasal orang lain dan lain-lain lagi. Surah al-Asr telah memadamkan semua pemikiran dangkal seperti ini. Malangnya umat Islam yang sering membaca surah ini gagal menghayatinya dan mengamalkannya di dalam kehidupan mereka.
Umat Islam diberitahu oleh surah al-Asr, bahwa amal ibadat mereka sahaja tidak cukup untuk menjadikan mereka golongan yang tida rugi. Tuntutan agar berpesan-pesan dan seruan agar ianya ilakukan secara kolektif menjadi pelengkap kriteria sesorang itu untuk berjaya dan tidak rugi. Samada kerugian di dunia mahupun kerugian di akhirat nanti. Patutlah Omar berani mengatakan, cukuplah surah al-Asr sahaja diturunkan untuk membimbing umat Islam.



Surah al-Asr mengajar umat Islam agar berdakwah dan peduli terhadap saudara mereka. Surah al-Asr juga menyeru agar umat Islam sentiasa berfikiran “ummatic” dan bukannya individualistik. Dari surah inilah lahirnya konsep dakwah, amar makruf nahi munkar, ukhuwwah, kewajipan menuntut ilmu dan juga kewajipan beramal setelah berilmu dan beriman. Kefahaman terhadapsurah yang pendek in patut difahami oleh semua umat Islam secara komprehensif. Janganlah surah al-Asr hanya sekadar menjadi penghias setiap penutup majlis-majlis kegamaan sahaja.



Jika anda berasa teruja untuk melihat lebih lanjut mengenai tafsir surah al-Asr, silalah baca buku tafsir Fi Zilal al-Quran karangan Syed Qurb. Semoga segala pengajaran di dalamnya akan membawa anda ke dimensi baru di dalam memahami Islam.

No comments:

Post a Comment