Saturday, 19 November 2011


Dokumentari Ilmuwan Islam di TV3: Menyanggah Persepsi dan Menongkah Arus

Dr Maszlee Malik


Siri dokumentari Islam di media tempatan sering mempunyai ciri yang tipikal. Nasihat, fakta sejarah, emosi dan juga kerangka fahaman Islam konvensional. Isi kandungan dokumentari Islam juga seringkali dapat diagak oleh para penonton kerana persamaan pendekatan, skrip dan juga elemen normatif yang disogokkan. Tidak mustahillah jika pihak media penyiaran di Malaysia sendiri tidak bersungguh di dalam mempromosikan dokuemntari Islam, hatta yang mereka terbitkan sendiri. Hal ini berlainan pula dengan sambutan yang mereka tunjukkan kepada rancangan ala-hiburan seperti reality-show. Para penonton pun seringkali merupakan kelompok yang sama, dan para audien majoriti seringkali gagal disentuh oleh dokumentari-dokumentari Islam berkenaan. Akhirnya, apa sahaja dokumentari Islam yang diterbitkan, seakan ada persepsi di kalangan masa tentang isi kandungannya, penyampaian dan fakta yang seringkali bersifat stereotaip.

 
Di atas kesedaran inilah, pihak penerbit rancangan Ilmuwan Islam di TV3, iaitu Primeworks Media yang merupakan anak syarikat Media Prima telah cuba menongkah arus dan menyanggah persepsi. Walaupun siri dokumentari Ilmuwan Islam telah diterbitkan semenjak tahun 2005 lagi, namun di dalam siri tahun 2011, ia diterbitkan dengan banyak pembaharuan dan penambahbaikan. Pihak penerbit telah cuba mempadukan di antara dunia akademik dan juga dunia penyiaran. Untuk tujuan tersebut, pihak penerbit telah mendapatkan seorang pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa, Dr Maszlee Malik untuk menjalankan pengkajian ke atas topik yang menjadi subjek utama perbincangan Ilmuwan Islam siri 2011.  Konsep pembuatan dokumentari berteraskan kajian akademik dan kerjasama di antara pihak media penyiaran dengan menara gading bukanlah sesuatu yang baru di dunia barat. BBC, al-Jazeerah, National Geographic dan lain-lain media penyiaran terkemuka telah berdekad mengamalkan budaya RnD dan kerjasama bijak tersebut. Hasilnya, dokumentari yang mereka hasilkan mempunyai mutu dan kualiti bertaraf antarabangsa dan mempunyai nilai akademik dan keilmuan yang tinggi.

Bukan sekadar budaya baru yang diperkenalkan, malah pihak penerbit melalui produsernya, Hisham Abdullah telah cuba membawa konsep mempromosikan ide dan kesan rekaan ilmuwan Islam terdahulu kepada zaman moden. Bebanding dengan konsep menceritakan biografi ilmuwan silam yang kebanyakannya bersikap fakta yang memboringkan, Ilmuwan Islam tahun 2011 membawakan kesan ide dan rekaan para ilmuwan Muslim terdahulu di dalam kehidupan manusia di zaman ini. Untuk tujuan tersebut ide dan karya sebanyak tujuh orang Ilmuwan Muslim silam telah dipilih. Sepanjang lapan episod dokumentari yang disiarkan pada setiap Jumaat pada pukul 6:30 petang, penonton dibawa untuk berkenalan dengan Al-Jazari dengan konsep kejuruteraan mekanikal melalui menara jam gajah, di mana replikanya boleh didapati di British museum dan juga di dalam Ibn Batuta Mall di Dubai, al-Kindi dan al-Farabi sebagai pencipta not muzik telah dipilih untuk melihat konsep terapi muzik yang telah mereka hasilkan dan juga pengaplikasiannya sepanjang zaman dulu dan kini, Ibn Khaldun dan juga teori ‘Division of Labour’ dan kesannya kepada ekonomi pasaran-bebas masa kini dan juga Banu Musa tiga beradik dan juga tekonologi ‘automata’ yang merupakan konsep primitif kepada tekonolgi robotik moden.

Selain pendekatan isi kandungan yang menongkah arus itu, pihak penerbit juga telah melakukan revolusi di dalam dunia dokumentari Islam dengan mengambil pengkaji dan konsultan siri tersebut sendiri, Dr Maszlee Malik untuk menjadi penyampai atau hos dokumentari. Berbanding dengan tugas penyampai dokumentari Islam yang berbentuk seterotaip, Dr Maszlee telah cuba memperkenalkan konsep baru di dalam penghasilan dan penyampaian dokumentari, iaitu dengan membawa para penonton bersama menyelami falsafah dan makna-makna tersirat di sebalik perjalanan beliau menerokai Ilmuwan Muslim-Ilmuwan Muslim yang agung itu dengan membawanya ke kerangka kehidupan seharian mereka. Maka, bukan hanya sekadar penyampaian terhadap maklumat dan fakta yang tersedia, Dr Maszlee cuba meletakkan para penonton sebagai penilai, pengamat dan juga pengkritik sumbangan dan ide ilmuwan yang diperbincangkan. Pelbagai aspek pendidikan, budaya, politik, ekonomi, keagamaan, sikap, psikologi, sosiologi dan juga motivasi dipersembahkan di dalam keadaan para penonton berfikir, bersikap kritis dan menyelami ide-ide yang dipersembahkan melalui ‘perjalanan’ ilmu para ilmuwan agong yang dibincangkan merentasi milenium dan kurun-kurun yang lampau. Objektif utama yang cuba diperkenalkan oleh Dr Maszlee melalui lapan episod tersebut ialah, ‘mencari makna kehidupan para penonton melalui perjalanan ilmuwan silam dan ide mereka yang kekal sehingga kini’. Dr Maszlee seolah-olah membawa penonton menjadikan para ilmuwan silam dan ide-ide hebat mereka sebagai cermin dan refleksi kepada diri mereka sebagai bekalan perjalanan hidup para penonton pula.

Menarik lagi, demi membawa para penonton berkenalan dengan kesan ide-ide hebat ilmuwan silam yang diperbincangkan lebih intensif, Dr Maszlee membawa para penonton mengikuti ‘perjalanan’ atau ‘kembara’ beliau bertemu para cendikiawan hebat antarabangsa, di kalangan Muslim dan bukan Muslim untuk memahaminya. Tokoh falsafah Muslim di Eropah, Professor Tariq Ramadan dari Universiti Oxford, tokoh perbankan Islam di UK, Professor Rodney Wilson dan Dr Mehmet Asutay, ahli Royal Society dan juga pengarah pusat kajian sains dan tamadun Islam yang berprestij, The Foundation for Science Technology and Civilisation (FSTC), Professor Selim Husseini, pakar perubatan Osmaniyyah dan juga muzik terapi Professor Nil sari adalah di antara tokoh yang telah terlibat dan diwawancara sepanjang lapan episod Ilmuwan Islam tahun 2011. Konsep prefessionalisme dan juga usaha mencapai standard dokuemntari bertaraf antarabangsa selari dengan BBC dan National Geographic telah menjadi tema penerbitan dokuemntari Ilmuwan Islam musim ini. Pendekata, para penonton akan merasakan seolah-oleh mereka menyaksikan rancangan dokumentari yang dihasilkan oleh penerbit luar Negara sepanjang episod-episod yang ditayangkan tanpa sebarang stereotaip dan norma-norma kebiasaan.

Apa yang lebih menarik, konsep ‘participant-observant’ yang dibawa oleh penerbit Ilmuwan Islam kali ini yang dihayati oleh penyampaian luar kebiasaan oleh pengkaji dan penyampainya membawa para penonton menyelami sejarah silam tanpa meninggalkan realiti moden mereka. Untuk tujan tersebut, hospital muzik terapi di Edirne Turki, muzium perubatan Uthmaniyyah di Universiti Istanbul, Ibn Batut Mall di Dubai, lading ternakan unta di padang pasir di Sharjah, U.A.E,  Royal Society di London, Picardlly Garden di Manchester, padang ragut biri-biri dan juga gereja kuno (Cathedral) berusia lebih 1000 tahun di Durham University, England, pusat mandian umum (Hamam) dan saliran air Aqueduct di Istanbul dan juga pusat rehabilitasi muzik terapi di Yalova, turki adalah di antara tempat-tempat yang dipaparkan sepanjang ‘perjalanan’ Dr Maszlee bersama penonton untuk mereka mengutip makna-makna kehidupan untuk diaplikasikan di zaman moden. Pendekata, dokumentari Ilmuwan Islam 2011 yang telah bermula semenjak 4 November yang lalu merupakan gabungan di antara teknik penyampaian hos dokumentari terkenal Tim Mackintosh Smith dan datuk Bandar London, Boris Johnson di BBC, konsep penyelidikan dan misteri novel Da Vinci code karya Dan Brown, thriller filem National Treasure lakonan Nicholas Cage, konsep falsafah kehidupan dan perjalanan ala novel ‘Alchemist’ oleh Paulo Coelho dan novel ‘The Little Prince’ (Le Petit Prince) karya Antoine de Saint-ExupĂ©ry, dan juga sikap pengamatan (observasi) kritis Ibn Khaldun lewat karya agungnya al-Muqadimmah.





Kesimpulannya, inilah dokumentari ‘Islam’ pertama yang luar biasa di Malaysia. Selamat menonton pada setiap Jumaat, 6:30 petang di TV3!




No comments:

Post a Comment