Tuesday 19 April 2011

Mengapa Ikhwanul Muslimin Mesir perlu belajar dari PAS?


Mengapa Ikhwanul Muslimin Mesir perlu belajar dari PAS?

Dr Maszlee Malik*

Apa pun perkembangan terkini pasca-thawrah (revolusi) yang telah berlaku di Mesir, sesuatu yang tidak boleh disangkal ialah peranan yang bakal dimainkan oleh pertubuhan Ikhwanul Muslimin (IM) di dalam lanskap baru politik Mesir. Walaupun mereka menolak untuk bertanding di dalam pemilihan presiden dan juga menolak kemungkinan untuk mendapatkan majoriti di dalam parlimen Mesir menjelang pilihanraya umum yang akan diadakan, sesuatu yang hampir pasti, sesiapa pun yang akan memerintah Mesir nanti, IM hampir pasti menjadi sebahagian darinya. Memandangkan kebanyakan parti politik di Mesir mempunyai keterbatasan masing-masing dari segi saiz dan sokongan rakyat, tidak dapat tidak, kerajaan baru yang akan dibentuk pasti merupakan kerajaan koalisi. Apapun koalisinya, sesuatu yang pasti IM pasti akan menjadi sebahagian daripada koalisi tersebut. Ibarat perumpamaan Inggeris, IM pasti akan menjadi ‘sausage in the hotdog’ atau ‘beef in the plate’. Demi menempuh realiti yang bakal menjelang nanti, IM perlu belajar dari pengalaman gerakan Islam lain, terutamanya di dalam hal berkoalisi, mentadbir dan juga hubungan dengan non-Muslim. Meskipun sesetengah tokoh IM sibuk merujuk kepada pengalaman Turki, namun sebuah lagi gerakan Islam yang tidak kurang dinamisme dan pengalaman di dalam persada politik yang tidak patut diketepikan, iaitu Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Walaupun usia IM di dalam persada dakwah lebih lama dari PAS, dan IM juga pernah menyertai politik dan parlimen Mesir sebagai blok pembangkang, namun hakikatnya ialah IM masih kurang dar segi pengalaman berkoalisi untuk memerintah, apatah lagi mentadbir sebuah kerajaan berbanding dengan PAS. Di sinilah terletak kekuatan PAS yang perlu dikongsikan kepada ‘senior’ mereka untuk IM menempuh hari-hari mendatang di bumi Mesir. Realiti di dalam persada politik ialah, IM perlu belajar dari PAS yang lebih banyak makan garam dan telah merasakan jatuh bangun di dalam arena politik kebangsaan.

Sebagai contoh, PAS mempunyai pengalaman yang banyak dalam berkoalisi dengan pihak lain, hatta dengan seteru politik sekalipun semenjak ia ditubuhkan. Dari sudut yang lain pula, sejarah Malaysia telah menyaksikan bahawa PAS pernah berkoalisi dengan Perikatan di dalam kerajaan yang memerintah. Di dalam blok pembangkang pula, PAS pernah melalui zaman Angkatan Perpaduan Ummah (APU) untuk berkoalisi dengan golongan nasionalis Semangat 46 dan beberapa parti lain pada era-90’an. PAS juga pernah berkoalisi dengan Parti keADILan dan juga DAP di dalam Barisan Alternatif (BA) pasca-reformasi 1998. Terkini, PAS merupakan rakan koalisi aktif di dalam blok pembangkang Pakatan Rakyat (PR) yang telah menyebabkan tsunami politik yang melanda tanahair pada PRU ke-12, 2008, dan kini sedang mempersiapkan diri untuk memenangi PRU ke-13 sekaligus memerintah Malaysia.

Dari segi pengalaman memerintah dan mentadbir pula, walaupun PAS belum pernah memerintah Malaysia, namun PAS mempunyai pengalaman yang lama di dalam mentadbir dan memerintah negeri Kelantan. Di dalam waktu yang sama, kejayaan PAS memerintah Terengganu dan kegagalan mempertahankannya merupakan pengalaman berharga yang wajib dijadikan iktibar bagi IM. Kini, kemampuan dan juga keunikan PAS di dalam mentadbir negeri Kedah dan memajukannya berbanding tahun-tahun malap Kedah di bawah pemerintahan BN juga merupakan kajian kes yang perlu dipelajari oleh IM di Mesir.

Selain dari kekuatan serta pengalaman PAS yang telah disebutkan, PAS juga berpengalaman di dalam merangka manifesto dan belanjawan negara bersama yang lebih realistik untuk sebuah negara dalam kerangka politik jamak budaya, jamak agama seperti Manifesto BA, belanjawan alternatif dan mutakhir ini, Buku Jingga. Kemampuan PAS ini jika dinilai secara objektif, adalah jauh lebih komprehensif daripada manifesto politik IM tahun 2007 yang pernah menimbulkan kontroversi.

PAS juga dewasa ini telah menunjukkan sikap yang luar biasa di dalam pengupayaan wanita serta isu kepimpinan wanita. Selain daripada itu, PAS juga mempunyai ahli professional yang berpengalaman di luar dan dalam negara di kalangan para pimpinan professional, serta mempunyai jaringan hubungan dengan pihak non-Islamis yang berminat dengan pendekatan sederhana beberapa tokoh PAS. Sesetengah calon PAS juga telah membuktikan kredebiliti dan kemampuan mereka untuk meraih keyakinan non-Muslim di dalam PRU ke-12 (2008) yang lalu dengan memenangi kerusi di kawasan ramai non-Muslim seperti Dato Seri Nizar, YB Dr Mariah, YB Dr Dzulkifli, YB Dr Halimah dan lain-lain lagi. Keberadaan golongan ‘mualaf’ (saudara kita) sebagai wakil PAS seperti YB Khalil Idham Lim dan Anuar Tan juga merupakan satu pendekatan yang boleh dipelajari oleh ramai pihak.

IM perlu mempelajari ini semua dan disesuaikan dengan situasi baru di Mesir kini. IM perlu menerima hakikat, mereka tidak dapat tidak, akan bekerjasama dengan golongan minoriti Kristian Koptik yang membentuk sebahagian dari opulasi rakyat Mesir. Jika sebelum thawrah, rejim Mubarak sentiasa mewujudkan perasaan curiga dan juga permusuhan di antara IM dan juga golongan gereja Koptik, realiti yang baru menuntut satu kerangka yang baru di dalam hubungan tersebut, terutamanya di dalam ruang sosio-politik ekonomi. Pengalaman PAS di dalam ruang ini amat-amat berharga untuk dipelajari dan dikaji oleh IM. Konsep ‘PAS For All’ yang telah Berjaya melenyapkan prejudis sesetengah non-Muslim terhadap perjuangan PAS perlu dicontohi oleh IM.

Tidak pastilah samada perkara-perkara yang telah disebutkan ini disedari oleh PAS, namun mereka perlu bersikap pro-aktif di dalam hal tersebut. PAS perlu melihat semula diri mereka dengan sudut pandangan yang berbeza. PAS juga perlu membuang sindrom rendah diri di hadapan Syeikh-Syeikh Arab, terutamanya IM, semata-mata kerana mereka Arab atau semata-mata kerana mereka adalah ‘Ikhwan’. PAS perlu keluar kepompong rendah diri ini, dan mula berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah untuk saling belajar dan bertukar-tukar pengalaman. Tidak keterlaluan juga jika dicadangkan bahawa sudah tiba masanya untuk PAS menjadi fasilitator kepada IM, malah juga kepada gerakan-gerakan Islam di dunia Arab yang bakal mengisikan ruang pasca-thawrah di Negara masing-masing.

Demi menjayakan proposal di atas, PAS perlu mempromosikan diri mereka dengan memperbanyakkan literasi dan lontaran ide mereka di dalam media global berbahasa Arab, seperti laman web al-Jazeera, al-Quds al-Arabi, akhbar al-Ahram, majalah al-Mujtama’, dan lain-lain media baru. Di samping itu, PAS juga perlu bersikap pro-aktif di dalam membuktikan kewujudan mereka dengan mengetengahkan berita, fikrah dan juga pandangan kritis mereka kepada dunia Arab dengan menerokai ruang forum bagi para pimpinan parti di stesyen-stesyen televisyen antarabangsa berbahasa Arab yang popular seperti al-Jazeera, al-Hiwar, al-Arabiyah, Iqra TV dan al-Risalah. Banyak pengalaman PAS yang berharga perlu diketahui dan dipelajari oleh gerakan Islam yang lain di bumi Arab.

Untuk tujuan tersebut, para pemimpin PAS perlulah mempunyai kemampuan untuk berbahasa Arab yang ‘standard’ dan mampu untuk mengetengahkan ide-ide PAS untuk audien antarabangsa dan lebih global. Di dalam hal ini, para pimpinan PAS, terutamanya para ulama harus melepasi zon ‘jaguh kampung’ untuk muncul sebagai ‘tokoh antarabangsa’ dan ‘para ideolog’ wacana gerakan Islam. Mungkin sudah tiba masa bagi para pimpinan ulama PAS kini untuk meneroka ruang yang serba mencabar ini dan meninggalkan zon selesa berceramah dan hanya menulis untuk ahli semata-mata. Para pimpinan ulama PAS perlu berani untuk meneroka pasaran global dan pengkajian luaran demi menempatkan diri mereka dan juga PAS di persada antarabangsa. Kualiti para pimpinan ‘ulama’ PAS seperti ini penting, agar mereka benar-benar bukan sahaja dilihat berkaliber, tetapi juga substantif dan berkualiti.

Demi menyikapi cabaran baru yang telah disebutkan itu, PAS perlu mempunyai sebuah pusat kajian yang khusus atau think tank untuk memasarkan PAS di rantau Arab dan juga dunia. Tugas ini hanya mampu dilakukan oleh mereka yang mempunyai penguasaan bahasa Arab yang mantap, pengetahuan mengenai politik timur tengah, budaya Arab dan juga jaringan yang kukuh dengan pihak media, akademik, serta aktor politik di timur tengah. Pusat kajian ini juga perlu terlibat aktif di dalam menterjemahkan literasi-literasi PAS dari Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris dan Arab untuk edaran antarabangsa. Sudah tentunya bukan sekadar IM yang berhak belajar dari PAS, malah gerakan-gerakan Islam lain juga. Sudah sampai juga masanya pengalaman-pengalaman PAS berkoalisi, mentadbir dan berpencak di dalam suasana politik Malaysia dihidangkan kepada warga dunia. Hanya dengan cara ini sahaja PAS boleh menyumbang kepada IM, gerakan Islam lain dan juga perjuangan Islam di dalam perubahan lanskap politik di rantau Arab. PAS perlu berjiwa lebih besar untuk bersama membawa perubahan bukan sahaja di tanah air, tetapi juga di peringkat antarabangsa…


* Penulis adalah pensyarah di UIAM, merupakan mantan tenaga pengajar di Durham University (2009), UK dan juga mantan penceramah subjek ‘Political Islam in ASEAN’ di SOAS, London (2009-2010). 

17 comments:

  1. Assalamualaikum Dr.

    Artikel serampang dua mata ini bernas untuk dibaca oleh sebuah gerakan nasional yang berjiwa besar. Moga saranan yang dikemukakan, diteliti untuk potensinya diisi dengan penuh semangat dan rasa amanah kepada ummah, Insya Allah.

    ReplyDelete
  2. Assalamuaikum Ustaz Dr,

    Saya nak bertanya, adakah sejak zaman berzaman usaha saling belajar antara satu sama lain ini masih belum berlangsung?

    Jazakallahu khayran.

    ReplyDelete
  3. assalamualaikum wbt

    Ustaz, macam melimpah ruah pula pujian kepada Pas. Segan pula saya membaca, sebab kami tahu Pas masih banyak kelemahan. Doakan kami thabat dalam perjuangan Ustaz, dan moga perjuangan kami sentiasa di landasan benar. Amin.

    ReplyDelete
  4. assalamualaikum wbt,

    Tahniah ustaz Mazlee..satu artikel yg saya kira menarik kerana membawa saya berfikir dari sudut yg berbeza..setuju bahawa PAS perlu mengupayakan pengaruh dan dakwah mereka ke peringkat lbh luas disamping membangunkan kader2 duat yg soleh lg musleh di Msia khususnya..

    ReplyDelete
  5. Dalam usaha menembusi pandangan global, perlu ditingkatkan lagi usaha untuk menambahnilai kekuatan lokal. Ahli-ahli PAS perlu diperhebatkan lagi dengan ilmu yang luas, fizikal yang sihat dan akhlak yang terpuji supaya bersedia menjadi contoh teladan bagi masyarakat global di luar sana. Tidak cukup hanya pengalaman parti dan pimpinan sahaja yang menjadi teladan, perlu dikuatkan lagi dengan kekuatan ahlinya.

    ReplyDelete
  6. Salam. Personally, saya rasa soalan ustaz hanya mampu dijawab oleh IM sendiri. Kita di sini masih mentah dalam jalan dakwah. dan mereka telah menghadapi jatuh bangun dakwah sejak selepas 4 tahun 1924 lagi.

    Buku Syarah al-Banna juga bagus untuk dikupas untuk memahami jiwa IM.

    Wallahu a'lam

    ReplyDelete
  7. Assalamu'alaikum..
    Benar apa yang saudari Bintu Rafee katakan.
    As-Syahid Imam Hassan Al-Banna begitu memahami setiap asas penubuhan Ikhwan Muslimin. Kesemua persoalan yang Ustaz utarakan sudah awal-awal tersedia jawab oleh As-Syahid Imam Hassan Al-Banna dalam penulisan-penulisannya.

    Wallahu 'alam

    ReplyDelete
  8. Al Banna mmg genius, Ikhwan memang hebat, namun dari segi praktikalnya, PAS mendahului...zaman berubah, pendekatan pun berubah, method al banna juga tidak salah di ubah kerana itu bukannya kalamullah...yang muda tidak salah belajar dari yang tua, yang tua juga tidak salah belajar dari yang muda...semoga daulah islamiyyah tertegak!

    ReplyDelete
  9. Assalamua'laikum.

    Ana rasa Dr. sudah menilai hal ini daripada pelbagai aspek, termasuk melihat segala rujukan penting tentang IM. Dr. telah mengkaji politik dengan serius di bidang akademik. Mungkin tidak ada salahnya IM cuba belajar daripada PAS. PAS pun boleh belajar daripada IM. Masing-masing ada inputnya.

    InsyaAllah artikel ini boleh menjadi renungan yang berguna dan asas perbincangan yang boleh diluaskan lagi.

    ReplyDelete
  10. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  11. salam Dr. sanagt menarik. Dr telah membuka mata saya dan ramai orang denga artikel ini . tahniah. Dr menulis pada pandangan yang sangat kritikal.

    ReplyDelete
  12. Assalamualaikum Dr.
    Semoga artikel Dr merangsangkan lagi semangat juang ahli-ahli dan kepemimpinan PAS.Perkongsian pengalaman dan maklumat sungguh berguna dengan izin Allah.

    ReplyDelete
  13. Assalamualaikum Dr,

    Suatu artikel hasil penelitian dan kajian yang sangat baik untuk dikongsi bersama. Saya impikan Malaysia akan diperintah oleh suatu organisasi yang akan menjadikan Al-Quran dan hadis sebagai teras. Dengan merendah diri, saya akui tahap pemikiran saya masih lagi belum matang sepenuh, jadi segala pendapat yang keluar dari hati nurani ini bertujuan untuk kita sama2 berkongsi dan membangun potensi kerajaan Islam di Malaysia. Sebelum saya pergi jauh , ingin juga saya kenalkan latar belakang diri saya. Dilahirkan di Kelantan,dibesarkan,didik dan juga tekad kembali ke Kelantan setelah lama menuntut ilmu di ibu negara. Walaupun secara dasarnya saya sangat tidak setuju dengan PAS ( dan juga tidak menyokong UMNO), saya bersetuju dengan pendapat Dr. bahawa PAS mempunyai pengalaman yang sgt luas dalam jatuh bagun politik dalam negara. Cara kepimpinan yg sederhana sedikit sebanyak memberikan kelainan dari segi cara hidup penduduk negeri Kelantan berbanding negeeri lain. Walaupun pembangunan yang tidak begitu pesat,kemajuan minda dan ekonomi boleh dikatakan berkembang.

    Cuma, apa yang saya ingin utarakan disini,...pengalaman berpolitik PAS yang dimiliki, jika hendak dikongsi bersama dengan IM ia merupakan satu perkongsian yang sangat baik. Tetapi, PAS juga perlu banyak belajar dari IM mengenai tarbiyah islamiah yang sepatutnya. Pendapat peribadi saya mengatakan, jika PAS menjalikan kolasi dengan DAP dan PKR semata2 ingin turut sama memerintah Malaysia, kerajaan yang akan terbentuk nanti tidak ubah seperti BN malah mungkin akan menjadi lebih teruk dari kerajaan sekarang kerana PAS bukanlah satu parti yang dominan dalam kolasi tersbut. PAS dilihat lebih banyak mengikut telunjuk dari mengemudi ke haluan sebenar.

    Bagi saya, PAS perlu ,lebih menitikberatkan tarbiyah penyikongnya dalam menyeimbangi hasrat menjadi kerajaan yang lebih adil. Jangan jadikan seperti BN yang lebih menitiberatkan pembangunan jasmani dari pembangunan sahsiah. Mengapa saya kata begini? Melalui pengalaman saya, dalam sebuah kampung, yang majoritinya muungkin dalam 80-90 peratus adalah penyokong PAS tegar, majoriti juga yang tidak solat ( 70-80%).Itu baru di sebuah kangpung, jika diseleruh Kelantan, saya juga tidak pasti berapakah peratusannya.. Bagaimana PAS boleh memupuk semangat politik dalam setiap penduduk kampung itu untuk menjadi penyokong kuat, seharusnya juga suatu usaha yang setimpal ( malah atut dilebihkan) untuk menjadi seorang muslim yang sejati. (mungkin pendapat saya sedikit tersasar, namum bagi saya, jika ingin menjadi muslim yang sejati, kita harus melihat kepada tiangnya dahulu(SOLAT)).

    Jadi, apa yang lebih penting dari memerintah sebuah negara, ialah membentuk masyarakat yang patuh kepada ISLAM secara MUTLAK tanpa mengira fahaman politik. Apakah sisstem tarbiyah yang dilaksanakan sekarang sudah berkesan?JIka PAS masih lagi belum mampu menjadikan Pengikut setianya beriman sebetul-betulnya atau penduduk di Kelantan dahulu sebagai ujian pertama mereka. Apakah mampu untuk PAS mendidik penduduk Malaysia yang lebih ramai. Pembentukan sahsiah melalui tarbiyah dilihat lebih berkesan daripada pendekatan mehukum. Jadi, hati kecil saya megatakan, jika PAS mengimpikan menjadi satu kerajaan yang adil di Malaysia dan ikhlas ingin menegakan agama Allah di muka bumi Malaysia, mereka perlu berlu dari menerapkah akidah dah iman yang tebal di setiap kalangan masyarakat. Jika Iman yang telah tebal dihati setiap masyarakat, dengan sendirinya kerjaan Islam yang lebih syumul dapat memerintah Malaysia. Akhir sekali, jika sekalipun PAS tidak dapat memerintah Malaysia, usaha mentar biyahkan ummah akan dibalas syurga oleh Allah..... InsyaAllah

    ReplyDelete
    Replies
    1. likes! Saya risau sebenarnya kita berjaya mengumpulkan anak muda sedemikian ramai ribuan k,namun kita bimbang jika anak muda ini kosong dalamannya.Jangan pimpinan saja yang ulama' amilin pengikut rakyat jelata juga harus dibantu.

      Jika kita tidak serius membina individu muslim,jangan bicara membina daulah islamiyyah.Ya,mungkin kita pegang tampuk negara hari ini,bimbang esok tentera kita sendiri merobohkannya esok.

      Giatkan lah aktiviti gerak kerja daripada sekolah rendah hingga ke mak nenek,yang saya nampak kemas pergerakannya seperti NGO Ikram :D

      Delete
    2. 1. Pendidikan berkaitan solat tanggungjawab *sepenuhnya* sistem pendidikan kebangsaan. Contoh kecil, anak murid berada di sekolah kebangsaan sesi petang. Siapa bertanggungjawab menyuruh mereka solat ?
      2. Ust2 PAS diban bagi ceramah di negeri2 tertentu terutamanya di Johor. Jadi siapa yang boleh tarbiyah ?
      3. Tanggungjawab dakwah orang untuk solat bukan t/jawab PAS semata2 dan bukan t/jawab Kerajaan Malaysia dan bukan t/jawab org tabligh je.
      4. PAS bukan NGO

      Delete
  14. salam ustaz..
    saya mungkin tak tahu pape tentang dunia politik
    saya cuma hamba Allah yg biasa2
    soalan bermain di kepala sedari awal pembacaan
    du'at di malaysia bergerak utk naikkan pas atau naikkan islam ye?
    kalau betul mereka semua kerja utk naikkan islam, kenapa islam tak tertegak dalam diri sebahagian dari mereka?
    mana mungkin hati yang kosong, hati yang tiada Allah, mahu tegakkan agama Allah di muka bumi..
    *curious nak tahu*

    ReplyDelete
  15. Saya tak pernah undi UMNO sebelum PRU 13 tetapi sejak akhir2 ini saya lihat terlampau banyk divergent dari objective yg membuat saya menilai pengundian walaupun saya ada beberapa persetujuan dengan Dr....
    1,) PAS lebih banyak pengalaman Politik dan Koalisasi - betul analisa tetapi salah konklusi- IM telah diletakan asas perjuangan oleh HAB dari tahun 1928 . Kesemua jalanya telah di letakan batu asas dan tanda arasnya.Bermakna IM berjuang atas ASAS dan PRINSIP dari 1928 sehingga sekarang tetapi pengalaman PAS sbgmana Dr nyatakan seperti Berkoalisi, Pengalaman dgn Semanagt 46 dan Sekarang Bertahalluf dengan Kafir Laknat, menunjukkan PAS tidak berjalan atas asas TETAPI banyak Trial and ERROR ...dan beberapa ERROR yang telah dilakukan sebelum ini akan berulang pada PRU 13 kerana Ulama dalam PAS adalah Ulama POLITIK bukan ULAMA USHUL seperti Ikhwan
    2.) IM di negeri yang telah terlibat dengan POLTIK tanpa persetujuan IM Pusat, sehingga harini tiada yang menguasai negara sehampir IM di Mesir...bererti HAB benar dalam meletakkan asas agar Negara dan Hudud bukan tumpuan utama tetapi Berdakwah merubah hati dan kemudian membina negara beraqidah..
    Semoga 2 teguran awal ini dapat membantu dalam kerja mecari redha Allah swt

    ReplyDelete