Aktor baru di dalam lanskap politik Rantau Arab
Maszlee Malik
“Gott ist tot” (tuhan telah mati), merupakan laungan Nitzsche di dalam menerangkan perihal kemenangan mutlak sekularisme ke atas pihak gereja. Meskipun perkataan ‘Gott’ (tuhan) telah digunakan oleh beliau, namun ‘tuhan’ tersebut bukanlah bermakna tuhan di dalam erti kata yang literal. Ia lebih merujuk kepada kekuasaan golongan agama dan gereja ke atas ruang hidup rakyat dan ilmu. Makanya sekularisme yang muncul hasil dari projek pencerahan Eropah (European Enlightenment) dan juga manifestasi kepada projek modernity bukanlah pembunuhan ke atas ‘Tuhan’ dan agama, tetapi lebih kepada penyingkiran kekuasaan agama ke atas ruang awam (public sphere) dan juga kehidupan berkaitan dengan politik, ekonomi dan sosial.
Makanya yang tinggal hanyalah individual yang menentukan nasib mereka sendiri yang digelar sebagai ‘Superman’ (ubermensch) oleh Nitzsche. Ide menyisihkan agama dari ruang awam telah menjadi tema kehidupan moden dan juga topik utama ‘pembangunan’ dan modenisasi yang dibawa oleh para penjajah ke dunia Islam. Akhirnya agama digantikan dengan projek modernity yang menyeluruh berteraskan Eurocentricity yang menyebabkan negara-negara Islam menjadi pengikut dan pengguna kepada kuasa kolonialis dan hegemoni.
Ironiknya, kini, di zaman pasca moden, agama telah kembali ke ruang awam. Bukan sahaja di dunia Islam, malah kebangkitan Kristian kanan (Christian Right) di Amerika yang telah sedikit sebanyak mencorakkan warna politik rumah putih adalah antara buktinya. Di negara-negara Amerika Latin, gereja-gereja Katolik berfahaman Sosialis pula bangkit dengan ‘Liberation Theology’ untuk membantu keadaan sosio-ekonomi para petani dan buruh melalui usaha-usaha pembangunan mikro dan usaha pembangunan komuniti. Di Sri Lanka dan India pula, golongan ekonomis Ghandisme membangunankan ekonomi golongan kelas bawahan dan buruh melalui usaha Savordhaya Sharmadana. Melalui projek-projek yang dilaksanakan, banyak pembangunan komuniti telah berjaya dilakukan tanpa melibatkan bantuan kerajaan. Kepentingan agama di dalam kehidupan dewasa ini telah disebut oleh Peter Berger di dalam karya beliau (the Sacred Canopy) dan juga Jose Casanova yang menjalankan kajian ke atas Liberation theology.
Hal yang sama berlaku di negara-negara Islam. Berteraskan pandangan dunia (world view) Islam yang bersifat dinamik dan pro-aktif, gerakan Islam telah muncul di awal zaman memperjuangkan kemerdekaan lagi. Selepas berlakunya kemerdekaan, gerakan-gerakan Islam telah dipinggirkan oleh golongan Nasionalis sekular yang menjadi warisan kepada kolonial. Hasilnya gerakan Islam di kebanyakan negara-negara Islam yang baru merdeka telah menjadi mangsa pembantaian oleh pihak kerajaan baru yang sebangsa dengan mereka. Namun, tahun-tahun 70’an dan 80’an, gerakan Islam mula mendapatkan momentum mereka untuk kembali bangkit terutamanya selepas peperangan Israel-Arab 1967 dan juga kemenangan Mesir di dalam peperangan dengan Israel pada tahun 1973. Kemuncak kepada kebangkitan gerakan-gerakan Islam ialah dengan berlakunya revolusi Islam Iran. Pada era 80’an kebanyakan gerakan Islam telah bangkit dengan wacana ‘negara Islam’ ataupun revolusi Islam.
Walau bagaimanapun, penindasan ke atas gerakan-gerakan Islam di merata dunia telah menimbulkan reaksi yang pelbagai. Bagi gerakan Ikhwan Muslimin, kejituan prinsip mereka yang menolak keganasan dan juga kekerasan, penindasan pihak rejim tidak berjaya menjadikan mereka agresif dan radikal. Walau bagaimanapun, dari dalam penjara-penjara Mesir, telah muncul golongan muda Islamis lain yang mengkafirkan gerakan Ikhwan kerana disifatkan terlalu pasif dan tidak agresif, lantas mereka menubuhkan gerakan Jihad Islami ataupun Jamaah Islamiyah yang bersikap revolusiner dan radikal. Golongan inilah yang telah terlibat di dalam pembunuhan Presiden Anwar Sadat, dan akhirnya telah menyebabkan penubuhan Alqaeda dengan merekrut segelintir Mujahidin Arab yang berjuang di Afghanistan untuk menjayakan aspirasi radikal mereka. Walaupun golongan ini tidak ramai, tetapi propaganda media dan juga lobi Zionis telah menjadikan mereka seakan-akan berjumlah yang amat besar dan menenggelamkan gerakan-gerakan Islam arus perdana yang lebih sederhana di dada-dada media.
Sungguh yang demikian, majoriti gerakan Islam arus perdana di serata dunia, terutamanya yang berpaksikan fikrah Ikhwan Muslimin dan Jamaat Islami di kawasan Asia selatan tetap memilih jalan sederhana dan demokrasi. Ini jelas dilihat pada penglibatan mereka di dalam proses demokrasi, samada dengan menyertai pilihanraya sebagai parti politik, ataupun individu, mahupun berkoalisi dengan parti-parti politik yang sedia ada. Di samping itu kebanyakan gerakan Islam juga amat aktif di dalam kerja-kerja kesukarelawanan dan masyarakat sivil. Gerakerja mereka di dalam menawarkan mekanisme kebajikan kepada rakyat telah berjaya mewujudkan sikap tidak bergantung kepada kerajaan di jiwa sesetengah rakyat. Di dalam waktu yang sama, gerakan Islam juga menjadi suara lantang menentang korupsi, rasuah dan juga salahguna kuasa oleh para rejim di negara-negara umat Islam. Matlamat utama kebanyakan gerakan tersebut di waktu tersebut adalah untuk mewujudkan negara Islam yang lebih berbentuk utopia.
Di tahun-tahun 90’an, wacana konvensional gerakan Islam sudah mula dicabar dengan kelantangan Rashid Ghannouche, pemimpin gerakan Islam al-Nahdah di Tunisia yang telah mengutarakan gagasan ‘Islam demokrat’. Berbanding retorik negara Islam, Ghannouche mengutarakan ‘negara sivil’, ruang kebebasan, tadbirurus, kedaulatan undang-undang, akauntabiliti dan juga slogan-slogan yang lebih berunsur reformasi berteraskan nilai-nilai Islam. Wacana ini hanya mula mendapat perhatian selepas kemenangan FIS di Algeria yang dinafikan dan juga pembantaian rejim Jeneral Zeroual ke atas rakyat Algeria dan akhirnya menyebabkan peperangan saudara berlaku seraya melahirkan gerakan ekstrimis bersenjata di atas nama jihad. Apa yang berlaku di Algeria itu sebenarnya terlebih dahulu berlaku di Tunisia di bawah pemerintahan Ben Ali yang telah menyebabkan Ghannouche dijatuhkan hukuman mati dan ribuan lain anggota gerakan al-Nahdah dipenjarakan dan diseksa. Menariknya, di Tunisia tidak pula timbul gerakan ekstrimis mahupun keganasan sebagai reaksi terhadap keganasan rejim Ben Ali.
Biarpun pelbagai kezaliman dan penindasan yang dikenakan ke atas gerakan Islam di serata dunia, namun majoriti gerakan Islam terutamanya Ikhwan Muslimin tetap konsisten dengan cara demokrasi dan menjauhi keganasan. Inilah yang membezakan di antara gerakan Islam arus perdana (Ikhwan Muslimin di Mesir dan Jordan, Jamaat Islami, gerakan al-Nahdah Tunisia, gerakan masyarakat sejahtera (HIMS) di Algeria, gerakan Islah di Negara-negara teluk, PAS di Malaysia, HAMAS di Palestin, Hizbullah di Lubnan dan parti-parti Islam lain di utara Afrika) dengan gerakan radikal bersenjata seperti Jihad Islami, Alqaeda, gerakan bersenjata di Algeria, Taleban dan lain-lain lagi. Bagi gerakan Islam arus perdana, mereka memilih jalan aman, demokrasi dan juga masyarakat sivil untuk menjayakan agenda mereka. Mereka lebih memilih jalan damai untuk meyakinkan rakyat dan membina pendapat popular rakyat dan diterjemahkan melalui pilihanraya dan wasilah demokratik yang lain.
Wacana demokratik Ghannouche akhirnya telah berjaya meresap ke dalam gerakan-gerakan Islam arus perdana selepas kemunculan AKP di Turki. Kejayaan AKP memenangi pilihanraya umum Turki pada tahun 2001 telah membuka mata ramai pihak. Di samping wacana baru dan juga pendekatan di luar kotak yang diambil oleh para pimpinan AKP yang merupakan mantan pimpinan dan aktivis Parti Refah, iaitu parti Islam di Turki yang pernah menjadi parti pemerintah tetapi kemudian diharamkan. Melihat kepada kejayaan AKP yang dianggap terlalu liberal berbanding dengan aspirasi kebanyakan gerakan Islam arus perdana, akhirnya wacana demokratik Ghannouche lebih diminati oleh kebanyakan pemimpin muda dan pro-reformasi di dalam gerakan-gerakan berkenaan. Wacana demokratik di kalangan gerakan Islam semakin terserlah sewaktu kemenangan HAMAS di dalam pilihanraya di Gaza dan Tebing Barat tahun 2006, kejayaan Ikhwan Muslimin Mesir mendapatkan lebih 80 kerusi parlimen di dalam pilihanraya umum Negara tersebut, kejayaan parti Jabhat Islamiyah di Jordan mendapatkan kerusi yang banyak di parlimen Jordan dan keupayaan Parti Keadilan Sejahtera (PKS) di Indonesia untuk menubuhkan kerajaan campuran bersama parti pimpinan presiden SBY. Persamaan di antara kejayaan kesemua gerakan Islam tersebut ialah slogan yang lebih demokratik, wacana reformasi (islah), dan juga sepinya laungan retorik negara Islam ataupun perlaksanaan Syariah. Hal ini telah disentuh oleh pemikir Mesir, Dr Abdul Wahab el-Messiri yang menamakan wacana demokratik Islam itu sebagai ‘Wacana baru perjuangan Islam’.
Malangnya perubahan wacana gerakan Islam tidak disikapi secara positif oleh pihak rejim diktator yang memerintah negara-negara Islam. Bukan sekadar mereka berterusan memomokkan barat dan juga negara-negara bukan Islam lain dengan fitnah dan juga tuduhan palsu ke atas gerakan Islam arus perdana, mereka juga membuat naratif palsu mengenai hubungan di antara gerakan Islam di negara masing-masing dengan Alqaeda dan Taleban. Strategi seumpama ini telah berjaya membuatkan barat, terutamanya AS untuk terus membela dan berpihak kepada para diktator di negara-negara Islam. Dunia dimomokkan bahawa jika gerakan Islam memerintah, maka kucar-kacir akan berlaku, barat akan berterusan bermusuhan dengan negara-negara Islam, kepentingan mereka tidak akan terjaga, malah mereka juga membayangkan bahawa jihad akan berlaku di antara dua dunia (Barat-Islam). Naratif palsu ini dijual secara meluas oleh lobi Zionis dan juga golongan kanan radikal di AS demi kepentingan rejim Zionis Israel. Kebanyakan diktator lebih mengutamakan Israel berbanding kemahuan rakyat mereka sendiri yang bencikan Israel dan mahukan kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin dihentikan segera.
Kini, selepas meletusnya revolusi rakyat di negara-negara di Asia Barat dan Utara Afrika, segala mitos dan naratif ciptaan para diktator rejim hancur berkecai jatuh bersama para diktator. Gerakan Islam yang sekian lamanya digambarkan sebagai antagonis di dalam lanskap politik negara-negara Asia Barat dan Utara Afrika kini dilihat sebagai sebahagian daripada rakyat dan bukannya sebagai ancaman yang bangkit. Ketakutan bahawa gerakan Islam merupakan kuasa utama yang akan bangkit jika para diktator tumbang ternyata meleset. Apabila Tunisia menjadi negara pertama terletusnya kebangkitan rakyat dan kejatuhan rejim diktator, ramai yang ternantikan reaksi dari Ghannouche, pemimpin gerakan al-Nahdah dalam buangan di UK. Menariknya, beliau tetap konsisten dan begitu realistik apabila mengatakan bahawa gerakan Islam tidak mensasarkan untuk memerintah dan memanipulasi kebangkitan rakyat. Beliau sendiri menyatakan bahawa dia tidak bercadang untuk bertanding menjadi presiden. Beliau menegaskan bahawa gerakan Islam bercadang untuk menjadi sebahagian daripada rakyat untuk membina negara yang lebih adil, demokratik dan bebas dari kezaliman, salahguna kuasa, tirani dan korupsi. Sikap Ghannouche ini kemudiannya diikuti oleh gerakan Ikhwan Muslimin di Mesir yang dilihat sudah mula berbicara dengan bahasa demokratik, realistik dan lebih mesra rakyat. Sebagai balasannya, rakyat yang bangkit terutamanya golongan muda, menginginkan gerakan Islam untuk menjadi sebahagian dari aktor penting mengisi vakum pasca revolusi. Sebagai contohnya, di Mesir apabila wakil Ikhwan tidak dilibatkan di dalam kabinet sementara Mesir, rakyat bangkit menolak kabinet tersebut.
Berdasarkan perkembangan terkini yang telah disebutkan, rakyat secara jelas inginkan semua pihak terlibat dengan tidak terkecuali di dalam membentuk masa depan negara-negara yang terlibat. Politik baru yang diinginkan oleh rakyat lebih telus, adil dan substantif. Di dalam suasana menghadapi sistem yang baru yang diharapkan untuk menjadi lebih adil, luwes dan bertanggung jawab, ramai penganalisis politik Asia Barat dan Utara Afrika menjangkakan kemunculan kerajaan campuran di Mesir, Tunisia, Libya, Jordan dan Yaman. Pengaruh gerakan-gerakan Islam, samada Ikhwan Muslimin di Mesir, Libya dan Jordan, ataupun gerakan Nahdah di Tunisia dan Islah di Yaman, akan menempatkan mereka di dalam kerajaan campuran tersebut. Contoh di Indonesia sahaja sudah cukup untuk membuktikan teori ini. PEMILU kedua Indonesia pasca reformasi telah menunjukkan bagaimana Partai Keadilan Sejahtera (PKS) yang sering dikaitkan dengan Ikhwan Muslimin di Indonesia telah dilamar oleh SBY untuk membentuk kerajaan campuran. Hal yang sama juga akan berlaku di negara-negara yang telah disebutkan di atas memandangkan bilangan anggota dan juga pengaruh gerakan-gerakan tersebut di negara masing-masing yang jauh lebih besar dari PKS di Indonesia.
Jika kerajaan campuran dibentuk di negara-negara berkenaan, gerakan-gerakan Islam pasti akan menjadi aktor utama di dalamnya. Maka kebanyakan gerakan tersebut berkemungkinan besar akan mendapat portfolio berhubung pendidikan, kebajikan, belia, pembangunan dan juga hal ehwal masyarakat sivil. Kejayaan mereka membentuk modal sosial (social capital) melalui gerakerja dakwah dan tarbiyah yang konsisten dan holistik akan membuatkan mana-mana kerajaan campuran akan menyerahkan kepercayaan untuk memberikan kepada gerakan Islam portfolio-portfolio yang telah disebutkan. Selain daripada itu, kualiti kepimpinan gerakan Islam yang kebanyakannya terdiri dari para teknokrat, ahli akademik, pemikir dan juga aktivis masyarakat menambahkan lagi peluang mereka untuk memegang ruang-ruang strategik berkaitan pembangunan masyarakat, pendidikan dan juga modal insan.
Hal ini telah disebutkan oleh ramai pengkaji gerakan Islam di barat, samada yang pro, neutral, hatta mereka yang mengkritik sekalipun. Seperkara yang tidak dapat dinafikan ialah nilai kesukarelawanan (volunteerism) di dalam jiwa pendokong dan aktivis gerakan Islam teramat tinggi berdasarkan pandangan dunia (worldview) dan juga aspirasi Islam di dalam jiwa mereka. Malah hal-hal kesukarelawanan terutamanya di dalam hal-hal kebajian seakan menjadi mercu tanda kepada gerakan-gerakan Islam yang demokratik.
Maka, bagi negara-negara Islam lain yang ingin menjalinkan hubungan diplomasi melalui soft power yang banyak melibatkan isu ekonomi, pendidikan dan juga sektor ketiga (masyarakat sivil) perlulah menilai semula persepsi dan juga sikap mereka terhadap gerakan Islam. Malaysia, sebagai sebuah negara Islam yang progresif, perlulah mempunyai sikap yang positif dan pro-aktif di dalam menghadapi realiti yang baru ini. Sebagai negara Islam yang moden dan sederhana serta ingin membantu negara-negara Islam lain untuk turut maju dan moden, Malaysia tidak boleh mengenepikan faktor gerakan Islam di negara-negara yang telah disebutkan. Kegagalan Malaysia untuk melihat masa depan yang jauh ke hadapan hanya akan menyebabkan Malaysia akan ketinggalan, malah mungkin akan terlepas peluang untuk meluaskan soft power di negara-negara terbabit.
Momokan para rejim tentang keganasan gerakan Islam dan lain-lain fitnah mengenai mereka tidak sepatutnya diambil pakai lagi. Kini lanskap politik Asia Barat dan Utara Afrika telah berubah. Wacana lama warisan para diktator dan rejim autokratik hanya akan merugikan umat Islam. Di era demokrasi dan juga keterbukaan media, tuduhan terhadap gerakan Islam seperti yang dilakukan sebelum ini adalah primitif dan tidak produktif. Sekali lagi dimensi multiple modernities di dalam mencorakkan sistem antarabangsa yang baru amat-amat diperlukan. Pendekatan ala-kerajaan AKP Turki perlu diadaptasi oleh kebanyakan negara-negara Islam di era perubahan.
Meminggirkan gerakan Islam di dalam hubungan luar ataupun mengikuti jejak lobi Zionis dan pelampau kanan Konservatif dengan melabel gerakan-gerakan tersebut sebagai pengganas, merupakan sesuatu yang tidak bijak untuk mana-mana negara Islam yang lain. Oleh yang demikian, para pemimpin negara-negara Islam perlulah mempunyai para penasihat mengenai hal ehwal Asia barat dan utara Afrika yang jujur dan tidak berkepentingan untuk memastikan mereka mendapat gambaran yang tepat dan menyeluruh mengenai rantau berkenaan. Oleh yang demikian, kebergantungan hanya kepada pihak keselamatan ataupun pegawai diplomatik semata-mata di dalam hal ehwal Asia Barat dan utara Afrika tidak memadai. Kumpulan think tank khusus yang terdiri dari para ahli akademik, pemikir, jurnalis dan juga aktor masyarakat sivil lebih diperlukan untuk polisi luar yang mampan dan efektif di dalam menghadapi realiti yang baru.
*Penulis merupakan pensyarah di Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, UIAM.
salam ustaz
ReplyDelete"Inilah yang membezakan di antara gerakan Islam arus perdana (Ikhwan Muslimin di Mesir dan Jordan, Jamaat Islami, gerakan al-Nahdah Tunisia, gerakan masyarakat sejahtera (HIMS) di Algeria, gerakan Islah di Negara-negara teluk, PAS di Malaysia, HAMAS di Palestin, Hizbullah di Lubnan dan parti-parti Islam lain di utara Afrika) dengan gerakan radikal bersenjata seperti Jihad Islami, Alqaeda, gerakan bersenjata di Algeria, Taleban dan lain-lain lagi."
Hizbullah & HAMAS bukan ada sayap tentera ke ustaz?
salam ustaz, maka jika begitu tulisannya, apa pendapat ust ttg kekuatan dan kelemahan kerajaan yg memerintah Malaysia pada masa ini, dan apakah kemungkinan2 yg bakal wujud di Malaysia adalah lebih baik kalau tidak pun menyamai gaya dan corak pentadbiran kerajaan semasa di Malaysia?
ReplyDeleteseperkaran lagi, jika diamati sebelum berlakunya keruntuhan rejim hosni mubarak di Mesir, amerika acapkali berdolak dalik dgn kenyataannya berkaitan perletakan jawatan mubarak di sana, adakah ini pd pendapat ust merupakan percaturan tangan2 tertentu dalam pentadbiran obama yg kelihatan buntu dalam menyelesaikan krisis di negara tersebut?
jzkk atas penulisan ust..lame dah x membaca ulasan ust berkenaan politik dunia islam..
ReplyDelete