Wednesday 1 July 2009

Bukan Hanya Erdogan


gambar ihsan Nik Hafiz.

Bukan Hanya Erdogan

Sebagai mantan aktivis PAS di waktu mudanya, Wan Saiful Wan Jan selaku Director General Malaysia Think Tank mempunyai kredebiliti di dalam melancarkan kritikan terhadap isu dalaman PAS. Di dalam artikelnya, 'Dear Erdogans, please don't die' bertarikh 1 Julai di laman Web Malaysian Insider, beliau telah mengkritik keterbatasan kebebasan bersuara di dalam parti Islam berkenaan. Ketika mengulas artikel tulisan Dr Dzulkefly Ahmad mengenai kelemahan gagasan Kerajaan Perpaduan, beliau juga telah berjaya menunjukkan betapa sistem dalaman PAS sendiri yang menjadi penyumbang utama terhadap keterbatasan tersebut. Artikel yang pernah disiarkan di Harakahdaily itu telah dibuang dari laman web berkenaan di atas arahan pihak atasan.

Hal ini bukanlah baru bagi semua pihak yang telah maklum dengan sistem dalaman PAS. Sistem wala' kepada pimpinan atasan tanpa ruang untuk mengkritik pimpinan teratas merupakan sebahagian daripada hasil pemikiran ala-moderniti kebanyakan gerakan Islam di merata tempat. Kedudukan sebagai pemimpin tertinggi dan juga ahli syura memberikan semacam 'kemaksuman' dari dikritik secara terbuka oleh para ahli, apatah lagi oleh rakyat kebanyakan. Bayangkan, di dalam mentaliti seperti ini, apakah ruang kebebasan media, politik dan juga individu akan wujud lagi jika PAS menjadi kerajaan pusat. Bayangkanlah jika di dalam parti sendiri pun kritikan terbuka di'haram'kan, apakah nanti jika berpeluang memerintah, rakyat dan juga pihak pembangkang akan berpeluang untuk mengkritik?

Hal ini masih samar, sepertimana samarnya isu kerajaan perpaduan.

Persoalannya, apakah hanya PAS sahaja yang mempunyai sistem dalaman autokratik seperti ini?

Apakah hanya gerakan-gerakan Islam sahaja yang mempunyai keterbatasan bersuara lantas mengharamkan kritikan ke atas pimpinan di atas nama wala'?

Hal ini amat bertentangan dengan sunnah Rasulullah SAW dan juga amalan para Khulafa al-Rashidin.

Bukankah pendapat Rasulullah SAW ditolak oleh Khubab bin Mundhir lewat perang Badar.

Bukankah keputusan Rasulullah SAW untuk berperang di dalam kota Madinah juga ditolak sewaktu peperangan Uhud. Malah Rasulullah SAW tunduk kepada kehendak majoriti untuk berperang di luar Madinah.

Bukankah pendapat asulullah SAW juga ditolak lewat peperangan Hudaybiyyah?

Tidakkah ini semua menunjukkan bahawa di dalam isu politik, strategi dan urusan selain 'keagamaan' (aqidah dan ibadat), Rasulullah SAW membuka ruang yang luas untuk ijtihad dan kebebasan pendapat. Selagimana pendapat yang diusulkan tidak melibatkan urusan yang haram, maka selagi tiulah ijtihad dibuka seluas-luasnya di dalam Islam.

Abu Bakar dikritik, Omar juga dikritik, Usman dan juga Ali. Bukalah lembaran-lembaran buku Tarikh Khulafa dan buku-buku sejarah. Tiada kemaksuman pada para pemimpin di dalam aqidah Ahli Sunnah. Jika mereka tersilap, maka teguran dan kritikan merupakan satu kewajipan. Itu merupakan konsep 'Amar Ma'ruf dan Nahi Munkar'. Amar Ma'ruf dan Nahi Munkar bukan hanya pada isu khalwat dan juga menghendap orang membuat maksiat sahaja.

Persoalan yang ingin diutarakan di sini bukanlah pada PAS atau gerakan-gerakan Islam sahaja. Saya berpendapat, hampir kesemua parti-parti politik di Malaysia mempunyai sistem dalaman seperti ini. Kritikan terbuka terhadap pimpinan tertinggi merupakan satu kesalahan. Malah usaha mencabar pimpinan tertinggi pun merupakan satu yang tabu. Cuba kita alihkan pandangan dari PAS. Lihatlah kepada UMNO dan juga PKR...natijahnya sama sahaja.

Apakah Suara Keadilan akan membenarkan suara-suara mengkritik pemimpin de facto mereka?

Apakah ketua De Facto PKR akan bersedia menerima usul jika para ahli meminta beliau berundur sementara tuduhan dan penghakiman ke atasnya selesai?

Apakah Presiden PKR bersedia untuk dicabar dan dikritik oleh ahli dan pimpinan secara terbuka kerana melepaskan kerusi Parlimen Penanti?

Apakah PKR juga bersedia untuk mengkritik penguasaan dinasti Anwar (Anwar-Wan Azizah-Nurul Izzah) di dalam PKR?

Jika itu halnya PAS dan PKR, UMNO sememangnya lebih teruk. Budaya feudal dan patronage politik merupakan imej UMNO. Cubalah mana-mana ahli atau pimpinan UMNO mencabar Najib supaya berundur kerana imejnya di peringkat antarabangsa yang terjejas dek isu Altantuya, bukankah itu bermakna derhaka kepada pimpinan?

Cuma mungkin UMNO agak bertuah kerana faktor duit dan juga imbuhan kewangan melalui projek-projek dan juga sampu surat-sampul surat lewat perhimpunan Agung berjaya membendung apa-apa kritikan yang bakal muncul. Ahli-ahli bawahan pula disuapkan dengan imbuhan-imbuhan murahan dan juga ancaman-ancaman perkauman demi membantutkan budaya berfikir dan kritikal. Pendekata, budaya kritikan dalaman bukanlah satu yang lazim di dalam parti-parti politik di Malaysia.

Di dalam hal ini, jangan salahkan PAS,mereka tidak berseorangan. Budaya mengkritik pemimpin secara terbuka bukanlah budaya kita. Ia bukannya sistem yang sebati dengan kita. Ia merupakan satu ancaman kepada budaya feudalisme di dalam masyarakat Melayu...dan mungkin juga masyarakat Cina (Dinasti keluarga Lim Kit Siang juga tidak boleh diusik, malah Lee Kwan Yew kata budaya Asia adalah untuk taat dan tunduk kepada pemimpin). Mungkin inilah One Malaysia yang kita boleh banggakan.

Jika kita ingin mengubah keadaan yang wujud kini, ia perlu bermula di bangku sekolah lagi. Sistem pendidikan kita perlu melatih agar anak-anak berfikiran kritikal. Sistem peperiksaan tidak akan membantu pertumbuhan sikap seperti ini. Sistem yang dikuasi oleh pentadbiran pusat juga tidak akan membantu. Sistem pendidikan perlu diserahkan kepada masyarakat sivil melalui pentadbiran local council dan juga di bawah seliaan masyarakat pentadbir sekolah yang didaya upayakan (empowered) melalui sistem wakaf ala endowment di kalangan masyarakat setempat.

1 comment:

  1. Bravo! ana nampak cerah sikit dunia politik Malaysia,apa yg anta sebut tidak boleh dinafikan,cuma secara perjuangan dasarnya, ada yg perlu kita sokong!
    Kalau sistem pnddikan kita tidak kritikal,bermakna kita kena kritiskan anak2 kita sendiri kan!

    ReplyDelete