Friday, 5 March 2010

Agama, Candu dan Ekstasi


Agama, Candu dan Ekstasi

Karl Marx pernah mengatakan bahawa agama itu adalah candu kepada masyarakat jika ianya dimanipulasi oleh golongan pemerintah untuk menjinakkan para marhaen agar tidak menuntut hak mereka. Bukanlah agama itu bersifat candu, maka ianya perlu ditolak, tetapi penyalah gunaan agama untuk melekakan rakyat dari menyedari tanggung jawab dan hak mereka itulah yang merbahaya. Di dalam kerangka ini, dan bukannya kerangka penolakan agama secara total, ungkapan Marx ini ada benarnya.

Pengunaan agama untuk menjinakkan golongan marhaen oleh pihak pemerintah yang korup dan diktator bukanlah sesuatu yang baru. Di dalam tradisi Islam sendiri, seawal Abdullah Ibn Muqaffa (di dalam ketiga-tiga karyanya, al-Adab al-Saghir, al-Adab al-Kabir dan Risalat al-Sahabah), sehinggalah kepada Nizam al-Mulk di dalam magnum opusnya ‘Siyaset Nameh’, para penguasa telah diingatkan agar meletakkan elemen keagamaan kepada rakyat agar mereka terus patuh kepadanya. Agama yang perlu diberikan kepada rakyat adalah agama versi ritual-spiritual yang dapat melestarikan perasaan kehinaan dan rendah diri, terutamanya apabila berhadapan dengan pemerintah. Di dalam karya-karya Politik-Teologi sekalipun seperti ‘Usul al-Sunnah’ Ahmad bin Hanbal dan juga ‘al-Tamhid’ karya al-Baqilani, rakyat diletakkan sebagai subjek pasif yang wajib redha menurut kehendak pemerintah, tidak kira samada mereka itu adil mahupun zalim dan kejam.

Bagi karya Politik-Teologi, para pengkiritik menyedari bahawa peranan sosio-sejarah menjadi tema utama penulisan. Di dalam menghadapi kebangkitan golongan Syiah Qaramitah, golongan Khawarij dan juga pemberotakan-pemberontakan dari golongan bukan ahli Sunnah, para ulama di dalam genre penulisan tersebut terpaksa mengambil sikap sedemikian rupa. Tidak hairanlah mereka menjadikannya sebagai sebahagian daripada subjek Aqidah (Teologi), ini adalah bertujuan untuk menolak hujah-hujah Syiah yang menjadikan konsep ‘Imamah’ (kepimpinan) sebagai isu utama di dalam kepercayaan agama mereka. Malangnya, bagi mereka yang mengulang baca karya-karya tersebut telah mengambil pemahaman kepada teks-teks berkenaan secara harfi (literal) da cuba memaksakan kefahaman yang membawa unsur ‘sosio-sejarah’ lampau itu ke dalam kerangka politik kontemporari yang berlainan topologinya.

Di dalam karya-karya barat sekalipun, peranan agama untuk menjinakkan rakyat agar bersikap pasif telah lama berlaku. Zaman kegelapan Eropah merupakan contoh yang paling ketara bagaimana agama dan kepercayaan telah dijadikan mantra keramat untuk menindas rakyat. Syurga dijadikan harga untuk membeli hak dan pemilikan rakyat yang sepatutnya mereka nikmati. Tuhan dijadikan bahan dagangan agar rakyat akan terus dilambung ekstasi walaupun harga diri mereka, harta milik mereka dan juga hak asasi mereka dicerobohi, dirampas dan dinodai oleh pemerintah. Ilmu menjadi protoganis dan hanya boleh dibicarakan di dalam kerangka suci gereja dan para pendita. Agama yang hanya menjadi bahan bicara para pendita dan pembesar gereja, telah menafikan hak individu untuk memilih dan berfikir kritis...isu agama hanya milik orang-orang suci dari gereja. Maka apa sahaja agenda yang gereja berikan, itulah sahaja yang boleh diamalkan oleh individu tanpa banyak bicara dan berfikir.

Selepas zaman pencerahan dan juga kejatuhan gereja, pemanipulasian agama untuk kepentingan pemerintah yang korup juga masih berlaku. Michaeveli sendiri pun mengakuinya di dalam karya agung beliau. Malah sehingga kini pun, agama sering menjadi pelali demi melekakan rakyat untuk menjayakan agenda pemimpin barat yang berkepentingan. Mungkin Amerika Syarikat adalah di antara contoh lain bagaimana agama telah menjadi alat untuk golongan neo-Konservatif mendapatkan kuasa di sana. De negara-negara Amerika Latin, hal yang sama juga berlaku. Mana-mana parti politik yang tidak rapat dengan gereja Katolik amat sukar untuk mendapatkan sokongan rakyat, sehinggalah gerakan Teologi pembebasan timbul demi merubah status-cuo yang berlaku.

Di Malaysia dewasa ini suasana mempergunakan agama untuk melarikan rakyat dari isu sebenar semakin ketara. Di satu sudut terdapat pihak yang opportunis untuk mengekalkan kekuasaan dan korupsi mereka dengan membangkitkan isu berkaitan sentimen agama. Golongan ini cuba mewujudkan sinonim bahawa mempertahankan agama adalah selari dengan agenda mengekalkan kekuasaan mereka. Mempertahankan agama pula ditonjolkan di dalam kerangka isu-isu sensitif melibatkan perkauman dan juga keagamaan. Mempertahankan agama menurut pentafsiran mereka adalah dengan meletakkan golongan berkepentingan ini di tempat yang tinggi dan kemudiannya mereka bebas melakukan korupsi, rasuah, memperbanyakkan aktiviti maksiat, tetapi di dalam masa yang sama menafikan hak-hak penganut agama lain.

Di sudut yang lain pula terdapat golongan agamawan yang naif dan sensitif yang terlalu sibuk dengan isu-isu remeh untuk melarikan pandangan rakyat dari kerangka agama yang lebih besar. Bagi mereka, agama itu adalah dengan mempertahankan Maulid, qunut, kenduri arwah, diskusi silam sifat 20 dan juga isu-isu yang telah lama diselesaikan oleh majoriti ulama aliran sederhana. Tidak dinafikan kegilaan mereka itu adalah reaksi kepada kebuasan golongan lawan mereka yang juga sibuk memerangi perkara-perkara yang dianggap sebagai ‘bid’ah’. Mempertahankan dan juga menyerang perkara-perkara tersebut dilihat sebagai kemuncak keagamaan para Muslim. Kedua-dua golongan ini hanyut di dalam menyempitkan ruang beragama kepada amalan-amalan dan kepercayaan-kepercayaan yang mereka pegang. Bagaikan tiada ruang tolak-ansur dan saling faham memahami lagi di dalam menyikapi isu-isu yang sepatutnya berlegar di dalam ruang peribadi (private sphere) dan pilihan individu. Akhirnya ruang umum (public sphere) dicemarkan oleh perbincangan yang tidak membuahkan hasil yang produktif, tidak kepada agama, tidak kepada rakyat dan jauh sekali kepada negara. Lebih malang, pihak autoriti agama juga turut terseret di dalam pertelingakahan yang langsung tidak memberikan manfaat kepada survival Islam itu sendiri.

Amat malang apabila isu integriti, akauntabiliti, ketelusan, tadbirurus yang baik (good governance), swardaya rakyat (citizen empowerment), efisiensi, pemerintahan yang adil, bebas rasuah, bebas korupsi, kesama rataan, menghormati hak minoriti, saling faham memahami dan tolak ansur merentasi mazhab, agama dan budaya, isu kemanusiaan, isu masyarakat sivil, isu alam sekitar, isu keadilan sosial, isu keadilan gender dan semangat kesukarelawanan tidak mendapat tempat di dalam wacana agama di Malaysia. Islam disikapi oleh para penganutnya hanya berkaitan isu ritual yang sebenarnya mempunyai ruang legar untuk khilaf, tetapi disempitkan untuk pengaruh golongan tertentu. Tidak dinafikan, di dalam suasana adanya kemahuan segelintir umat untuk kembali kepada kehidupan beragama, memang terdapat syeikh-syeikh yang pandai mencari peluang. Kenaifan dan juga keikhlasan para pecinta agama telah disempitkan kepada isu ritual dan kemudiannya dicerikan dengan ‘karamah’, karismatik dan juga kewarakan syeikh-syeikh tertentu untuk menjana kekayaan, pengaruh dan juga kekuasaan.

Hal ini bukanlah sesuatu yang pelik dan aneh. Ianya sekadar mengulangi skrip para syeikh-syeikh tarekat yang kaya raya dan jutawan di negara-negara Afrika, Arab, India, Pakistan dan juga beberapa negara Eropah. Walhal di dalam waktu yang sama para pengikutnya disuruh bersikap zuhud dan berkorban. Agama memang telah dijadikan sebagai candu yang paling mujarab untuk menjadikan ramai jiwa-jiwa yang ikhlas sebagai mangsa. Lihatlah kereta-kereta dan juga kehidupan para Syeikh-Syeikh ini. Jangan terkejut jika jubah, serban, capal dan jam tangan yang dipakainya melampaui pendapatan bulanan anak-anak murid yang dipaksa berzuhud dan berkorban demi guru murshidnya itu. Lihatlah juga kepada bilangan isteri-isteri mereka yang juga telah dicandukan untuk berkorban demi mencapai syurga lewat memuaskan nafsu para Syiekh. Skrip yang pernah dilakonkan oleh salah seorang pemimpin gerakan tarekat yang diharamkan di Malaysia pada tahun 1995 dahulu kini diulang semula. Malangnya ramai yang tidak menyedari, kerana pada kali ini, kebanyakan jabatan-jabatan agama dan juga para agamawan juga telah dicandu untuk bersama mengiyakan ‘perjuangan’ golongan yang menjadikan agama sebagai candu.

Agama Islam dalam kerangkanya syumul dan komprehensif perlu dikemukakan semula kepada penganut Islam di negara ini. Kefahaman jumud Islam dengan disempitkan kepada perkara-perkara ritual dan kerohanian semata-mata akan menjadikan negara ini sebagai tanah subur untuk penyalah gunaan agama demi kepentingan para penzalim, koruptor, pamakan rasuah, para fanatik bangsa dan agama, serta para Syeikh yang berkepentingan. Agama Islam hanya akan menjadi dadah soma (ibarat fiksyen Brave New World karya Huxley) untuk melekakan rakyat dan melarikan mereka dari isu sebenar. Seruan perlu diberikan kepada para cendikiawan agama yang progresif untuk bangkit menyedarkan rakyat yang sedang dicandu dan terus leka. Islam perlu dijadikan solusi untuk memberikan makna kepada kehidupan duniawi yang merupakan jambatan kepada kehidupan ukhrawi. Islam yang indah inilah yang perlu ditonjolkan dalam kehidupan Muslim agar misi ‘Rahmatan lil ‘Alamin’ (rahmat kepada sekelian alam) yang diserukan oleh Nabi Muhammad SAW akan menjadi kenyataan.

No comments:

Post a Comment